RESIPI LAKSA JOHOR

rsz_ljmg
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat ber'laksa Johor'. Entah kenapa sejak2 ni mengidam yang bukan2. Pantang orang sebut, terus tekak teringin. Tu hari ada yang sebut2 kari betik, rasa nak buat juga, tapi sayang betik pulak takde. Lepas tu ngidam asam rebus peria katak sama ikan pari masin, yang tu in sha Allah esok che mat masak. Tapi hari ni kita laksanakan menu warisan orang2 Johor, iaitu Laksa Johor. Ada banyak versi dan dari sumber2 yang che mat baca, laksa Johor yang asli menggunakan ikan parang dan tak menggunakan kacang panjang sebagai ulam, sebaliknya ditambah lobak asin yang dicincang halus. Makan pulak sudah tentu guna tangan. Tapi untuk foto, che mat taruklah sudu dan garfu, kasi lawa2..

rsz_ljmg1
Kali ni che mat guna seekor ikan parang saiz sederhana. Ada yang tanya kat IG tapi macam mana nak asingkan isi ikan parang tu dari tulang dia, almaklumlah ikan parang ni, tulang dia banyak, berselirat. Apa yang che mat buat, ikan tu ku rebus dalam periuk tekanan (pressure cooker) selama 1 jam lebih, yang ini ikut periuk masing2. Lepas tu tulang tengah dia dibuang dan kisar halus isi ikan parang tadi dalam food processor hingga lumat. Tulang2 dalam isi ikan tu semua akan hancur. Tu cara mudah, kalau nak cara rumit kenalah tarik keluar tulang ikan parang satu persatu sampai habis. Selain ikan parang, boleh juga nak guna ikan kembong, ikan selayang@sardine atau ikan tenggiri. Resipi tak banyak beza dari yang lepas2 cuma tang ikan tu che mat gantikan dengan ikan parang, tu saja....

BAHAN-BAHAN KUAH LAKSA JOHOR :-)
1 ekor ikan parang segar (kurang lebih 1 kg)
250 gram isi udang
Isi ikan kurau masin sebesar 3 inci x 3 inci, rendam
4 camca besar udang kering, rendam hingga lembut.
2 camca penuh besar kerisik
1/2 inci lengkuas, dititik
4 - 5 keping asam gelugor
12 biji bawang merah kecil*
2 ulas bawang putih*(*kisar halus)
2 camca besar cili kisar
2 camca besar rempah kari ikan (baba's)
2 camca besar ketumbar serbuk
1 camca besar jintan manis serbuk
2 liter santan segar
1 genggam daun kesom
2 kuntum bunga kantan, belah dua setiap satu
Sedikit daun selasih
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN ULAMAN :-)
Taugeh, dibuang ekor, cuci dan toskan
Kacang panjang, dihiris halus
Daun kesom, hiris halus
Daun selasih, hiris halus
Timun, ambil bahagian luar dan buang empulurnya, hiris halus
Bawang besar, hiris halus

BAHAN-BAHAN LAIN :-)
Sambal belacan
Spaghetti, direbus hingga lembut dan toskan, gaul dengan sedikit minyak makan, kemudian  di "chap" (dibuat sanggul)
Limau kasturi secukupnya, dibelah dua

