RESIPI LAKSA JOHOR

rsz_ljmg
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat ber'laksa Johor'. Entah kenapa sejak2 ni mengidam yang bukan2. Pantang orang sebut, terus tekak teringin. Tu hari ada yang sebut2 kari betik, rasa nak buat juga, tapi sayang betik pulak takde. Lepas tu ngidam asam rebus peria katak sama ikan pari masin, yang tu in sha Allah esok che mat masak. Tapi hari ni kita laksanakan menu warisan orang2 Johor, iaitu Laksa Johor. Ada banyak versi dan dari sumber2 yang che mat baca, laksa Johor yang asli menggunakan ikan parang dan tak menggunakan kacang panjang sebagai ulam, sebaliknya ditambah lobak asin yang dicincang halus. Makan pulak sudah tentu guna tangan. Tapi untuk foto, che mat taruklah sudu dan garfu, kasi lawa2..

rsz_ljmg1
Kali ni che mat guna seekor ikan parang saiz sederhana. Ada yang tanya kat IG tapi macam mana nak asingkan isi ikan parang tu dari tulang dia, almaklumlah ikan parang ni, tulang dia banyak, berselirat. Apa yang che mat buat, ikan tu ku rebus dalam periuk tekanan (pressure cooker) selama 1 jam lebih, yang ini ikut periuk masing2. Lepas tu tulang tengah dia dibuang dan kisar halus isi ikan parang tadi dalam food processor hingga lumat. Tulang2 dalam isi ikan tu semua akan hancur. Tu cara mudah, kalau nak cara rumit kenalah tarik keluar tulang ikan parang satu persatu sampai habis. Selain ikan parang, boleh juga nak guna ikan kembong, ikan selayang@sardine atau ikan tenggiri. Resipi tak banyak beza dari yang lepas2 cuma tang ikan tu che mat gantikan dengan ikan parang, tu saja....

BAHAN-BAHAN KUAH LAKSA JOHOR :-)
1 ekor ikan parang segar (kurang lebih 1 kg)
250 gram isi udang
Isi ikan kurau masin sebesar 3 inci x 3 inci, rendam
4 camca besar udang kering, rendam hingga lembut.
2 camca penuh besar kerisik
1/2 inci lengkuas, dititik
4 - 5 keping asam gelugor
12 biji bawang merah kecil*
2 ulas bawang putih*(*kisar halus)
2 camca besar cili kisar
2 camca besar rempah kari ikan (baba's)
2 camca besar ketumbar serbuk
1 camca besar jintan manis serbuk
2 liter santan segar
1 genggam daun kesom
2 kuntum bunga kantan, belah dua setiap satu
Sedikit daun selasih
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN ULAMAN :-)
Taugeh, dibuang ekor, cuci dan toskan
Kacang panjang, dihiris halus
Daun kesom, hiris halus
Daun selasih, hiris halus
Timun, ambil bahagian luar dan buang empulurnya, hiris halus
Bawang besar, hiris halus

BAHAN-BAHAN LAIN :-)
Sambal belacan
Spaghetti, direbus hingga lembut dan toskan, gaul dengan sedikit minyak makan, kemudian  di "chap" (dibuat sanggul)
Limau kasturi secukupnya, dibelah dua

