RESIPI TAUHU BAKAR

rsz_tbmg
Assalammualaikum, salam Isnin. Hari ni che mat santap tauhu bakar yang biasa kita boleh beli di pasar2 malam sekitar Malaysia. Resipi tauhu bakar ini antara paling mudah dan sedap. Nak2 di bulan puasa yang bakal menjelma tak sampai seminggu lagi. Yang peling penting untuk tauhu bakar selain tauhu pok (sejenis tauhu yang ringan bersarang dan tidak seperit tauhu keras biasa), ialah sosnya yang sama macam sos rojak petis. Sayur2an sampingan yang che mat guna hanya taugeh, sengkuang dan timun. Nak pedas hiris2kan cili padi dan taburkan atas tauhu bakar. Kacang tanah tumbuk juga memainkan peranan penting, tanpa kacang tanah, memang tak sedap tauhu bakar anda. Sos tu boleh buat lebih dan simpan dalam peti sejuk untuk kegunaan kemudian. Jomm che mat kongsikan resipi...

BAHAN - BAHANNYA :-)
2 - 4 keping tauhu pok (saiz besar)
Sengkuang secukupnya, dihiris halus memanjang
Timun secukupnya, dihiris halus memanjang
Taugeh secukupnya, buang ekor dan celur sekejap dalam air panas, toskan
Hirisan cili padi, jika suka pedas
Kacang tanah secukupnya, digoreng tanpa minyak dan ditumbuk kasar

BAHAN - BAHAN SOS :-)
1 botol petis @ otak udang
1 camca besar penuh sos tiram
4 camca besar cili kisar
2 camca besar kicap pekat
5 - 6 biji cili padi merah, ditumbuk halus (optional)
1/4 cawan jus asam jawa (asam jawa sebesar ibu jari + 1/4 cawan air panas = tapis jusnya)
3 camca besar gula melaka, hiris kecil*
1 1/2 cawan air*(*disatukan, masak hingga gula larut dan tapis)
Gula secukup rasa (che mat tak taruk sebab dah ada gula melaka)
1 camca besar penuh tepung gandum + 3 camca besar air = kacau rata

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK SOS :- Dalam periuk, masukkan petis, sos tiram, cili kisar, cili padi tumbuk (jika guna), kicap pekat, jus asam jawa dan juga air gula melaka tadi. Kacau rata dan masak hingga mendidih. Rasa dan jika kurang manis, anda boleh masukkan sedikit gula pasir. Akhir sekali masukkan bancuhan tepung gandum (kacau sebelum dimasukkan ke dalam periuk). Kacau dan masak dengan api kecil hingga pekat. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Biarkan sejuk sebelum digunakan.
  2. UNTUK TAUHU :- Tauhu pok anda panggang dalam kuali atau jika rajin boleh bakar atas bara api. Balik2kan agar kulit tauhu pok garing sekata. Angkat dan ketepikan. (jika anda guna tauhu pok jenis kecil2, boleh guna lebih dari yang disyorkan dalam resipi).
  3. UNTUK TAUHU BAKAR :- Tauhu pok dipotong kepada 6 bahagian (ikut besar mana tauhu pok yang anda guna). Taruk dalam pinggan sesuai, taruk taugeh celur, sengkuang dan timun atasnya. Curah sos secukupnya, tabur kacang tanah tumbuk dan sedikit hirisan cili padi, jika suka pedas. Boleh hidangkan...
Labels: ,

TEH KRISANTIMUM YEO'S SELASIH DAN LAICI

rsz_tksry
Kurang lebih 10 hari lagi umat Islam akan menyambut bulan Ramadan yang mulia.  Masa tu suri rumah pasti mula sibuk memikirkan juadah untuk dihidangkan pada waktu berbuka. Selain juadah, minuman paling menjadi keutamaan. Bukan tak boleh beli di bazar-bazar Ramadan, tapi lebih bagus jika kita boleh buat sendiri di rumah. Che Mat, lebih suka yang ringkas dan senang dibuat. Apa tah lagi bagi mereka yang bekerja, kalau boleh nak yang cepat disediakan dan paling penting sedap. Ok, kali ni Che Mat nak kongsikan satu resipi minuman paling ringkas untuk anda cuba. Bukan sahaja sesuai di bulan Ramadan, tapi boleh dihidangkan pada setiap masa�

rsz_tksry1-tile
Minuman penyegar tekak  ini Che Mat beri nama Teh Krisantimum Yeo�s Selasih Dan Laici. Buatnya sangat senang, anak-anak pun boleh buat, janji ada Teh Krisantimum Yeo�s dan bahan-bahan mudah seperti dalam gambar tu. Hidangan ini untuk seorang, kalau nak buat lebih anda boleh tambah lagi ikut kesesuaian. Antara yang diperlukan ialah...

1 kotak kecil (250 ml) Teh Krisantimum Yeo�s
Buah laici secukupnya
1 camca teh biji selasih, direndam dalam 1/3 cawan air panas hingga kembang
Ais kiub secukupnya

CARANYA : - Masukkan secukupnya ais kiub dalam gelas. Tambah buah laici secukupnya (kurang lebih 4 � 5 biji buah laici untuk segelas). Tuang Teh Krisantimum Yeo�s hingga hampir penuh dan sudukan biji selasih yang telah kembang tadi atasnya. Hias ikut kreativiti dan boleh hidangkan. Sedap dinikmati sejuk.

Yang bagusnya Teh Krisantimum Yeo�s ini telah dikurangkan kandungan gulanya jadi ia kurang manis, tanpa bahan pengawet dan cara mereka mengekstrak teh krisantimum itu sendiri dengan teknik merenih atau dimasak perlahan dengan api kecil. Ini lebih menyihatkan dan yang Che Mat tau, Teh Krisantimum juga dapat menurunkan panas dalam badan. Bagi pengguna Muslim, jangan risau Teh Krisantimum ini HALAL dan senang cerita semua produk Yeo�s memiliki sijil HALAL yang sah. Boleh dimakan atau diminum tanpa was-was.

Sempena Ramadan, Yeo�s akan mengadakan kempen � Yeo�s Ceria Ria Beramal Bersama Bintang Dan Menang Duit Raya Musim Kedua. Ini satu inisiatif dari Yeo Hiap Seng (Malaysia) Berhad (Yeo�s) sebagai peneraju pengeluar makanan dan minuman untuk menggalakkan orang ramai menderma menerusi pembelian produk Yeo�s. Sumbangan ini nanti akan ditukar ke bentuk wang tunai dan disalurkan ke enam buah rumah anak yatim piatu di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Penyumbang juga berpeluang memenangi duit raya mencecah RM 58,000!!...lumayan sangat!..

Sebagai tanda sokongan, kempen Yeo�s Ceria Beramal Bersama Bintang Dan Menang Duit Raya Musim Kedua ini turut menampilkan selebriti-selebriti tanah air seperti Kaka Azraff, Heliza Helmi, AG, Shukri Yahya, Feeya Iskandar dan Faizdickie, memang meriah. Untuk sebarang pertanyaan anda boleh hubungi 1300-80-2828 atau terus ke laman web Yeo�s di www.yeos.com.my �.Selamat menyambut bulan Ramadan dan selamat beramal kawan-kawan semua�
Labels: ,

RESIPI ACAR IKAN TAHAI

rsz_ait (1)
Assalammualaikum, salam Khamis semua. Hari ni che mat kongsikan dengan anda satu resipi yang sesuai untuk disajikan pada bulan Ramadan nanti. Resipi acar ikan tahai ini asalnya guna ikan masin, tapi che mat tukar guna ikan tahai. Ikan tahai ialah ikan tamban yang disalai. Terima kasih pada YM Tunku Zahra Mahmood atas kiriman tempoh hari. Sebelum che mat bikin acar, terlebih dahulu che mat rendam ikan tahai ini semalaman. Kemudiam dibelah dan buang tulang tengahnya. Oleh kerana ikan ini agak keras, che mat sedikit dan direndam sekali lagi dengan air panas. Jika susah nak dapat ikan tahai, boleh ganti dengan ikan masin talang atau ikan masin kurau. Tapi anda kena goreng terlebih dahulu sebelum dibikin acar. Sebelum che mat tuliskan resipi, al-fatihah untuk pemberi resipi asal, arwah Noreen Noor....

