KUIH KERIA GULA MELAKA

rsz_ckgm1
Assalammualaikum, salam semua. Sana sini orang tayang kuih keria atau belah2 utara dipanggil 'coq keria', asyik lalu kat timeline di FB saja. Tak boleh jadi, kena bikin juga. Satu lagi tengah hot kuih keria sira gula Melaka. Sebenarnya che mat suka kuih keria kosong, yang tak bersira, atau kuih keria togel. Petang tadi lepas solat asar, tiba2 kerajinan itu datang, keledek pulak memang ada kat dapur, tapi keledek kaler oren. Keledek oren ni dia lembut sikit beza dengan keledek putih. Tapi kita yang buat dia, pandai2lah nak menggayakannya. Kalau takde keledek, guna ubi kayu pun boleh, yang tu nanti bila ada ubi kayu, kita test bikin kuih keria ubi kayu pulak. Che mat guna kurang lebih 900 gram macam tu, bila dah buang kulit semua adalah dalam 800+ gram. Kuih keria kalau terlebih tepung pun tak sedap, dia nak kena pandai agak2. Bergantung pada jenis keledek. Satu lagi tips, bila dah taruk tepung dan diadun, cuba goreng adunan keria tu sikit, kalau elok kejadiannya, tak perlu tambah tepung lagi, tapi bila lepas goreng tu lembik, boleh tambah sedikit lagi tepung. Che mat suka taruk baking powder, tujuan nak kasi kuih keria tu lagi gebu dan kekal lembut walaupun dah sejuk....Nak mencuba?...Resipi seperti di bawah ini...

BAHAN - BAHANNYA :-)
800+ gram keledek kaler oren yang telah dikupas kulitnya
1 camca teh garam
3/4 cawan tepung gandum
1 camca teh penuh baking powder (serbuk penaik)
3/4 cawan gula melaka, dihiris
1 - 2 camca besar gula pasir
1/4 cawan air

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Keledek dipotong kiub besar2 dan rebus hingga empuk, jangan lupa masukkan garam. Kemudian toskan dan lecek hingga halus. Biarkan sekejap hingga suam. Gaul tepung dengan baking powder dan masukkan ke dalam keledek yang telah dilecek tadi. Gaul hingga sebati dan menjadi adunan yang lembut tapi tidak melekit. Ketepikan sebentar.
  2. Sediakan dulang, alas dengan plastik bersih atau boleh taburkan sedikit tepung. Ambil sedikit aduan tadi (anggaran 1 camca besar penuh), bulat2kan dan tekan sedikit biar leper. Cucuk bahagian tengahnya dengan jari untuk menghasilkan lubang, kemaskan dan taruk atas dulang tadi. Sapu sedikit tepung pada tapak tangan jika adunan melekat. Buat hingga siap.
  3. Panaskan minyak untuk goreng terendam kemudian goreng kuih keria tadi hingga kuning keemasan, balik2kan agar masak sekata. Angkat, toskan minyaknya. Buat hingga siap.
  4. Dalam kuali yang sama, keluarkan minyak. Kemudian masukkan gula melaka, gula pasir dan air. Kacau dan masak dengan api sederhana hingga gula larut. Terus memasak hingga gula mula berbuih dan pekat (bila anda angkat sudip, kelihatan gula seakan2 bertali). Masukkan kuih keria tadi dan gaul rata (masa ni kuih keria akan melekat2, tapi takpe, terus kacau perlahan hingga semua bahagian kuih keria bersalut gula). Masak sekejap lagi dengan api kecil hingga kuih keria kering. Matikan api dan alihkan kuih ke dalam loyang. Pisah2kan kuih tadi dan biar hingga sejuk.. Boleh hidangkan...Selamat mencuba!

