Sambal Budu


Sambal Budu
By Kak Wan @ Resipicitarasawan

Bahan-Bahan
1 botol kecil Budu
1/2 labu bawang merah besar, mayang
1/2 biji tomato, hiris 
6 tangkai cili padi, patahkan
2 biji limau kasturi, perah air dan hiris kulitnya halus2
1/4 biji manga muda, racik halus

Penyediaan :
Satukan semua bahan, gaul rata.
Sos celupan untuk ulaman, sayuran dan seafood.

Sambal Budu

SAMBAL SOTONG BERSERAI

rsz_1ssss
Assalammualaikum, salam semua...Entri kali ni saja che mat nak kongsi resipi sambal sotong berserai. Benda biasa yang selalu orang masak, tapi che mat jarang masak sebab dulu masa ada arwah Bak, Bak tak boleh makan sotong sebab gaout. Che mat pun tak boleh makan kalau ikut kan, takut gatal tapi sebab dah mengidam sangat, pejam mata sajalah. Kalau gatal karang, kita makan lah ubat. Tadi ada yang tanya che mat, macam mana nak elakkan sambal sotong tu berair. Hurmm, sebenarnya che mat pun mengalami masalah sama. Sebelum ni pernah celur sekejap sotong tu sebelum dimasukkan ke dalam pes sambal yang kita dah tumis sampai naik minyak, tapi ada kala rasa sayang juga sebab bila celur, manis sotong tu dah keluar. Yang ini che mat buat macam biasa. Lepas hiris sotong tu, cuci semua dan toskan dalam tapis. Bila sambal dah betul2 garing dan naik minyak kita masukkan sotong, besarkan api dan kacau rata hingga sotong berubah warna. Masak sekejap saja dalam 1 - 2 minit...dan hasilnya seperti dalam gambar kat atas tu...Nak resipi?...jomm kita semak..

BAHAN - BAHANNYA :-)
6 - 7  ekor sotong (che mat guna sotong yang panjang dalam sejengkal)
1 biji bawang besar, hiris kasar
1/4 cawan jus asam jawa
1 cawan cili kisar
2 batang serai, diketuk
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
7 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
3 biji cili merah (cili hidup)
1/2 inci halia
1/2 inci kunyit hidup
Sebesar ibu jari belacan, dibakar

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Sotong dihiris, buang muncung dan mata sotong. Cuci, tos dan perap dengan jus limau kasturi selama 10 minit, cuci dan toskan dalam tapis. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 1/3 cawan). Tumis serai dan bahan2 kisar halus hingga harum. Tambah cili kisar dan masak hingga cili garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Masukkan jus asam jawa, kacau dan perasakan dengan garam secukupnya dan gula ( yang ni ikut selera anda, ada yang suka sambal tumis manis sedikit dan ada yang tak). Kacau dan masak hingga pekat dan garing. Tambah bawang besar hiris, gaul rata dan masukkan sotong. Besarkan api dan kacau hingga rata dan sotong berubah warna. Masak untuk 1 - 2 minit dengan api besar. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi atau nasi lemak....Selamat mencuba!!.

KUPANG TUMIS TAUCO CILI HIJAU

rsz_kttch
Assalammualaikum, hari ni nak kongsi satu menu ringkas yang ngam sangat dimakan dengan nasi panas. Kalau nak ok lagi top lah ikan goreng dan ulam2man. Sebenarnya lama che mat tak makan kupang. Antara sebabnya dulu arwah bak tak boleh makan kupang, jadi kami memang tak beli sebab tak sampai hati. Tempoh hari masa ke Johor Bahru, sempat ke Stulang Laut, kat situ kalau pagi2 ada orang jual ikan2 segar dan sebagainya, tapi kena pergi pagi, che mat tanya akak yang berniaga tu, dia kata seawal 6.30 pagi mereka dah mula jual ikan2 segar dan makanan laut yang lain. Dan che mat beli kupang, tapi bukan kupang berkulit, kupang dah siap berebus. Kupang segar ada cuma saiz isi dia kecik2. Jadi jika anda berkesempatan ke Johor Bahru waktu pagi, boleh pergi tengok yea..Jomm kita semak resipi kali ini, jangan lupa mencuba!..