BAHAN - BAHANNYA :-)
15 ekor ikan tahai salai (atau boleh guna 300 gram isi ikan masin kurau atau talang)
10 - 12 biji bawang merah kecil (bawang rose)
10 ulas bawang putih
2 tangkai daun kari, dilurut
2 camca besar cili kisar
8 biji cili padi merah
8 biji cili padi hijau
2 camca besar gula melaka
2 camca besar penuh gula pasir
4 camca besar cuka makan JALEN
Garam secukup rasa
1 cawan air

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
2 biji bawang besar (saiz sederhana)
1 inci halia
1 inci kunyit hidup

BAHAN - BAHAN REMPAH :-)
1 1/2 camca teh ketumbar biji
1 camca teh jintan manis (kasar)
1 camca teh jintan putih (halus)
1 camca teh biji sawi
1/2 camca teh halba

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan tahai salai direndam semalaman, kemudian buang tulang tengahnya dan belah 4 (che mat potong lagi 2 setiap 1 sebab saiz ikan agak besar). Rendam lagi 30 minit dengan air panas. Ketepikan sementara kita siapkan bahan2 yang lain. Bahan2 rempah disangrai atau goreng tanpa minyak hingga harum, tumbuk atau kisar hingga halus. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali, anggaran 1/2 cawan. Tumis bahan2 kisar hingga harum, masukkan daun kari dan cili kisar, kacau rata dan masak hingga naik minyak. Tambah rempah yang telah dikisar halus tadi. Kacau rata dan masak sekejap. Guna api kecil.
  3. Masukkan gula melaka, gula pasir dan cuka makan. Kacau dan masak hingga berubah warna. Masukkan ikan tahai (toskan airnya), tambah air, kacau dan biarkan mendidih.
  4. Masukkan bawang merah, bawang putih dan cili padi. Perasakan dengan garam secukupnya, kacau dan masak hingga bawang lembut dan acar pekat. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan dengan nasi putih dan lauk2 lain...
Labels: ,

OTAK - OTAK ALA NYONYA

rsz_otak2_ala_nyonya
�Hebat-hebat rasa Maggi�Cukuprasa��, ungkapan dari artis Amy Mastura yang sering Che Mat dengar samada di kaca TV, corong radio mau pun di media-media sosial. Pada mulanya memang tak ambil kisah sangat. Bila ke pasaraya Che Mat biasa lalu di bahagian menjual bahan-bahan dapur, ternampak juga Maggi�Cukuprasa�, dan nak dijadikan cerita, satu hari tu tergerak hati nak mencuba, ok, ambil satu, kita cuba, kalau tak cuba mana nak tau betul ke tidak Maggi�Cukuprasa� boleh menambah kelazatan dalam masakan kita. Sambil � sambil tu Che Mat teruskan beli barang-barang dapur sambil otak ligat fikir menu apa yang nak dimasak menggunakan Maggi�Cukuprasa� ni, maklumlah baru nak mencuba buat pertama kali.

rsz_otak2_ala_nyonya2
Tiba-tiba teringat satu resipi yang memang dah lama nak buat, Cuma belum ada kesempatan nak mencuba. Dah terlanjur beli barang dapur, Che Mat beli sekali bahan-bahan mentah untuk buat Otak-Otak Ala Nyonya. Satu petua di dapur, jika anda hendak memasak satu-satu resipi, senaraikan bahan-bahan yang diperlukan agar semua cukup lengkap. Baru hasilnya lebih sempurna. Adakah dengan menambah Maggi�Cukuprasa� masakan kita jadi lebih hebat dan mantap?....ehem, berdebar-debar dah ni�

rsz_otak2_ala_nyonyaaa
Dari apa yang Che Mat tau, Maggi�Cukuprasa� ini diperbuat dari bahan-bahan terpilih. Dalam masa sama ditambah dengan bawang merah, bawang putih, garam dan penambah perasa. Jadinya bila kita memasak, tak perlu masukkan garam dan serbuk perasa (MSG), sebab semuanya dah cukup lengkap. Kerja memasak bertambah senang dan cepat jadinya.

Dengan begitu teruja, Che Mat taburkan kurang lebih � camca besar Maggi�Cukuprasa�  dalam pes rempah untuk Otak-Otak Ala Nyonya. Memang betullah!, rasa dia memang berbeza. Enak dan tak perlu guna banyak dah cukup rasa masin dan lemaknya. Boleh guna dalam semua jenis masakan, pasti terasa kelainannya. Bila masakan kita lazat, pasti yang menikmatinya lebih berselera, kita pun rasa puas. Hidangan yang enak dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan seperti Che Mat dan Maggi�Cukuprasa�. Oh yea, lupa nak cerita, Otak-Otak Ala Nyonya tu kan, rasa dia�Lazat berganda gara-gara Maggi�Cukuprasa�!

Ingin mencuba Otak-Otak Ala Nyonya?....Jommm kita intai resipinya�

BAHAN - BAHANNYA :-)
300 gram isi ikan tenggiri, cincang halus
8 - 10 helai daun kaduk, cuci dan lap kering
2 helai daun limau purut, hiris halus
1 helai daun kunyit, hiris halus
1 camca besar penuh gula
3/4 camca besar Maggi�Cukuprasa�
3/4 camca besar serbuk ketumbar
3 camca besar kelapa parut, tumbuk lumat
5 camca besar pati santan
1 camca besar penuh tepung ubi
1 biji telur
8 helai daun pisang berukuran 18cm X 20cm, cuci dan lap kering
Lidi sate secukupnya

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
8 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
1/2 inci lengkuas
2 batang serai, hiris halus
5 biji buah keras, hiris
1 inci kunyit hidup
1 biji cili merah
10 tangkai cili kering, buang biji dan rendam dalam air panas sekejap, toskan
Sebesar ibu jari, belacan, dibakar

otak2 ala nyonya4

CARA MEMBUATNYA - 
  1. Panaskan 2 camca besar minyak masak dalam non-stick pan. Tumis bahan-bahan kisar halus hingga wangi dan naik minyak, guna api kecil dan kacau sentiasa. Masukkan gula, serbuk ketumbar dan Maggi�Cukuprasa�, kacau rata dan masak sekejap. Matikan api dan sejukkan.
  2. Masukkan isi ikan tenggiri ke dalam mangkuk. Tambah santan, telur, tepung ubi, bahan-bahan dari no. 1 dan kelapa parut yang telah ditumbuk tadi. Gaul hingga semua rata dan sebati. Akhir sekali masukkan hirisan daun limau purut dan daun kunyit, kacau rata dan ketepikan.
  3. Ambil sehelai daun pisang, sapu sedikit minyak masak atasnya, alas dengan 1 atau 2 helai daun kaduk. Sudukan 2 camca besar adunan otak-otak, ratakan dan bungkuS seperti membuat lepat pisang. Sematkan hujung kiri dan kanannya dengan lidi sate, kemaskan. Buat hingga siap.
  4. Panaskan alat pemanggang (sama ada bara api atau non-stick pan), sapu sedikit minyak dan panggang atau bakar otak-otak dengan api kecil, 5 - 6 minit untuk setiap bahagian. Balik-balikkan otak-otak agar masak sekata. Boleh hidangkan....Selamat mencuba!!

Labels: ,

RESIPI TAUHU GORENG SINGAPURA

rsz_tgs
Assalammualaikum, salam Isnin. Cuaca panas2 macam ni nak makan yang ringkas2 ajer. Hari ni che mat tiba2 mengidam tauhu goreng Singapura (tak habis2kan mengidam,,,ngandung dinasoure agaknya!).  Resipi tauhu goreng Singapura ini paling senang nak buat. Hanya perlu tahu yang digoreng terendam, tapi jangan goreng lama sangat, lepas tu taugeh, sengkuang dan timun sebagai bahan2 ulaman. Paling penting sos dia, iaitu kuah kacang. Kuah kacang pula buatnya senang, hanya perlu beberapa bahan. Kalau anda malas nak goreng kacang tanah atau nak cepat, guna saja kacang goreng tanpa kulit yang ada jual dikedai2. Balik rumah kau kisar atau tumbuk hancur lepas tu boleh dah bikin kuah kacang dia. Che mat suka sedikit pedas, jadi che mat tambah cili padi merah dan cili kisar. Tak taruk garam, tapi gantikan dengan kicap cair. Sesuai untuk menu bulan puasa nanti.....Nak mencuba?..Che mat kongsikan resipinya di bawah ini...