CUCUR UDANG DAN KUAH KACANG

rsz_cumg
Assalammualaikum, salam semua. Kali terakhir che mat update blog kurang lebih 11 hari lepas. Niat hati nak kemas kini tu memang ada, cuma bila masak menu biasa seperti asam pedas dan gulai, rasanya dah biasanya sangat resipi2nya berlegar di blog dan juga alam maya. Maka che mat ambik keputusan, update bila masak menu yang jarang2 dimasak. Hari ni che mat bikin cucur udang. Dalam keadaan cuaca yang mendung, redup, berangin dan ada kala hujan, cucur udang amat sesuai sekali kita hidangkan sebagai cemilan diwaktu2 petang. Rasanya resipi memang dah ada dalam blog. Kali terakhir bikin cucur udang, dua tahun lepas kalau tak silap. Teringat kat arwah Bak, cucur udang antara kuih kegemaran arwah...huhu (Al-fatihah Bak)... 

rsz_cumg1
Kali ini cucur udang tidak dihidangkan dengan sos cili (kuah lada), tapi che mat bikin kuah kacang. Mesti ada yang biasa makan cucur udang dengan kuah kacang, betul tak? Dan kita boleh pelbagaikan cucur udang dengan kuah kacang ni, contohnya kalau ada bahan2 lain seperti timun, sengkuang, telur rebus, kentang rebus, mi kuning, fishcake dan daun salad, dah boleh jadikan ia rojak. Tambah sedikit mi kuning jika suka. Kuah kacang kalau tak habis, boleh simpan dalam peti sejuk. Nak lebih lama, simpan dalam freezer, tinggal panaskan dalam microwave saja bila nak makan. Resipi ini akan menghasilkan 18 - 20 biji cucur udang, ikut saiz senduk yang anda guna sebagai acuan cucur udang...Resipi seperti berikut...

BAHAN - BAHAN CUCUR UDANG :-)
2 cawan tepung gandum
1/2 camca besar instant yeast
2/3 camca teh serbuk kunyit
2 ganggam taugeh, cuci, toskan dan ramas sedikit
10 tangkai kucai, potong pendek
1 biji bawang besar, didadu
1 3/4 cawan air ( atau lebih sedikit)
Garam secukup rasa
20 ekor udang kulit keras, saiz sederhana
Minyak untuk goreng terendam

BAHAN - BAHAN KUAH KACANG :-)
1 cawan kacang tanah yang telah ditumbuk halus ( yang telah digoreng tanpa minyak dan dibuang kulitnya)
1/4 cawan jus asam jawa
1/2 cawan santan
3 cawan air
6 biji bawang merah*
2 ulas bawang putih*
1/2 inci kunyit hidup*
1/2 inci lengkuas*
2 batang serai, hiris*
12 tangkai cili kering, buang biji dan rendam dalam air panas 10 minit, toskan*
1 genggam udang kering, rendam 10 minit dan toskan*(*dikisar halus)
Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK ADUNAN CUCUR UDANG :- Dalam mangkuk besar, satukan tepung gandum, instant yeast, serbuk kunyit, garam secukup rasa (anggaran 1 camca teh rata), taugeh, kucai dan bawang besar. Gaul rata dan tuang air sedikit demi sedikit sambil dikacau hingga mendapat adunan yang tidak terlalu cair atau terlalu pekat (che mat gunakan hampir 2 cawan air, tapi tak habis). Kemudian tutup permukaan mangkuk dengan plastik cling dan perap 35 minit.
  2. UNTUK KUAH KACANG :- Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/4 cawan). Tumis bahan2 kisar halus hingga harum dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa. Tuang air, kacau dan bila mendidih, masukkan kacang tanah tumbuk, jus asam jawa dan juga santan. Kacau dan biarkan mendidih. Tambah garam secukup rasa dan gula (biasanya kuah kacang manis sedikit). Kacau dan masak dengan api kecil hingga kuah kacang pekat sedikit dan naik minyak. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Ketepikan.
  3. UNTUK CUCUR UDANG :- Udang dicuci bersih tapi tak perlu dikupas kulitnya. Kemudian dilap kering dengan tissue dapur bersih. Panaskan minyak untuk goreng terendam. Panaskan juga senduk stainless steel (saiz kurang lebih 1/4 cawan). Berhati2 keluarkan senduk dari minyak panas dan sudukan adunan cucur udang ke dalamnya hingga hampir penuh, lingkarkan seekor udang atasnya dan rendam senduk tadi ke dalam minyak panas. Masak untuk 30 saat, kemudian longgarkan cucur udang dari senduk (acuan) dan keluarkan. Balik2kan cucur udang agar masak sama rata. Angkat, toskan minyaknya, taruk atas tissue dapur agar minyak terserap.
  4. Buat kaedah sama untuk baki adunan dan udang hingga siap. Jangan goreng terlalu banyak, cukup 5 atau 6 biji cucur udang sekali goreng. Pastikan senduk (acuan) anda panaskan sekejap dalam minyak panas sebelum dimasukkan adunan cucur udang. Hidangkan cucur udang bersama kuah kacang untuk minum petang...Selamat mencuba!

