RESIPI SOTONG PAPRIK

rsz_smp
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat masak lewat petang. Disebabkan lauk semalam (gulai lemak pisang muda sama cendawan kukur) masih berbaki, jadi hari ni kita masak sotong. Dan kebetulan bonda che mat puasa sunat Isnin, jadi kiranya menu sotong sebagai tambahan untuk berbuka puasa. Tadi sempat juga naikkan status di FB, minta pendapat sotong ni nak masak apa? Maka ramailah teman2 FB yang komen dengan macam2 idea yang semuanya menarik, terima kasih yea. Che mat ambik keputusan masak paprik, sebab utama dalam peti sejuk ada baki2 sayur yang kalau tak dihabiskan mesti jadi bahan kompos nanti. Cuma che mat takde lobak merah, yang lain2 tu rasanya terlebih cukup. Sebenarnya takde syarat apa jenis sayur yang perlu kita masukkan, cuma jangan berlebihan, tu saja. Che mat guna lima ekor sorong saiz sederhana (panjang kurang lebih satu jengkal dewasa). Kalau guna sotong kecil, boleh lah lebihkan. Resipi memang mudah dan sedap dimakan bersama nasi panas. Jika ingin mencuba, resipi seperti dibawah ini...

BAHAN - BAHANNYA :-)
5 - 6 ekor sotong saiz sederhana (saiz sejengkal orang dewasa)
2 batang serai, diketuk
3 helai daun limau purut
5 batang putik jagung, hiris serong
Sebesar penumbuk bunga kobis, potong sekuntum2
5 kuntum cendawan butang, belah 5 setiap 1
1 biji cili hijau, hiris kasar
6 biji cili padi merah, diketuk
10 biji tomato ceri
2 tangkai kacang panjang, potong pendek
1 batang leek, kerat pendek dan rendam
1 biji bawang besar, hiris kasar
2 ulas bawang putih, cincang halus
1 camca besar cili kisar
1 camca teh gula
Sos ikan secukup rasa
Sedikit air

BAHAN - BAHAN SOS :-)
2 camca besar sos tiram
4 camca besar sos cili
2 camca besar sos tomato

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Sotong diasingkan kepalanya, buang muncung, mata dan dakwat sotong, cuci dan toskan. Bahagian badannya dihiris bulat, cuci dan toskan. Satukan bahan2 sos dan kacau rata. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 3 camca besar). Tumis bawang besar, bawang puti dan serai hingga harum. Masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing. Guna api kecil dan kacau sentiasa. Tambah bahan2 sos, kacau rata dan biarkan mendidih. Masukkan bunga kobis, kacang panjang, leek (toskan dulu airnya) dan cili padi. Kacau rata dan tuang sedikit air.
  3. Masukkan sotong, kacau dan masak hingga sotong berubah warna. Tambah putih jagung, cili hijau, cendawan butang dan daun limau purut, kacau rata. Masukkan gula dan perasakan dengan sos ikan secukupnya. Akhir sekali tambah tomato ceri, kacau dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas dan lauk2 lain. Selamat mencuba!.

SAMBAL SOTONG BERSERAI

rsz_1ssss
Assalammualaikum, salam semua...Entri kali ni saja che mat nak kongsi resipi sambal sotong berserai. Benda biasa yang selalu orang masak, tapi che mat jarang masak sebab dulu masa ada arwah Bak, Bak tak boleh makan sotong sebab gaout. Che mat pun tak boleh makan kalau ikut kan, takut gatal tapi sebab dah mengidam sangat, pejam mata sajalah. Kalau gatal karang, kita makan lah ubat. Tadi ada yang tanya che mat, macam mana nak elakkan sambal sotong tu berair. Hurmm, sebenarnya che mat pun mengalami masalah sama. Sebelum ni pernah celur sekejap sotong tu sebelum dimasukkan ke dalam pes sambal yang kita dah tumis sampai naik minyak, tapi ada kala rasa sayang juga sebab bila celur, manis sotong tu dah keluar. Yang ini che mat buat macam biasa. Lepas hiris sotong tu, cuci semua dan toskan dalam tapis. Bila sambal dah betul2 garing dan naik minyak kita masukkan sotong, besarkan api dan kacau rata hingga sotong berubah warna. Masak sekejap saja dalam 1 - 2 minit...dan hasilnya seperti dalam gambar kat atas tu...Nak resipi?...jomm kita semak..