BAHAN - BAHANNYA :-)
4 keping tauhu saiz besar
Taugeh secukupnya, dibuang ekor, celur sekejap dan toskan
Timun secukupnya, dihiris halus memanjang
Sengkuang secukupnya, dihiris halus memanjang
Hirisan cili padi merah untuk hiasan (optional)

BAHAN - BAHAN KUAH KACANG :-)
1 cawan kacang tanah yang telah ditumbuk kasar
1/4 cawan jus asam jawa (1/4 cawan air panas + sebesar ibu jari asam jawa = ramas dan tapis)
2 camca besar penuh kicap pekat
1 camca besar kicap cair
2 camca besar penuh gula (atau secukup rasa)
1 camca besar cili kisar
8 biji cili padi merah siam, tumbuk halus
2 ulas bawang putih, tumbuk halus
1/3 cawan air panas (kalau suka cair boleh tambah air panas lagi)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH KACANG :- Masukkan cili kisar, cili padi tumbuk, bawang putih tumbuk, kicap pekat dan gula ke dalam mangkuk. Kacau rata hingga gula hancur. Tambah kacang tanah tumbuk dan gaul rata. Tuang air panas dan jus asam jawa, masukkan kicap cair dan kacau rata. Rasa dan jika ok, ketepikan.
  2. UNTUK TAUHU :- Panaskan minyak untuk goreng terendam. Tauhu dicuci, kemudian lap kering. Tabur sedikit garam halus pada tauhu tadi. Kemudian goreng terendam dalam minyak panas. Goreng hingga kelihata kekuningan pada semua bahagian, angkat dan toskan. Biar sejuk.
  3. UNTUK TAUHU GORENG SINGAPURA :- Ambil sekeping tauhu goreng yang telah sejuk. Potong kepada 9 bahagian (sebab tauhu che mat guna saiz besar). Taruk dalam pinggan sesuai. Taruk atasnya hirisan sengkuang, timun dan taugeh. Tuang kuah kacang secukupnya dan hias dengan cili padi hiris, jika suka. Hidangkan segera.... Selamat mencuba!!.
Labels:

RESIPI NASI GORENG KAMPUNG

rsz_ngkmg
Assalammualaikum, salam semua. Siang tadi tak pasal2 che mat mengidam nak makan nasi goreng kampung yang pedas, yang banyak dengan rencah (ada udang kering dan ikan bilis), nak yang ada sayur kacang panjang dan kangkung dalam dia, lain macam betul dia punya mengidam. Tapi nasi goreng bukan satu menu yang susah nak dibuat, betul tak, kena teknik dan caranya, siapa2 pun boleh menghasilkan nasi goreng yang sedap, mantap dan kalah hotel berbintang2!. Satu yang harus anda titik beratkan ialah nasi, nasi harus sejuk dan kalau dapat biar nasi tu tidak lembik dan bergumpal2. Jika nasi sejuk anda lerai dan tidak bergumpal, in sha Allah hasil nasi goreng pasti cantik dan elok. Tiada pantang larang dalam menggoreng nasi, boleh masukkan apa saja yang anda suka, Tapi pada Che Mat lebih lebih ringkas, lebih sedap....Nak2 kalau nasi goreng kampung, kalau ada ulam petai, perghhh....terpaksa tambah lagi!....Resipi seperti di bawah ini, jika anda nak mencuba..

BAHAN - BAHANNYA :-)
6 cawan nasi sejuk
2 biji telur, dipukul sedikit
10 tangkai kangkung
4 tangkai kacang panjang
Garam secukup rasa
Telur mata, untuk hiasan
Hirisan tomato ceri dan jeruk gherkin, untuk hiasan (optional)

BAHAN - BAHAN TUMBUK HALUS :-)
2 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
2 biji cili merah
12 biji cili padi Siam, warna merah
1 camca besar udang kering, rendam 10 minit dan toskan
1 camca besar ikan bilis, dibersihkan, rendam 10 minit dan toskan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Nasi sejuk dileraikan (boleh masukkan sedikit minyak masak, kemudian gaul rata untuk mengelakkan nasi melekat antara satu sama lain). Kangkung disiang berasingan daun dan batangnya, cuci bersih dan toskan. Kacang panjang dihiris kecil2, ketepikan,
  2. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 3 camca besar). Tumis bahan2 tumbuk halus hingga harum. Masak dengan api kecil dan kacau sentiasa.Bila bahan2 rencah mula garing, tolak ke tepi kuali. Masukkan telur, masak hingga telur kental dan hancurkan. 
  3. Gaul rata telur hancur tadi dengan bahan2 rencah. Masukkan garam secukup rasa (anggaran 1 camca teh). Tambah kacang panjang, kacau dan masukkan nasi tadi. Gaul hingga nasi dan bahan2 rencah sekata. Masak dengan api besar, kemudian sederhanakan api dan masak hingga nasi sedikit garing, sambil dikacau sekali sekala.
  4. Masukkan batang kangkung, gaul dan masak sekejap. Akhir sekali tambah daun kankung, kacau rata dan masak hingga kangkung kelihatan layu. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan dengan telur mata, hirisan tomato ceri dan jeruk gherkin, jika suka...Selamat mencuba!!
Labels: ,

RESIPI KUIH BINGKA LABU

rsz_kbl (1)
Assalammualaikum, salam Rabu. Hari ni che mat masukkn entri kuih bingka labu. Sekarang ni macam musim labu dah kat rumah che mat, kejap2 masak labu dan kuih yang anda nampak ini che mat bikin petang semalam. Masih berbaki lagi, Satu petua untuk mendapat bingka labu yang sedap dan warna yang cantik, buah labu yang anda guna mesti betul2 cukup tua. Ini kerana warna buah labu yang cukup tua kuning keemasan dan akan menjadikan kuih bingka anda seolah2 dimasukkan pewarna makanan. Selain itu rasa labu juga agak manis. Che mat bakar kuih bingka labu dalam acuan empat segi bersaiz 8 inci x 8 inci x 3 inci, kalau anda nak bikin dalam acuan kecil2 pun boleh atau acuan bentuk bunga pecah 6 atau  8 seperti kuih bakar kemboja tu.....ikut yang mana anda suka..

rsz_kbl1 (1)
Resipi asal che mat dapat dari Kak Yatie Memories, beliau boleh dikatakan pakar membuat kuih2 macam ni. Che mat suka kuih bingka labu (dan semua jenis kuih bingka), yang berkerak dipermukaannya. Dan satu lagi bijan kena lebih, baru wangi dan sedap. Kalau zaman dulu kuih dibakar dalam acuan tembaga dan menggunakan bara api, tapi sekarang  lebih mudah, bakar dalam oven sahaja. Untuk mendapat permukaan kuih yang garing, che mat bakar guna api grill. Biarkan kuih betul2 sejuk, baru potong dan in sha Allah hasilnya akan kemas dan licin seperti dalam gambar. Jika anda ada stok labu dirumah dan ingin mencuba, che mat kongsikan resipi dibawah ini. Cuba buat, in sha Allah anda pasti puas hati....