RESIPI KUIH TALAM UBI

rsz_tucm
Assalammualaikum, salam semua. Masa che mat tulis entri ni, hari tengah hujan, Sambil2 tu kita minum kopi dan juga makan kuih talam ubi. Lama tak bikin kuih2 tradisi ni. Lama2 kalau tak buat, takut terlupa resipi, nasib baik ada blog, boleh buat rujukan. Tiga hari lepas hujan, jadi pokok ubi tepi pagar rumah che mat tumbang ditiup angin. Esoknya tu abang che mat pi cabut dan ada ubi. Sebab pokok ubi tu jenis ubi pulot (yang daunnya jenis halus2), tak sesuai direbus, jadi kami parut kemudian bekukan dalam freezer. Kalau anda nak bikin, guna ubi biasa pun boleh, janji ubi parut. Kerana ada ubi parut ni lah che mat terrajin bikin kuih talam. Ada yang tanya tadi kat FB, kepala kuih talam tu jenis 'goyang-goyang' ke? Yang ni tak goyang sangat dan boleh dipotong macam dalam gambar tu. Tapi tak delah keras, masih lembut walaupun dah sejuk. Resipi tak susah, in sha Allah anda boleh buat...Che mat tuliskan resipi dibawah ini....

BAHAN - BAHAN LAPISAN BAWAH (UBI) :-)
600 gram ubi parut
Beberapa titik pewarna coklat makanan
50 gram gula melaka, hiris halus
170 gram gula pasir (resipi asal 200 gram)
160 ml santan cair
1 helai daun pandan, disimpul

BAHAN - BAHAN LAPIS ATAS (KEPALA) :-)
600 ml santan segar
40 gram tepung gandum
70 gram tepung beras
1/2 camca besar tepung ubi
1 camca teh penuh garam

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK LAPISAN BAWAH (UBI) :- Masak santan cair dengan gula melaka, gula pasir dan daun pandan hingga gula larut. Sejukkan, kemudian tapis. Sementara itu panaskan kukusan, alas loyang bulat berukuran 10 inci dengan plastik bersih, lenser dengan sedikit minyak makan. Ketepikan. Masukkan air gula yang telah sejuk ke dalam ubi parut, tambah pewarna makanan coklat, gaul rata dan tuang dalam loyang tadi. Kukus 20 minit dengan api sederhana dan tutup permukaan loyang dengan aluminium foil atau tudung periuk.
  2. UNTUK  LAPISAN ATAS (KEPALA) :- Satukan semua bahan2 untuk kepala dalam satu mangkuk besar, kecuali garam. Kacau rata dengan whisk hingga sebati dan tidak berbintil2. Tapis adunan ke dalam periuk dan masukkan garam. Kacau rata hingga garam larut.
  3. UNTUK KUIH TALAM UBI :- Panaskan periuk berisi bahan2 'atas' (kepala), sambil dikacau sentiasa hingga suam, guna api kecil dan kacau sentiasa. Kemudian perlahan2 tuang bancuhan tadi atas lapisan bawah (ubi) yang telah dikukus. Tutup permukaan tin dan sambung kukus selama 25 minit lagi dengan api sederhana. Bila masak, keluarkan kuih dari kukusan dan biarkan betul2 sejuk baru dipotong dengan pisau plastik yang disapu sedikit minyak makan. Hidangkan, selamat mencuba!!.

