GULAI LEMAK PISANG MUDA SAMA CENDAWAN KUKUR

rsz_gpckim
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat masak menu tradisi yang menjadi hidangan kegemaran kami. Gulai lemak pisang muda sama cendawan kukur dan rencah dia che mat guna tulang ikan kurau masin, Kalau nak guna isi ikan kurau masin pun boleh atau apa2 jenis ikan masin yang anda suka, ikan masin talang dan ikan sepat masin pun boleh. Untuk resipi ini che mat guna pisang kapas muda dalam 2 sisir, memang agak banyak bila dicampurkan cendawan kukur. Tujuan masak lebih tu sebab gulai macam ni bila anda makan esoknya, rasa dia lagi sedap..lagi menyengat. Tapi nanti resipi che mat tak lah tulis masak sebanyak ini, tapi che mat tulis untuk masak kurang lebih 1 sisir pisang muda. Selain pisang kapas muda, boleh juga guna pisang lemak manis atau pisang kari, cuma rasa dia beza sikit lah. Resipi tidak susah mana, cuma kerja dia leceh sikit terutama bab pisang muda tu...Tapi sekali2 mencuba apa salahnya, betul tak. Ini kan masakan/makanan warisan kita....Resipi seperti berikut..

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 sisir pisang kapas muda
1 cawan cendawan kukur @ kulat sisir yang kering, rendam hingga kembang
5 - 6 ketul tulang ikan masin kurau yang masih ada isi, cuci dan rendam
3 batang serai, diketuk
1 helai daun kunyit, disiat
1 liter santan cair
400 ml pati santan
1 keping asam gelugor
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
3 biji bawang besar
7 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
3 biji cili merah
20 biji cili padi kampung
1/2 inci belacan
1 genggam ikan bilis, dibersikan dan direndam 10 minit dan toskan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Pisang muda dicuci bersih kemudian disiat sedikit kulitnya dan rendam, ketepikan. Pisang tadi diketuk perlahan dengan belakang parang hingga pecah (atau boleh juga ditumbuk dalam lesung, tapi jangan sampai hancur, tumbuk pecah2 sudah cukup). Buat hingga siap dan masukkan ke dalam periuk bersama2 kulit pisang tadi. Rebus hingga lembut dan berkanji, ketepikan.
  2. Cendawan kukur dicuci dan toskan. Perah dan tumbuk sedikit cendawan tadi. Alihkan ke dalam periuk, masukkan serai titik dan pisang muda yang telah direbus bersama air rebusannya. Tambah bahan2 kisar halus, kacau dan masak hingga mendidih.
  3. Tuang santan cair, kacau dan masak hingga menggelegak (tambah sedikit air jika perlu). Toskan tulang ikan masin kurau, cuci sekali lagi dan masukkan ke dalam periuk bersama2 asam gelugor. Masak sekejap dan tuang santan pekat. Kacau perlahan dan biarkan mendidih dengan api sederhana.
  4. Masukkan daun kunyit, perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau rata dan masak untuk 4 - 5 minit lagi. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih, ikan goreng dan sambal belacan....Selamat mencuba!

PUCUK TURI MASAK LEMAK SAMA KACANG HIJAU

rsz_ptmlkh
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat ambik kesempatan untuk kemas kini blog, tapi menu yang biasa2 saja, menu tradisi orang Melayu kita. Daun turi antara hidangan authentic orang2 kita. Selain kaum Melayu, masyarakat India juga suka makan daun turi. Kata orang, daun turi banyak khasiatnya terutama untuk ibu2 yang menyusukan bayi, boleh menambah air susu badan. Tapi ada juga yang kata, daun turi kurang sesuai diambil bagi mereka yang punya tekanan darah tinggi, hurmmm. In sha Allah kalau dimakan dalam kuantiti yang sedikit, rasanya tak mendatangkan masalah. Resipi pucuk turi masak lemak sama kacang hijau ini antara hidangan klasik yang sering dimasak oleh bonda che mat dulu, masa tu kita kecil2 lagi dan ini bukan hidangan kegemaran che mat sebenarnya...shhh...diam2!...Cuma bila dah berusia macam sekarang ni saja, baru jadi suka, lawankan dengan sambal belacan, ikan goreng dan telur dadar...Ehemmm, mak mertua pengsan kat tepi pun kau tak perasan!...Resipi seperti berikut..

