TEMPAHAN BISKUT RAYA 'MELETOP' 2016 - KINI DIBUKA!

banner
Salam semua, che mat sini....In sha Allah dalam sedikit masa nanti kita akan bertemu dengan bulan Ramadan yang mulia. Dan masa tu tentulah dah sibuk, nak buat persiapan dan menumpukan pada amal ibadah. Sambil2 tu nak juga buat persiapan untuk Hari Raya. Apa makna hari raya tanpa biskut raya, betul tak.. Seboleh-bolehnya kita sediakan juga untuk menjamu tetamu atau dimakan bersama keluarga di rumah atau dibawa balik ke kampung untuk mak ayah. Memang boleh beli di luar seperti di bazar-bazar dan sebagainya, tapi untuk mendapat rasa biskut raya yang sedap tu kadang-kadang masalah juga.

Tahun ni apa kata anda cuba rasa biskut-biskut premium yang berkualiti tinggi keluaran Aifah Delight, Royal Homemade Cookies (RHC), diperbuat dari 100% mentega (menggunakan mentega Anchor) dan rasanya yang memang mewah. RHC sebenarnya sudah 3 tahun beriklan di blog che mat setiap kali menjelang lebaran dan biasanya permintaan diluar jangkaan. Pelanggan tetap mereka repeat order setiap tahun...sebab apa?...Sebab rasa biskut yang sedap, berkualiti dan sudah pastinya bila makan satu, tak cukup! Sebab tu che mat sarankan anda buat tempahan seawal yang boleh, untuk mengelakkan masalah di saat-saat akhir. Antara biskut-biskut yang sentiasa mendapat permintaan tinggi ialah...

brcombine
1 - GOLDEN COCONUT (feberet che mat)
2 - ROYALE PINEAPPLE TART (cair di mulut, heavennya!)
3 - ROYALE CAPPUCINNO (dengan aroma kopi memikat)

brcombine1
4 - ROYALE CHEESE TART (sedap tak terkata!)
5 - LEMON CRUNCHY (terbaru untuk tahun 2016)
6 - ROYALE OREO (kegemaran kanak - kanak)

brcombine2
7 - MOCHA DELIGHT (dengan rasa coklat-kopi yang mewah)
8 - ROYALE PISTACHIO (juga keluaran terbaru 2016, wajib cuba)
9 - COFFE ALMOND (yang ni sedap, boleh dimakan bila2 masa)

HARGA BIASA...
1 balang berisi 30 keping biskut = RM 25.00 sebalang
1 balang berisi 50 keping biskut = RM 35.00 sebalang

HARGA PROMOSI AIDILFITRI 2016!...
1 balang berisi 30 keping biskut, beli 4 balang = RM 95.00
1 balang berisi 50 keping biskut, beli 3 balang = RM 100.00

TEMPAHAN MULA DIBUKA PADA - 30hb APRIL 2016 hingga 28hb MEI 2016

PROMOSI AIDILFITRI SAH DARI - 30hb APRIL 2016 hingga 30hb JULAI 2016

PENGEDAR DIPERLUKAN DENGAN SEGERA!!....

Sebarang pertanyaan untuk tempahan atau menjadi pengedar..anda boleh hubungi..

HP : +6019 214 1408 ( Puan Ieta....call/wassap)

FB : AIFAH DELIGHT HAMPERS

IG : @ietadelight

EMAIL : aifah_delight_hampers@yahoo.com

BUAT TEMPAHAN AWAL....AGAR ANDA TAK MENYESAL RAYA NANTI!...

Labels: ,

RESIPI LONTONG GAYA MAT GEBU

rsz_lontongmg
Assalammualaikum, salam Sabtu. Hari ni untuk sarapan pagi, tengah hari dan petang sampai malam, kita makan lontong. Dua kali perancangan nak bikin lontong tergendala hingga kacang panjang yang che mat beli terkulai layu....grrr...nasib baik cuma 5-6 tangkai saja. Selain tu sengkuang sampai tumbuk pokok, tapi lontong tak buat2 juga. Bukan sebab che mat malas, tapi sebab tak sampai hati tengok orang yang tak boleh makan benda2 yang menjadi asbab sakit gaot. Bak che mat kan ada gaot, risau juga kalau dia makan nanti dari ok, terus kaki bengkak sampai tak boleh jalan. Bahan2 seperti tempe, tauhu, kacang panjang, fucuk @ tauhu kering, semua tu orang gaot tak boleh makan. Kita kena prihatin bab2 macam tu. betul tak.

rsz_lontongmg1
Tapi hari ni che mat nekad saja buat lontong. Petang semalam dah siap2 rebus ketupat NONA. Dan bahan2 untuk bikin kuah lodeh juga che mat dah siap beli. Untuk Bak, che mat masakkan kari ayam dan setakat serunding tu Bak ok lah makan, rencahnya guna ikan bilis dalam kuantiti yang sedikit. Biasanya untuk kuah lodeh che mat suka guna udang kering dan itu yang membuat kuah jadi sedap. Ada juga yang guna udang basah, terpulang pada selera masing2. Satu lagi banyak versi atau style orang masak sayur lodeh, ada yang tumis, ada yang macam masak lemak biasa. Bahan untuk dimasukkan dalam kuah lodeh juga ikut selera masing. Nak tambah bunga kobis, putih jagung, kincan atau cendawan black fungus @ cendalam telinga kera tu pun boleh, takde masalah...