BAHAN - BAHANNYA :-)
550 gram labu manis yang telah dibuang kulitnya
1 helai daun pandan, disimpul
2 cawan santan
1/2 cawan gula halus
1/2 cawan susu cair
1/2 cawan susu pekat manis
2 cawan tepung gandum
2 biji telur gred A
2 camca besar penuh, minyak sapi, cair dan sejukkan (boleh juga guna mentega)
1 camca teh esen vanilla
1/2 camca teh garam
Bijan secukupnya untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan oven pada suhu 200C. lenser tin 4 segi berukuran 8 inci x 8 inci x 3 inci dengan mentega, kemudian alas dasar tin dengan aluminium foil. Lebihkan aluminium foil dibahagian kanan dan kiri tin, lenserkan dengan mentega, tujuan agar mudah mengeluarkan kuih bingka bila masak nanti. Ketepikan.
  2. Labu manis dipotong kiub, kemudian masukkan ke dalam periuk bersama daun pandan dan tuang air sehingga labu tenggelam. Rebus hingga empuk, toskan, buang daun pandan dan lecek  labu hingga halus (resipi asal tulis 2 cawan labu yang telah dilecek halus). Ketepikan.
  3. Masukkan gula halus. garam dan telur ke dalam mangkuk besar. Kacau dengan whisk hingga gula hancur dan berkrim. Tambah susu pekat manis, santan dan susu cair, kacau hingga semua sebati. Masukkan tepung dan kacau hingga licin dan tidak berbintil2.
  4. Tapis bancuhan tadi, kemudian masukkan labu lecek, gaul hingga rata. Akhir sekali tuangkan minyak sapi cair, kacau hingga sebati. Tuang adunan ke dalam tin yang telah disediakan tadi. Tabur bijan rata dan bakar selama 1 jam atau hingga masak (cucuk dengan lidi sate, jika keluarnya bersih, tanda kuih bingka labu anda dah masak). Keluarkan kuih bingka labu dari tin dan biarkan betul2 sejuk sebelum dipotong.
CATATAN MAT GEBU :- Santan, anda boleh guna santan kotak (yang 200ml) dan tambah air secukupnya untuk mendapat sukatan 2 cawan ( atau 500 ml). Untuk mendapat permukaan kuih bingka yang keperangan, setelah kuih masak,  che mat tukar fungsi api oven pada 'grill' dan bakar untuk 10 minit lagi, atau hingga permukaan kuih perang....Selamat mencuba!!
Labels: ,

SAMBAL SOTONG TIN CAMPUR NANAS

rsz_stsn
Assalammualaikum, salam semua...phewww, baru ni dapat nak berehat sambil update blog. Hari ni che mat masak serba ringkas. Antara menu yang dipersetujui selain sambal sotong tin campur nanas ni, che mat masak asam tumis ikan parang campur terung, bendi rebus dan goreng kunyit ikan air tawar (ikan terebul). Memang hari ni macam malas sangat nak masak. Bosan juga kalau hari2 habiskan masa di ceruk dapur, ketat juga muka, tapi nak kata apa, tanggungjawab harus diutamakan, betul tak. Sebenarnya che mat mencuba produk baru sotong tin Ayambrand. Biasanya guna yang satu lagi tu, tapi kali ni kita cuba jenama ni pulak.

rsz_ssca
Ayambrand yang paling kita biasa ialah sardine dan ikan tuna dalam tin selain ada juga produk2 berkaleng seperti isi jagung manis, nanas, cendawan dan sebagainya. Sotong dalam tin ialah keluaran terbaru mereka. Tempoh hari che mat menerima sampel dari pihak Ayambrand. Jadi dah alang2 memasak, apa kata kita cuba rasa, ok ke tak. Didatangkan dalam 2 jenis, tin kuning berkuahkan kicap dan tin hijau kuah kicap cili padi. Untuk sambal tumis che mat guna tin kuning saiz besar seperti dalam gambar. Ini antara benda2 makanan dalam tin yang anda boleh simpan untuk bulan Ramadan nanti. Resipi sambal sotong tin campur nanas ini juga boleh dihidangkan dengan nasi lemak jika anda sukakan kelainan....Resipi seperti di bawah ini..

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 tin besar sardin sotong Ayambrand
2 cawan isi nanas yang dihiris serong sederhan tebal
1 biji bawang besar, hiris kasar
3/4 cawan cili kisar
1/4 cawan jus asam jawa
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
6 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1 batang serai, hiris halus

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Asingkan isi sotong dari kuahnya. Kemudian potong kecil sotong tadi dan ketepikan. Panaskan minyak dalam kuali. Tumis bahan2 kisar halus hingga harum, masukkan cili kisar, kacau rata dan masak hingga cili garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Masukkan kuah sotong dan jus asam jawa. Kacau rata dan masak hingga mendidih. Tambah nanas, kacau dan masak hingga pekat. Masukkan sotong dan bawang besar. Kacau rata dan tambah garam secukup rasa (rasa dulu sebelum anda masukkan garam secukup rasa).
  3. Akhir sekali masukkan gula (anggaran 1 camca besar penuh), kacau dan masak dengan api kecil hingga sambal pekat. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas dan lauk2 lain....
Labels: ,

SIPUT SEDUT MASAK LEMAK

rsz_ssml
Assalammualaikum, salam semua. Dalam sejarah sejak sekian lama che mat tak masak siput sedut, hari ni atas permintaan Bak yang dah lama sangat mengidam (dan kita orang pun mengidam juga sebenarnya, cuma nak masak tak sampai hati sebab Bak tak boleh makan, tapi.......) , disebabkan keadaan Bak semakin ok, maka hari ni takpelah kita gamble makan siput sedut dan in sha Allah harap2 ok. Banyak kali juga che mat nampak siput sedut di pasar, tapi tak jadi beli, semalam Bak keluar dan tau2 balik dia bawak siput sedut. Biasanya kami akan masak lemak dengan batang keladi dan masukkan juga ubinya sekali. Siput sedut perlu dicuci bersih dan kalau dapat sehari sebelum anda masak, taruk siput sedut dalam baldi, kemudian taburkan hampas kelapa. Pastikan permukaan baldi anda tutup dengan tapis dan tindih dengan benda berat seperti lesung batu atau batu bata. Kalau tak tindih, alamatnya esok pagi siput semua merayap serata dapur. Hampas kelapa tu pulak bertujuan gar siput melalui proses permbersihkan dalaman sebelum dimasak esok. Jomm che mat tulis resipinya..

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 kg siput sedut
1 pokok keladi sayur, saiz sederhana
3 batang serai, diketuk
1 helai daun kunyit, disiat
2 keping asam gelugor
1200 ml santan cair
400 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
2 biji bawang besar
5 biji bawang merah kecil
4 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
3 biji cili merah
10 biji cili padi (optional)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Siput sedut dicuci bersih, kemudian kerat hujung siput (kerat pada bahagian senggan ketiga dari atas), buat hingga siap dan masukkan ke dalam bekas besar. Tuang air hingga penuh cuci sekali lagi dan toskan. Ulangi proses ini sekali lagi, tapi kali ini anda cedok siput tadi guna tangan dan masukkan dalam tapis, tujuannya untuk mengelakkan serpihan2 bahagia siput yang dikerat tadi ikut termasuk sekali. Ketepikan.
  2. Batang keladi dibersihkan, buang kulit luarnya dan kerat pendek. Ubinya dikupas dan potong kiub besar2, cuci dan toskan. Didihkan air, rebus ubi keladi hingga 1/2 empuk, cedok keluar dan toskan. Masukkan pulak batang keladi, kali ini tambah sekeping asam gelugor dan celur hingga batang keladi lembut. Toskan dan ketepikan.
  3. Masukkan siput sedut yang telah dibersihkan ke dalam periuk bersama serai titik, baki asam gelugor dan bahan2 kisar halus. Kacau rata dan masak hingga mendidih. Tuang santan cair, kacau rata dan biarkan menggelegak. Tambah ubi keladi, masak sekejap dan masukkan batang keladi. Kacau perlahan.
  4. Tuang santan pekat, masukkan daun kunyit. Masak guna api sederhana hingga mendidih dan kacau sentiasa. Tambah garam secukup rasa dan sedikit gula (anggaran  2 camca teh). Masak sekejap lagi dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan dengan nasi panas, sambal belacan dan telur dadar...
Labels: , ,

RESIPI MI SIAM SINGAPURA

rsz_mssg
Assalammualaikum, salam semua. Malam baru dapat nak tulis entri. Alhamdulillah che mat dah ok, gusi dah tak sakit, tapi masih berhati2 juga, takut nak makan benda2 yang keras. Masak nasi pun yang lembut dan sebelum ni santap bubur nasi saja. Pagi tadi kerajinan datang macam angin, lepas che mat settlekan masak menu2 permintaan, terus bikin Mi Siam Singapura. Sejak sakit gusi tu hari memang dah pasang niat, aku sihat saja, menu pertama yang nak sangat bikin, Mi Siam Singapura. Kali ni che mat bikin lebih ringkas. Biasanya ada disertakan sambal, tapi sebab masih berjaga2 dalam pemakanan, kita elakkan sambal. Menu ini juga menjadi kegemaran orang peranakan Nyonya...