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH LAKSA JOHOR :- Satukan rempah kari, ketumbar serbuk, jintan manis serbuk dan bahan kisar halus, kacau rata hingga menjadi pes rempah dan ketepikan. Udang dicelur, asingkan kulitnya, kisar halus, ikan parang direbus, asingkan isi dari tulangnya, kisar isinya dalam food processr hingga halus, udang kering ditoskan, isi ikan kurau masin juga ditoskan dan potong kecil, kisar halus udang kering dan isi ikan kurau masin tadi. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk. Tumis lengkus dan cili kisar hingga harum, masukkan pes rempah dan masak hingga terbit minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa. Tuang santan dan juga stok air rebusan udang dan ikan. Kacau rata. Masukkan isi ikan parang kisar, udang kisar dan udang kering + isi ikan masin kurau kisar. Kacau hingga semua rata dan mesra. Biar mendidih.
  3. Masukkan kersik, asam gelugor, bunga kantan, daun kesom dan sedikit daun selasih. Kacau dan masak dengan api perlahan selama 45 minit hingga 1 jam. Tambah garam secukup rasa dan gula secukupnya. Masak sekejap lagi, rasa dan jika ok boleh matikan api. Ketepikan.
  4. UNTUK LAKSA JOHOR :- Ambil secukupnya spaghetti yang telah dichap (disanggul) tadi ke dalam bekas sesuai. Tuang kuah laksa secukupnya, kemudian hias dengan bahan2 ulaman, letak sambal belacan dan juga belahan limau kasturi, hidangkan segera.
CATATAN MAT GEBU :- Kulit udang tadi dikisar dengan air rebusan dan tapis. Ikan parang che mat buang bahagian kepalanya, kendian kerat 4 bahagian dan rebus dalam periuk tekanan selama 1+ jam. Ini akan menjadikan tulang ikan parang lembut seperti sardine dan bila kisar dalam food processor, tulang ikan parang semua hancur. Untuk sambal belacan , che mat tumbuk 5 biji cili merah + 6 biji cili padi + 1 inci belacan yang dibakar harum + secubit garam = tumbuk hingga halus, boleh hidangkan bersama laksa Johor tadi... Selamat mencuba!!..

ROTI LABU MANIS

rsz_rlm
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat tiba-tiba jadi rajin, tapi rajin tak banyak, sikit ajer, kita bikin roti..iyea wak, jangan tak percaya!. Dah lama juga tak meroti, kali terakhir tahun 2015, bulan Oktober, dah hampir setahun rupanya. Kadang2 niat tu ada, tapi masa tak mengizinkan. Bergantung juga pada mood. Kita hanya mampu merancang, tapi gerak hati semua dari Allah swt. Contohnya macam hari ni, bukan disengajakan, kebetulan ada baki labu manis dalam peti sejuk, che mat fikir2, apa aku nak bikin dengan labu ni, sikit sangat dalam secoreng macam tu. Jadi mari kita bereksperimentasi, bikin roti menggunakan Bread Maker Trio (BMT) baru yang didatangkan khas oleh Chef Asma..

rsz_rlm1
Sebab ini dalam proses percubaan, che mat bikin 1/2 saja dari resipi asal dan menghasilkan 6 biji roti atau bun labu tanpa inti. Terpulang jika suka boleh masukkan inti kegemran anda. Disebabkan che mat menggunakan BMT, maka kerja meroti amat mudah, lepas masukkan semua dalam BMT, tekan fungsi DOH, dan kita boleh buat kerja lain (sambil menunggu doh roti siap, sempat masak untuk hidangan tengah hari, tak ke senang kerja namanya tu). BMT ini dilengkapi dengan sistem memori, maksudnya, katalah tengah2 kita mengadun roti tu, tiba2 elektrik takde, secara otomitik BMT akan menyimpan fungsi yang telah kita pilih selama 10 minit, dan jika dalam waktu 10 minit tu elektrik ada, BMT akan sambung kerja dari mana dia berhenti tadi. Kalau takde juga, jangan risau kak, kau keluarkan adunan dari BMT, dan uli dengan tangan, jangan dibuang!. Breah Maker Trio dan segala produk Trio, seperti Oven, Cake Mixer. Kukus Eletrik dan juga acuan2 kuih dan sebagainya boleh  dapatkan dengan Chef Asma di sini ....Ok, jomm kita lihat resipi Roti Labu Manis...

BAHAN - BAHANNYA :-)
260 gram tepung roti (tepung berprotein tinggi)
40 gram gula halus
40 gram mentega
1/2 camca teh instant yeast
1/2 camca teh garam
1/4 camca teh serbuk kulit kayu manis (optional)
1/4 camca teh bread improver
85 gram puree labu manis (rebus labu hingga lembut, lecek halus dan timbang)
1 biji telur gred B, dipukul sedikit
Susu segar secukupnya
Telur + 1 camca besar susu + Sedikit esen vanilla = kacau rata untuk menglis
Sedikit biji kuaci labu, untuk hiasan
Sedikit gula pasir kasar, untuk hiasan
Sedikit mentega untuk disapu

