RESIPI MI GORENG MAMAK
Assalammualaikum, salam Isnin. Hari ni bonda che mat berpuasa dan menu permintaan bonda ialah ikan sungai masak lemak cili padi, tapi takmo guna asam gelugor, kena taruk perahan limau kasturi. Ok, tak jadi masalah dah che mat dan siap masak pun. Menu macam tu kena masak awal, baru rasanya lebih ampuh bila dimakan nanti. Dan untuk tengah hari tadi che mat bikin mi goreng mamak. Dalam peti sejuk ada baki mi kuning kurang lebih 1 kati atau 600+ gram. Ada juga udang dan bahan2 yang rasa che mat memang sesuai untuk dimasukkan dalam mi goreng mamak. Mi goreng mamak kebiasaannya agak kering. Dimasukkan juga kentang dan cili hijau, aroma mi goreng mamak memang sedap kerana ia dimasak hingga mi sedikit garing. Anda boleh buat sendiri dirumah dan che mat kongsikan resipi di bawah ini....Selamat mencuba untuk semua!!..
600 gram mi kuning (kurang lebih)
1 biji kentang saiz besar
1 keping tauhu keras
1 genggam isi udang, cuci dan toskan
1 batang fish cake, hiris (che mat guna jenama MUSHROOM)
4 biji bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, cincang halus
1 - 2 biji cili hijau, hiris
2 genggam longgar taugeh
3 pokok sawi bok choy, siang berasingan daun dan tangkainya
2 camca besar cili kisar
2 camca besar sos cili
1 1/2 camca besar sos tomato
1 camca besar sos tiram
2 camca besar kicap pekat
Kicap cair secukup rasa
2 biji telur dipukul sedikit
Limau kasturi, dibelah 2
Hirisan timun (che mat tak de stok)
CARA MEMBUATNYA :-)
- Kentang dikupas, cuci dan dipotong kiub, kemudian goreng hingga kekuningan, angkat dan toskan. Goreng pulak tauhu hingga kekuningan, angkat dan toskan, biar sejuk kemudian dipotong kiub. Cuci mi kuning bawah air paip, tos dan ketepikan.
- Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 4 camca besar). Tumis bawang putih dan bawang merah hingga harum dan bawang layu. Masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing. Tambah sos tiram, sos cili dan sos tomato. Kacau rata dan masak sekejap.
- Masukkan udang, fishcake, tauhu, kentang dan batang sawi. Gaul rata dan masak sekejap. Tolak bahan2 tadi ke tepi kuali, masukkan telur dan biar hingga telur mengental (jika perlu boleh masukkan 1 camca besar minyak masak), hancurkan dan gaul rata dengan bahan2 lain.
- Masukkan mi kuning, besarkan api dan kacau pantas hingga semua rata. Tambah kicap cair secukup rasa (rasa dulu baru masukkan kicap cair). Masukkan daun sawi, taugeh dan hirisan cili hijau. Gaul rata dan masak hingga mi kering dan sedikit garing. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama hirisan timun dan belahan limau kasturi..
No comments:
Post a Comment