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH LAKSA JOHOR :- Satukan rempah kari, ketumbar serbuk, jintan manis serbuk dan bahan kisar halus, kacau rata hingga menjadi pes rempah dan ketepikan. Udang dicelur, asingkan kulitnya, kisar halus, ikan parang direbus, asingkan isi dari tulangnya, kisar isinya dalam food processr hingga halus, udang kering ditoskan, isi ikan kurau masin juga ditoskan dan potong kecil, kisar halus udang kering dan isi ikan kurau masin tadi. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk. Tumis lengkus dan cili kisar hingga harum, masukkan pes rempah dan masak hingga terbit minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa. Tuang santan dan juga stok air rebusan udang dan ikan. Kacau rata. Masukkan isi ikan parang kisar, udang kisar dan udang kering + isi ikan masin kurau kisar. Kacau hingga semua rata dan mesra. Biar mendidih.
  3. Masukkan kersik, asam gelugor, bunga kantan, daun kesom dan sedikit daun selasih. Kacau dan masak dengan api perlahan selama 45 minit hingga 1 jam. Tambah garam secukup rasa dan gula secukupnya. Masak sekejap lagi, rasa dan jika ok boleh matikan api. Ketepikan.
  4. UNTUK LAKSA JOHOR :- Ambil secukupnya spaghetti yang telah dichap (disanggul) tadi ke dalam bekas sesuai. Tuang kuah laksa secukupnya, kemudian hias dengan bahan2 ulaman, letak sambal belacan dan juga belahan limau kasturi, hidangkan segera.
CATATAN MAT GEBU :- Kulit udang tadi dikisar dengan air rebusan dan tapis. Ikan parang che mat buang bahagian kepalanya, kendian kerat 4 bahagian dan rebus dalam periuk tekanan selama 1+ jam. Ini akan menjadikan tulang ikan parang lembut seperti sardine dan bila kisar dalam food processor, tulang ikan parang semua hancur. Untuk sambal belacan , che mat tumbuk 5 biji cili merah + 6 biji cili padi + 1 inci belacan yang dibakar harum + secubit garam = tumbuk hingga halus, boleh hidangkan bersama laksa Johor tadi... Selamat mencuba!!..

RESIPI MI KARI

rsz_mkl1
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat mengidam mi kari pulak. Dasatkan, kalau pembawak budak...haha. Mi kari paling senang, guna santan pun tak banyak dalam 100 ml saja. Mi kari yang ni kuah dia agak pekat dan mi nya che mat guna mi lidi (biasakan orang pakai mi kuning), tapi boleh nak guna mi biasa atau spaghetti pun ok. Kuah kari tu 100% guna ayam, ayam kampung. Di sebabkan che mat guna santan sikit, maka dalam kuah mi kari ada dimasukkan buah keras. Kurang pedas tapi takde masalah kalau suka pedas, kau lebihkan cili kisar sudah lah. Atau makan sama hirisan cili padi. Kan kita buat dia, apa ada hal...

rsz_mkl
Sebenarnya tiada pantang dalam menghasilkan mi kari, nak masukkan sayur2an apa saja boleh ikut suka anda, samada terung, kacang panjang, sawi, semua sesuai. Tapi jangan over sangat sudah lah, nanti serupa kari sayur2an pulak. Che mat hanya guna kacang panjang dan dalam kuah mi ada tambah kentang dan lobak merah. Jika suka kerang, boleh tambah isi kerang, tapi kata orang ayam dan daging tak berapa elok dicampur dengan makanan laut, wallah hualam....Nampak sedap kan mi kari tu...nak mencuba?....Jomm kita semak resipi kat bawah ni....

BAHAN - BAHAN KUAH KARI :-)
600 ayam ayam potong kecil
2 biji kentang, kupas dan potong 8 setiap 1, rendam
1 batang lobak merah, potong berbaji, rendam
3 camca besar cili kisar
4 camca besar penuh rempah kari daging (Baba's)
1 keping asam gelugor
100 ml santan + 2 cawan air
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
5 biji bawang merah kecil
4 ulas bawang putih
3 biji buah keras, hiris
1 inci kunyit hidup
2 batang serai, hiris halus
1 inci halia
1/2 inci lengkuas

BAHAN - BAHAN TUMIS :-)
1 biji bawang besar, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
3 tangkai daun kari, dilurut
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
2 biji buah pelaga
5 kuntum bunga cengkih

BAHAN - BAHAN LAIN:-)
Mi kuning secukupnya, celur dan toskan
Tauhu goreng, dihiris
Hirisan daun sup
Hirisan daun bawang
Hirisan cili merah dan cili hijau
Taugeh, dibuang ekor dan celur sekejap
Bawang goreng, untuk hiasan
Belahan limau kasturi
Telur rebus, dibelah 2 setiap 1