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. KAEDAH BREAD MAKER TRIO :- Satukan puree labu dan telur, kemudian timbang, tuang susu segar hingga mendapat timbangan seberat 160 gram. Kacau rata dan masukkan ke dalam BMT. Masukkan tepung roti, garam, gula halus, serbuk kulit kayu manis (jika guna), mentega, instant yeast dan bread improver. On kan BMT dan pada butang MENU pilih setting no 8 (Dough). Kemudian tekan butang START dan tunggu hingga BMT siap mengadun, menguli dan memerap. 
  2. KAEDAH MENGULI DENGAN TANGAN :- Dalam mangkuk besar, satukan tepung roti, gula halus, garam, instant yeast, serbuk kulit kayu manis (jika guna) dan bread improver. Gaul rata, kemudian masukkan bancuhan pure labu, telur dan susu segar yang telah ditimbang tadi. Gaul rata hingga semua bersatu. Masukkan mentega dan uli hingga menjadi doh yang tak melekat dimangkuk adunan. Alihkan doh ke atas meja kerja, tabur sedikit tepung dan uli menggunakan tapak tangan dengan kaedah menolak doh kehadapan. Lakukan selama 15 minit untuk mendapatkan doh yang lembut, gebu dan anjal. Perap doh selama 1 jam hingga naik sekali ganda.
  3. UNTUK ROTI LABU MANIS :- Keluarkan doh, tumbuk untuk membuang udara, uli sekejap dan bahagikan kepada 6 bahagian sama besar (kurang lebih 84 gram untuk setiap bahagian). Bulat2kan doh dan susun dalam tin berukuran 8 inci x 5 inci x 3 inci yang telah disapu dengan sedikit mentega. Tutup permukaan tin dengan plastik dan biarkan adunan naik 2 kali ganda (kurang lebih 1 jam).
  4. Sementara itu panaskan oven pada suhu 170C, (panaskan selama 15 minit). Sapu bancuhan telur pada permukaan doh roti, tabur sedikit biji kuaci labu dan juga gula kasar. Bakar dalam oven selamat 25 - 30 minit, pada rak bawah, bergantung pada oven masing2, hingga perang keemasan. Bila masak, keluarkan dari oven, keluarkan roti dari tin dan sapu permukaan roti dengan mentega. Biarkan sejuk atas jaringan. Boleh hidangkan bersama kopi panas....Selamat mencuba!!.

SAMBAL AYAM DAUN SELASIH

rsz_sads
Assalammualaikum, salam Jumaat. Hari ni che mat masak awal sikit, tapi bila semua siap, tiba2 boleh mengidam sambal ayam daun selasih. Nama nampak panjang, tapi bahan2nya biasa2 saja dan mudah membuatnya. Che mat guna baki ayam yang bikin tomyam. Tak banyak  cuma ada 2 bahagian peha dan sekeping dada ayam, sebab dah bikin sambal, che mat potong pada saiz kecil. Kalau timbang kurang lebih dalam 400 gram saja. Dalam sambal ni, dimasukkan juga kentang yang digoreng terlebih dahulu, yang tu optional, kalau suka nak taruk, boleh masukkan dan sebaliknya. Sekali imbas macam ayam masak merah, dan sesuai juga kalau nak dimakan dengan nasi minyak atau briyani, nak makan dengan nasi lemak pun tak jadi masalah. Nak resipi? Boleh semak di bawah ini....

BAHAN - BAHANNYA :-)
400 gram ayam, potong kecil, cuci dan toskan*
1 camca teh serbuk kunyit*
1/2 camca teh garam*(*disatukan dan gaul rata, perap 20 minit)
2 - 3 biji kentang saiz sederhana, kupas dan belah 4 setiap 1
1 biji bawang besar, hiris bulat dan leraikan
1 batang serai, diketuk
1 camca besar gula melaka
1/4 cawan jus asam jawa
1 cawan cili kisar
1 genggam daun selasih
Garam secukup rasa
1/2 cawan air

