RESIPI LAKSA JOHOR

rsz_ljmg
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat ber'laksa Johor'. Entah kenapa sejak2 ni mengidam yang bukan2. Pantang orang sebut, terus tekak teringin. Tu hari ada yang sebut2 kari betik, rasa nak buat juga, tapi sayang betik pulak takde. Lepas tu ngidam asam rebus peria katak sama ikan pari masin, yang tu in sha Allah esok che mat masak. Tapi hari ni kita laksanakan menu warisan orang2 Johor, iaitu Laksa Johor. Ada banyak versi dan dari sumber2 yang che mat baca, laksa Johor yang asli menggunakan ikan parang dan tak menggunakan kacang panjang sebagai ulam, sebaliknya ditambah lobak asin yang dicincang halus. Makan pulak sudah tentu guna tangan. Tapi untuk foto, che mat taruklah sudu dan garfu, kasi lawa2..

rsz_ljmg1
Kali ni che mat guna seekor ikan parang saiz sederhana. Ada yang tanya kat IG tapi macam mana nak asingkan isi ikan parang tu dari tulang dia, almaklumlah ikan parang ni, tulang dia banyak, berselirat. Apa yang che mat buat, ikan tu ku rebus dalam periuk tekanan (pressure cooker) selama 1 jam lebih, yang ini ikut periuk masing2. Lepas tu tulang tengah dia dibuang dan kisar halus isi ikan parang tadi dalam food processor hingga lumat. Tulang2 dalam isi ikan tu semua akan hancur. Tu cara mudah, kalau nak cara rumit kenalah tarik keluar tulang ikan parang satu persatu sampai habis. Selain ikan parang, boleh juga nak guna ikan kembong, ikan selayang@sardine atau ikan tenggiri. Resipi tak banyak beza dari yang lepas2 cuma tang ikan tu che mat gantikan dengan ikan parang, tu saja....

BAHAN-BAHAN KUAH LAKSA JOHOR :-)
1 ekor ikan parang segar (kurang lebih 1 kg)
250 gram isi udang
Isi ikan kurau masin sebesar 3 inci x 3 inci, rendam
4 camca besar udang kering, rendam hingga lembut.
2 camca penuh besar kerisik
1/2 inci lengkuas, dititik
4 - 5 keping asam gelugor
12 biji bawang merah kecil*
2 ulas bawang putih*(*kisar halus)
2 camca besar cili kisar
2 camca besar rempah kari ikan (baba's)
2 camca besar ketumbar serbuk
1 camca besar jintan manis serbuk
2 liter santan segar
1 genggam daun kesom
2 kuntum bunga kantan, belah dua setiap satu
Sedikit daun selasih
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN ULAMAN :-)
Taugeh, dibuang ekor, cuci dan toskan
Kacang panjang, dihiris halus
Daun kesom, hiris halus
Daun selasih, hiris halus
Timun, ambil bahagian luar dan buang empulurnya, hiris halus
Bawang besar, hiris halus

BAHAN-BAHAN LAIN :-)
Sambal belacan
Spaghetti, direbus hingga lembut dan toskan, gaul dengan sedikit minyak makan, kemudian  di "chap" (dibuat sanggul)
Limau kasturi secukupnya, dibelah dua

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH LAKSA JOHOR :- Satukan rempah kari, ketumbar serbuk, jintan manis serbuk dan bahan kisar halus, kacau rata hingga menjadi pes rempah dan ketepikan. Udang dicelur, asingkan kulitnya, kisar halus, ikan parang direbus, asingkan isi dari tulangnya, kisar isinya dalam food processr hingga halus, udang kering ditoskan, isi ikan kurau masin juga ditoskan dan potong kecil, kisar halus udang kering dan isi ikan kurau masin tadi. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk. Tumis lengkus dan cili kisar hingga harum, masukkan pes rempah dan masak hingga terbit minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa. Tuang santan dan juga stok air rebusan udang dan ikan. Kacau rata. Masukkan isi ikan parang kisar, udang kisar dan udang kering + isi ikan masin kurau kisar. Kacau hingga semua rata dan mesra. Biar mendidih.
  3. Masukkan kersik, asam gelugor, bunga kantan, daun kesom dan sedikit daun selasih. Kacau dan masak dengan api perlahan selama 45 minit hingga 1 jam. Tambah garam secukup rasa dan gula secukupnya. Masak sekejap lagi, rasa dan jika ok boleh matikan api. Ketepikan.
  4. UNTUK LAKSA JOHOR :- Ambil secukupnya spaghetti yang telah dichap (disanggul) tadi ke dalam bekas sesuai. Tuang kuah laksa secukupnya, kemudian hias dengan bahan2 ulaman, letak sambal belacan dan juga belahan limau kasturi, hidangkan segera.
CATATAN MAT GEBU :- Kulit udang tadi dikisar dengan air rebusan dan tapis. Ikan parang che mat buang bahagian kepalanya, kendian kerat 4 bahagian dan rebus dalam periuk tekanan selama 1+ jam. Ini akan menjadikan tulang ikan parang lembut seperti sardine dan bila kisar dalam food processor, tulang ikan parang semua hancur. Untuk sambal belacan , che mat tumbuk 5 biji cili merah + 6 biji cili padi + 1 inci belacan yang dibakar harum + secubit garam = tumbuk hingga halus, boleh hidangkan bersama laksa Johor tadi... Selamat mencuba!!..