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 cekak daun turi (bahagian pucuk)
1/3 cawan kacang hijau, cuci dan rebus sampai kembang
1 biji bawang besar, hiris
4 ulas bawang putih, diketuk
1 camca besar penuh udang kering, direndam 10 minit, toskan dan tumbuk hancur
1 biji cili merah, hiris
1 liter santan cair
400 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Asingkan daun turi dari tangkainya, cuci dan toskan, Jika ada bunga turi, jangan dibuang, petik dan rendam sekejap (sebab kebiasaannya bunga turi ada serangga halus), toskan. Kacang hijau dicuci dan rebus hingga kembang (jika guna periuk tekanan, kurang lebih 7 minit atau mengikut jenis periuk tekanan masing2). Ketepikan.
  2. Masukkan kacang hijau yang telah direbus ke dalam periuk bersama secawan air rebusannya (jika ada). Masukkan bawang besar, bawang putih, udang kering dan santan cair. Kacau rata dan masak hingga mendidih.
  3. Masukkan daun turi dan bunganya (jika ada). Kacau dan masak hingga daun turi lembut. Tuang pati santan, kacau dan perasakan dengan garam secukupnya dan secubit gula. Masak dengan api sederhana hingga mendidih sambil dikacau sentiasa, kurang lebih 1 - 2 minit. Akhir sekali masukkan cili merah hiris, kacau. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih, sambal belacan dan ikan goreng/ikan masin/telur masin....Selamat mencuba!!

RESIPI GADO - GADO

rsz_ggmg1
Assalammualaikum, salam semua. Che mat kurang sehat sehari dua ni, tiba2 diserang sakit pinggang, mungkin ada tersalah urat kat mana2. Sakit dia bila kita nak bangun dari kerusi atau bila dah baring kemudian nak bangun..huhu. Dalam2 sakit tu, tekak mulalah mengada2 sangat. Nak makan gado-gado, nak tak nak kenalah bikin sendiri. Bukan satu resipi yang sukar, tapi disebabkan keadaan diri yang tak boleh nak bergerak cergas, kerja menjadi lambat. Tambah lagi bila nak ambil gambar, punyalah payah. Nak bongkokkan badan rasa seperti kena kejutan elektrik kat bahagian pinggang, ada masa kat pinggul pun terasa sakit, bertabahlah. Gado - gado kalau kita lihat kurang lebih macam rojak, macam pecel pun ada, tak lari jauh sangat. Cuma tiada penggunaan petis @ otak udang dalam kuah kacangnya. Kuah pula seakan2 kuah kacang yang dimakan sama sate, perlu  ditumis dan dimasak sampai pekat.

rsz_ggmg
Ada macam2 versi orang makan gado-gado. Ada yang dihidangkan dengan nasi impit atau ketupat, dimakan bersama keropok ikan, keropok udang atau pun keropok belinjau. Memandangkan che mat tak de benda2 tu semua, kita makan dengan apa yang ada sudahlah, janji lepas gian. Resipi sebenarnya lebih kepada cara menyedikan kuah kacang. Bahan2 gado-gado tak susah, ada yang perlu direbus, dicelur dan digoreng sahaja. Ada yang masukkan isi cekur dalam kuahnya, tapi che mat tak berapa suka, sebab nanti dah jadi kuah pecel pulak. Maka kita masukkan daun limau purut, yang tu guna sehelai saja, untuk rasa dan aroma...Gado- gado boleh dikategorikan dalam makanan sihat. Nak mencuba, jomm kita semak resipi di bawah ini...

BAHAN - BAHAN KUAH :-)
1 1/2 cawan kacang tanah tumbuk (goreng dulu tanpa minyak, buang kulit dan tumbuk atau kisar)
1/3 cawan jus asam jawa
4 camca besar gula melaka yang dihiris halus
2 cawan air (kurang lebih)
1 cawan santan
1 helai daun limau purut
Garam secukup rasa
Gula jika perlu

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
10 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
3 batang serai, hiris
1 genggam udang kering, rendam dalam air panas 10 minit dan toskan
1/2 inci lengkuas
12 tangkai cili kering, buang biji dan rendam dalam air panas 10 minit dan toskan
5-6 biji cili padi merah
1 inci kunyit hidup

rsz_ggmg2
BAHAN GADO-GADO :-)
4 biji kentang, kupas dan rendam
4 keping tempe berbungkus daun
5 biji telur
10 tangkai kacang panjang. dikerat pendek
1/2 biji kubis bulat saiz kecil, hiris kasar
3 keping tauhu
1 biji timun