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH MI KARI :- Bancuh bahan2 kisar halus dengan rempah kari, kacau rata hingga menjadi pes rempah. Panaskan minyak dalam periuk, masukkan bahan2 tumis dan tumis hingga wangi. Tambah cili kisar dan masak hingga cili garing. Masukkan pes rempah, kacau dan masak hingga naik minyak. Gunakan api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Masukkan ayam, kentang dan lobak merah. Gaul rata dan masak hingga ayam kecut. Tuang air secukupnya hingga ayam tenggelam. masukkan asam gelugor. Kacau dan masak hingga ayam, kentang dan lobak merah empuk, tambah air panas jika perlu. Tuang santan, kacau dan perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Masak sekejap lagi dan rasa, jika ok boleh matikan api.
  3. UNTUK MI KARI :- Masukkan secukupnya mi ke dalam mangkuk sesuai. Cedok kuah bersama2 dengan isinya ke dalam mangkuk berisi mi tadi. Hias dengan hirisan daun bawang, daun sup, cili merah, cili hijau, tauhu goreng, taugeh, bawang goreng, 1/2 bahagian telur rebus dan perahkan jus limau kasturi sebelum dihidangkan. Selamat mencuba!.

KERABU MAGGI ALA THAI

rsz_krat
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat mengidam kerabu maggi. Dah biasa benda di berlegar di timeline FB dan juga blog2 masakan. Rata2 menggunakan mi segera dari Thailand (yang memang halal). Tapi che mat guna mi maggie perisa tomyam, guna mana yang ada kat rumah. Resipi agak ringkas tapi che mat bikin ikut style sendiri. Memandangkan ada bahan2 herba dan ulam yang tumbuk disekitar rumah, boleh lah guna untuk kerabu maggi. Nak tambah ayam, sotong. udang, waimah daging pun boleh, tapi che mat cuma ada udang, maka kita guna udang. Pedas tu ikut selera masing2, nak pedas kau lambakkan cili padi, tak nak pedas boleh guna cili merah. Untuk resipi ini che mat guna 1 bungkus maggi perisa tomyam jenis besar. Kalau saiz biasa. boleh guna 2 bungkus. Resipi sepeeti berikut..

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 bungkus Mi Maggi perisa tomyam, asingkan perencahnya
1/4 cawan isi udang
1 kuntum kecil bunga kantan, mayang halus*
3 ulas bawang merah, hiris halus*
1 ulas kecil bawang putih, cincang halus*
3 biji cili padi hijau, hiris halus*
2 biji cili padi merah, hiris halus*
1 batang serai, ambil bahagian putih sahaja, hiris halus*
6 helai daun pudina, hiris halus*
1 helai daun limau purut, hiris halus*
Sedikit lobak merah, hiris halus*
Sedikit timun, hiris halus*
1 biji limau nipis, perah jusnya
2 camca besar air panas
Secubit gula
1/2 camca teh sos ikan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Rebus mi maggi dalam air mendidih sehingga mi lembut (jangan rebus sampai kembang), tos dan ketepikan. Udang dicelur 30 saat, angkat dan sejukkan. Dalam satu bekas, masukkan 2 camca teh penuh perencah tomyam ( dari dalam bungkusan maggi ). Masukkan air panas dan sedikit gula. Kacau rata hingga semua sebati.
  2. Masukkan semua bahan2 bertanda (*) dan juga udang yang telah dicelur tadi. Gaul hingga semua rata. Tambah mi maggi, gaul hingga mesra. Masukkan jus limau nipis sedikit dahulu, gaul dan rasa, jika perlu baru masukkan sedikit lagi. Begitu juga dengan sos ikan. masukkan sedikit dahulu, gaul rata dan jika perlu baru tambah lagi.
  3. Alihkan ke dalam bekas sesuai dan hias dengan belahan limau nipis, sedikit hirisan timun dan juga daun pudian. Hidangkan segera...Selamat mencuba!!..

