RESIPI AYAM BUAH KELUAK

rsz_abk
Assalammualaikum, salam Isnin semua. Pada yang berpuasa, selamat berpuasa. Hari ni che mat masak satu menu khas orang peranakan Baba Nyonya. Kira ni dia orang punya signature dish, iaitu Ayam Buah Keluak. Sebenarnya memang tak rancang nak masak, tapi semalam teman FB che mat, Puan Amy, dia ni orang peranakan tapi dah covert masuk Islam. Dia tag che mat menu ayam buah keluak. makkk aiii, tak pasal2 pakcik kau tergoda. Malam tu juga korek freezer cari stok buah keluak yang che mat frozenkan. Ada yang tanya, mana nak dapat buah keluak? Che mat beli di Chow Kitt, KL..lama dah rasanya, banyak bulan juga buah keluak tu tersimpan dalam freezer, alhamdulillah masih elok dan sedap....

rsz_abk1
Resipi ini che mat guna 1/2 ekor ayam dan buah keluak dalam 10 biji. Dari pengalaman che mat selepas membaca dari mereka2 yang pakar terutama orang peranakan. Buah keluak harus direndam 3 - 4 hari dan setiap hari air rendaman harus ditukar. Berus buah keluak hingga bersih. Bila anda dah rendam 3-4 hari, air rendaman akan beransur2 jadi jernih. Macam che mat punya ni sebelum simpan dalam freezer, memang che mat dah siap2 rendam beberapa hari, kemudian cuci bersih, keringkan dan bungkus dengan plastik terus simpan dalam freezer, jadi cuma perlu rendam sekejap kasi hilang sejuk dia saja. Dah boleh masak.

rsz_buah_keluak
Kalau nak tau rupa buah keluak, anda boleh lihat gambar di atas tu. Buah keluak ni sebenarnya biji pada isi buah kepayang. Dan dalam biji buah keluak ada isi bewarna hitam di gunakan juga dalam masakan rawon, satu menu dari Indonesia yang popular di Singapura. Tapi masakan rawon menggunakan daging. Che mat pernah masak rawon dulu, boleh lihat di sini. Rasa dia pulak macam mana?..Pada tekak che mat rasa dia sedap, lemak2 dan nutty. Tapi bagi yang tak biasa che mat tak boleh nak jamin dia kena atau tidak pada tekak anda. Tak salah cuba rasa, sekurang2nya kita tau dan ada pengalaman....Ok, che mat kongsikan resipi Ayam Buah Keluak di bawah ini....

BAHAN - BAHANNYA :-)
1/2 ekor ayam, potong ikut suka, cuci bersih dan toskan
10 biji buah keluak
40 gram isi ayam, cincang halus
4 ekor udang saiz besar, kupas kulit dan cincang halus isinya
4 helai daun limau purut
2 batang serai, diketuk
1 cawan jus asam jawa (40 gram asam jawa + 1 cawan air, ramas dan tapis)
100 gram cili kering
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
6  biji bawang merah
1/2 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup
2 batang serai, dihiris
4 biji buah keras, dihiris
1inci belacan, dibakar

cats

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. PENYEDIAAN UNTUK BUAH KELUAK :- Buah keluak dicuci, kemudian rendam 3 - 4 hari awal sebelum anda hendak memasak. Pastikan air rendaman ditukar setiap hari dan berus buah keluak hingga bersih. Bila cukup masanya, toskan dan biar kering. 
  2. Ambil sebiji buah keluak, pilih bahagian licin pada buah keluak dan ketuk perlahan dengan anak lesung batu. Pastikan hanya bahagian yang licin sahaja pecah. Guna gunting untuk membuang bahagian licin tadi. 
  3. Korek isi buah keluak menggunakan sudu kecil atau boleh guna bahagian tangkai sudu, pastikan tangkai sudu dicuci dan lap kering. Buat hingga siap, kulit buah keluak jangan dibuang. Ketepikan.
  4. Tumbuk isi buah keluak tadi hingga lumat. Kemudian masukkan isi ayam dan isi udang yang telah dicincang tadi. Tambah sedikit garam dan gula, kacau rata hingga menjadi pes. Isikan kembali pes tadi ke dalam kulit buah keluak hingga penuh. Buat hingga siap dan ketepikan (anda boleh rujuk pada gambar di atas).
  5. UNTUK AYAM BUAH KELUAK :- Cili kering dibuang biji, rendam dalam air panas selama 10 minit dan toskan, Kisar hingga halus. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/3 cawan). Tumis serai dan bahan2 kisar halus hingga harum. Masukkan cili kisar dan masak hingga naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  6. Masukkan ayam, gaul rata dan masak hingga ayam kecut. Masukkan jus asam jawa dan tambah air hingga ayam tenggelam. Masak hingga menggelegak. Tambah daun limau purut dan boleh masukkan buah keluak tadi. Kacau perlahan dan masak hingga ayam empuk. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya. Biarkan mendidih 10 - 15 minit lagi dan boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas dan ulam2man......
CATATAN MAT GEBU :- Ayam buah keluak lebih sedap dimakan setelah beberapa jam dimasak atau keesokkan harinya, bilamana semua rencah dan rempah ratus telah terserap dengan sempurna. Korek isi buah keluak yang telah disumbat tadi semasa makan. Selamat mencuba!!
Labels: , ,

No comments:

Post a Comment