rsz_lontongmg2
Menjadi kemestian bila bikin lontong, wajib ada bahan2 pendampingnya. Seperti biasa yang anda selalu makan, lontong mesti ada telur rebus, sambal tumis (atau ada yang taruk kuah kacang) dan serunding. Tapi kali ni che mat topupkan dengan begedil. Ada teman FB che mat komen, kalau di Singapura, lontong akan disajikan juga dengan begedil. Jadi nak memeriahkan lagi lontong, maka kita tambah begedil. Dah macam hari raya pulak dapur che mat. Dengan aroma kari ayam, sayur lodeh yang sedang mendidih dan dalam kuali ada serunding yang tengah dikacau, tak lupa sambal tumis....Mari che mat kongsikan resipi lontong gaya mat gebu...

RESIPI KUAH LODEH....

BAHAN - BAHANNYA :-)
1/4 bahagian kobis bulat, hiris kecil, cuci dan toskan
6 tangkai kacang panjang, hiris serong
1 biji terung ungu saiz kecil, dipotong kiub
1/2 biji sengkuang saiz sederhana, hiris seperti anak mancis
1 batang lobak merah saiz sedrhana, hiris seperti anak mancis
2 keping tauhu, digoreng kemudian dipotong kiub
1 cekak soo hoon, potong pendek
40 gram tauhu kering @ fucuk, potong kecil dan rendam hingga lembut
2 batang serai, diketuk
1/2 inci lengkuas, diketuk
2 liter santan cair
600 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
2 biji bawang besar
4 biji bawang merah kecil
4 ulas bawang putih
1/2 inci kunyit hidup
1 genggam udang kering, rendam 10 minit dan toskan
1 camca besar rata ketumbar biji

BAHAN - BAHAN SAMPINGAN :-)
Ketupat atau nasi impit
Telur rebus, dibelah 2 setiap 1
Sambal tumis @ Kuah kacang
Serunding kelapa
Begedil (optional)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panask minyak dalam periuk (anggaran 1/4 cawan), tumis serai dan lengkuas hingga harum. Masukkan bahan2 kisar halus dan masak hingga naik minyak, guna api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Masukkan bahan2 yang keras dulu seperti sengkuag, lobak merah dan fucuk (toskan airnya). Kacau dan masak hingga lembut. Kemudian tambah kacang panjang, kobis, terung, tauhu dan soo hoon (basuh bawah air paip sebelum anda masukkan, tak perlu direndam). Kacau rata dan jika kurang kuah, boleh tambah sedikit air panas.
  3. Bila soo hoon lembut, tuang pati santan dan perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula. Masak sekejap lagi dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan dengan bahan2 sampingan. Boleh dimakan bila2 waktu yang anda suka (walaupun secara khususnya, lontong dihidangkan untuk sarapan pagi di Johor).
RESIPI SERUNDING KELAPA....

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 1/2 cawan kelapa parut putih
2 camca besar penuh gula @ secukup rasa
2 helai daun limau purut
Garam secukup rasa

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
2 batang serai, hiris halus
1 camca besar ketumbar biji
1/4 camca teh jintan manis
1/4 camca teh jintan putih
4 biji bawang merah
1/2 inci lengkuas
1/2 inci kunyit hidup
6 tangkai cili kering, buang biji dan rendam dalam air panas 10 minit dan toskan
1 genggam ikan bilis, dibersihkan, cuci dan rendam 10 minit, toskan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 4 camca besar). Tumis bahan2 kisar hingga harum, masukkan gula dan garam secukup rasa. Kacau dan masak hingga berubah warna. Masukkan kelapa parut dan daun limau purut.
  2. Kacau rata dan masak dengan api kecil. Kacau sentiasa hingga serunding sedikit kering dan kelihatan berderai, tapi jangan sampai kering sangat. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Boleh hidangkan dengan lontong.
RESIPI BEGEDIL.....

BAHAN - BAHANNYA :-)
4 - 5 biji kentang, kupas, cuci dan hiris
1 pokok daun sup, hiris halus
1/2 camca teh serbuk lada sulah
1 genggam bawang goreng, diramas
1 camca besar rata tepung gandum
Garam secukup rasa (anggaran 1/4 camca teh)
1 biji telur, dipukul sedikit

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kentang dikupas, cuci dan hiris sederhana tebal. Kemudian goreng hingga keperangan, angkat dan toskan. Tumbuk kentang tadi menggunakan anak lesung hingga lumat. Masukkan ke dalam mangkuk dan masukkan semua bahan di atas kecuali telur. Gaul hingga semua rata.
  2. Cedok kurang leboh 3/4 camca besar, bulat2kan dan tekan leper sedikit untuk membentuk begedil dan susun dalam dulang beralas plastik bersih. Buat hingga siap.
  3. Panaskan minyak untuk goreng terendam. Celop sebiji begedil dalam telur, kemudian masukkan dalam minyak panas, pastikan minyak panas sederhana. Goreng 5 - 6 biji sekali goreng, Balik2kan agar masak sekata. Bila kuning keemasan, angkat dan toskan. Boleh hidangkan.
RESIPI SAMBAL TUMIS....