rsz_mssg1
Mi Siam Singapura ini agak mewah. Udang menjadi bahan utama selain belacan dan air rebusan ayam. Bagi mereka2 yang tidak boleh makan udang che mat tak galakkan untuk resipi ini, tapi kalau sekali2 tu in sha Allah boleh lah. Bagi yang ada gaot, resipi ini juga agak kurang sesuai kerana ada menggunakan kacang tanah dalam kuahnya. Seperti anda tau, kacang tanah tidak sesuai dengan pesakit gaot. Jika tak nak kacang tanah, anda boleh saja abaikan, tak perlu taruk, tapi kuah dia kurang 'kick' sikit lah. Resipi ini rasa che mat cukup untuk 5 - 6 orang, tapi bergantung pada masa bila anda makan. Maklumlah bila bikin sendiri, kita boleh tambah jika tak cukup, tak perlu nak segan2..betul tak. Maksudnya ikut tahap kelaparan anda semasa menikmatinya....(jawapan paling selamat dari che mat...ehemm)..

page
Antara bahan2 yang perlu ada untuk dihidangkan dengan Mi Siam Singapura. Seperti che mat kata awal2 tadi, kalau suka nak makan dengan sambal boleh juga (sambal tu anda ambil daripada pes sambal yang ditumis untuk menggoreng mi hoon dan untuk kuahnya). Kalau lihat dalam mangkuk tu ada udang saiz besar, yang tu che mat taruk sebagai hiasan, dalam kuah memang dah dimasukkan isi udang, tapi direbus sekejap saja dan che mat cedok keluar untuk hiasan atas mi siam. Lama2 rebus nanti udang liat, tak sedap!. Kalau anda suka boleh guna udang saiz besar macam dalam gambar tu. Isi ayam sepatutnya tak letak, tapi sebab che mat dah guna air rebusan ayam, isi dia tarukkan sekali, dah kita buat dia, yang penting Mi Siam Singapura anda menjadi dan sedap. Berani mencuba?....Kalau anda berani, meh che mat kongsikan resipi....

BAHAN - BAHAN MI HOON GORENG :-)
300 gram mi hoon
2 cawan taugeh, cuci dan bersihkan
1 cekak kucai, potong pendek
2 camca besar penuh sos cili
3 ulas bawang putih, cincang halus
1/3 bahagian pes sambal
Kicap cair secukup rasa

BAHAN - BAHAN PES SAMBAL :-)
6 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
1 inci belacan
4 biji buah keras, dihiris
1 genggam udang kering, rendam 10 minit dan toskan
1/3 cawan cili kisar
1 camca teh garam

BAHAN - BAHAN AIR REBUSAN :-)
1 bahagian peha ayam bersaiz besar, cuci bersih dan toskan
15 ekor udang sederhana besar, kupas kulitnya (asingkan kulit udang)
4 ulas bawang putih, diketuk
1/2 inci halia, hiris nipis
2 liter air
1 camca teh garam

BAHAN - BAHAN KUAH MI SIAM :-)
Air rebusan secukupnya
1 cawan jus asam jawa (asam jawa sebesar duit 20 sen lama + 1 cawan air, ramas dan tapis)
1/3 cawan kacang tanah, digoreng tanpa minyak dan kisar hancur
Udang yang telah dikupas kulitnya (udang dari bahan2 air rebusan)
2 camca besar gula
1/3 cawan pati santan (che mat guna santan kotak)
2 camca besar penuh tauco, tumbuh halus
Garam secukup rasa

BAHAN - BAHAN SAMPINGAN :-)
Hirisan daun kucai, untuk hiasan
Telur rebus secukupnya, dibelah 2 setiap 1
Isi ayam, dicarik2
Tauhu, digoreng dan hiris nipis
Hirisan cili merah
Limau kasturi secukupnya, dibelah 2 setiap 1

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK AIR REBUSAN :- Panaskan 1 camca besar minyak dalam periuk, tumis bawang putih dan halia. Kemudian masukkan kulit udang, masak dengan api kecil hingga kulit udang berubah warna. Tuang air, kacau dan biarkan mendidih. Masukkan ayam dan garam, sederhanakan api dan masak selama 45 minit. Keluarkan ayam, kemudian tapis dan asingkan air rebusannya untuk kegunaan kemudian. Isi ayam tadi dicarik2 dan ketepikan.
  2. UNTUK PES SAMBAL :- Panaskan 1/3 cawan minyak. Kemudian tumis bahan2 kisar halus hingga harum, masukkan cili kisar, kacau rata dan masak dengan api kecil hingga garing dan naik minyak. Masukkan 1 camca teh garam, kacau rata dan matikan api. Sejukkan untuk kegunaan kemudian.
  3. UNTUK MI HOON GORENG :- Mi hoon direbus hingga lembut, kemudian toskan. Panaskan 2 camca besar minyak masak. Tumis bawang putih hingga harum, masukkan 1/3 bahagian pes sambal dan juga sos cili. Kacau rata dan masak sekejap. Masukkan mi hoon, sederhanakan api dan gaul mi hoon hingga rata. Masukkan kicap cair secukup rasa dan gaul. Akhir sekali masukkan taugeh dan kucai, kacau hingga semua rata. Rasa dan jika ok boleh matikan api, ketepikan (pastikan mi hoon yang anda goreng tidak terlalu masin. Berhati2 dalam penggunaan kicap cair).
  4. UNTUK KUAH MI SIAM :- Tuang air rebusan ke dalam periuk dan masak hingga mendidih. Masukkan baki pes sambal, taucho yang ditumbuk halus dan jus asam jawa. Kacau rata dan masak selama 20 minit. Masukkan udang yang telah dikupas kulitnya ke dalam kuah, celur 1 minit, angkat dan ketepikan. Tambah kacang tanah yang dikisar dan pati santan ke dalam kuah mi siam. Kacau lagi, perasakan dengan gula dan garam secukupnya. Biarkan mendidih dengan api sederhana selama 15 minit lagi. Rasa dan jika ok boleh matikan api. 
  5. UNTUK MI SIAM SINGAPURA :- Cedok secukupnya mi hoon goreng ke dalam mangkuk sesuai. Tuang kuah hingga mi tengglam. Hias dengan telur rebus, hirisan tauhu, cili merah, hirisan daun kucai, isi ayam yang carik, udang rebus dan perahkan jus limau kasturi sebelum dihidangkan...Selamat mencuba!!.
Labels: , ,

NYONYA ASAM KARI

rsz_nas
Salam semua. Dah makan tengah hari?... Che mat masak Nyonya Asam Kari hari ni, menu ni gabungan antara asam pedas dan kari, tapi tak taruk santan. Sebenarnya che mat tak boleh makan menu2 pedas dan berempah macam ni sebab tengah sakit gusi. Dah 2 hari, bila malam ajer kena makan pain killer, kalau tak, tak boleh tidur, dia denyut2. Alhamdulilah hari ni kurang sikit dah. Dan bila kurang mulalah menggatal nak makan yang hangat dan berempah. Asalnya che mat masakkan menu asam pedas ikan bandang susu campur nanas untuk Bak, tapi tekak ni macam tak selera dengan asam pedas tu, pelikkan, kalau tak kau lah juara makan asam pedas, hari2 pun takpe, tapi hari ni memang tekak menolak sangat. Ada pulak ikan pari, tak banyak dalam 1 keping saja, tu yang che mat masak nyonya asam kari..

rsz_nas1
Biasanya menu ini memang guna ikan pari, tapi anda yang tak makan ikan pari boleh tukar guna ikan merah, ikan tenggiri atau ikan kembong. Senang cerita guna ikan yang banyak isi. Untuk sayur dia, che mat masukkan terung dan tomato. Kuah asam kari anda boleh makan sama roti atau lempeng. Kalau berani nak cuba, boleh guna ayam dan masukkan kentang, tu kira derhaka, tapi kalau menjadi dengan sedap, apa salahnya. Walaupun nama asam kari, tapi tak guna daun kari. Daun kesom dan bunga kantan wajib ada. Buah keras pulak sebagai bahan menambah lemak dan pekat dalam kuah.

rsz_nas2
Bila ada asam kari, satu lagi yang harus ada ialah sambal belacan. Yang ni memang kena ada baru ngam. Kena pulak dengan ulam timun. Sambal belacan pada che mat harus ditumbuk guna lesong batu baru lah 'asli'. Tapi tak salah nak guna blender, pilihan masing2, cuma yang tradisi ni lebih nampak klasik. Che mat lebih suka campurkan cili merah segar dengan beberapa biji cili padi untuk mendapat sambal belacan yang pedas. Belacan harus dibakar hingga harum sebelum ditumbuk bersama cili dan sedikit garam. Ada yang suka masukkan sedikit gula, ini terpulang dan ada juga yang suka perahkan jus limau nipis dalam sambal belacan. Che mat lebih suka perah jus limau kasturi  pada sambal belacan tadi masa nak makan....Kalau anda nak mencuba Nyonya Asam Kari, jomm kita semak resipi di bawah ini....