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH GADO - GADO :- Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/3 cawan). Tumis bahan2 kisar halus hingga harum, guna api kecil dan kacau sentiasa. Masak hingga naik minyak. Tuang air, kacau dan biarkan mendidih. Masukkan kacang tanah tumbuk, daun limau purut, kacau dan biarkan mendidih. Tambah jus asam jawa, gula melaka dan santan. Kacau hingga rata dan masak dengan api sederhana hingga kuah pekat sedikit. Perasakan dengan garam secukupnya dan jika perlu masukkan sedikit lagi gula. Masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api.
  2. UNTUK BAHAN GADO - GADO :- Tauhu dan tempe digoreng hingga kuning keemasan, angkat dan toskan. Kemudian dipotong kiub. Kacang panjang dan kobis dicelur berasingan dalam air mendidih yang ditambah sedikit garam dan beberapa titik minyak masak. Celur hingga lembut dan toskan. Kentang direbus hingga empuk, sejukkan dan potong kiub. Telur direbus, kupas dan belah dua setiap sebiji. Timun dicuci, dan hiris nipis. Ketepikan.
  3. UNTUK PENYEDIAAN GADO - GADO :- Dalam pinggan sesuai, susun serba sedikit bahan2 untuk gado-gado (atau secukupnya). Kemudian tuang kuah secukupnya dan boleh hidangkan. Jika suka boleh ditambah keropok ikan/udang atau keropok belinjau dan juga nasi impit. Hidangkan segera...Selamat mencuba!.

RESIPI PECAL @ PECEL

rsz_pj
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat kongsikan resipi pecal atau biasa orang2 Jawa sebut pecel. Walaupun dah biasa, tapi untuk kali ini ada sedikit penambahan. Kuah pecal masih sama cuma che mat masukkan pucuk bebuas dan telur rebus dalam bahan2 pecalnya. Kalau sebut pecal, bahan yang wajib ada dalam kuahnya sudah mesti ubi cekur. Jika tiada aroma cekur, pecal sudah bertukar menjadi gado-gado. Teringat arwah Bak (al-fatihah), selalu sebut kalau di kampung dulu (Pontian), masa dia muda2, orang jual pecal menggunakan taugeh yang dibuat sendiri dari kacang hijau. Taugehnya kecil dan kontot2. Tapi che mat guna benda2 yang mudah didapati saja. Resipi pecal ini akan menghasilkan kuantiti yang agak banyak. Ini pekara biasa nak2 bila anda menggunakan macam2 jenis sayur2ran dan ditambah dengan tempe, tauhu dan telur rebus. Che mat gabungkan cili padi hijau dan cili kering untuk kuah pecal. Cili kering untuk warna dan cili padi untuk rasa. Ada juga yang masukkan daun limau purut, tapi entah kenapa tak kena pada selera che mat. Kalau nak mencuba, che mat tuliskan di bawah ini...

BAHAN - BAHAN KUAH PECAL :-)
1+ cawan kacang tanah yang telah digoreng tanpa minyak, dibuang kulit dan dikisar hancur
2 camca besar gula melaka atau secukup rasa
1/2 cawan jus asam jawa atau secukup rasa
3 inci ubi cekur
10 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
8 tangkai cili kering
1 inci belacan
15 biji cili padi hijau, jenis kampung
Garam secukup rasa
Air panas secukupnya

BAHAN - BAHAN LAIN :-)
12 tangkai pucuk ubi
10 tangkai pucuk bebuas
4 keping tempe bungkus daun
3 keping tauhu
1 biji timun saiz sederhana
1 biji sengkuang saiz kecil
2 genggam taugeh
6 tangkai kacang panjang, kerat pendek
3 biji telur, direbus