GULAI LEMAK PISANG MUDA SAMA CENDAWAN KUKUR

rsz_gpckim
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat masak menu tradisi yang menjadi hidangan kegemaran kami. Gulai lemak pisang muda sama cendawan kukur dan rencah dia che mat guna tulang ikan kurau masin, Kalau nak guna isi ikan kurau masin pun boleh atau apa2 jenis ikan masin yang anda suka, ikan masin talang dan ikan sepat masin pun boleh. Untuk resipi ini che mat guna pisang kapas muda dalam 2 sisir, memang agak banyak bila dicampurkan cendawan kukur. Tujuan masak lebih tu sebab gulai macam ni bila anda makan esoknya, rasa dia lagi sedap..lagi menyengat. Tapi nanti resipi che mat tak lah tulis masak sebanyak ini, tapi che mat tulis untuk masak kurang lebih 1 sisir pisang muda. Selain pisang kapas muda, boleh juga guna pisang lemak manis atau pisang kari, cuma rasa dia beza sikit lah. Resipi tidak susah mana, cuma kerja dia leceh sikit terutama bab pisang muda tu...Tapi sekali2 mencuba apa salahnya, betul tak. Ini kan masakan/makanan warisan kita....Resipi seperti berikut..

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 sisir pisang kapas muda
1 cawan cendawan kukur @ kulat sisir yang kering, rendam hingga kembang
5 - 6 ketul tulang ikan masin kurau yang masih ada isi, cuci dan rendam
3 batang serai, diketuk
1 helai daun kunyit, disiat
1 liter santan cair
400 ml pati santan
1 keping asam gelugor
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
3 biji bawang besar
7 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
3 biji cili merah
20 biji cili padi kampung
1/2 inci belacan
1 genggam ikan bilis, dibersikan dan direndam 10 minit dan toskan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Pisang muda dicuci bersih kemudian disiat sedikit kulitnya dan rendam, ketepikan. Pisang tadi diketuk perlahan dengan belakang parang hingga pecah (atau boleh juga ditumbuk dalam lesung, tapi jangan sampai hancur, tumbuk pecah2 sudah cukup). Buat hingga siap dan masukkan ke dalam periuk bersama2 kulit pisang tadi. Rebus hingga lembut dan berkanji, ketepikan.
  2. Cendawan kukur dicuci dan toskan. Perah dan tumbuk sedikit cendawan tadi. Alihkan ke dalam periuk, masukkan serai titik dan pisang muda yang telah direbus bersama air rebusannya. Tambah bahan2 kisar halus, kacau dan masak hingga mendidih.
  3. Tuang santan cair, kacau dan masak hingga menggelegak (tambah sedikit air jika perlu). Toskan tulang ikan masin kurau, cuci sekali lagi dan masukkan ke dalam periuk bersama2 asam gelugor. Masak sekejap dan tuang santan pekat. Kacau perlahan dan biarkan mendidih dengan api sederhana.
  4. Masukkan daun kunyit, perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau rata dan masak untuk 4 - 5 minit lagi. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih, ikan goreng dan sambal belacan....Selamat mencuba!