BAHAN - BAHANNYA :-)
600 gram ikan pari
1 biji terung ungu
1 biji tomato saiz besar
2 kuntum bunga kantan, belah 2 setiap 1
1 genggam daun kesom, cuci dan toskan
2 batang serai, diketuk
1/2 cawan jus asam jawa (asam jawa sebesar 2 ibu jari + 1/2 cawan air suam = ramas dan tapis)
1/3 cawan cili kisar
1 camca besar penuh rempah kari ikan (baba's)
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
7 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/2 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup
1/2 inci belacan
3 biji cili merah
4 biji buah keras, dihiris

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan pari dipotong pada saiz sederhana, perap dengan jus limau kasturi selama 15 minit, cuci hingga bersih dan toskan. Terung dibelah 2 dan hiris serong sederhana tebal dan direndam. Tomato dibelah 6. Bancuh rempah kari dengan bahan2 kisar halus, kacau hingga menjadi pes rempah. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk, tumis serai dan masukkan cili kisar dan masak hingga cil garing. Masukkan pes rempah, kacau rata dan masak hingga wangi dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  3. Tuang air (anggaran 1 liter), kacau rata dan biarkan mendidih. Masukkan ikan pari, bunga kantan dan terung (toskan airnya). Masak sekejap dan tuang jus asam jawa. Masukkan daun kesom, perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula. Tambah sedikit air panas jika suka kuah lebih.
  4. Masak hingga terung lembut dan ikan pari masak. Akhir sekali masukkan tomato, dan masak sekejap lagi. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan nyonya asam kari dengan nasi panas, sambal belacan dan ulam timun. Jika suka anda boleh tambah telur dadar cencalok..
Labels: , ,

PUFF PASTRY INTI KENTANG

rsz_ktpp
Assalammualaikum, salam Rabu semua. Petang semalam che mat sempat buat kudapan ringkas. Yang ni rasaya semua orang boleh buat, sebab gunakan puff pastry. Benda2 macam ni memang selalu ada dalam simpanan che mat (dalam freezer), tapi boleh tak perasan masih ada berbaki sebungkus lagi. Puff pastry bagi mereka yang kurang pasti apa dia, ialah pastry yang dibalut dengan pastry majerin kemdian dilipat berulang2 kali. Proses membuatnya agak crewet walaupun bahan2nya tak banyak. Ini kerana setiap kali lepas anda lipat dan canai, pastry kena dimasukkan ke dalam peti sejuk selama 20 minit. Proses melipat, mencanai dan menyimpan kena buat hingga 4 - 5 kali. Tujuanya untuk mendapat lapisan nipis bila pastry dibakar nanti. Che mat pernah bikin sekali dulu, tapi kalau nak cepat, seelok2nya beli saja yang ready made. Biasa yang kita jumpa di pasaraya jenama KAWAN. Untuk isian atau inti anda boleh guna sebarang jenis samada yang manis atau pun pedas. Resipi ini amat mudah dan amat sesuai untuk sarapan pagi atau pun minum petang....Jomm kita cuba!..

BAHAN - BAHANNYA :-)
10 keping puff pastry (jenama kawan) bersaiz 4 inci x 4 inci
1 telur, dipukul sedikit
Bijan untuk hiasan

BAHAN - BAHAN INTI :-)
3 biji kentang saiz sederhana
2 biji telur
1 biji bawang besar, dicincang
2 ulas bawang putih, dicincang
1 pokok daun bawang, hiris halus
1 kiub pati ayam MAGGI, dihancurkan
1 camca besar penuh rempah kari daging (Baba's)
1 camca teh gula
1/4 camca teh lada sebuk lada hitam (optional)
Garam secukup rasa
1/2 cawan air

rsz_ktpp2

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK INTINYA :- Kentang dikupas, cuci dan dipotong dadu kecil2 (seperti membuat inti karipap). Kemdian rebus kentang tadi hingga empuk, toskan. Panaskan 2 camca besar minyak dalam kuali. Tuang telur dan kacau hingga hancur, angkat dan ketepikan.
  2. Dalam kuali yang sama, masukkan 3 camca besar minyak. Tumis bawang besar dan bawang putih hingga layu. Masukkan rempah kari dan kacau rata. Tuang air dan masak hingga mendidih. Masukkan kentang, telur hancur dan kiub pati ayam. Gaul rata dan masukkan gula. Kacau dan masak hingga kering. 
  3. Masukkan sedikit garam (rasa dulu sebab kiub ayam dah ada garam) dan serbuk lada hitam, (jika guna), kacau dan akhir sekali tambah hirisan daun bawang. Gaul rata dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Biar inti sejuk.
  4. UNTUK PUFF PASTRY  INTI KETANG :- Panaskan oven pada suhu 180C. Sediakan dulang pembakar. Ambil sekeping puff pastry. Cedok 1 camca besar inti dan taruk pada 1/2 bahagian puff pastry (seperti gambar di atas). Sapu keliling puff pastry dengan telur, kemudian lipat dua puff pastry. Tekan2 sedikit tepinya agar melekat (tak perlu tekan dengan garfu seperti selalu). Alihkan atas dulang pembakar. Buat kaedah sama untuk baki puff pastry dan inti, hingga siap.
  5. Cucuk2 permukaan puff tadi dengan garfu, kemudian sapu dengan telur dan taburkan sedikit bijan. Bakar dalam oven selama 25 minit hingga kuning keemasan (jika oven anda ada 'kipas', anda boleh on kan). Sejukkan puff atas jaringan sebelum dihidangkan...
Labels: ,

RESIPI MI GORENG MAMAK

rsz_mgm
Assalammualaikum, salam Isnin. Hari ni bonda che mat berpuasa dan menu permintaan bonda ialah ikan sungai masak lemak cili padi, tapi takmo guna asam gelugor, kena taruk perahan limau kasturi. Ok, tak jadi masalah dah che mat dan siap masak pun. Menu macam tu kena masak awal, baru rasanya lebih ampuh bila dimakan nanti. Dan untuk tengah hari tadi che mat bikin mi goreng mamak. Dalam peti sejuk ada baki mi kuning kurang lebih 1 kati atau 600+ gram. Ada juga udang dan bahan2 yang rasa che mat memang sesuai untuk dimasukkan dalam mi goreng mamak. Mi goreng mamak kebiasaannya agak kering. Dimasukkan juga kentang dan cili hijau, aroma mi goreng mamak memang sedap kerana ia dimasak hingga mi sedikit garing. Anda boleh buat sendiri dirumah dan che mat kongsikan resipi di bawah ini....Selamat mencuba untuk semua!!..