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 genggam ikan bilis, dibersihkan dan rendam sekejap, toskan
1 1/2 cawan cili kisar
3 camca besar jus asam jawa
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/2 inci belacan, dibakar

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 1/3 cawan). Tumis bahan2 kisar halus hingga harum, masukkan cili kisar dan kacau. Masak hingga garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Masukkan jus asam jawa, perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Kacau dan akhir sekali tambah ikan bilis. Kacau dan masak hingga pekat. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama lontong tadi....Selamat mencuba!!
Labels: , , , ,

LEMAK PUCUK UBI SAMA IKAN BILIS TAMBAN

rsz_lpusibt
Assalammualaikum, salam semua. Petang2 macam ni che mat baru ada masa nak kemas kini blog. Seperti yang dah dirancang seawal semalam, Hari ni masak lemak pucuk ubi sama ikan bilis tamban atas permintaan Bak. Resipi dalam kategori masakan kampung atau resipi tradisi. Pucuk ubi pemberian sedara che mat, agak banyak dan che mat masak separuh. Kali ni guna ikan bilis tamban yang abang ngah che mat bawah balik dari Sabah tempoh hari, saiznya agak besar dan rasa cukup lemak. Menu ini antara masakan tradisi yang paling senang dimasak. Bahan2 dalam kategori mudah dapat dan tidak banyak. Jika anda tiada ikan bilis tamban atau susah nak cari. Boleh ganti dengan isi kerang, isi kupang. ikan bilis biasa atau boleh guna ikan masin kurau. Cuma kalau guna ikan masin, part garam kena hati2, terlebih taruk, nanti masin. Resipi seperti dibawah ini, jangan lupa mencuba yea...

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 cekak besar pucuk ubi
10 - 12 ekor ikan bilis tamban saiz besar, direndam
2 batang serai, diketuk
1 keping asam gelugor
1200 ml santan cair
400 ml pati santan
1 keping asam gelugor
Garam dan gula secukup rasa
Air jika perlu

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
3 biji cili merah
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
3/4 inci kunyit hidup
1/2 inci belacan (optional, che mat tak taruk)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Pucuk ubi diasingkan dari tangkainya, cuci dan toskan. Kemudian rebus hingga lembut dalam air mendidih yang dimasukkan sedikit garam dan beberapa titik minyak masak. Kemudian toskan dan perah (toskan dalam tapis, kemudian tekan pucuk ubi rebus tadi dengan belakang senduk). Biarkan sejuk.
  2. Ikan bilis tamban yang direndam tadi, dibuang tulang tengahnya, cuci bersih dan toskan. Pucuk ubi rebus dikerat kecil dan masukkan ke dalam periuk bersama ikan bilis tamban, asam gelugor, bahan2 kisar halus dan serai. Gaul rata dan tuang santan cair. Kacau dan masak hingga mendidih.
  3. Jika suka kuah lebih anda boleh tambah sedikit lagi air. Kemudian masukkan pati santan, perasakan dengn garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau dan biarkan mendidih perlahan sambil dikacau sentiasa. Masak dengan api kecil selama 5 - 6 minit lagi. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas, sambal belacan dan ikan goreng..
Labels: , ,

BRUSSEL SPROUT TUMIS SAMA UDANG

rsz_bstu
Asalammualaikum, salam Selasa semua. Hari ni che mat masak senang2 saja. Rebus dan tumis. Antaranya ada ikan tongkol rebus, bendi rebus, tumis kailan ikan masin dan brussel sprout tumis sama udang. Resipi ni walaupun biasa, tapi bahan2 dia beza sikit. Brussel sprout che mat beli di Tesco, harga....errr..tak ingat pulak, tapi masa beli tu dia tengah offer. Dulu, ingatkan brussel sprout ni kobis bantut, rupaya memang sejenis sayur yang bentuk dia macam kobis bantut dan tumbuh bersusun pada tangkai yang menegak (anda boleh google lah yea kalau nak tengok pokok brussel sprout). Harga kadang2 agak mahal juga, tapi kalau nak merasa tak salah beli satu pack dan cuba, sekurang2nya kita takde lah macam 'jakun' sangat...betul tak...

bstu1
Che mat guna dalam 250 gram (1 bekas macam dalam gambar). Ada yang tanya, macam mana nak masak, sebab brussel sprout ni ada rasa pahit2 sikit. Biasanya sebelum masak, che mat rebus dulu dalam air mendidih yang dimasukkan sedikit garam dan beberapa titik minyak. Rebus hingga brussle sprout tu empuk sikit, pastikan anda belah 2 atau kalau brussel sprout kecil, boleh belah 4 tapi tak putus. Kemudian masukkan dalam air mendidih. Dengan cara ini, rasa brussel sprout tak pahit dan tak diperlu masak lama2....Eh, tak payah cerita lagi...jommm kita lihat resipi sangat2 mudah dan ringkas..