KARI NANGKA MUDA SAMA DAGING

rsz_gnm
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat kongsikan resipi tradisi yang mungkin biasa anda lihat mak mak kita masak kat kampung dulu iaitu kari nangka muda sama daging. Che mat masak semalam dalam kuantiti yang agak banyak juga. Sebabnya lauk macam ni kesedapan terlampaunya terhasil selepas sehari dimasak, maksudnya masak semalam, hari ni lagi sedap. Nangka muda biasa menjadi bahan masakan untuk masyarakat Melayu malah nusantara juga terutama di Indonesia. Walaupun ia hanya nangka muda yang dimasak kari, tapi bahan2nya agak 'mewah'. Untuk rencahnya paling tidak pun ayam, daging lembut atau pun ikan masin. Kalau dimasak lemak putih, ikan bilis dan udang kering lebih sesuai. Sebenarnya bila resipi yang agak banyak menggunakan bahan2, orang kurang suka nak mencuba, alasannya terlalu rumit. Yang tu che mat tak boleh nak kata apa. Masakan tradisional ini tiada jalan pintas jika kita nak mendapatkan hasil yang memuaskan. Che mat hanya berkongsi, selebihnya terpulang pada diri masing2 sama ada nak mencuba atau tidak, atau setidak2nya di lain waktu jika diperlukan, anda boleh jadikan ia sebagai sumber rujukan....Resipi dibawah cuma anggaran saja, kalau ikut yang betul2 che mat masak, mau seperiuk besar nanti!..

BAHAN - BAHANNYA :-)
700 gram daging lembu (che mat campur dengan daging tetel)
3 ulas bawang putih, diketuk*
1 inci halia, hiris halus*
1 camca teh garam*
1 kg nangka muda yang telah dikupas kulitnya dan dipotong kiub, rendam
1 liter santan cair
500 ml pati santan
1 keping asam gelugor
4 camca besar rempah kari daging Baba's
1/4 cawan cili kisar
1/2 camca besar gula melaka
2 camca besar penuh kerisik
1 camca besar minyak sapi
Garam secukup rasa
Air panas secukupnya

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
2 biji bawang besar
6 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
1 inci halia
2 batang serai, hiris
1/2 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup

BAHAN - BAHAN TUMIS :-)
1 biji bawang besar, hiris halus
3 ulas bawang putih, hiris halus
4 tangkai daun kari, dilurut
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
4 biji buah pelaga
7 kuntum bunga cengkih

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Daging dihiris, cuci bersih, toskan dan rebus bersama bahan bertanda (*), hingga empuk, asingakan air rebusannya. Nangka muda direbus hingga 1/2 empuk, tosk dan ketepikan. Sementara itu, bahan2 kisar halus dibancuh dengan rempah kari dan kacau hingga menjadi pes rempah, tambah sedikit air jika perlu. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk, masukkan minyak sapi dan biar hingga minyak sapi cair. Masukkan bahan2 tumis dan tumis hingga wangi dan bawang layu. Tambah cili kisar, kacau rata dan masak hingga cili kisar garing. Masukkan pes rempah, kacau dan masak hingga rempah naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa. 
  3. Masukkan nangka yang telah direbus 1/2 empuk tadi bersama daging rebus. Gaul hingga rata. Tuang air rebusan daging dan juga santan cair. Kacau rata dan biarkan mendidih dan masak hingga nangka empuk. Tambah kerisik dan asam gelugor. Biarkan mendidih perlahan, jika kurang kuah, boleh tambah sedikit lagi air panas.
  4. Tuang santan pekat, masukkan gula melaka dan perasakan dengan garam secukupnya. Kacau perlahan dan biarkan mendidih perlahan sambil dikacau sekali sekala. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih dan lauk2 lain. Masakan ini lebih sedap dimakan keesokkan harinya. Selamat mencuba!.