BAHAN - BAHANNYA :-)
6 - 7  ekor sotong (che mat guna sotong yang panjang dalam sejengkal)
1 biji bawang besar, hiris kasar
1/4 cawan jus asam jawa
1 cawan cili kisar
2 batang serai, diketuk
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
7 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
3 biji cili merah (cili hidup)
1/2 inci halia
1/2 inci kunyit hidup
Sebesar ibu jari belacan, dibakar

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Sotong dihiris, buang muncung dan mata sotong. Cuci, tos dan perap dengan jus limau kasturi selama 10 minit, cuci dan toskan dalam tapis. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 1/3 cawan). Tumis serai dan bahan2 kisar halus hingga harum. Tambah cili kisar dan masak hingga cili garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Masukkan jus asam jawa, kacau dan perasakan dengan garam secukupnya dan gula ( yang ni ikut selera anda, ada yang suka sambal tumis manis sedikit dan ada yang tak). Kacau dan masak hingga pekat dan garing. Tambah bawang besar hiris, gaul rata dan masukkan sotong. Besarkan api dan kacau hingga rata dan sotong berubah warna. Masak untuk 1 - 2 minit dengan api besar. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi atau nasi lemak....Selamat mencuba!!.

KARI ASAM SOTONG TIN

rsz_kast
Assalammualaikum, salam Isnin semua...Apa nak masak hari ni?...Soalan yang paling kerap muncul dibenak fikiran setiap suri rumah atau mereka2 yang menyediakan hidangan untuk keluarga. Che mat pun macam tu juga. Ada masa memang tak masak sebab habiskan lauk2 yang berbaki. Tapi hari ni tiba2 nak cuba masak kari asam sotong tin. Tu hari che mat dapat kiriman sotong keluaran Ayam Brandm dari syarikat mereka. Kiranya ini antara keluaran terbaru Ayam Brand. Biasanya kita lihat dipasaran sotong tin yang jenama satu lagi tu, tapi kini anda boleh cuba jenama Ayam Brand pulak. Che mat guna 1 tin besar, kalau nak banyak boleh guna 2 tin. Sebenarnya anda boleh pelbagaikan kaedah memasak, nak bikin sambal tumis, nak masak padprik, nak masak lemak cili padi pun ok, takde masalah. Macam menu yang anda lihat tu, siapa sangka sotong dalam tin boleh dimasak kari asam...Rasa dia macam mana?...cuba dulu, in sha Allah anda akan bertambah nasi lepas tu....Resipi seperti berikut...

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 tin sotong Ayam Brand (tin besar)
10 batang bendi muda (jenis pendek)
12 biji tomato ceri
1 genggam daun kesom
1 kuntum bunga kantan, belah 2
Jus asam jawa secukupnya
5 biji cili padi merah, dibelah 2 tapi tak putus setiap 1
1/3 cawan cili kisar
1 camca besar rempah kari ikan (Baba's)
Garam dan gula secukup rasa
3 biji bawang merah, hiris*
2 ulas bawang putih, hiris*
2 tangkai daun kari, dilurut*
1/4 camca teh halba*(*bahan2 tumis)
Air secukupnya

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia
3 keping hirisan lengkuas
1/2 inci kunyit hidup
2 biji buah keras, hiris

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Asingkan sotong dari kuahnya, jika suka sotong anda boleh potong sedikit (che mat tak potongm masak macam tu saja). Bendi di cuci dan toskan. Bancuh bahan2 kisar halus dengan rempah kari, kacau rata hingga menjadi pes, ketepikan.
  2. Panakan minyak dalam periuk (anggaran 1/4 cawan), tumia bahan2 bertanda (*), kacau rata dan masak hingga layu. Masukkan pes rempah dan kacau rata, tambah cili kisar, kacau dan terus memasak hingga naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  3. Tuang kuah sotong (yang diasingkan tadi), tambah air secukupnya, kacau dan biarkan mendidih. Masukkan sotong dan bendi, tambah jus asam jawa secukup rasa. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula.
  4. Masukkan daun kesom, cili padi yang dibelah dan bunga kantan, masak sekejap. Akhir sekali tambah tomato ceri, dan biarkan tomato lembut, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih, telur dadar, sambal belacan dan ulam2man...Selamat mencuba!!

SAMBAL SOTONG TIN CAMPUR NANAS

rsz_stsn
Assalammualaikum, salam semua...phewww, baru ni dapat nak berehat sambil update blog. Hari ni che mat masak serba ringkas. Antara menu yang dipersetujui selain sambal sotong tin campur nanas ni, che mat masak asam tumis ikan parang campur terung, bendi rebus dan goreng kunyit ikan air tawar (ikan terebul). Memang hari ni macam malas sangat nak masak. Bosan juga kalau hari2 habiskan masa di ceruk dapur, ketat juga muka, tapi nak kata apa, tanggungjawab harus diutamakan, betul tak. Sebenarnya che mat mencuba produk baru sotong tin Ayambrand. Biasanya guna yang satu lagi tu, tapi kali ni kita cuba jenama ni pulak.

rsz_ssca
Ayambrand yang paling kita biasa ialah sardine dan ikan tuna dalam tin selain ada juga produk2 berkaleng seperti isi jagung manis, nanas, cendawan dan sebagainya. Sotong dalam tin ialah keluaran terbaru mereka. Tempoh hari che mat menerima sampel dari pihak Ayambrand. Jadi dah alang2 memasak, apa kata kita cuba rasa, ok ke tak. Didatangkan dalam 2 jenis, tin kuning berkuahkan kicap dan tin hijau kuah kicap cili padi. Untuk sambal tumis che mat guna tin kuning saiz besar seperti dalam gambar. Ini antara benda2 makanan dalam tin yang anda boleh simpan untuk bulan Ramadan nanti. Resipi sambal sotong tin campur nanas ini juga boleh dihidangkan dengan nasi lemak jika anda sukakan kelainan....Resipi seperti di bawah ini..