BAHAN - BAHANNYA :-)
250 gram brussel sprout
2-3 biji cili padi thai warna merah, hiris kecil
1 biji bawang besar, didadu
2 ulas bawang putih, cincang halus
1 camca besar mentega
1 camca besar minyak masak
1 camca teh madu
1/2 genggam isi udang, cuci dan toskan
Garam secukup rasa
2-3 camca besar air

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Didihkan air, masukkan sedikit garam dan beberapa titik minyak masak. Brussel sprout dicuci, kemudian belah 2 setiap 1. Masukkan dalam air mendidih tadi dan celur sekejap (hingga empuk sedikit). Tos dan ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali, masukkan mentega dan biar mentega cair. Tumis bawang besar, bawang putih dan cili padi hingga layu. Masukkan isi udang, kacau dan masak dengan api kecil hingga isi udang berubah warna.
  3. Tambah madu dan air. Kacau rata dan masukkan brussel sprout tadi. Kacau hingga rata dan perasakan dengan garam secukupnya. Masak sekejap hingga dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan panas bersama nasi atau anda boleh makan macam tu saja..
Labels: ,

ASAM PEDAS KESOM IKAN SEMBILANG

rsz_apis
Assalammualaikum, salam Jumaat semua. Apa menu makan tengah hari anda hari ni? Che mat masak asam pedas kesom ikan sembilang. Sebenarnya ini asam pedas kegemaran Bak, dan yang che mat masak ni pun memang untuk Bak. Kata orang, jika nak asam pedas ikan sembilang yang sedap, dapatkan ikan sembilang segar, lagi bagus kalau yang masih hidup. Jika di tempat che mat, kami lebih gemar ikan sembilang tempatan walaupun harga mahal berbanding ikan sembilang dari Indonesia. Perkara yang harus dititik beratkan ketika menyiang ikan sembilang, ialah di bahagian dalam perutnya, memang perlu dibersihkan dari segala kekotoran dan darah2 beku yang melekat dibahagian perut dan tulangnya hingga betul2 bersih, kemudian diperap dengan jus limau nipis atau limau kasturi. Daun kesom dan bunga kantan menjadi identiti masakan asam pedas ikan sembilang. Ada juga yang masukkan sedikit halba. Che mat lebih suka masukkan sedikit lada hitam agar asam pedas berbau wangi dan hangat...Resipi seperti di bawah.

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 ekor ikan sembilang saiz besar
2 biji terung ungu
1/3 cawan jus asam jawa
1 genggam daun kesom
1 kuntum bunga kantan, belah 2
1/2 camca teh lada hitam, tumbuk halus
2 senduk nasi cili kisar
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN - BAHAN TUMBUK HALUS :-)
6 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1 inci kunyit hidup

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan sembilang dibuang isi perut dan insangnya, kerat kepada beberapa bahagian, cuci bersih segala kotoran. Kemudian perap dengan jus limau kasturi selama 15 minit. Cuci bersih dan toskan. Terung dikerat 2 setiap 1, kemudian belah 2 tapi tak putus setiap 1 keratan, rendam. Ketepikan
  2. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 4 - 5 camca besar). Tumis bahan2 tumbuk halus hingga harum. Masukkan cili kisar, kacau rata dan masak hingga garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  3. Tuang air secukupnya (anggaran 1 liter), kacau dan biarkan mendidih. Masukkan ikan, terung (toskan airnya), bunga kantan, lada hitam tumbuk dan jus asam jawa. Kacau perlahan dan biarkan mendidih. Masukkan daun kesom, perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Masak hingga terung lembut, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas, ulam-ulaman dan telur dadar.
Labels: , ,

KERABU JANTUNG PISANG

rsz_kjpan
Assalammualaikum, hari ni che mat nak kongsikan satu resipi paling ringkas dan sedap dimakan waktu cuaca panas2 macam sekarang ni. Semalam abang long che mat bawak balik jantung pisang  kapas dalam 4 biji dari kebun. Bonda siap2 buang kulit luarnya dan dia simpan dalam esbox. Tadi che mat belek2, dalam 4 biji tu ada sebiji yang saiznya agak besar. Tak semena2 termengidam kerabu jantung pisang style  nyonya peranakan. Tengok bahan2 lain, alhamdulillah semua ada walaupun belimbing buluh che mat dapat tak banyak dan ada yang dah rosak (tapi masih boleh guna). Takpe kan kita yang bikin dia, jadi kau kena lah pandai adjust mana yang perlu, betul tak..

rsz_kjpan1
Resipi mudah disiapkan dan che mat rasa semua orang boleh buat. Kerabu ini menggunakan santan, che mat guna santan kotak dalam 1/4 cawan, tak perlu campur air, guna pekat2. Masukkan juga udang segar yang telah dibuang kulitnya sebagai perencah. Biasanya memang guna udang bersaiz kecil untuk resipi ini, baru nampak elok. tapi tu pada che mat lah, kalau budget anda lebih suka hati lah nak guna udang saiz macam mana sekali pun, kan sendiri yang nak makan. Seperti biasa, bila sebut kerabu, mesti ia ada rasa masam, manis, masin, pedas dan aroma herba2 wangi seperti daun limau purut atau serai. Yang itu semua ikut citarasa anda, suka pedas, boleh tambah cili padi, suka masam tambah jus limau kasturi, suka manis tambah sedikit gula, jangan sampai manis macam pengat sudah lah yea. Sedap dimakan bersama nasi panas dan ikan goreng, dua tu dah cukup bess sangat, tak payah nak pening2 fikir lauk yang lain.....Nak resipi?...jommm kita semak di bawah ini...