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci lengkuas

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ayam digoreng hingga masak, tak perlu sampai garing, angkat dan toskan. Kemudian goreng pula kentang hingga masak dan keemasan, angkat dan toskan. Dalam kuali yang sama, cedok keluar minyak dan tinggalkan kurang lebih 1/4 cawan. Tumis bahan2 kisar halus dan serai hingga harum, masukkan cili kisar, kacau dan masak hingga cili garing dan naik minyak, guna api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Masukkan jus asam jawa dan air, kacau dan biarkan mendidih. Masukkan ayam, kacau dan masak hingga pekat. Perasakan dengan garam secukupnya dan masukkan gula Melaka. Tambah hirisan bawang besar dan masak hingga bawang lembut.
  3. Akhir sekali masukkan daun selasih, kacau rata dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih dan lauk2 lain. Selamat mencuba!!

KERABU MAGGI ALA THAI

rsz_krat
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat mengidam kerabu maggi. Dah biasa benda di berlegar di timeline FB dan juga blog2 masakan. Rata2 menggunakan mi segera dari Thailand (yang memang halal). Tapi che mat guna mi maggie perisa tomyam, guna mana yang ada kat rumah. Resipi agak ringkas tapi che mat bikin ikut style sendiri. Memandangkan ada bahan2 herba dan ulam yang tumbuk disekitar rumah, boleh lah guna untuk kerabu maggi. Nak tambah ayam, sotong. udang, waimah daging pun boleh, tapi che mat cuma ada udang, maka kita guna udang. Pedas tu ikut selera masing2, nak pedas kau lambakkan cili padi, tak nak pedas boleh guna cili merah. Untuk resipi ini che mat guna 1 bungkus maggi perisa tomyam jenis besar. Kalau saiz biasa. boleh guna 2 bungkus. Resipi sepeeti berikut..

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 bungkus Mi Maggi perisa tomyam, asingkan perencahnya
1/4 cawan isi udang
1 kuntum kecil bunga kantan, mayang halus*
3 ulas bawang merah, hiris halus*
1 ulas kecil bawang putih, cincang halus*
3 biji cili padi hijau, hiris halus*
2 biji cili padi merah, hiris halus*
1 batang serai, ambil bahagian putih sahaja, hiris halus*
6 helai daun pudina, hiris halus*
1 helai daun limau purut, hiris halus*
Sedikit lobak merah, hiris halus*
Sedikit timun, hiris halus*
1 biji limau nipis, perah jusnya
2 camca besar air panas
Secubit gula
1/2 camca teh sos ikan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Rebus mi maggi dalam air mendidih sehingga mi lembut (jangan rebus sampai kembang), tos dan ketepikan. Udang dicelur 30 saat, angkat dan sejukkan. Dalam satu bekas, masukkan 2 camca teh penuh perencah tomyam ( dari dalam bungkusan maggi ). Masukkan air panas dan sedikit gula. Kacau rata hingga semua sebati.
  2. Masukkan semua bahan2 bertanda (*) dan juga udang yang telah dicelur tadi. Gaul hingga semua rata. Tambah mi maggi, gaul hingga mesra. Masukkan jus limau nipis sedikit dahulu, gaul dan rasa, jika perlu baru masukkan sedikit lagi. Begitu juga dengan sos ikan. masukkan sedikit dahulu, gaul rata dan jika perlu baru tambah lagi.
  3. Alihkan ke dalam bekas sesuai dan hias dengan belahan limau nipis, sedikit hirisan timun dan juga daun pudian. Hidangkan segera...Selamat mencuba!!..

SAMBAL AYAM DAUN SELASIH

rsz_ass
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni masak satu menu paling ringkas untuk che mat makan sama nasi panas, tak mo lauk lain dah, cuma perlu renjis2kan kicap saja atas nasi, lepas boleh 'on'. Resipi dalam kategori ringkas dan senang masak, bahan2 pun tak banyak sangat. Che mat gunakan 100% cili merah, kalau sapa2 nak pedas, boleh masukkan 4-5 biji cili padi atau ikut selera. Ayam che mat guna 2 kepingan besar bahagian peha yang setiap satu dipotong 4 bahagian. Kalau nak saiz kecil sikit pun boleh, kerat jadi 5 bahagian. Satu bahan penting yang mesti ada ialah daun selasih, kalau takde, bukan sambal ayam daun selasih namanya (anda boleh lihat video singkat yang che mat kongsikan di IG, di sini). Nak guna cili kering kisar boleh ke?..Boleh juga tapi dah serupa ayam masak merah pulak nanti. Meh che mat kongsikan resipi mudah teramat sangat ni...