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 tin besar sardin sotong Ayambrand
2 cawan isi nanas yang dihiris serong sederhan tebal
1 biji bawang besar, hiris kasar
3/4 cawan cili kisar
1/4 cawan jus asam jawa
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
6 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1 batang serai, hiris halus

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Asingkan isi sotong dari kuahnya. Kemudian potong kecil sotong tadi dan ketepikan. Panaskan minyak dalam kuali. Tumis bahan2 kisar halus hingga harum, masukkan cili kisar, kacau rata dan masak hingga cili garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Masukkan kuah sotong dan jus asam jawa. Kacau rata dan masak hingga mendidih. Tambah nanas, kacau dan masak hingga pekat. Masukkan sotong dan bawang besar. Kacau rata dan tambah garam secukup rasa (rasa dulu sebelum anda masukkan garam secukup rasa).
  3. Akhir sekali masukkan gula (anggaran 1 camca besar penuh), kacau dan masak dengan api kecil hingga sambal pekat. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas dan lauk2 lain....

SOTONG KANGKUNG VERSI MUDAH..

rsz_sotongkangkungg
Assalammualaikum, salam semua. Sotong kangkung yang anda lihat ni buat semalam, saing2 dengan asam pedas kambing tu. Kebetulan ada kangkung yang bonda tanam. Tak banyak, ada lah dalam beberapa tangkai (tapi dalam resipi che mat tulis untuk 1 cekak kangkung). Dalam freezer pulak ada sotong kembang, bahan2 untuk sos pun ada, tinggal bancuh2 saja. Jadi che mat buat lah. Resipi memang senang teramat sangat. Dan untuk sos dia tu tak perlu nak masak2, cuma masukkan bahan2 yang diperlukan, kacau2 dah siap. Buat lebih boleh simpan dalam peti sejuk untuk kegunaan kemudian. Nak pedas, tumbuk 3-4 biji cili padi dan masukkan dalam sos dia. Sotong kembang tu anda perlu rebus dahulu, tapi dalam air rebusan jangan taruk garam, nanti sotong kembang jadi liat macam tiub tayar kereta!..Celur kangkung pulak, anda titikkan sedikit minyak masak agar kangkung kelihatan segar. Menu macam ni, paling sedap dimakan segera...Sesuai untuk bulan Ramadan yang akan tiba tak lama lagi...Ingin mencuba?...Resipi di bawah ini...

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 cekak kangkung
2 ekor sotong kembang (kalau saiz besar, guna 1 ekor)
Kacang tanah digoreng tanpa minyak dan tumbuk kasar
Bijan secukupnya, digoreng tanpa minyak

BAHAN - BAHAN SOS :-)
4 camca besar petis @ otak udang
2 camca besar sos hoisin (jenama LIFE)
2 camca besar penuh sos plum (jenama LIFE)
1 camca besar kicap pekat JALEN
4 - 5 biji cili padi merah, ditumbuk halus
2 - 3 camca besar air panas
Gula jika perlu

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. UNTUK SOS :- Satukan semua bahan2 untuk sos dalam mangkuk kecuali gula dan air panas. Kacau rata dan masukkan air panas. Kacau hingga sebati, rasa dan jika perlu baru masukkan sedikit gula. Biasanya petis sudah ada gula dan garam. Tambah pula dengan sos hoisin dan sos plum yang memang sedia kala ada gula dan garam. Anda bijak2 lah adjust sampai rasa ok, tapi jangan taruk air lagi nanti cair sangat tak sedap...
  2. UNTUK KANGKUNG DAN SOTONG KEMBANG :- Kangkung disiang berasingan batang dan daunnya, cuci dan toskan. Didihkan air, masukkan sedikit garam dan sedikit minyak masak. Celur batang kangkung hingga lembut, angkat dan toskan. Kemudian celur pulak daun kangkung hingga lembut, angkat dan toskan.
  3. Sotong kembang dikelar2 dipotong kecil. Perap dengan jus limau kasturi selama 10 minit.Cuci dan toskan. Didihkan air, masukkan sotong tadi dan celur 1 minit. Toskan dan biar sejuk.
  4. UNTUK SOTONG KANGKUNG :- Ambik secukupnya kangkung celur dan taruk dalam pinggan sesuai. Tambah sotong kembang atasnya. Siramkan dengan sos secukupnya (yang ni ikut anda nak banyak mana). Taburkan dengan kacang tumbuk dan sedikit bijan. Boleh hidangkan segera....Selamat mencuba!!.