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 biji jantung pisang kapas (boleh juga guna jantung pisang nipah)
6 biji bawang merah, hiris
6 biji belimbing buluh, hiris halus memanjang dan perah sedikit airnya
4 helai daun limau purut, buang urat tengah dan mayang halus
3 biji limau kasturi, perah jusnya
1 biji cili merah, kerat 4, buang biji dan hiris halus memanjang
1/4 cawan isi udang kecil, cuci dan toskan
1/4 cawan santan pekat (che mat guna santan kotak)
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN - BAHAN TUMBUK HALUS :-)
1 biji cili merah
5 biji cili padi merah thai
1 inci belacan, dibakar

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Didihkan air, masukkan 1/2 camca teh garam dan 1 keping asam gelugor. Jantung pisang dibuang kulit luarnya hingga jumpa bahagian berkulit cerah. Belah empat dan masukkan ke dalam periuk berisi air mendidih tadi. Rebus hingga jantung pisang empuk. Toskan dan biar sejuk.
  2. Masukkan pati santan dalam periuk kecil. Masak hingga suam, tambah bahan2 tumbuk halus dan isi udang. Kacau rata dan masak dengan api kecil hingga udang berubah warna. Matikan api dan biarkan sejuk.
  3. Jantung pisang rebus tadi dihiris kecil2, kemudian perah sedikit airnya. Masukkan ke dalam mangkuk besar bersama2 bawang merah hiris, belimbing buluh, cili merah dan daun limau purut. Gaul rata. Tuang no, 2 dan gaul lagi.
  4. Masukkan jus limau kasturi, perasakan dengan garam secukupnya dan juga gula. Pastikan rasanya seimbang antara masam, manis dan masin. Gaul hingga semua rata. Rasa dan jika ok boleh hidangkan segera bersama nasi putih dan ikan goreng.....
Labels: , ,

KARI AYAM KERISIK SAMA NANGKA MUDA

rsz_kasn
Assalammualaikum, salam Rabu. Hari ni che mat masak menu kegemaran semua dalam rumah ni, iaitu kari ayam kerisik sama nangka muda. Bonda paling gemar masakan seperti ini, dan seawal semalam dia dah siap2 kupas dan siang nangka muda untuk memudahkan che mat masak. Kata bonda, kalau menu nangka muda dan pisang muda, tu semua lauk2 orang tua. Maksudnya, kerja2 rumit seperti menyiang nangka muda dan pisang muda orang2 tua yang bikin, sebab budak2 muda tak berapa suka kerana getah. Che mat sendiri agak kurang suka menyiang nangka dan pisang muda, kerana getah dia. Perancangan asal nak gulai sama daging rusa baki che mat masak black pepper tu hari, tapi takut pulak Bak makan nanti, sakit gaot dia menyerang. Jadi pagi tadi che mat tukarkan dengan ayam, guna dalam 1/2 ekor.

rsz_kasn1
Kari ini agak pekat dan bukan cair melayau. Ditambah pula dengan kerisik. Nangka muda che mat guna dalam 500 gram sahaja. Satu lagi, kita boleh masak awal sikit, kalau nak masak malam pun boleh dan esok baru makan, sebab menu macam ni kalau dah dibiarkan untuk beberapa jam, rasa dia lagi sedap, rempah ratus dan rencah2 semua bersatu. Selain enak dimakan bersama nasi, anda boleh juga cicah roti, lempeng atau roti canai. Jika ada masa terluang sudi2kan lah mencuba, in sha Allah pasti anda tidak akan kecewa dengan hasilnya. Kita lihat resipi di bawah ini...

BAHAN - BAHANNYA :-)
1/2 ekor ayam, potong saiz sederhana, cuci dan toskan
500 gram nangka muda yang telah dikupas, dipotong kiub dan rebus 1/2 empuk, toskan
1200 ml santan cair
500 ml pati santan
1 keping asam gelugor
1 kiub ayam MAGGI (optonal)
5 camca besar penuh rempah kari (Babas's)
2 camca besar penuh kerisik
3 camca besar cili kisar
1/2 camca besar gula Melaka
Garam secukup rasa
Air jika perlu
1 camca besar penuh minyak sapi
1 genggam bawang goreng

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar saiz sederhana
5 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
1 inci halia
2 batang serai, dihiris
1/2 inci lengkuas

BAHAN - BAHAN TUMIS :-)
4 biji bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
3 tangkai daun kari , dilurut
1 batang kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
5 kuntum bunga cengkih

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Satukan bahan2 kisar halus dengan rempah kari dan kacau rata hingga menjadi pes, tambah sedikit air jika perlu, ketepikan. Dalam periuk panaskan minyak secukupnya (anggaan 1/3 cawan). Tambah minyak sapi dan biar cair. Masukkan bahan2 tumis dan kacau hingg harum dan bawang keperangan. Tambah cili kisar, kacau rata dan masak hingga cili garing. Guna api kecil dan kacau selalu.
  2. Masukkan pes rempah, kacau dan masak hingga naik minyak. Masuk ayam, gaul rata dan masak hingga ayam berubah warna. Tuang santan cair, kacau dan biarkan mendidih. Masukkan nangka muda, kerisik dan asam gelugor. Tambah sedikit air jika perlu.
  3. Tuang pati santan, Masak hingga ayam dan nangka empuk. Tambah kiub pati ayam MAGGI (jika guna), gula melaka dan garam secukup rasa, kacau sentiasa dan masak dengan api sederhana hingga naik minyak. Akhir sekali taburkan bawang goreng, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih, sambal belacan dan ulam-ulaman....Selamat mencuba!
Labels: , ,