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH PECAL :- Cili kering dikerat, buang biji dan cuci bersih, lap kering dengan tissue dapur, kemudian goreng hingga wangi, angkat dan toskan. Kemudian goreng pula bawang merah, bawang putih, cili padi dan akhir sekali belacan. Biarkan sejuk sekejap. Masukkan semua bahan2 bergoreng tadi ke dalam alat pengisar (blender). Tambah isi cekur, gula melaka dan sedikit air masak. Kisar hingga halus.
  2. Tuang ke dalam mangkuk. Masukkan garam secukup rasa, tambah jus asam jawa dan kacau hingga sebati. Masukkan kacang tanah tumbuk, gaul dan tambah air panas secukupnya. Kuah pecal mestilah tidak terlalu pekat atau terlalu cair, kepekatannya kadar sederhana. Sesuaikan rasa dan ketepikan.
  3. UNTUK BAHAN PECAL :- Tempe dan tauhu digoreng, kemudian potong kiub. Pucuk ubi direbus dalam air mendidih yang ditambah sedikit garam dan beberapa titik minyak masak,. Rebus hingga lembut, toskan kemudian hiris kecil. Daun bebuas, kacang panjang, taugeh dicelur dalam air mendidih yang ditambah sedikit garam. Tos dan ketepikan. Timun dan sengkuang dihiris nipis. Telur rebus dikupas kemudian belah empat setiap satu. Ketepikan.
  4. UNTUK MENGHIDANG PECAL :- Dalam bekas besar, masukkan semua bahan2 untuk pecal kecuali telur rebus. Kemudian tuang kuah pecal, gaul hingga semua rata. Hias dengan telur rebus dan boleh hidangkan. Jika suka, boleh direnjiskan sedikit kicap lemak manis  JALEN sebelum dimakan. 
CATATAN MAT GEBU :- Untuk jus asam jawa, pastikan anda gunakan air suam untuk mendapatkan jusnya. Jika kurang manis, boleh masukkan sedikit gula pasir, tapi che mat guna gula melaka tu saja. Nak pedas boleh tambah bilangan cili padi dan sebaliknya. Kalau takde pucuk ubi, boleh guna kangkung. Nak tambah pucuk betik pun boleh, pastikan dicelur dulu dan hiris....Selamat mencuba!!

KARI NANGKA MUDA SAMA DAGING

rsz_gnm
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat kongsikan resipi tradisi yang mungkin biasa anda lihat mak mak kita masak kat kampung dulu iaitu kari nangka muda sama daging. Che mat masak semalam dalam kuantiti yang agak banyak juga. Sebabnya lauk macam ni kesedapan terlampaunya terhasil selepas sehari dimasak, maksudnya masak semalam, hari ni lagi sedap. Nangka muda biasa menjadi bahan masakan untuk masyarakat Melayu malah nusantara juga terutama di Indonesia. Walaupun ia hanya nangka muda yang dimasak kari, tapi bahan2nya agak 'mewah'. Untuk rencahnya paling tidak pun ayam, daging lembut atau pun ikan masin. Kalau dimasak lemak putih, ikan bilis dan udang kering lebih sesuai. Sebenarnya bila resipi yang agak banyak menggunakan bahan2, orang kurang suka nak mencuba, alasannya terlalu rumit. Yang tu che mat tak boleh nak kata apa. Masakan tradisional ini tiada jalan pintas jika kita nak mendapatkan hasil yang memuaskan. Che mat hanya berkongsi, selebihnya terpulang pada diri masing2 sama ada nak mencuba atau tidak, atau setidak2nya di lain waktu jika diperlukan, anda boleh jadikan ia sebagai sumber rujukan....Resipi dibawah cuma anggaran saja, kalau ikut yang betul2 che mat masak, mau seperiuk besar nanti!..

BAHAN - BAHANNYA :-)
700 gram daging lembu (che mat campur dengan daging tetel)
3 ulas bawang putih, diketuk*
1 inci halia, hiris halus*
1 camca teh garam*
1 kg nangka muda yang telah dikupas kulitnya dan dipotong kiub, rendam
1 liter santan cair
500 ml pati santan
1 keping asam gelugor
4 camca besar rempah kari daging Baba's
1/4 cawan cili kisar
1/2 camca besar gula melaka
2 camca besar penuh kerisik
1 camca besar minyak sapi
Garam secukup rasa
Air panas secukupnya

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
2 biji bawang besar
6 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
1 inci halia
2 batang serai, hiris
1/2 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup

BAHAN - BAHAN TUMIS :-)
1 biji bawang besar, hiris halus
3 ulas bawang putih, hiris halus
4 tangkai daun kari, dilurut
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
4 biji buah pelaga
7 kuntum bunga cengkih