BAHAN - BAHANNYA :-)
500 gram ayam (kurang lebih), potong ikut suka, cuci bersih dan toskan*
1/2 camca besar serbuk kunyit*
1 camca teh garam*(*digaul rata dan perap 20 minit)
2 batang serai, diketuk
1 genggam daun selasih
2 - 3 biji limau kasturi, perah jusnya
1 camca besar gula
Garam secukup rasa

BAHAN - BAHAN REMPAH :-)
9 biji cili merah
6 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1/2 inci belacan, dibakar
3 biji buah keras, dihiris

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK AYAM :- Goreng ayam tadi hingga masak, tak perlu sampai garing (goreng dengan api sederhana dan tutup permukaan kuali dengan penutup kuali, balik2kan sentiasa agar ayam masak sekata). Angkat dan toskan minyaknya. Ketepikan.
  2. UNTUK REMPAH :- Tumbuk cili merah hingga hancur, tak perlu sampai lumat, keluarkan. Tumbuk pula buah keras hingga lumat, masukkan belacan, bawang putih dan bawang merah. Tumbuk hingga semua hancur. Keluarkan dan masukkan ke dalam mangkuk berisi cili merah tumbuk tadi dan gaul rata. Ketepikan.
  3. UNTUK SAMBAL AYAM DAUN SELASIH :- Keluarkan minyak dan tinggalkan kurang lebih 3 camca besar. Tumis serai hingga harum, masukkan bahan2 rempah dan masak hingga garing, gunakan api kecil dan kacau sentiasa. Tambah gula dan sedikit garam, kacau dan masukkan ayam. Gaul hingga rata.
  4. Tambah jus limau kasturi dan daun selasih. Kacau hingga semua rata, masak sekejap dan rasa, jika perlu baru masukkan sedikit lagi garam. Matikan api dan boleh hidangkan bersama nasi panas...Selamat mencuba!

DAGING GORENG DAUN SELASIH

rsz_dging_selasih_ku_sayang1
Assalammualaikum, salam semua. Lama tak kemas kini blog. Sebab utama bonda che mat kurang sihat dan nak masak yang berminyak2 buat masa ni tak boleh sangat, semuanya rebus2 aje. Oleh yang demikian, entri kali ni che mat kongsikan satu lagi resipi kerjasama antara blog tiffinbiru dan Jalen. Memandangkan raya korban baru saja berlalu dan sudah pasti anda ada stok daging korban dalam freezer, apa kata cuba menu yang akan che mat kongsi kejap lagi. Sedap dimakan bersama nasi panas. Jika anda suka pedas, boleh tambah lebih cili padi. Bahan paling utama mestilah daging dan daun selasih. Kalau guna daging biasa rebus dulu sampai empuk, kendian baru dimasak. Jika nak mencuba, resipi seperti di bawah ini...

BAHAN - BAHANNYA :-)
500 gram daging batang pinang, hiris nipis, cuci dan toskan
1 1/4 cawan isi nanas yang telah dipotong kiub
1 biji bawang besar, belah 6 dan leraikan
1 inci halia, dimayang halus
3 ulas bawang putih, cincang halus
6 biji cili padi kampung hijau
6 biji cili padi kampung merah
1 genggam daun selasih
1 camca besar pes tomyam (sebarang jenama)
1 camca besar cili kisar
1/2 camca teh gula
Garam secukup rasa
Daun salad untuk hiasan

BAHAN - BAHAN SOS :-)
2 camca besar sos cili JALEN
1 camca besar sos tomato JALEH
2 camca besar kordial minuman perisa mangga JALEN
1 camca teh sos plum