RESIPI PAIS TELUR IKAN

rsz_pti
Assalammualaikum, salam semua. Menu ringkas hari ni. Pernah makan pais telur ikan?..Che mat pertama kali buat, tu pun sebab stok telur ikan memang ada dalam freezer. Plan asal nak bikin semalam, tapi semalam dah masak asam pedas, kalau banyak sangat menu tak sapa nak makan. Jadi plan bikin pais telur ikan ditunda ke hari ini. Resipi che mat mungkin tak sama dengan resipi orang yang lain, kira ni style sendiri. Ada yang tanya di FB, telur ikan yang digunakan tu, telur ikan apa?...Sebenarnya che mat sendiri tak tau telur ikan jenis apa. Tapi saiznya tak besar sangat dan bewarna putih. Anda boleh guna telur ikan tenggiri atau telur ikan parang. Tapi kalau telur ikan tongkol agak kurang sesuai, sebab keras. Ada  juga yang guna telur ikan mayong, cuma che mat tak berapa nak hadam telur ikan mayong kalau masak macam ni. Resipi ini akan menghasilkan 3 bungkus pais telur ikan, kalau nak buat 4 pun boleh. Satu lagi, untuk bahan2 rempah kalau dapat tumbuk guna lesung batu, baru sedap. Ingin mencuba, resipi seperti di bawah ini...

BAHAN - BAHANNYA :-)
200 gram telur ikan (boleh guna telur ikan tenggiri, telur ikan parang dan sebagainya)
20 helai daun kesom, hiris halus
2 helai daun limau purut, hiris halus
2 biji limau nipis
1/2 cawan kelapa parut
Garam dan gula secukup rasa
Daun kunyit secukupnya
Daun pisang secukupnya (saiz 12 inci x 12 inci)
Lidi sate secukupnya
Sedikit minyak masak

BAHANN - BAHAN TUMBUK HALUS :-)
10 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
2 batang serai, hiris halus
3 biji buah keras, hiris
1/2 inci kunyit hidup
2 biji cili merah
5 biji cili padi merah

rsz_pais

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Telur ikan dicuci bersih, gaul dengan jus limau nipis (guna 1 biji limau nipis dari senarai bahan2) dan sedikit garam. Perap 10 minit, cuci dan toskan. Daun pisang dilap dengan kain lembap, kemudian salai sekejap atas api hingga lembut, tujuan untuk memudahkan anda membungkus pais nanti. Ketepikan.
  2. Dalam satu mangkuk besar satukan bahan2 tumbuk halus, kelapa parut, hirisan daun limau purut dan daun kesom. Gaul rata, perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Masukkan jus limau nipis (guna baki sebiji limau dari senarai bahan2). Tambah telur ikan dan gaul rata2. Ketepikan.
  3. Panaskan kuali pemanggang. ambil sekeping daun pisang, alaskan dengan sehelai dau kunyit (jika daun kunyit saiz besar, kerat 2 dan guna 1 bahagian). Sudukan 1/3 bahagian bahan2 pais atasnya (seperti gambar di atas). Bungkus seperti membungkus lepas pisang. Sematkan kiri dan kanan bungkusan dengan lidi sate. Gunting hujungnya agar kelihatan kemas. Buat hingga siap.
  4. Lenser sedikit minyak masak pada kuali tadi. Taruk pais ikan dan bakar dengan api kecil, hingga pais masak (anggaran 7 - 8 minit untuk setiap bahagian). Hidangkan dengan belahan limau nipis, jika suka...Selamat mencuba!!..

SIPUT SEDUT MASAK LEMAK CILI PADI

rsz_lcpss
Assalammualaikum, salam semua. Semalam che mat kongsi resipi daging merah ala Thai. Hari ni kita berbalik semula ke tanah Melayu. Resipi  yang menjadi hidangan orang2 Johor. Nak dijadikan cerita Sabtu lepas, kami singgah pasar malam di Chaah. Masa che mat ronda2 tu, nampak sorang akak ni jualan sayur2 kampung. Antara yang menarik minat che mat ialan siput sedut dan sayur sulur keladi Bangla, kes sulur keladi tu nanti bila dan siap masak baru cerita. Siput sedut yang che mat beli saiz boleh tahan besar. Biasanya beli halus betul, dah macam anak siput ajer, Che mat beli sebungkus saja dalam 1 kg beratnya. Harga RM 10, kira boleh lah, siput pun segar2 lagi masih berlumpur. Batang keladi gandingan paling serasi. Tapi boleh juga nak guna rebung. Ada teman Fb dia masak siput sedut campur daun kaduk. Ok, meh kita lihat resipi dia pulak...