RESIPI KUIH BINGKA LABU

rsz_kbl (1)
Assalammualaikum, salam Rabu. Hari ni che mat masukkn entri kuih bingka labu. Sekarang ni macam musim labu dah kat rumah che mat, kejap2 masak labu dan kuih yang anda nampak ini che mat bikin petang semalam. Masih berbaki lagi, Satu petua untuk mendapat bingka labu yang sedap dan warna yang cantik, buah labu yang anda guna mesti betul2 cukup tua. Ini kerana warna buah labu yang cukup tua kuning keemasan dan akan menjadikan kuih bingka anda seolah2 dimasukkan pewarna makanan. Selain itu rasa labu juga agak manis. Che mat bakar kuih bingka labu dalam acuan empat segi bersaiz 8 inci x 8 inci x 3 inci, kalau anda nak bikin dalam acuan kecil2 pun boleh atau acuan bentuk bunga pecah 6 atau  8 seperti kuih bakar kemboja tu.....ikut yang mana anda suka..

rsz_kbl1 (1)
Resipi asal che mat dapat dari Kak Yatie Memories, beliau boleh dikatakan pakar membuat kuih2 macam ni. Che mat suka kuih bingka labu (dan semua jenis kuih bingka), yang berkerak dipermukaannya. Dan satu lagi bijan kena lebih, baru wangi dan sedap. Kalau zaman dulu kuih dibakar dalam acuan tembaga dan menggunakan bara api, tapi sekarang  lebih mudah, bakar dalam oven sahaja. Untuk mendapat permukaan kuih yang garing, che mat bakar guna api grill. Biarkan kuih betul2 sejuk, baru potong dan in sha Allah hasilnya akan kemas dan licin seperti dalam gambar. Jika anda ada stok labu dirumah dan ingin mencuba, che mat kongsikan resipi dibawah ini. Cuba buat, in sha Allah anda pasti puas hati....

BAHAN - BAHANNYA :-)
550 gram labu manis yang telah dibuang kulitnya
1 helai daun pandan, disimpul
2 cawan santan
1/2 cawan gula halus
1/2 cawan susu cair
1/2 cawan susu pekat manis
2 cawan tepung gandum
2 biji telur gred A
2 camca besar penuh, minyak sapi, cair dan sejukkan (boleh juga guna mentega)
1 camca teh esen vanilla
1/2 camca teh garam
Bijan secukupnya untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan oven pada suhu 200C. lenser tin 4 segi berukuran 8 inci x 8 inci x 3 inci dengan mentega, kemudian alas dasar tin dengan aluminium foil. Lebihkan aluminium foil dibahagian kanan dan kiri tin, lenserkan dengan mentega, tujuan agar mudah mengeluarkan kuih bingka bila masak nanti. Ketepikan.
  2. Labu manis dipotong kiub, kemudian masukkan ke dalam periuk bersama daun pandan dan tuang air sehingga labu tenggelam. Rebus hingga empuk, toskan, buang daun pandan dan lecek  labu hingga halus (resipi asal tulis 2 cawan labu yang telah dilecek halus). Ketepikan.
  3. Masukkan gula halus. garam dan telur ke dalam mangkuk besar. Kacau dengan whisk hingga gula hancur dan berkrim. Tambah susu pekat manis, santan dan susu cair, kacau hingga semua sebati. Masukkan tepung dan kacau hingga licin dan tidak berbintil2.
  4. Tapis bancuhan tadi, kemudian masukkan labu lecek, gaul hingga rata. Akhir sekali tuangkan minyak sapi cair, kacau hingga sebati. Tuang adunan ke dalam tin yang telah disediakan tadi. Tabur bijan rata dan bakar selama 1 jam atau hingga masak (cucuk dengan lidi sate, jika keluarnya bersih, tanda kuih bingka labu anda dah masak). Keluarkan kuih bingka labu dari tin dan biarkan betul2 sejuk sebelum dipotong.
CATATAN MAT GEBU :- Santan, anda boleh guna santan kotak (yang 200ml) dan tambah air secukupnya untuk mendapat sukatan 2 cawan ( atau 500 ml). Untuk mendapat permukaan kuih bingka yang keperangan, setelah kuih masak,  che mat tukar fungsi api oven pada 'grill' dan bakar untuk 10 minit lagi, atau hingga permukaan kuih perang....Selamat mencuba!!