RESIPI APAM BALIK

rsz_kab
Cakk!!....salam semua, bukan mudah sekarang ni nak update entri 2 kali sehari, nak2 resipi masakan. Bukan tak masak, tapi mengejar masa. Macam hari ni lepas che mat masukkan entri char kuey teow kambing tadi, rehat sekejap dah on ke dapur balik. Tapi takpe, kerja adalah ibadat, janji kita ikhlas melakukannya. Tu hari bonda che mat ada sebut apam balik. Kalau dulu2 masa zaman kami berjualan, kuih apam balik ni sampai jemu, sebab bila dah hujung2, orang yang berniaga apam balik akan berbagi2. Disebabkan bonda che mat berpuasa hari ni, elok juga kita bikin apam balik. Kena buat 2 jenis, yang berkacang tanah dan satu lagi tak taruk kacang, cuma letak  jagung krim saja dan sedikit bijan, yang tu untuk Bak.


rsz_kab1
Resipi ni che mat dapat dari youtube, zaman sekarang ni senang, semuanya anda boleh google atau cari di youtube. Alhamdulillah hasilnya memuaskan dan resipi ini akan menghasilkan 3 keping apam balik. Che mat guna non-stick pan saiz 8 inci. Jadi anda bahagikan 3 bahagian adunan agar apam balik sama saiz bila dah masak. Jika suka apam balik dibahagian tepinya berbibir seperti yang jual dipasar2 malam, kita ratakan adunan sampai ke tepi pan, biar dia berbibir sikit. Satu lagi inti dia anda boleh variasikan, nak taruk pulut (pastikan anda masak dulu yea pulut tu), atau boleh juga tambah parutan kelapa muda. kacang merah pun boleh. Nak tabur keju atau coklat pun boleh. Tapi che mat lebih suka yang origanal iaitu kacang tanah, bijan panggang, sedikit gula dan krim jagung. Kalau ingin mencuba. resipi seperti dibawah ini..

BAHAN - BAHAN APAM BALIK :-)
130 gram tepung gandum
1/2 camca teh soda bicarbonate
1/2 camca teh instant yeast
2 camca besar gula halus
1 biji telur gred A
160 ml air
1/4 camca teh esen vanilla (optional)

BAHAN - BAHAN INTI :-)
50 gram kacang tanah
2 camca besar gula pasir (che mat guna 1 1/2 camca besar gula perang)
2 camca besar bijan
1/2 cawan jagung krim dalam tin
Sedikit mentega atau majerin

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK ADUNAN APAM BALIK :- Masukkan tepung, soda bicarbonate, instant yeast dan gula ke dalam mangkuk sederhana besar. Kacau rata, tuang air dan masukkan telur; Kacau dengan whisk hingga semua rata dan sebati. Kalau ada bintil2, anda boleh tapis bancuhan tadi. Tutup dengan plastik wrap dan perap 45 minit.
  2. UNTUK INTI :- Kacang tanah digoreng tanpa minyak hingga perang, sejukkan dan buang kulit, kemudian kisar kasar atau anda boleh tumbuk dalam lesung. Bijan digoreng tanpa minyak hingga perang dan wangi. Masukkan kacang tumbuk, bijan dan gula perang dalam satu mangkuk dan kacau rata. Ketepikan.
  3. UNTUK APAM BALIK :- Panaskan non-stick frying pan saiz 8 inci, sapu dengan sedikit minyak makan (che mat cuma celopkan tissue dapur bersih dalam minyak masak dan lenser nipis pada permukaan pan tadi). Kemudian kecilkan api. Adunan apam balik dikacau rata dan bagi kepada 3 bahagian sama banyak. 
  4. Tuang satu bahagian, kemudian ratakan. Tutup permukaan pan dengan tudung periuk dan masak untuk 4 - 5 minit atau hingga permukaan nampak berbuih2. Kemudian taburkan 1/3 bahagian inti dan 1/3 bahagian krim jagung. Tutup kembali pan dengan tudung periuk dan masak untuk 2 - 3 minit lagi. 
  5. Tarukkan sedikit mentega atau majerin dibeberapa bahagian apam balik dan berhati2 lipat dua apam balik tadi, tekan2 sedikit dan alihkan dalam pinggan. Buat kaedah sama untuk baki bahan2 dan inti. Pastikan anda sapu nipis permukaan pan dengan tissue yang dicelop minyak makan setiap kali membuat apam balik. Potong dan hidangkan untuk minum petang..Selamat mencuba!!
Labels: , ,

CHAR KUEY TEOW KAMBING

rsz_cktk (1)
Assalammualaikum, salam Isnin semua dan selamat berpuasa sunat pada mereka yang berpuasa. Bonda che mat turut berpuasa hari ini dan seperti kebiasaan, kalau bonda berpuasa che mat akan masak lewat sikit. Tapi untuk pagi atau tengah hari kita masak yang ringkas2 saja. Untuk Bak kena lah masak lain yang dia boleh makan. Tengah hari ini che mat bikin char kuey teow kambing, jangan tanya kenapa kering ajer char kuey teow tu. Dalam bahasa Hokkien, 'Char' tu bermaksud goreng, jadi memang lah kering. Kalau anda suka berkuah takde masalah, kau tuangkan saja air banyak mana nak, habis cerita. Che mat guna daging kambing yang dihiris nipis dan diperap dengan halia, bawang putih, lada sulah dan kicap cair. Banyak mana daging kambing anda nak guna, ikut suka masing2, takde pantang. Kalau anda ingin mencuba, meh che mat kongsikan resipi seperti dibawah ini..