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 kg siput sedut
1 pokok sederhana keladi sayur
2 batang serai, diketuk
1 helai daun kunyit
1 keping asam gelugor
1200 ml santan cair
400 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa
Air jika perlu

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1/2 inci belacan (optional)
1 inci kunyit hidup (pilih yang tua)
2 biji cili merah
1/4 cawan cili padi kampung jenis hijau

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Asingkan batang keladi dan ubinya, kupas ubi keladi, potong kiub, cuci dan rebus hingga empuk, angkat dan toskan. Sementara itu, buang kulit luar batang keladi, potong (anggaran 3 inci), cuci dan celur hingga lembut, tos dan ketepikan.
  2. Cuci siput hingga bersih, kemudian kerat hujung siput, kerat pada ruas ke 3 dari atas. Buat hingga siap, cuci kembali dan toskan. Masukkan siput ke dalam periuk bersama2 bahan kisar halus dan serai. Gaul rata dan masak hingga siput berubah warna.
  3. Tuang santan cair, kacau rata dan biarkan mendidih. Masukkan asam gelugor dan masak sekejap. Masukkan batang keladi, kacau perlahan dan jika perlu boleh tambah sedikit air panas. Masuk daun kunyit dan tuang pati santan. Kacau perlahan
  4. Masak dengan api kecil dan kacau sentiasa. Perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula. Masak sekejap lagi dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih dan lauk2 lain...Selamat mencuba!!

RESIPI ASAM PEDAS IKAN SEMBILANG

rsz_apisj
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat masak asam pedas ikan sembilang. Ikan ni dah lama juga dalam freezer, tapi alhamdulillah isinya masih sedap dan segar. Pemberian pakcik cina che mat (adik pada bonda). Bila masak asam pedas ikan sembilang, terus teringat kat arwah Bak, Bak penggemar asam pedas ikan sembilang, (Al-Fatihah Bak) dan setiap kali ada ikan sembilang segar, tak kira harga berapa sekali pun, Bak akan beli. Untuk mendapat asam pedas yang sedap, ikan perlu segar, kalau dapat beli yang masih hidup. Dan jika anda nak simpan, pastikan ikan tadi dibuang perutnya. Kalau kita simpan ikan yang telah mati dengan isi perut, nanti bau dari kotoran perut ikan akan meresap ke isi ikan.

rsz_apisj1
Untuk resipi ini che mat guna 2 ekor ikan sembilang bersaiz sederhana. Dan dimasukkan juga sawi jeruk 'home made' (resipi di sini). Yang ini terpulang pada anda, nak taruk terung, bendi, tomato atau tak taruk pun boleh. Daun kesom dan bunga kantan, dua herba yang penting dalam masakan asam pedas ikan sembilang untuk mendapat rasa kuah yang sedap dan aroma yang wangi. Oh yea, sebenarnya ada telur ikan sembilang dan che mat bungkus dengan daun kunyit (terlupa nak taruk dalam gambar, tapi anda boleh tengok videonya di IG che mat di sini ). Seperti biasa, jika ada menu asam pedas, telur dadar dan ulam2man paling serasi digandingkan bersama...Resipi che mat kongsikan di bawah ini...

BAHAN - BAHANNYA :-)
2 ekor ikan sembilang saiz sederhana
1 pokok sedehana sawi jeruk
3/4 cawan cili kisar
1 genggam daun kesom
2 kuntum bunga kantan, belah 2 setiap 1
1/3 cawan jus asam jawa
1/2 camca teh lada hitam biji, ditumbuk halus
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
12 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
1/2 inci halia
12 biji halba

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan sembilang disiang, buang bahagian isi perut dan insangnya. Kerat pada beberapa bahagian. Cuci bersih, kemudian gaul dengan 1 camca besar tepung gandum dan jus limau nipis (1 biji limau nipis). Perap 20 minit, cuci kembali hingga bersih dan toskan. Sawi jeruk dipotong kecil, cuci dan toskan. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk, tumis bahan2 kisar halus hingga harum, masukkan cili kisar, lada hitam tumbuk dan kacau rata. Masak hingga naik minyak. Tuang air (anggaran 1 liter), kacau rata dan biarkan mendidih. Masukkan jus asam jawa dan sawi jeruk. Kacau dan masak sekejap.
  3. Masukkan ikan sembilang, kacau perlahan, tambah bunga kantan dan daun kesom,Biarkan mendidih. Akhir sekali masukkan garam secukup rasa dan sedikit gula. Kacau perlahan dan masak sekejap, Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih, telur dadar dan ulam2man...Selamat mencuba!