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Daging dihiris, cuci bersih, toskan dan rebus bersama bahan bertanda (*), hingga empuk, asingakan air rebusannya. Nangka muda direbus hingga 1/2 empuk, tosk dan ketepikan. Sementara itu, bahan2 kisar halus dibancuh dengan rempah kari dan kacau hingga menjadi pes rempah, tambah sedikit air jika perlu. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk, masukkan minyak sapi dan biar hingga minyak sapi cair. Masukkan bahan2 tumis dan tumis hingga wangi dan bawang layu. Tambah cili kisar, kacau rata dan masak hingga cili kisar garing. Masukkan pes rempah, kacau dan masak hingga rempah naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa. 
  3. Masukkan nangka yang telah direbus 1/2 empuk tadi bersama daging rebus. Gaul hingga rata. Tuang air rebusan daging dan juga santan cair. Kacau rata dan biarkan mendidih dan masak hingga nangka empuk. Tambah kerisik dan asam gelugor. Biarkan mendidih perlahan, jika kurang kuah, boleh tambah sedikit lagi air panas.
  4. Tuang santan pekat, masukkan gula melaka dan perasakan dengan garam secukupnya. Kacau perlahan dan biarkan mendidih perlahan sambil dikacau sekali sekala. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih dan lauk2 lain. Masakan ini lebih sedap dimakan keesokkan harinya. Selamat mencuba!.

SAMBAL TUMIS SULUR KELADI

rsz_sskb
Assalammualaikum, salam Jumaat semua. Menu hari ni che mat nak kongsikan satu resipi yang sedap dan senang disediakan. Pernah makan sulur keladi? Ada yang makan dan ada juga yang 'pantang' makan sulur keladi atas faktor kesihatan ( barangkali). Sulur keladi antara sayuran klasik yang menjadi kegemaran orang2 Melayu dan che mat lah salah seorangnya (walaupun darah melayu 50% saja). Kali ini sulur keladi bukan tempatan punya, tapi sulur keladi Bangladesh. Betul, tak tipu dan satu yang che mat suka, selain saiz sulurnya yang agak besar, ia langsung tak gatal, warna sulur keladi Bangladesh lebih hijau jika nak dibandingkan sulur keladi tempatan yang kemerahan.  Jadi nak makan pun tak risau, sebab tak gatal. Harga boleh tahan, 1 kg RM 10.00, tapi ada tempat lain harga menjangkau RM12.00!, lagi mahal. Biasanya che mat masak asam tumis kan, kali ni kita beralih arah pulak, masak sambal tumis. Resipi biasa saja...anda pasti boleh buat....Jomm kita semak resipi..

BAHAN - BAHANNYA :-)
400 gram sulur Keladi Bangladesh
1/3 cawan isi udang yang telah dibersihkan
1 cawan cili kisar
1/4 cawan jus asam jawa (atau secukupnya)
Garam dan gula secukup rasa
Sedikit air panas

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/2 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Sulur keladi dikikis kulit luarnya, kemudian potong pada ukuran kurang lebih 3 inci. Cuci dan toskan. Didihkan air, masukkan sekeping asam gelugor. Tambah sulur keladi tadi dan celur hingga sulur keladi lembut. Tos dan ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali. Tumis bahan2 kisar halus hingga harum. Masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa. Tuang jus asam jawa (tuang sedikit dulu), kacau dan masukkan udang. 
  3. Bila udang berubah warna, masukkan sulur keladi dan sedikit air panas. Kacau rata dan perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula. Rasa dan jika perlu, masukkan jus asam jawa secukupnya. Kacau dan masak hingga pekat sedikit. Boleh matikan api, hidangkan bersama nasi panas dan lauk2 lain. Selamat mencuba!

CENDAWAN KUKUR TUMIS SANTAN

rsz_ckts
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat masak menu cendawan kukur. Alhamdulillah, diberi rezeki candawan kukur kering dari abang Ngah che mat. Jadi che mat ambil kurang lebih 1 cawan lebih, rendam dan kita masak tumis sama santan. Nama saja tumis, tapi minyak tak guna banyak, dalam 2 camca besar sahaja. Santan pulak belen2 yang che mat simpan dalam peti sejuk adalah dalam 1 cawan (jika takde, boleh guna santan kotak - 1/2 kotak santan dan campurkan air hingga jadi 1 cawan). Menu ini amat ringkas dan sedap dimakan bersama nasi panas dan ikan goreng. Che mat guna ikan bilis sebagai perencahnya. Jika nak gantikan dengan udang kering pun boleh juga, ikut selera masing2. Tapi ikan bilis lagi sedap dan terasa lebih 'melayu'. Kalau nak mencuba, che mat kongsikan resipi di bawah ini...