BAHAN - BAHANNYA :-)
Sebesar penumbuk orang dewasa daging kambing, hiris nipis, cuci dan toskan*
1/2 inci halia, ditumbuk halus*
2 ulas bawang putih, ditumbuk halus*
1/2 camca teh lada sulah*
1 camca besar kicap cair*(*disatukan dan perap 20 minit)
600 gram kuey teow
2 genggam tauge, cuci dan toskan
1 cekak kucai, kerat pendek
2 camca besar cili kisar
1 camca besar penuh sos tiram
2 camca besar sos cili
1 camca besar sos tomato
2 camca besar kicap pekat
Kicap cair secukup rasa
2 biji telur, dipukul sedikit
3 ulas bawang putih, cincang halus
4 bij bawang merah, hiris halus

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan 3 camca besar minyak dalam kuali. Tumis bawang putih dan bawang merah hingga harum. Masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing, gunakan api kecil dan kacau sentiasa. Masukkan daging kambing yang telah diperap tadi. Gaul rata dan masak hingga daging kecut. Masukkan air (anggaran 1/2 cawan) dan masak dengan api kecil hingga daging empuk dan  kuah pekat
  2. Tambah sos tiram, sos cili dan sos tomato. Kacau rata dan masukkan kuey teow (terlebih dahulu masukkan kuey teow dalam tapis dan bilas bawah air paip, toskan dan terus masukkan dalam kuali).Besarkan api dan gaul rata. Tambah kicap pekat dan kacau.
  3. Tolak kuey teow ke tepi kuali , masukkan telur (kalau perlu tuang sedikit minyak), masak hingga telur kental, hancurkan dan gaul dengan kuey teow hingga rata. Tambah kicap cair secukup rasa dan akhir sekali masukkan taugeh dan kucai, kacau dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan segera....Selamat mencuba!!.
Labels: ,

NASI LEMAK DAN AYAM GORENG REMPAH

rsz_nlmg (1)
Assalammualaikum, salam Ahad sahabat2 alam maya semua. Hari ni che mat tak masak, maksudnya tak masak tengah hari. Semalam ada permintaan nasi lemak, jadi che mat masak nasi lemak lebih sikit, tak perlu masak untuk makan tengah hari. Nasi lemak ini atas permintaan Bak, sebenarnya bak tak mintak, tapi dia bagi 'hint', kata lama tak makan nasi lemak. Jadi kita faham2 sajalah maksudnya. Memasak nasi lemak bukanlah susah, malah ini antara hidangan nasi paling senang nak masak. Dan bagi yang kurang arif pasal sukatan santan untuk memasak nasi lemak, anda guna saja beras basmathi. Nisbah beras dengan santan atau cecair ialah 1 bahagian beras basmathi : 1 1/2 bahagian air atau santan, contohnya anda guna 1 cawan beras basmathi, santan atau cecair guna 1 1/2 cawan. Kalau nak guna beras siam atau beras biasa pun tak salah, yang tu anda guna sukatan santan seperti anda memasak nasi putih..

rsz_nlmg1 (1)
Seperti kita tau atau lihat, nasi lemak secara standardnya perlu ada beberapa bahan sampingan yang menjadikan ia 'nasi lemak'. Sambal paling asas dan wajib ada, diikuti timun dan telur. Tiga benda ini kalau takde, bukan nasi lemak namanya. Kemudian ditambah pulak kacang tanah goreng, ikan bilis goreng dan ayam goreng berempah. Ada juga yang gemar nasi lemak mereka dimakan bersama kangkung celur dan ikan selar kuning goreng kunyit atau udang goreng kunyit. Sejak2 ni nasi lemak mula hilang 'identiti', bila lauk pauknya bertambah seperti rendang, paru dan sebagainya. Macam nasi campur jadinya. Walaupun pada pendapat che mat jika terlalu banyak lauk pauk untuk nasi lemak, mencacatkan tapi itu semua terpulang pada individu, selera masing2 tak siapa melarang anda nak makan dengan apa atau cara bagaimana....

rsz_nlmg2
Disebabkan Bak lebih gemar ayam goreng rempah, terutamanya bahagian kepak, maka malam semalam che mat perapkan kepak ayam dengan rempah ratus yang che mat tumbuk sendiri, kemudian pagi ni setelah selesai semua masak nasi lemak, bikin sambal, goreng ikan bilis dan kacang, baru goreng ayam berempah. Ayam tu goreng akhir sebab ia lebih enak dimakan ketika panas bersama nasi lemak. Resipi memang mudah, che mat taruk resipi nasi lemak, sambal tumis ikan bilis dan ayam goreng rempah...3 resipi dalam 1 entri...perghh..kan untung tu....Jommm masak!!

RESIPI NASI LEMAK.....