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan 2 camca besar minyak dalam kuali. Tumis bawang putih dan halia hingga harum. Masukkan cili kisar dan tumis hingga cili garing. Tambah pes tomyam, kacau rata dan masukkan semua bahan2 sos. Masukkan daging, gaul rata dan biarkan hingga daging kecut, tambah sedikit air jika perlu.
  2. Masukkan gula, cili padi merah/cili padi hijau, nanas dan bawang besar. Gaul rata dan masukkan garam secukup rasa. Masak hingga daging empuk dan nanas lembut. Akhir sekali tambah daun selasih, gaul rata dan masak untuk 2 - 3 minit lagi. Rasa dan jika ok boleh matikan api.
  3. UNTUK MENGHIDANG :- Hias pinggan yang sesuai dengan daun salad, kemudian cedok keluar daging goreng daun selasih ke dalam pinggan tadi. Hidangkan segera bersama nasi panas dan lauk2 lain...Selamat mencuba!!

SAMBAL CILI HIJAU KACANG KUDA

rsz_slhkk
Assalammualaikum. Salam semua. Sekarang ni musim orang demam, dan bonda che mat sendiri sudah beberapa hari demam, ditambah pulak dengan batuk serta selsema. Dan masa ni tekak mula meragam, tak selera, payau dan makanan rasa tawar saja. Menu hari ni che mat masak asam rebus ubi kayu dan juga sambal cili hijau kacang kuda. Resipi asam rebus tu dah pernah rasanya dikongsi, tapi sambal hijau kacang kuda belum lagi. Resipi sambal cili hijau ini amat mudah dan ini antara menu nostalgia ketika zaman jepun dulu, kata bonda menu sebegini menjadi bekal ketika bekerja di kebun atau semasa menoreh getah. Asas masakannya sama saja, kacang kuda tu che mat yang tambah. Anda boleh gantikan kacang kuda dengan sengkuan, terung pipit, kentang, rebung, lobak asin, cendawan kukur dan rebung. Jika tak makan sayur seperti che mat tulis tu, anda boleh guna cili hijau sahaja. Bahan paling utama ialah belacan dan petua untuk mendapat rasa sambal cili hijau yang sedap ialah minyak untuk menumis guna minyak lebihan goreng ikan masin. Resipi seperti berikut...

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 tin kacang kuda jenama Kimball
6 biji cili hijau, dihiris
2 biji bawang besar, dihiris
3 ulas bawang putih, dihiris
1 inci belacan + 3 camca besar air = dilarutkan
2 camca besar jus asam jawa
1 genggam ikan bilis tambam, rendam hingga lembut
1/3 cawan air
Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kacang kuda ditoskan dalam tapis. Cuci bawah air paip mengalir, toskan. Ikan bilis tamban dibersihkan, belah dua dan buang tulangnya, cuci kembali dan toskan (ikan bilis tamban anda boleh ganti dengan ikan bilis biasa. Boleh lebihkan jika suka).
  2. Panaskan 3 camca besar minyak masak dalam kuali (kalau daapat guna minyak lebihan anda goreng ikan masin). Tumis bawang besar, bawang putih, cili hijau dan ikan bilis tamban tadi, Kacau rata dan masak hingga bawang dan cili hijau layu.
  3. Masukkan belacan dan jus asam jawa. Tambah air, kacau dan biarkan mendidih. Masukkan kacang kuda, gaul rata dan masak sekejap. Tambah garam secukup rasa dan sedikit gula. Kacau dan masak hingga kering, guna api kecil. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas dan lauk2 lain...Selamat mencuba!.