MENGIDAM MI HOON SOTO JOHOR

rsz_1mhsj
Assalammualaikum, salam Isnin. Hari ni che mat mengidam mi hoon soto. Buatnya mudah, sama seperti membuat kuah soto Johor, cuma tukar makan guna mi hoon atau mi kuning, ikut selera masing2. Kalau makan sama nasi impit atau ketupat dah jadi soto. Hidangan ini popular ketika hari raya, kerana amat versatile, bayangkan masak kuah soto dan anda boleh hidangkan dengan tiga bahan2 utama yang berbeza (mi hoon, mi kuning dan ketupat/nasi impit). Selain tu boleh juga cicah kuah soto dengan roti.

rsz_mhsj1
Seperti lazimnya di Johor, soto harus ada hidangan pelengkapnya seperti begedil, sambal kicap, tauge, daun sup/daun bawang dan lain2. Kali ini che mat hidangkan dengan belahan limau kasturi, yang itu optional, tak paksa, cuma ikut selera masing2. Tauhu goreng tu pun kalau ikutkan memang tak taruk, tapi che mat suka dan memang sejak dulu kalau bikin soto, mesti tambah hirisan tauhu goreng. Sambal kicap style che mat senang ajer, tak perlu digoreng cili dan bawang putih, semuanya ditumbuk halus, taruk gula dan tumbuk lagi. Kemudian tuang kicap lemak manis JALEN, kacau rata dan boleh hidangkan. Tapi kalau anda nak goreng dulu cili padi dan bawang putih tadi tak jadi masalah. Ada juga yang masukkan bawang goreng dalam sambal kicap, tapi cara tu tak kena dengan selera che mat, yang ringkas lebih sedap. Resipi memang dah banyak kali juga dikongsikan dalam blog, tapi untuk memudahkan anda, kita lihat sekali lagi resipinya seperti di bawah ini.

BAHAN - BAHAN KUAH SOTO :-)
2 ketul serangka ayam, cuci bersih dan toskan
2-3 keping besar peha ayam, cuci dan toskan
2 camca besar rempah sup
1 rempah sup bunjut tulang
1 pokok daun sup, kerat kasar
1 genggam bawang goreng
1/2 camca besar lada hitam biji, ditumbuk halus
Sedikit parutan biji buah pala
Garam secukup rasa
3 liter air

BAHAN - BAHAN TUMIS :-)
1 batang kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
6 kuntum bunga cengkih
2 batang serai, diketuk
1/2 inci lengkuas, diketuk

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
10 biji bawang merah
5 ulas bawang putih
1 1/2 inci halia
1 inci kunyit hidup
3 biji buah keras, dihiris

BAHAN - BAHAN LAIN :-)
Mi hoon @ mi kuning, secukupnya, dicelur dan toskan
Begedil, resipi boleh rujuk di sini
Hirisan daun sup/daun bawang
Tauhu goreng, dihiris
Bawang goreng
Taugeh, dibuang ekor, cuci dan celur sekejap, toskan
Sambal kicap
Belahan limau kasturi, jika suka

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH SOTO :- Satukan bahan2 kisar halus dengan rempah sup, serbuk buah pala dan lada hitam yang ditumbuk halus. Kacau rata hingga menjadi pes rempah. Panaskan minyak dalam periuk, anggaran 5 camca besar. Masukkan bahan2 tumis, masak hingga harum. Masukkan pes rempah, kacau dan masak hingga naik minyak, guna api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Tuang air, kacau dan biarkan mendidih. Masukkan rangka ayam dan peha ayam. Kacau, masukkan sup bunjut, daun sup yang dikerat kasar dan bawang goreng. Perasakan dengan sedikit garam dan masak selama 1 jam, jika perlu boleh tuang sedikit lagi air panas. Keluarkan peha ayam, sejukkan sebentar dan carik2kan isinya. Tulangnya dimasukkan kembali ke dalam periuk. Rasa dan jika perlu tambah sedikit lagi garam, masak sekejap dan boleh matikan api.
  3. UNTUK MI HOON SOTO :- Masukkan secukupnya mi hoon ke dalam mangkuk sesuai, tuang kuah soto sehingga mi tenggelam. Hias dengan taugeh, hirisan daun sup/daun bawang, begedil, bawang goreng, isi ayam yang dicarik tadi, tauhu dan juga sambal kicap. Jika suka boleh perahkan sedikit jus limau kasturi sebelum dimakan. Selamat mencuba!!