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 1/2 cawan isi kupang, dibersihkan*
1/2 camca teh serbuk kunyit*
1/2 camca teh garam*(*digaul rata)
10 biji cili hijau, hiris
1 biji bawang besar, hiris
3 ulas bawang putih, hiris
1 camca besar sos tiram
1/2 inci belacan + 2 camca besar air = larutkan
Sebesar ibu jari asam jawa + 1/4 cawan air = jadikan jus
1 camca besar tauco
Garam, jika perlu (che mat tak taruk)
Sedikit air

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan 2 camca besar minyak dalam kuali. Bila minyak betul2 panas, masukkan kupang yang telah digaul dengan garam dan serbuk kunyit tadi. Kacau rata dan masak untuk 1 minit. Angkat dan ketepikan.
  2. Dalam kuali yang sama, panaskan 3 camca besar minyak. Tumis bawang besar dan bawang putih hingga harum. Masukkan sos tiram dan tauco, masak sekejap. Masukkan belacan yang telah dilarutkan dan jus asam jawa. Kacau dan tambah cili hijau dan kupang, tambah sedikit air jika perlu, gaul rata.
  3. Masak dengan api sederhana hingga pekat, rasa dan jika perlu tambah sedikit garam. Masak sekejap lagi dan boleh matikan api. Hidangkan dengan nasi panas dan lauk2 lain...Selamat mencuba!

SAMBAL AYAM DAUN SELASIH

rsz_sads
Assalammualaikum, salam Jumaat. Hari ni che mat masak awal sikit, tapi bila semua siap, tiba2 boleh mengidam sambal ayam daun selasih. Nama nampak panjang, tapi bahan2nya biasa2 saja dan mudah membuatnya. Che mat guna baki ayam yang bikin tomyam. Tak banyak  cuma ada 2 bahagian peha dan sekeping dada ayam, sebab dah bikin sambal, che mat potong pada saiz kecil. Kalau timbang kurang lebih dalam 400 gram saja. Dalam sambal ni, dimasukkan juga kentang yang digoreng terlebih dahulu, yang tu optional, kalau suka nak taruk, boleh masukkan dan sebaliknya. Sekali imbas macam ayam masak merah, dan sesuai juga kalau nak dimakan dengan nasi minyak atau briyani, nak makan dengan nasi lemak pun tak jadi masalah. Nak resipi? Boleh semak di bawah ini....

BAHAN - BAHANNYA :-)
400 gram ayam, potong kecil, cuci dan toskan*
1 camca teh serbuk kunyit*
1/2 camca teh garam*(*disatukan dan gaul rata, perap 20 minit)
2 - 3 biji kentang saiz sederhana, kupas dan belah 4 setiap 1
1 biji bawang besar, hiris bulat dan leraikan
1 batang serai, diketuk
1 camca besar gula melaka
1/4 cawan jus asam jawa
1 cawan cili kisar
1 genggam daun selasih
Garam secukup rasa
1/2 cawan air

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci lengkuas

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ayam digoreng hingga masak, tak perlu sampai garing, angkat dan toskan. Kemudian goreng pula kentang hingga masak dan keemasan, angkat dan toskan. Dalam kuali yang sama, cedok keluar minyak dan tinggalkan kurang lebih 1/4 cawan. Tumis bahan2 kisar halus dan serai hingga harum, masukkan cili kisar, kacau dan masak hingga cili garing dan naik minyak, guna api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Masukkan jus asam jawa dan air, kacau dan biarkan mendidih. Masukkan ayam, kacau dan masak hingga pekat. Perasakan dengan garam secukupnya dan masukkan gula Melaka. Tambah hirisan bawang besar dan masak hingga bawang lembut.
  3. Akhir sekali masukkan daun selasih, kacau rata dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih dan lauk2 lain. Selamat mencuba!!

SAMBAL BILIS PETAI

rsz_sbp1
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat blur sikit, tak pasti nak masak apa yang sedap ditekak. Tengok dalam peti sejuk ada isi petai yang bonda simpan. Rasa macam nak masak satu menu yang ringkas dan tak banyak guna bahan2 mentah. Teringat buku masakan mini dari Chef Norzailina Nordin yang che mat terima tempoh hari (boleh lihat di sini). Dan dalam banyak buku mini tu, ada satu buku siri 'sambal'. Alhamdulillah jumpa resipi yang mudah, tak guna bahan2 yang banyak dan yang bestnya ada petai. Che mat cuma derhaka sikit saja dari resipi asal. Sambal bilis petai ini takde lah macam sambal tumis biasa, ia lebih kering. Disebabkan tiada penggunaan asam dalam resipi asal, che mat sertakan limau kasturi, jadi sesiapa yang nak, hanya tinggal perahkan jusnya sebelum dinikmati bersama nasi putih panas....Sedap ke?.....Cuba buat dan rasa, mesti tambah nasi punya....Che mat kongsikan resipi di bawah ini....