RESIPI APAM BALIK

rsz_kab
Cakk!!....salam semua, bukan mudah sekarang ni nak update entri 2 kali sehari, nak2 resipi masakan. Bukan tak masak, tapi mengejar masa. Macam hari ni lepas che mat masukkan entri char kuey teow kambing tadi, rehat sekejap dah on ke dapur balik. Tapi takpe, kerja adalah ibadat, janji kita ikhlas melakukannya. Tu hari bonda che mat ada sebut apam balik. Kalau dulu2 masa zaman kami berjualan, kuih apam balik ni sampai jemu, sebab bila dah hujung2, orang yang berniaga apam balik akan berbagi2. Disebabkan bonda che mat berpuasa hari ni, elok juga kita bikin apam balik. Kena buat 2 jenis, yang berkacang tanah dan satu lagi tak taruk kacang, cuma letak  jagung krim saja dan sedikit bijan, yang tu untuk Bak.


rsz_kab1
Resipi ni che mat dapat dari youtube, zaman sekarang ni senang, semuanya anda boleh google atau cari di youtube. Alhamdulillah hasilnya memuaskan dan resipi ini akan menghasilkan 3 keping apam balik. Che mat guna non-stick pan saiz 8 inci. Jadi anda bahagikan 3 bahagian adunan agar apam balik sama saiz bila dah masak. Jika suka apam balik dibahagian tepinya berbibir seperti yang jual dipasar2 malam, kita ratakan adunan sampai ke tepi pan, biar dia berbibir sikit. Satu lagi inti dia anda boleh variasikan, nak taruk pulut (pastikan anda masak dulu yea pulut tu), atau boleh juga tambah parutan kelapa muda. kacang merah pun boleh. Nak tabur keju atau coklat pun boleh. Tapi che mat lebih suka yang origanal iaitu kacang tanah, bijan panggang, sedikit gula dan krim jagung. Kalau ingin mencuba. resipi seperti dibawah ini..

BAHAN - BAHAN APAM BALIK :-)
130 gram tepung gandum
1/2 camca teh soda bicarbonate
1/2 camca teh instant yeast
2 camca besar gula halus
1 biji telur gred A
160 ml air
1/4 camca teh esen vanilla (optional)

BAHAN - BAHAN INTI :-)
50 gram kacang tanah
2 camca besar gula pasir (che mat guna 1 1/2 camca besar gula perang)
2 camca besar bijan
1/2 cawan jagung krim dalam tin
Sedikit mentega atau majerin

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK ADUNAN APAM BALIK :- Masukkan tepung, soda bicarbonate, instant yeast dan gula ke dalam mangkuk sederhana besar. Kacau rata, tuang air dan masukkan telur; Kacau dengan whisk hingga semua rata dan sebati. Kalau ada bintil2, anda boleh tapis bancuhan tadi. Tutup dengan plastik wrap dan perap 45 minit.
  2. UNTUK INTI :- Kacang tanah digoreng tanpa minyak hingga perang, sejukkan dan buang kulit, kemudian kisar kasar atau anda boleh tumbuk dalam lesung. Bijan digoreng tanpa minyak hingga perang dan wangi. Masukkan kacang tumbuk, bijan dan gula perang dalam satu mangkuk dan kacau rata. Ketepikan.
  3. UNTUK APAM BALIK :- Panaskan non-stick frying pan saiz 8 inci, sapu dengan sedikit minyak makan (che mat cuma celopkan tissue dapur bersih dalam minyak masak dan lenser nipis pada permukaan pan tadi). Kemudian kecilkan api. Adunan apam balik dikacau rata dan bagi kepada 3 bahagian sama banyak. 
  4. Tuang satu bahagian, kemudian ratakan. Tutup permukaan pan dengan tudung periuk dan masak untuk 4 - 5 minit atau hingga permukaan nampak berbuih2. Kemudian taburkan 1/3 bahagian inti dan 1/3 bahagian krim jagung. Tutup kembali pan dengan tudung periuk dan masak untuk 2 - 3 minit lagi. 
  5. Tarukkan sedikit mentega atau majerin dibeberapa bahagian apam balik dan berhati2 lipat dua apam balik tadi, tekan2 sedikit dan alihkan dalam pinggan. Buat kaedah sama untuk baki bahan2 dan inti. Pastikan anda sapu nipis permukaan pan dengan tissue yang dicelop minyak makan setiap kali membuat apam balik. Potong dan hidangkan untuk minum petang..Selamat mencuba!!