MAGGI KETAM DUA SEJOLI..

rsz_mkk
Assalammualaikum, salam semua. Ini entri masak2 pertama che mat setelah bercuti untuk beberapa ketika. Dan mood che mat juga masih dalam keadaan 'berkabung' atas pemergian Bak pada 3 Syawal lepas (Al - Fatihah Hj Ibrahim Bin Rajiman). In sha Allah kami tabah menghadapi situasi ini walaupun kesedihan masih ada. Hari ni che mat gagahkan juga masak satu menu ringkas. Kebetulan sahabat lama bonda ada kasi ketam segar yang dia tangkap sendiri, walaupun saiz ketam comel2 belaka, tapi isi dia penuh dan rasa manis sekali, sebab ketam segar. Che mat culik 2 ekor untuk dimasukkan ke dalam maggi. Biasanya maggi kari menjadi pilihan, tapi terpulang pada anda, boleh guna maggi tomyam atau pun asam laksa. Maggi ayam kurang sesuai sebab ketam ni kan makanan laut. Resipi mudah, takde ikut peraturan sangat, boleh campak2 apa yang ada dalam peti sejuk. Sebab che mat ada simpan baki santan, maka ku masukkan juga, tapi tak banyak dalam 2 sudu besar macam tu. Nak pedas boleh tambah cili padi, ikut selera masing2....Jomm kita masak Maggi Ketam Dua Sejoli...

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 paket Mi Maggi perisa kari (che mat guna mi maggi saiz besar)
2 ekor ketam, cuci bersih
1 keping fish cake, dihiris
2 biji telur
1 camca besar cili kisar
2 camca besar santan kelapa (boleh guna susu cair), optioal
1/2 camca besar sos tomato
2 biji bawang merah, hiris
1 ulas bawang putih, cincang halus
Sedikit lada hitam kisar
1 pokok daun bawang, dihiris, untuk hiasan
Sedikit hirisan cili merah
500 ml air (atau secukupnya)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Asingkan mi maggi dari perencahnya. Panaskan 1 camca besar minyak dalam periuk atau kuali, tumis bawang merah dan bawang putih hingga layu, masukkan cili kisar dan sos tomato. Kacau dan masak dengn api kecil hingga cili garing. Tuang air, kacau dan biar mendidih.
  2. Masukkan perencah kari, kacau rata dan kecilkan api. Pecahkan telur satu persatu ke dalam kuah. Masak dengan api kecil hingga telur kental, cedok keluar telur dan ketepikan. Tambah fishcake dan ketam. Masak hingga ketam berubah warna. 
  3. Masukkan santan (jika guna), lada hitam kisar dan 1/2 bahagian hirisan daun bawang. Masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api (jika suka kuah lebih anda boleh tambah sedikit air panas).
  4. UNTUK MI -: Panaskan air dalam periuk, kemudian celur mi maggi tadi hingga lembut, toskan dan alih ke dalam mangkuk sesuai. Susun ketam dan fishcake atas mi tadi dan tuang kuah hingga penuh. Taruk telur, hias dengan hirisan cili merah dan baki daun bawang. Hidangkan segera..

RESIPI MI SIAM SINGAPURA

rsz_mssg
Assalammualaikum, salam semua. Malam baru dapat nak tulis entri. Alhamdulillah che mat dah ok, gusi dah tak sakit, tapi masih berhati2 juga, takut nak makan benda2 yang keras. Masak nasi pun yang lembut dan sebelum ni santap bubur nasi saja. Pagi tadi kerajinan datang macam angin, lepas che mat settlekan masak menu2 permintaan, terus bikin Mi Siam Singapura. Sejak sakit gusi tu hari memang dah pasang niat, aku sihat saja, menu pertama yang nak sangat bikin, Mi Siam Singapura. Kali ni che mat bikin lebih ringkas. Biasanya ada disertakan sambal, tapi sebab masih berjaga2 dalam pemakanan, kita elakkan sambal. Menu ini juga menjadi kegemaran orang peranakan Nyonya...