BAHAN - BAHANNYA :-)
3 biji cili merah (che mat guna 4 biji cili merah)
5 - 6 biji cili padi (che mat guna 8 biji cili padi merah thai)
1 cm belacan
3 camca besar minyak masak
1 biji bawang besar, hiris
3 ulas bawang putih, hiris
1/2 cawan isi petai (che mat lebihkan sedikit)
45 gram ikan bilis yang telah dibersihkan, rendam sekejap dan toskan
Garam dan gula secukup rasa
Sedikit air (che mat tambah)
Belahan limau kasturi, jika suka (che mat tambah)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan bilis digoreng hingga garing, angkat dan toskan. Dalam lesung batu, tumbuk cili merah, cili padi dan belacan hingga lumat. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali. Tumis bawang besar dan bawang putih hingga layu. Masukkan bahan2 tumbuk dan masak hingga garing. Tambah isi petai, kacau rata dan tuang sedikit air. Masak dengan api kecil hingga petai empuk.
  3. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya, masak hingga terbit minyak. Akhir sekali masukkan ikan bilis goreng, gaul hingga rata. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama belahan limau kasturi (jika suka), nasi panas dan lauk2 lain. Selamat mencuba!!

TELUR IKAN GORENG BERLADO

rsz_tib
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat masak awal sebab nak keluar cuci2 mata tengok barang2 antik di Mall Of Medini di Johor baru. Balik tu dalam jam 5 petang baru sempat nak tangkap gambar dan waktu2 gini curi sedikit masa kemas kini blog. Mesti ada yang tertanya2. benda apakah itu, serabut semacam saja. Sebenarnya itu ialah telur ikan, tapi che mat tak pasti pulak telur ikan apa, berkemungkinan besar telur ikan tongkol/tuna. Guna dalam 4 telur ikan bersaiz sederhana. Resipi ini amat mudah dan sedap dimakan bersama nasi panas. Kalau suka boleh masukkan hirisan daun kunyit atau daun limau purut. Nak titikkan serai pun boleh juga, tak berdosa. Pada che mat, masakan berlado yang sedap dan authentic, bahan2 kena tumbuk dengan lesung batu dan tidak boleh sampai halus sangat, mesti kasar2 sedikit. Selain tu rasa pedas, masam, manis dan masin harus seimbang. Che mat lebih suka gunakan jus dari limau kasturi untuk mendapat rasa masam. Tapi tak salah anda nak jus asam jawa atau asam gelugor pun boleh. Untuk resipi, boleh rujuk di bawah ini..

BAHAN - BAHANNYA :-)
5 keping telur ikan tongkol ( boleh guna telur ikan tenggiri @ ikan parang)
1/2 camca teh garam
1 camca teh serbuk kunyit
6 tangkai kacang panjang, dikerat pendek
2 biji limau kasturi, perah jusnya
Garam dan gula secukup rasa
Sedikit air panas

BAHAN - BAHAN TUMBUK HANCUR :-)
7 biji cili merah
6 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
3 biji buah keras, hiris

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Telur ikan dicuci bersih, kemudian potong kecil. Gaul dengan 1/2 camca teh garam dan serbuk kunyit hingga rata. Panaskan minyak dan goreng hingga telur ikan masak. Tak perlu sampai garing. Angkat, tos dan ketepikan.
  2. Panaskan 4 camca besar minyak masak. Tumis bahan2 tumbuk hancur hingga wangi dan garing. Masak dengan api kecil dan kacau sentiasa. Masukkan kacang panjang dan telur ikan yang telah digoreng tadi. Kacau rata.
  3. Tuang sedikit air panas, perasakan dengan garam dan gula secukupnya (jika guna daun limau purut, boleh masukkan masa ni). Masak hingga kering dan akhir sekali masukkan jus limau kasturi. Kacau rata dan masak sekejap. Rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas...Selamat mencuba!!.