BAHAN - BAHANNYA :-)
1+ cawan cendawan kukur kering
2 batang serai
1 cawan santan sederhana pekat
1 keping asam gelugor
1 genggam ikan bilis, dibersihkan dan rendam sekejap, toskan
1 helai daun kunyit
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
1/4 cawan cili padi kampung jenis hijau
6 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Cendawan kukur yang telah kembang, dibersihkan, toskan dan cuci sekali lagi. Perah dan tumbuk dalam lesung batu hingga cendawan memar, tak perlu sampai hancur lumat. Daun kunyit dimayang halus, serai dititik. Ketepikan.
  2. Panaskan  2 camca besar minyak masak, tumis serai titik hingga harum. Masukkan bahan2 kisar halus dan masak hingga wangi. Tuang santan dan tambah sedikit air (anggaran 1/2 cawan), kacau rata dan biarkan mendidih.
  3. Masukkan cendawan kukur, ikan bilis dan asam gelugor. Gaul rata dan masak hingga hampir kering. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Akhir sekali masukkan daun kunyit yang dimayang halus. Kacau rata dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih dan ikan goreng...

RESIPI SAMBAL TEMPOYAK DAUN KAYU

rsz_stdkns
Assalammualaikum, salam Isnin. Hari ni bonda che mat bepuasa sunat. Kadang2 fikir juga nak masakkan apa lah agaknya untuk bonda berbuka nanti. Dia tak memaksa dan makan apa saja, yang simple2 sudah cukup. Tapi che mat memang risau dan kadang2 tu kalau buatkan yang mudah2, rasa macam tak bess pulak. Tempoh hari ada stok pucuk labu kat rumah dan che mat ada beli petai. Jadi hari ni mari kita masak sambal tempoyak daun kayu, typical orang nismilan nya makanan ni, kalau gaul sama nasi panas, mau berbulu tangan. Daun2 guna yang ada sekitar rumah saja. Pucuk ubi bahan penting dan diikuti pucuk labu, daun kaduk, pucuk kacang panjang dan daun kunyit yang kesemuanya diracik halus seperti bunga rampai. Kalau dapat guna tempoyak baru, lagi wangi. Pedas tu anda boleh ikut selera masing2, nak lebihkan atau kurangkan cili padi. Kalau che mat sudah semestinya kena pedas baru lah 'seksi'...peluh2 kau masa makan...haha...nak mencuba?..Jomm semak resipi di bawah ini...

BAHAN - BAHANNYA
1 cekak pucuk ubi
6 - 7 tangkai pucuk labu
20 helai daun kaduk
20 helai pucuk kacang panjang
6 helai daun kunyit muda
3 papan petai
4 camca besar tempoyak
1 liter santan
1 keping kecil asam gelugor
1 genggam ikan bilis
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
1 cawan cili padi (che mat guna yang merah dan hijau)
1 inci kunyit hidup
3 batang serai, hiris halus

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Pucuk ubi diasingkan dari tangkainya, kemudian mayang halus seperti bunga rampai, masukkan ke dalam bekas. Begitu juga dengan pucuk labu, daun kaduk, pucuk kacang panjang dan daun kunyit, dimayang halus. Masukkan ke dalam bekas berisi pucuk ubi, cuci kemudian toskan hingga kering. Petai diambil isinya, kemudian potong kecil. Ketepikan.
  2. Masukkan bahan2 kisar halus ke dalam kuali, tambah tempoyak, ikan bilis (toskan airnya), petai dan santan. Kacau rata hingga tempoyak larut. Hidupkan api dan masak hingga menggelegak dan kuah pekat sedikit.
  3. Masukkan asam gelugor dan daun2 yang telah dimayang tadi, sederhanakan api dan gaul hingga semua mesra. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau dan masak hingga pekat. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih dan lauk2 lain. Selamat mencuba!