rsz_mssg1
Mi Siam Singapura ini agak mewah. Udang menjadi bahan utama selain belacan dan air rebusan ayam. Bagi mereka2 yang tidak boleh makan udang che mat tak galakkan untuk resipi ini, tapi kalau sekali2 tu in sha Allah boleh lah. Bagi yang ada gaot, resipi ini juga agak kurang sesuai kerana ada menggunakan kacang tanah dalam kuahnya. Seperti anda tau, kacang tanah tidak sesuai dengan pesakit gaot. Jika tak nak kacang tanah, anda boleh saja abaikan, tak perlu taruk, tapi kuah dia kurang 'kick' sikit lah. Resipi ini rasa che mat cukup untuk 5 - 6 orang, tapi bergantung pada masa bila anda makan. Maklumlah bila bikin sendiri, kita boleh tambah jika tak cukup, tak perlu nak segan2..betul tak. Maksudnya ikut tahap kelaparan anda semasa menikmatinya....(jawapan paling selamat dari che mat...ehemm)..

page
Antara bahan2 yang perlu ada untuk dihidangkan dengan Mi Siam Singapura. Seperti che mat kata awal2 tadi, kalau suka nak makan dengan sambal boleh juga (sambal tu anda ambil daripada pes sambal yang ditumis untuk menggoreng mi hoon dan untuk kuahnya). Kalau lihat dalam mangkuk tu ada udang saiz besar, yang tu che mat taruk sebagai hiasan, dalam kuah memang dah dimasukkan isi udang, tapi direbus sekejap saja dan che mat cedok keluar untuk hiasan atas mi siam. Lama2 rebus nanti udang liat, tak sedap!. Kalau anda suka boleh guna udang saiz besar macam dalam gambar tu. Isi ayam sepatutnya tak letak, tapi sebab che mat dah guna air rebusan ayam, isi dia tarukkan sekali, dah kita buat dia, yang penting Mi Siam Singapura anda menjadi dan sedap. Berani mencuba?....Kalau anda berani, meh che mat kongsikan resipi....

BAHAN - BAHAN MI HOON GORENG :-)
300 gram mi hoon
2 cawan taugeh, cuci dan bersihkan
1 cekak kucai, potong pendek
2 camca besar penuh sos cili
3 ulas bawang putih, cincang halus
1/3 bahagian pes sambal
Kicap cair secukup rasa

BAHAN - BAHAN PES SAMBAL :-)
6 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
1 inci belacan
4 biji buah keras, dihiris
1 genggam udang kering, rendam 10 minit dan toskan
1/3 cawan cili kisar
1 camca teh garam

BAHAN - BAHAN AIR REBUSAN :-)
1 bahagian peha ayam bersaiz besar, cuci bersih dan toskan
15 ekor udang sederhana besar, kupas kulitnya (asingkan kulit udang)
4 ulas bawang putih, diketuk
1/2 inci halia, hiris nipis
2 liter air
1 camca teh garam

BAHAN - BAHAN KUAH MI SIAM :-)
Air rebusan secukupnya
1 cawan jus asam jawa (asam jawa sebesar duit 20 sen lama + 1 cawan air, ramas dan tapis)
1/3 cawan kacang tanah, digoreng tanpa minyak dan kisar hancur
Udang yang telah dikupas kulitnya (udang dari bahan2 air rebusan)
2 camca besar gula
1/3 cawan pati santan (che mat guna santan kotak)
2 camca besar penuh tauco, tumbuh halus
Garam secukup rasa

BAHAN - BAHAN SAMPINGAN :-)
Hirisan daun kucai, untuk hiasan
Telur rebus secukupnya, dibelah 2 setiap 1
Isi ayam, dicarik2
Tauhu, digoreng dan hiris nipis
Hirisan cili merah
Limau kasturi secukupnya, dibelah 2 setiap 1