BAHAN - BAHANNYA :-)
600 gram mi kuning (kurang lebih)
1 biji kentang saiz besar
1 keping tauhu keras
1 genggam isi udang, cuci dan toskan
1 batang fish cake, hiris (che mat guna jenama MUSHROOM)
4 biji bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, cincang halus
1 - 2 biji cili hijau, hiris
2 genggam longgar taugeh
3 pokok sawi bok choy, siang berasingan daun dan tangkainya
2 camca besar cili kisar
2 camca besar sos cili
1 1/2 camca besar sos tomato
1 camca besar sos tiram
2 camca besar kicap pekat
Kicap cair secukup rasa
2 biji telur dipukul sedikit
Limau kasturi, dibelah 2
Hirisan timun (che mat tak de stok)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kentang dikupas, cuci dan dipotong kiub, kemudian goreng hingga kekuningan, angkat dan toskan. Goreng pulak tauhu hingga kekuningan, angkat dan toskan, biar sejuk kemudian dipotong kiub. Cuci mi kuning bawah air paip, tos dan ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 4 camca besar). Tumis bawang putih dan bawang merah hingga harum dan bawang layu. Masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing. Tambah sos tiram, sos cili dan sos tomato. Kacau rata dan masak sekejap.
  3. Masukkan udang, fishcake, tauhu, kentang dan batang sawi. Gaul rata dan masak sekejap. Tolak bahan2 tadi ke tepi kuali, masukkan telur dan biar hingga telur mengental (jika perlu boleh masukkan 1 camca besar minyak masak), hancurkan dan gaul rata dengan bahan2 lain.
  4. Masukkan mi kuning, besarkan api dan kacau pantas hingga semua rata. Tambah kicap cair secukup rasa (rasa dulu baru masukkan kicap cair). Masukkan daun sawi, taugeh dan hirisan cili hijau. Gaul rata dan masak hingga mi kering dan sedikit garing. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama hirisan timun dan belahan limau kasturi..
Labels:

MI SOTO UNTUK CHE MAT

rsz_msmg
Assalammualaikum, salam Ahad semua. Hari ni che mat makan menu amat ringkas. Kebetulan semalam ada tetamu datang ke rumah. Dan che mat bikin soto sebagai hidangan untuk mereka. Biasanya kalau bikin soto, memang akan lebihkan kuah dia, untuk dimakan dengan mi hoon atau mi kuning. Jadi hari ni kita celur mi kuning, kemudian curah kuah soto dan taruk bahan2 sampingannya dan jangan lupa sambal kicap. Kalau takde sambal kicap bukan soto namanya dan sah2 bukan Johor!. Anda pun dah biasakan dengan resipi soto di blog che mat ni. Jadi hari ni che mat tak tulis resipi untuk kuah soto, tapi che mat kasi link resipi soto yang lepas untuk anda semak dan cuba. Untuk menyediakan mi soto ni anda perlukan..

BAHAN - BAHANNYA :-)
Mi kuning secukupnya, dicuci, kemudian celur dalam air panas (dalam 30 saat), toskan
Kuah soto secukupnya - resipi di sini 
Isi ayam yang dicarik (biasanya guna bahagian dada ayam yang direbus dalam kuah soto)
Hirisan daun sup dan daun bawang
Bawang goreng
Tauhu, digoreng dan hiris nipis
Begedil kentang (resipi di bawah)
Kacang tanah goreng
Taugeh, dibuang ekor dan celur sekejap
Sambal kicap

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. UNTUK BEGEDIL KENTANG :-  4 - 5 biji kentang saiz besar, kupas kulitnya, cuci dan hiris (kurang lebih 1/2 cm tebal) dan goreng hingga keemasan. Pastikan guna api sederhana. Sementara itu, hiris halus 1 pokok daun sup. Ramas hancur 1 genggam bawang goreng. Ketepikan. 
  2. Kentang diangkat, toskan minyaknya dan masukkan dalam mangkuk besar. Lecek hingga halus. Masukkan 1 camca besar rata tepung gandum, hirisan daun sup, bawang goreng yang diramas. serbuk lada sulah dan garam secukup rasa (anggaran 1/4 camca teh). Gaul hingga semua rata.
  3. Cedok 3/4 atau 1 camca besar adunan begedil, bulat2 dan leperkan sedikit. Buat hingga siap (pastikan begedil tidak terlalu nipis untuk mengelakkan ia pecah ketika digoreng). Panaskan minyak, biar pada suhu sederhana. Pecahkan 1 biji telur dalam mangkuk, pukul rata dengan garfu. Celop begedil dalam telur dan masukkan ke dalam minyak sederhana panas. Goreng 6 - 7 biji sekali goreng. Balik2kan agar masak sekata. Bia kuning keemasan, angkat dan toskan minyakkan. Buat kaedah sama hingga begedil habis digoreng.
  4. UNTUK MI SOTO :- Masukkan mi kuning yang telah dicelur secukupnya dalam mangkuk sesuai. Tuang kuah soto hingga penuh. Taruk taugeh, hirisan daun bawang/daun sup, bawang goreng, tauhu goreng yang dihiris, daging ayam yang dicarik, begedil, kacang tanah goreng dan diakhiri dengan sambal kicap....sedia untuk dihidangkan....Selamat mencuba!!..
Labels: ,

SOTONG KANGKUNG VERSI MUDAH..

rsz_sotongkangkungg
Assalammualaikum, salam semua. Sotong kangkung yang anda lihat ni buat semalam, saing2 dengan asam pedas kambing tu. Kebetulan ada kangkung yang bonda tanam. Tak banyak, ada lah dalam beberapa tangkai (tapi dalam resipi che mat tulis untuk 1 cekak kangkung). Dalam freezer pulak ada sotong kembang, bahan2 untuk sos pun ada, tinggal bancuh2 saja. Jadi che mat buat lah. Resipi memang senang teramat sangat. Dan untuk sos dia tu tak perlu nak masak2, cuma masukkan bahan2 yang diperlukan, kacau2 dah siap. Buat lebih boleh simpan dalam peti sejuk untuk kegunaan kemudian. Nak pedas, tumbuk 3-4 biji cili padi dan masukkan dalam sos dia. Sotong kembang tu anda perlu rebus dahulu, tapi dalam air rebusan jangan taruk garam, nanti sotong kembang jadi liat macam tiub tayar kereta!..Celur kangkung pulak, anda titikkan sedikit minyak masak agar kangkung kelihatan segar. Menu macam ni, paling sedap dimakan segera...Sesuai untuk bulan Ramadan yang akan tiba tak lama lagi...Ingin mencuba?...Resipi di bawah ini...

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 cekak kangkung
2 ekor sotong kembang (kalau saiz besar, guna 1 ekor)
Kacang tanah digoreng tanpa minyak dan tumbuk kasar
Bijan secukupnya, digoreng tanpa minyak

BAHAN - BAHAN SOS :-)
4 camca besar petis @ otak udang
2 camca besar sos hoisin (jenama LIFE)
2 camca besar penuh sos plum (jenama LIFE)
1 camca besar kicap pekat JALEN
4 - 5 biji cili padi merah, ditumbuk halus
2 - 3 camca besar air panas
Gula jika perlu

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. UNTUK SOS :- Satukan semua bahan2 untuk sos dalam mangkuk kecuali gula dan air panas. Kacau rata dan masukkan air panas. Kacau hingga sebati, rasa dan jika perlu baru masukkan sedikit gula. Biasanya petis sudah ada gula dan garam. Tambah pula dengan sos hoisin dan sos plum yang memang sedia kala ada gula dan garam. Anda bijak2 lah adjust sampai rasa ok, tapi jangan taruk air lagi nanti cair sangat tak sedap...
  2. UNTUK KANGKUNG DAN SOTONG KEMBANG :- Kangkung disiang berasingan batang dan daunnya, cuci dan toskan. Didihkan air, masukkan sedikit garam dan sedikit minyak masak. Celur batang kangkung hingga lembut, angkat dan toskan. Kemudian celur pulak daun kangkung hingga lembut, angkat dan toskan.
  3. Sotong kembang dikelar2 dipotong kecil. Perap dengan jus limau kasturi selama 10 minit.Cuci dan toskan. Didihkan air, masukkan sotong tadi dan celur 1 minit. Toskan dan biar sejuk.
  4. UNTUK SOTONG KANGKUNG :- Ambik secukupnya kangkung celur dan taruk dalam pinggan sesuai. Tambah sotong kembang atasnya. Siramkan dengan sos secukupnya (yang ni ikut anda nak banyak mana). Taburkan dengan kacang tumbuk dan sedikit bijan. Boleh hidangkan segera....Selamat mencuba!!.
Labels: , ,

ASAM PEDAS KAMBING BEREMPAH

rsz_apkb
Assalammualaikum, salam Rabu semua. Hari ni che mat masak menu kambing. Biasanya kambing asyik dimasak gulai atau pun kari. Tapi hari ni kita twist sikit si kambing tadi, masak asam pedas berempah. Mula2 nak masak asam pedas biasa, tapi kambing kan ada bau 'khas' jadi che mat masukkan sedikit rempah ratus dalam dia. Disamping itu, herba2 seperti serai, bunga kantan dan daun kesom juga dimasukkan sekali untuk memberi rasa 'asam pedas' yang lebih segar. Dalam resipi ni che mat masukkan tomato ceri sahaja, tapi kalau anda suka nak masukkan terung boleh juga, ikut selera masing2...

rsz_apkb1
Untuk asam pedas kambing berempah, guna kurang lebih 1kg daging kambing. Direbus hingga empuk sebelum dimasak asam pedas. Ada yang tak ambik air rebusannya, tapi che mat gunakan sebagai kuah untuk asam pedas. Biasalah, daging kambing memang ada tulang2 sikit macam dalam gambar tu. Tapikan anda boleh juga guna daging kambing tanpa tulang, cuma nampak kurang 'asli' sikitlah bila dah digambar. Satu lagi che mat masukkan lada hitam, yang tu kalau taknak tak perlu taruk. Tapi kalau taruk lagi sedap, aroma dia bertambah wangi bila bergabung dengan bau2an herba dan rempah ratus  yang digunakan. Kalau anda penggemar kambing, jangan lupa mencuba. Resipi seperti berikut...