NASI AYAM SOS TIRAM

rsz_nasi_ayam__sos_tiram2 (1)
Assalammualaikum, salam Khamis. Hari ni che mat kongsikan satu lagi resipi yang menggunakan produk JALEN dan resipi ini asalnya che mat berkerjasama dengan Jalen dulu. Nasi ayam sos tiram ini seakan2 clay pot chicken rice cuma tak dimasak dalam clay pot atau mangkuk tanah. Resipi boleh dikatakan agak mudah walaupun nampak bahan2nya agak banyak. Petua dari che mat jika anda nak memudahkan kerja, rancang dulu apa nak masak dan beli bahan2 yang diperlukan secukupnya. Bila bahan2 dah cukup lengkap, kita nak mulakan kerja memasak lebih mudah.

rsz_nasi_ayam_sos_tiram1 (2)
Nasi ayam sos tiram dihidangkan bersama ayam madu. Ayam madu terpulang pada anda samada nak buat atau tak, kerana dalam nasi ayam tu dah ada isi ayam. Begitu juga dengan sup, tapi pada che mat makan begitu saja sudah ok sangat, tak perlu sup2 bagai. Ulam2 seperti timun, tomato dan daun salad amat sesuai digandingkan. Warna nasi memang agak perang kerana penggunaan sos tiram dan sedikit kicap pekat. Ok, tak usah cerita panjang lagi, jomm che mat kongsikan resipinya di bawah ini...

BAHAN - BAHANNYA :-)
4 cawan beras basmathi, cuci dan redam 30 minit, toskan
1 helai daun pandan, disimpul
1/4 camca teh minyak bijan
4 keping cendawan telinga kera @ black fungus, jenis segar, cuci dan potong kecil
2 ulas bawang putih, dicincang halus
4 biji bawang merah kecil, hiris
1 inci halia, tumbuk halus dan perah jusnya*
1 keping dada ayam, dihiris memanjang*
2 1/2 camca besar sos tiram JALEN*
1 camca teh kicap pekat JALEN*
1 camca besar kicap lemak manis JALEN*
1/4 camca teh serbuk lada sulah*(*digaul rata dan perap 25 minit)
6 cawan air rebusan tulang ayam
Garam secukup rasa (jika perlu)

BAHAN - BAHAN AYAM MADU :-)
7 - 8 keping kepak ayam, cuci bersih dan toskan
3 ulas bawang putih, ditumbuk halus
1/2 camca teh lada hitam kisar
1 1.2 inci halia, ditumbuk halus
2 batang serai, hiris dan tumbuk halus
2 camca besar kicap pekat JALEN
3 camca besar madu*
2 camca besar kicap lema manis JALEN*(*disatukan dan kacau rata)
Garam secukup rasa

BAHAN - BAHAN SAMPINGAN :-)
Hirisan daun bawang/ daun sup, untuk hiasan
Hirisan timun
Hirisan tomato
Daun salad secukupnya
Bawang goreng
Cili merah, dibuang biji dan dadu kecil. untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK NASI AYAM SOS TIRAM :- Panaskan minyak dalam kuali, tumis bawang merah dan bawang putih hingga harum. Masukkan isi dada ayam yang telah diperap tadi. Gaul rata dan masak hingga ayam kecut. Tambah serbuk lada sulah dan beras basmathi. Gaul rata dan goreng 30 saat. Alihkan ke dalam periuk nasi elektrik (rice cooker). Tuang air rebusan tulang ayam dan masukkan daun pandan. Kacau dan rasa jika perlu masukkan garam secukup rasa.
  2. Masak seperti biasa hingga nasi kering. Masukkan minyak bijan dan gemburkan nasi menggunakan chop stick. Biarkan seketika dan boleh cedok nasi ke dalam pinggan. Hias dengan daun salad, hirisan timun dan tomato. Tabur bawang goreng, daun sup/daun bawang dan cili merah sebelum dihidangkan bersama ayam madu..
  3. UNTUK AYAM MADU :- Gaul kepak ayam dengan lada hitam kisar, bawang putih, halia, serai dan kicap pekat. Tambah sedikit garam jika perlu. Perap sekurang2nya 2 jam atau semalaman untuk rasa yang lebih sedap (simpan dalam peti sejuk).
  4. Bakar ayam tadi dalam kuali non-stcik atau dalam oven (jika guna oven, bakar pada suhu 200C). Semasa membakar. sapukan keseluruhan kepak ayam dengan bancuhan madu dan kicap lemak manis tadi. Sapu setiap kali anda membalik2kan kepak ayam. Bakar 10 - 12 minit untuk setiap bahagian atau hingga masak. Boleh hidangkan bersama nasi ayam sos tiram...Selamat mencuba!