RESIPI BOTOK - BOTOK

rsz_bbjb
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni kerajinan datang melanda. Merancang sejak 3 hari lepas tapi mood jatuh gaung, asyik keluar masukkan ikan ke dalam freezer. Pagi tadi che mat paksa juga diri agar jadi rajin dan laksanakan membuat botok-botok ikan tenggiri. Jangan memain kalau dah mengidam, sampai terbayang2. Nak beli bukan tak boleh tapi ada kala yang beli tu rasa dia tak kena pada tekak. Harga dah lah boleh tahan, ulam2 pun, alah hai ciputnya. Buat sendiri lebih muai, nak taruk ulam2 lebih pun boleh. Pada pendapat che mat, botok2 bukan susah hendak dibuat, cuma nak dapatkan ulam2 tu saja masalahnya. Tapi sekarang di pasar2 tani atau pasar2 basah, in sha Allah dah ada jual ulam2 atau pucuk2 daun yang digunakan untuk bikin botok-botok...

rsz_bbjb1
Che mat gunakan 4 keping ikan tenggiri. Selain ikan tenggiri, boleh juga guna ikan kembong atau ikan parang, ikut yang mana anda suka. Satu lagi botok-botok yang ini berbeza sikit dari yang biasa. Kan biasa daun2 ulam dilapis2kan sebelum dibungkus, yang ni che mat buat 2 bahagian, ada yang dihiris kecil dan ada yang tidak dihiris seperti pucuk ubi dan pucuk betik. Rasanya botok-botok yang daun ulamnya dihiris lebih senang dimakan dan terasa rempah2nya. Satu lagi pasal daun2 ulam, minta maaf sebab tak sempat nak ambil gambar dan che mat cuma guna ulam2 yang ada sekitar rumah (ada yang takde macam puding teh dan puding mangkuk). In sha Allah jika ada masa, che mat kongsikan pokok2 ulam tersebut. Nak mencuba?...Resipi anda boleh semak di bawah ini...

BAHAN - BAHANNYA :-)
4 keping ikan tenggiri (setiap sekeping selebar 3 jari orang dewasa)
4 helai daun pisang berukuran 14 inci x 10 inci
4 helai daun pisang berukuran 16 inci x 4 inci
4 batang lidi pencungkil gigi yang baru
2 camca besar jus asam jawa
1 camca besar penuh gula melaka
1 cawan santan
2 camca besar kerisik
1 1/2 camca besar rempah kari ikan Baba's
Garam secukup rasa

BAHAN - BAHAN REMPAH :-)
1 biji bawang besar
8 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/2 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup
2 batang serai, hiris halus
3 biji buah keras, dihiris
6 tangkai cili kering, potong kecil dan rendam dalam air panas sekejap, toskan
1/2 inci belacan

BAHAN - BAHAN ULAM :-)
Pucuk ubi - 8 tangkai
Pucuk betik - 2 tangkai
Daun kaduk - 12 helai*
Pucuk bebuas - 12 helai*
Pucuk mengkudu - 8 helai*
Daun limau purut - 3 helai*
Daun kunyit - 2 helai*
Daun cekur - 4 helai*
Daun sekentut muda - 20 helai*
Daun kesom - 1 genggam*
Daun selasih - 1 genggam*