SAMBAL TUMIS SULUR KELADI

rsz_sskb
Assalammualaikum, salam Jumaat semua. Menu hari ni che mat nak kongsikan satu resipi yang sedap dan senang disediakan. Pernah makan sulur keladi? Ada yang makan dan ada juga yang 'pantang' makan sulur keladi atas faktor kesihatan ( barangkali). Sulur keladi antara sayuran klasik yang menjadi kegemaran orang2 Melayu dan che mat lah salah seorangnya (walaupun darah melayu 50% saja). Kali ini sulur keladi bukan tempatan punya, tapi sulur keladi Bangladesh. Betul, tak tipu dan satu yang che mat suka, selain saiz sulurnya yang agak besar, ia langsung tak gatal, warna sulur keladi Bangladesh lebih hijau jika nak dibandingkan sulur keladi tempatan yang kemerahan.  Jadi nak makan pun tak risau, sebab tak gatal. Harga boleh tahan, 1 kg RM 10.00, tapi ada tempat lain harga menjangkau RM12.00!, lagi mahal. Biasanya che mat masak asam tumis kan, kali ni kita beralih arah pulak, masak sambal tumis. Resipi biasa saja...anda pasti boleh buat....Jomm kita semak resipi..

BAHAN - BAHANNYA :-)
400 gram sulur Keladi Bangladesh
1/3 cawan isi udang yang telah dibersihkan
1 cawan cili kisar
1/4 cawan jus asam jawa (atau secukupnya)
Garam dan gula secukup rasa
Sedikit air panas

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/2 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Sulur keladi dikikis kulit luarnya, kemudian potong pada ukuran kurang lebih 3 inci. Cuci dan toskan. Didihkan air, masukkan sekeping asam gelugor. Tambah sulur keladi tadi dan celur hingga sulur keladi lembut. Tos dan ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali. Tumis bahan2 kisar halus hingga harum. Masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa. Tuang jus asam jawa (tuang sedikit dulu), kacau dan masukkan udang. 
  3. Bila udang berubah warna, masukkan sulur keladi dan sedikit air panas. Kacau rata dan perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula. Rasa dan jika perlu, masukkan jus asam jawa secukupnya. Kacau dan masak hingga pekat sedikit. Boleh matikan api, hidangkan bersama nasi panas dan lauk2 lain. Selamat mencuba!

SAMBAL CILI HIJAU KACANG KUDA

rsz_slhkk
Assalammualaikum. Salam semua. Sekarang ni musim orang demam, dan bonda che mat sendiri sudah beberapa hari demam, ditambah pulak dengan batuk serta selsema. Dan masa ni tekak mula meragam, tak selera, payau dan makanan rasa tawar saja. Menu hari ni che mat masak asam rebus ubi kayu dan juga sambal cili hijau kacang kuda. Resipi asam rebus tu dah pernah rasanya dikongsi, tapi sambal hijau kacang kuda belum lagi. Resipi sambal cili hijau ini amat mudah dan ini antara menu nostalgia ketika zaman jepun dulu, kata bonda menu sebegini menjadi bekal ketika bekerja di kebun atau semasa menoreh getah. Asas masakannya sama saja, kacang kuda tu che mat yang tambah. Anda boleh gantikan kacang kuda dengan sengkuan, terung pipit, kentang, rebung, lobak asin, cendawan kukur dan rebung. Jika tak makan sayur seperti che mat tulis tu, anda boleh guna cili hijau sahaja. Bahan paling utama ialah belacan dan petua untuk mendapat rasa sambal cili hijau yang sedap ialah minyak untuk menumis guna minyak lebihan goreng ikan masin. Resipi seperti berikut...

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 tin kacang kuda jenama Kimball
6 biji cili hijau, dihiris
2 biji bawang besar, dihiris
3 ulas bawang putih, dihiris
1 inci belacan + 3 camca besar air = dilarutkan
2 camca besar jus asam jawa
1 genggam ikan bilis tambam, rendam hingga lembut
1/3 cawan air
Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kacang kuda ditoskan dalam tapis. Cuci bawah air paip mengalir, toskan. Ikan bilis tamban dibersihkan, belah dua dan buang tulangnya, cuci kembali dan toskan (ikan bilis tamban anda boleh ganti dengan ikan bilis biasa. Boleh lebihkan jika suka).
  2. Panaskan 3 camca besar minyak masak dalam kuali (kalau daapat guna minyak lebihan anda goreng ikan masin). Tumis bawang besar, bawang putih, cili hijau dan ikan bilis tamban tadi, Kacau rata dan masak hingga bawang dan cili hijau layu.
  3. Masukkan belacan dan jus asam jawa. Tambah air, kacau dan biarkan mendidih. Masukkan kacang kuda, gaul rata dan masak sekejap. Tambah garam secukup rasa dan sedikit gula. Kacau dan masak hingga kering, guna api kecil. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas dan lauk2 lain...Selamat mencuba!.