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK AIR REBUSAN :- Panaskan 1 camca besar minyak dalam periuk, tumis bawang putih dan halia. Kemudian masukkan kulit udang, masak dengan api kecil hingga kulit udang berubah warna. Tuang air, kacau dan biarkan mendidih. Masukkan ayam dan garam, sederhanakan api dan masak selama 45 minit. Keluarkan ayam, kemudian tapis dan asingkan air rebusannya untuk kegunaan kemudian. Isi ayam tadi dicarik2 dan ketepikan.
  2. UNTUK PES SAMBAL :- Panaskan 1/3 cawan minyak. Kemudian tumis bahan2 kisar halus hingga harum, masukkan cili kisar, kacau rata dan masak dengan api kecil hingga garing dan naik minyak. Masukkan 1 camca teh garam, kacau rata dan matikan api. Sejukkan untuk kegunaan kemudian.
  3. UNTUK MI HOON GORENG :- Mi hoon direbus hingga lembut, kemudian toskan. Panaskan 2 camca besar minyak masak. Tumis bawang putih hingga harum, masukkan 1/3 bahagian pes sambal dan juga sos cili. Kacau rata dan masak sekejap. Masukkan mi hoon, sederhanakan api dan gaul mi hoon hingga rata. Masukkan kicap cair secukup rasa dan gaul. Akhir sekali masukkan taugeh dan kucai, kacau hingga semua rata. Rasa dan jika ok boleh matikan api, ketepikan (pastikan mi hoon yang anda goreng tidak terlalu masin. Berhati2 dalam penggunaan kicap cair).
  4. UNTUK KUAH MI SIAM :- Tuang air rebusan ke dalam periuk dan masak hingga mendidih. Masukkan baki pes sambal, taucho yang ditumbuk halus dan jus asam jawa. Kacau rata dan masak selama 20 minit. Masukkan udang yang telah dikupas kulitnya ke dalam kuah, celur 1 minit, angkat dan ketepikan. Tambah kacang tanah yang dikisar dan pati santan ke dalam kuah mi siam. Kacau lagi, perasakan dengan gula dan garam secukupnya. Biarkan mendidih dengan api sederhana selama 15 minit lagi. Rasa dan jika ok boleh matikan api. 
  5. UNTUK MI SIAM SINGAPURA :- Cedok secukupnya mi hoon goreng ke dalam mangkuk sesuai. Tuang kuah hingga mi tengglam. Hias dengan telur rebus, hirisan tauhu, cili merah, hirisan daun kucai, isi ayam yang carik, udang rebus dan perahkan jus limau kasturi sebelum dihidangkan...Selamat mencuba!!.

RESIPI MI GORENG MAMAK

rsz_mgm
Assalammualaikum, salam Isnin. Hari ni bonda che mat berpuasa dan menu permintaan bonda ialah ikan sungai masak lemak cili padi, tapi takmo guna asam gelugor, kena taruk perahan limau kasturi. Ok, tak jadi masalah dah che mat dan siap masak pun. Menu macam tu kena masak awal, baru rasanya lebih ampuh bila dimakan nanti. Dan untuk tengah hari tadi che mat bikin mi goreng mamak. Dalam peti sejuk ada baki mi kuning kurang lebih 1 kati atau 600+ gram. Ada juga udang dan bahan2 yang rasa che mat memang sesuai untuk dimasukkan dalam mi goreng mamak. Mi goreng mamak kebiasaannya agak kering. Dimasukkan juga kentang dan cili hijau, aroma mi goreng mamak memang sedap kerana ia dimasak hingga mi sedikit garing. Anda boleh buat sendiri dirumah dan che mat kongsikan resipi di bawah ini....Selamat mencuba untuk semua!!..