bbjb2

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. PENYEDIAAN AWAL :- Ikan dicuci, kemudian perapkan dengan jus limau kasturi selama 10 minit, cuci kembali, toskan dan lumur dengan sedikit garam (anggaran 1/2 camca teh), simpan dalam peti sejuk sementara kita siapkan bahan2 yang lain.
  2. Semua ulam2man dicuci dan toskan hingga kering. Ulam2man yang bertanda (*)  dan 4 tangkai pucuk ubi, dihiris halus tapi tak perlu halus macam bunga rampai. Masukkan ke dalam mangkuk dan ketepikan. 
  3. Daun pisan dilap dengan kain lembap, kemudian layur atas api hingga daun pisang lembut, tujuannya untuk mengelakkan daun pisang pecah semasa membungkus botok-botok nanti. Ketepikan.
  4. UNTUK REMPAH BOTOK - BOTOK :- Panaskan 4 camca besar minyak dalam kuali. Sementara itu satukan rempah kari ikan dengan bahan2 kisar halus dan kacau hingga menjadi pes. Tumis rempah tadi hingga harum, gunakan api kecil dan kacau sentiasa. Bila terbit minyak, masukkan santan, kerisik dan gula melaka. Kacau rata dan masak hingga pekat. Masukkan jus asam jawa dan perasakan dengan garam secukupnya. Masak sekejap lagi dan matikan api. Alih rempah ke dalam mangkuk dan biarkan sejuk.
  5. UNTUK BOTOK-BOTOK :- Panaskan kukusan. Keluarkan ikan dari peti sejuk. Rempah dibahagikan kepada 4 bahagian sama banyak. Begitu juga ulam2 yang telah dihiris tadi, dibahagi kepada 4 bahagian. 
  6. Ambil sehelai daun pisang berukuran besar. Alaskan dengan sehelai atau dua helai pucuk betik, diikuti dengan 1 tangkai pucuk ubi (baki dari yang dihiris tadi). Taruk 1/2 dari 1 bahagian ulam yang dihiris, sudukan 1/2 dari 1 bahagian rempah. Letakkan sekeping ikan tenggiri, sapukan baki rempah dan tutup dengan baki ulam. Bungkus seperti dalam gambar, gunakan daun pisang saiz kecil sebagai penguat bungkusan sebelum anda sematkan dengan lidi.
  7. Buat hingga siap dan kukus botok-botok tadi selama 20 minit. Biarkan sejuk sekejap dan boleh hidangkan bersama nasi putih dan lauk2 lain...Selamat mencuba!.

RESIPI SAMBAL GORENG MUDAH

rsz_sgpc
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni kita bikin sambal goreng tapi sebelum tu che mat nak ingatkan lah, mungkin resipi ini bukan 100% tradisional atau 'asli'. Aku main masak ikut apa bahan2 yang ada dalam peti sejuk, dari membazir kau lemparkan saja sudah, jangan banyak sangat pantang larang. Cuma satu pekara saja che mat nak kasi tau. setiap bahan2 tu dalam kuantiti sederhana saja, kalau banyak sangat mau sekuali besar sambal goreng jadinya. Tapi kalau penduduk rumah muai, tak salah nak masak lebih. Macam che mat tak ramai, jadi masak dalam kadar sederhana dan berkemungkinan besar sambal goreng ni sampai esok pun masih berbaki. Ada satu bahan kurang iaitu tauhu kering @ fucuk, tapi che mat gantikan dengan fucuk yang ada pes ikan dalam dia (jenama mushroom). Boleh lah dari takde, tapi dalam resipi nanti che mat tulis fucuk. Petai tu optional, kalau tak makan petai toksah taruk yea....Resipi seperti berikut..

BAHAN - BAHANNYA :-)
4 tngkai kacang panjang, dihiris serong
1 keping tauhu, didadu dan goreng
2 keping tempe (jenis yang bungkus daun), didadu dan goreng
1 biji kentang, kupas, potong kecil dan goreng
2 keping fucuk (setiap 1 selebar tapak tangan orang dewasa), rendam hingga lembut dan potong kecil
1/2 cekak soo hoon, kerat pendek dan rendam
2 papan petai, ambil isinya dan potong kecil
2 kelopak kobis, potong kecil
1/4 cawan isi udang
1 batang serai, diketuk
2 keping hirisan lengkuas
4 biji bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
1 biji cili merah, hiris
1 biji cili hijau, hiris
1/2 inci belacan + 3 camca besar air = dilarutkan
2 camca besar jus asam jawa
2 camca besar cili kisar
1-2 camca besar kicap lemak manis JALEN
Garam secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam kuali, anggaran 3 camca besar.Tumis bawang merah dan bawang putih hingga harum, masukkan serai, lengkuas dan cili kisar. Kacau rata dan masak hingga cili garing. Masukkan isi udang dan masak hingga isi udang berubah warna.
  2. Tambah belacan yang telah dilarukan tadi dan juga jus asam jawa, kacau rata. Masukkan tempe, tauhu, kentang, fucuk dan kacang panjang, gaul rata dan masak hingga kacang lembut. Kemudian tambah kobis dan petai. Kacau dan masuk soo hoon (toskan dahulu airnya). Gaul hingga semua mesra.
  3. Masukkan hirisan cili hijau dan cili merah, kicap lemak manis dan perasakan dengan garam secukupnya, Kacau dan masak sekejap lagi. Sesuaikan rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih dan lauk2 lain...Selamat mencuba!!