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 kg daging kambing (kurang lebih)
1 inci halia, hiris nipis
5 ulas bawang putih, diketuk
15 biji tomato ceri @ 2 biji tomato biasa, belah 4 setiap 1 biji
2 kuntum bunga kantan, belah 2 setiap 1
1 genggam daun kesom, cuci dan toskan
2 batang serai, diketuk
1 camca besar ketumbar biji*
1/2 camca teh jintan manis*
1/2 camca teh jintan putih*
1 camca teh lada hitam*(*digoreng tanpa minyak hingga wangi dan tumbuk/kisar halus)
1 cawan cili kisar
1 cawan jus asam jawa
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya (che mat guna air rebusan daging kambing)

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
8 biji bawang merah kecil
4 ulas bawang putih
2 inci halia
1/2 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Daging kambing dibuang lemak2nya. Kemudian cuci, toskan dan gaul dengan 1 camca besar tepung gandum dan jus dari 1 biji limau nipis. Perap 20 minit, kemudian cuci hingga bersih dan toskan. Masukkan ke dalam periuk, tuang air secukupnya, masukan halia yang dihiris nipis dan bawang putih yang diketuk. Masukkan 1 camca teh garam dan rebus hingga daging kambing empuk. Asingkan air rebusannya. Ketepikan. (kalau rebus guna periuk tekanan @ pressure cooker lebih kurang 15 - 20 minit).
  2. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/3 cawan). Tumis serai dan masukkan bahan2 kisar halus, kacau dan masak hingga wangi. Masukkan cili kisar, kacau rata dan masak hingga naik minyak. Tambah bahan2 rempah yang dikisar/ditumbuk halus (*). Kacau dan masak sekejap.
  3. Masukkan daging kambing, gaul rata dan tuang air rebusannya (tapis dahulu), tambah air jika perlu. Bila mendidih, masukkan air asam jawa, bunga kantan dan daun kesom. Kacau rata dan biarkan 10 - 15 minit.
  4. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Akhir sekali masukkan tomato ceri, kacau dan masak sekejap lagi. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan asam pedas kambing berempah sama nasi putih, ulam2man dan lauk2 lain...
Labels: ,

RESIPI AYAM BUAH KELUAK

rsz_abk
Assalammualaikum, salam Isnin semua. Pada yang berpuasa, selamat berpuasa. Hari ni che mat masak satu menu khas orang peranakan Baba Nyonya. Kira ni dia orang punya signature dish, iaitu Ayam Buah Keluak. Sebenarnya memang tak rancang nak masak, tapi semalam teman FB che mat, Puan Amy, dia ni orang peranakan tapi dah covert masuk Islam. Dia tag che mat menu ayam buah keluak. makkk aiii, tak pasal2 pakcik kau tergoda. Malam tu juga korek freezer cari stok buah keluak yang che mat frozenkan. Ada yang tanya, mana nak dapat buah keluak? Che mat beli di Chow Kitt, KL..lama dah rasanya, banyak bulan juga buah keluak tu tersimpan dalam freezer, alhamdulillah masih elok dan sedap....

rsz_abk1
Resipi ini che mat guna 1/2 ekor ayam dan buah keluak dalam 10 biji. Dari pengalaman che mat selepas membaca dari mereka2 yang pakar terutama orang peranakan. Buah keluak harus direndam 3 - 4 hari dan setiap hari air rendaman harus ditukar. Berus buah keluak hingga bersih. Bila anda dah rendam 3-4 hari, air rendaman akan beransur2 jadi jernih. Macam che mat punya ni sebelum simpan dalam freezer, memang che mat dah siap2 rendam beberapa hari, kemudian cuci bersih, keringkan dan bungkus dengan plastik terus simpan dalam freezer, jadi cuma perlu rendam sekejap kasi hilang sejuk dia saja. Dah boleh masak.

rsz_buah_keluak
Kalau nak tau rupa buah keluak, anda boleh lihat gambar di atas tu. Buah keluak ni sebenarnya biji pada isi buah kepayang. Dan dalam biji buah keluak ada isi bewarna hitam di gunakan juga dalam masakan rawon, satu menu dari Indonesia yang popular di Singapura. Tapi masakan rawon menggunakan daging. Che mat pernah masak rawon dulu, boleh lihat di sini. Rasa dia pulak macam mana?..Pada tekak che mat rasa dia sedap, lemak2 dan nutty. Tapi bagi yang tak biasa che mat tak boleh nak jamin dia kena atau tidak pada tekak anda. Tak salah cuba rasa, sekurang2nya kita tau dan ada pengalaman....Ok, che mat kongsikan resipi Ayam Buah Keluak di bawah ini....

BAHAN - BAHANNYA :-)
1/2 ekor ayam, potong ikut suka, cuci bersih dan toskan
10 biji buah keluak
40 gram isi ayam, cincang halus
4 ekor udang saiz besar, kupas kulit dan cincang halus isinya
4 helai daun limau purut
2 batang serai, diketuk
1 cawan jus asam jawa (40 gram asam jawa + 1 cawan air, ramas dan tapis)
100 gram cili kering
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
6  biji bawang merah
1/2 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup
2 batang serai, dihiris
4 biji buah keras, dihiris
1inci belacan, dibakar

cats

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. PENYEDIAAN UNTUK BUAH KELUAK :- Buah keluak dicuci, kemudian rendam 3 - 4 hari awal sebelum anda hendak memasak. Pastikan air rendaman ditukar setiap hari dan berus buah keluak hingga bersih. Bila cukup masanya, toskan dan biar kering. 
  2. Ambil sebiji buah keluak, pilih bahagian licin pada buah keluak dan ketuk perlahan dengan anak lesung batu. Pastikan hanya bahagian yang licin sahaja pecah. Guna gunting untuk membuang bahagian licin tadi. 
  3. Korek isi buah keluak menggunakan sudu kecil atau boleh guna bahagian tangkai sudu, pastikan tangkai sudu dicuci dan lap kering. Buat hingga siap, kulit buah keluak jangan dibuang. Ketepikan.
  4. Tumbuk isi buah keluak tadi hingga lumat. Kemudian masukkan isi ayam dan isi udang yang telah dicincang tadi. Tambah sedikit garam dan gula, kacau rata hingga menjadi pes. Isikan kembali pes tadi ke dalam kulit buah keluak hingga penuh. Buat hingga siap dan ketepikan (anda boleh rujuk pada gambar di atas).
  5. UNTUK AYAM BUAH KELUAK :- Cili kering dibuang biji, rendam dalam air panas selama 10 minit dan toskan, Kisar hingga halus. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/3 cawan). Tumis serai dan bahan2 kisar halus hingga harum. Masukkan cili kisar dan masak hingga naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  6. Masukkan ayam, gaul rata dan masak hingga ayam kecut. Masukkan jus asam jawa dan tambah air hingga ayam tenggelam. Masak hingga menggelegak. Tambah daun limau purut dan boleh masukkan buah keluak tadi. Kacau perlahan dan masak hingga ayam empuk. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya. Biarkan mendidih 10 - 15 minit lagi dan boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas dan ulam2man......
CATATAN MAT GEBU :- Ayam buah keluak lebih sedap dimakan setelah beberapa jam dimasak atau keesokkan harinya, bilamana semua rencah dan rempah ratus telah terserap dengan sempurna. Korek isi buah keluak yang telah disumbat tadi semasa makan. Selamat mencuba!!
Labels: , ,