BAHAN - BAHANNYA :-)
600 gram mi kuning (kurang lebih)
1 biji kentang saiz besar
1 keping tauhu keras
1 genggam isi udang, cuci dan toskan
1 batang fish cake, hiris (che mat guna jenama MUSHROOM)
4 biji bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, cincang halus
1 - 2 biji cili hijau, hiris
2 genggam longgar taugeh
3 pokok sawi bok choy, siang berasingan daun dan tangkainya
2 camca besar cili kisar
2 camca besar sos cili
1 1/2 camca besar sos tomato
1 camca besar sos tiram
2 camca besar kicap pekat
Kicap cair secukup rasa
2 biji telur dipukul sedikit
Limau kasturi, dibelah 2
Hirisan timun (che mat tak de stok)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kentang dikupas, cuci dan dipotong kiub, kemudian goreng hingga kekuningan, angkat dan toskan. Goreng pulak tauhu hingga kekuningan, angkat dan toskan, biar sejuk kemudian dipotong kiub. Cuci mi kuning bawah air paip, tos dan ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 4 camca besar). Tumis bawang putih dan bawang merah hingga harum dan bawang layu. Masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing. Tambah sos tiram, sos cili dan sos tomato. Kacau rata dan masak sekejap.
  3. Masukkan udang, fishcake, tauhu, kentang dan batang sawi. Gaul rata dan masak sekejap. Tolak bahan2 tadi ke tepi kuali, masukkan telur dan biar hingga telur mengental (jika perlu boleh masukkan 1 camca besar minyak masak), hancurkan dan gaul rata dengan bahan2 lain.
  4. Masukkan mi kuning, besarkan api dan kacau pantas hingga semua rata. Tambah kicap cair secukup rasa (rasa dulu baru masukkan kicap cair). Masukkan daun sawi, taugeh dan hirisan cili hijau. Gaul rata dan masak hingga mi kering dan sedikit garing. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama hirisan timun dan belahan limau kasturi..

CHAR KUEY TEOW KAMBING

rsz_cktk (1)
Assalammualaikum, salam Isnin semua dan selamat berpuasa sunat pada mereka yang berpuasa. Bonda che mat turut berpuasa hari ini dan seperti kebiasaan, kalau bonda berpuasa che mat akan masak lewat sikit. Tapi untuk pagi atau tengah hari kita masak yang ringkas2 saja. Untuk Bak kena lah masak lain yang dia boleh makan. Tengah hari ini che mat bikin char kuey teow kambing, jangan tanya kenapa kering ajer char kuey teow tu. Dalam bahasa Hokkien, 'Char' tu bermaksud goreng, jadi memang lah kering. Kalau anda suka berkuah takde masalah, kau tuangkan saja air banyak mana nak, habis cerita. Che mat guna daging kambing yang dihiris nipis dan diperap dengan halia, bawang putih, lada sulah dan kicap cair. Banyak mana daging kambing anda nak guna, ikut suka masing2, takde pantang. Kalau anda ingin mencuba, meh che mat kongsikan resipi seperti dibawah ini..

BAHAN - BAHANNYA :-)
Sebesar penumbuk orang dewasa daging kambing, hiris nipis, cuci dan toskan*
1/2 inci halia, ditumbuk halus*
2 ulas bawang putih, ditumbuk halus*
1/2 camca teh lada sulah*
1 camca besar kicap cair*(*disatukan dan perap 20 minit)
600 gram kuey teow
2 genggam tauge, cuci dan toskan
1 cekak kucai, kerat pendek
2 camca besar cili kisar
1 camca besar penuh sos tiram
2 camca besar sos cili
1 camca besar sos tomato
2 camca besar kicap pekat
Kicap cair secukup rasa
2 biji telur, dipukul sedikit
3 ulas bawang putih, cincang halus
4 bij bawang merah, hiris halus

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan 3 camca besar minyak dalam kuali. Tumis bawang putih dan bawang merah hingga harum. Masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing, gunakan api kecil dan kacau sentiasa. Masukkan daging kambing yang telah diperap tadi. Gaul rata dan masak hingga daging kecut. Masukkan air (anggaran 1/2 cawan) dan masak dengan api kecil hingga daging empuk dan  kuah pekat
  2. Tambah sos tiram, sos cili dan sos tomato. Kacau rata dan masukkan kuey teow (terlebih dahulu masukkan kuey teow dalam tapis dan bilas bawah air paip, toskan dan terus masukkan dalam kuali).Besarkan api dan gaul rata. Tambah kicap pekat dan kacau.
  3. Tolak kuey teow ke tepi kuali , masukkan telur (kalau perlu tuang sedikit minyak), masak hingga telur kental, hancurkan dan gaul dengan kuey teow hingga rata. Tambah kicap cair secukup rasa dan akhir sekali masukkan taugeh dan kucai, kacau dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan segera....Selamat mencuba!!.