BAHAN - BAHANNYA :-)
4 cawan beras basmathi, cuci dan rendam 30 minit
6 cawan santan segar
3 ulas bawang putih, diketuk
1 inci halia, dihiris
1 biji bawang besar, belah 4
2 helai daun pandan, disimpul
Garam secukup rasa

BAHAN - BAHAN SAMPINGAN :-)
Hirisan timun
Telur rebus/telur mata/telur dadar
Ikan bilis goreng
Kacang tanah goreng
Ayam goreng rempah

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Toskan beras dan masukkan ke dalam periuk nasi elektrik @ rice cooker. Tuang santan, masukkan bawang putih, bawang besar, halia, daun pandan dan 1 camca teh garam. Kacau hingga rata.
  2. Masak nasi seperti anda memasak nasi biasa (nasi putih). Bila nasi kering (lampu pada rice cooker bertukar kepada 'warm'), biarkan 5 minit, kemudian gemburkan nasi lemak menggunakan chop stick. Matikan suis rice cooker (untuk mengelakkan nasi berkerak) dan biarkan sementara kita sediakan bahan2 sampingan yang lain.

RESIPI SAMBAL TUMIS IKAN BILIS..

BAHAN - BAHANNYA :-)
2 cawan cili kisar
1/4 cawan jus asam jawa
1 biji bawang besar, hiris kasar
1 genggan ikan bilis, dibersihkan dan direndam sekejap, toskan
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1 inci belacan, dibakar (kalau tak boleh makan belacan, tak perlu taruk)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 1/3 cawan). Tumis bahan2 kisar halus hingga wangi. Masukkan cili kisar, kacau dan masak hingga garing dan naik minyak. Tuang jus asam jawa (tuang 1/2 dulu dari 1/4 cawan tadi). Kacau dan masukkan garam secukup rasa dan gula (anggaran 1 camca besar). Kacau rata.
  2. Masukkan ikan bilis dan hirisan bawang besar. Gaul rata dan masak dengan api sederhana hingga sambal pekat sedikit. Rasa dan jika kurang asam, tambah sedikti lagi jus asam jawa, begitu juga garam dan gula. Masak sekejap dan boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi lemak..

RESIPI AYAM GORENG REMPAH....

BAHAN - BAHANNYA :-)
10 kepak ayam saiz sederhana
1 biji telur, dipukul sedikit
2 camca besar tepung beras
5 camca besar pati santan (che mat guna santan kotak)
1 camca besar rata serbuk kunyit
1 camca teh penuh garam
1 camca teh gula perang (atau gula pasir)
Minyak untuk goreng terendam

BAHAN - BAHAN PERAP :-)
2 camca besar ketumbar biji*
1 camca teh jintan halus (jintan putih)*
1 camca teh jintan kasar (jintan manis)*(*digoreng tanpa minya hingga wangi)
4 ulas bawang putih
1/2 inci halia
2 batang serai, dihiris halus

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kepak ayam dicuci bersih dan toskan. Tumbuk halus bahan2 bertanda (*). Kemudian tumbuk pula bawang, halia dan serai hingga halus. Masukkan kepak ayam ke dalam mangkuk besar. Masukkan bahan2 perap (yang ditumbuk tadi). gula perang, garam, pati santan dan serbuk kunyit. Gaul hingga semua rata dan perap 3 - 4 jam. Seelok2nya semalaman, simpan dalam peti sejuk.
  2. Panaskan minyak untuk goreng terendam. Keluarkan kepak ayam dari peti sejuk. Masukkan telur dan gaul. Tambah tepung beras dan gaul lagi hingga semua rata. Goreng dengan api sederhana hingga kepak ayam kuning keemasan. Balik2kan agar masak rata. Angkat dan toskan minyaknya. Boleh hidangkan bersama nasi lemak...Selamat mencuba!!
Labels: , ,

JOMM BUAT SARDINE SENDIRI!!...

rsz_shm
Assalammualaikum, salam Jumaat yang mulia. Hari ni che mat kongsikan resipi sardine home made, tapi sebelum tu ada satu benda yang wajib anda ada, iaitu periuk tekanan atau pressure cooker, tak kesah lah periuk tekanan yang masak atas dapur atau yang guna elektrik seperti jenama XXX tu. Che mat guna periuk tekanan yang masak atas api saja, bukan takde yang jenis letrik, tapi malas nak keluarkan dari kotak. Rasanya che mat pernah kongsikan resipi sardine home made ni dulu, kalau tak silap sekitar 2009. Sejak2 ni merata dah orang bikin, kalau kat FB, bersepah2 yang berkongsi resipi, tapi seelok2nya kita kongsi bila kita sendiri dah mencuba, baru 'real'. Apa2 pun baguslah macam tu, sekurang2nya ilmu dapat kita sebar2kan dan bermanfaat untuk semua.

rsz_shm1
Untuk resipi ini che mat guna kurang lebih 1 kg ikan tamban sardine (kurang lebih 11 ekor). Ikan tamban sardine ni tulang dia halus2 dan banyak tapi isi dia sedap. Selain ikan tamban sardine, anda boleh juga guna ikan selayang, kembong, tongkol atau tenggiri. Tapi setiap ikan akan beri rasa yang sedikit berbeza (ikan tongkol antara paling sedap, che mat selalu buat guna ikan tongkol). Bila buat dalam kuantiti yang agak banyak, anda boleh bekukan. Tapi biar betul2 sejuk baru simpan dalam bekas bertutup. Rasa dia macam mana pulak?...In sha Allah tak banyak beza dari sardine dalam tin. Resipi amat mudah, seperti che mat tulis awal2 tadi, yang paling penting ada harus ada periuk tekanan @ pressure cooker....OK!...

RESIPI SARDINE HOME MADE....

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 kg ikan tamban sardine yang segar
1 tin kecil tomato puree
5 - 6 biji cili padi Thai warna merah (optional)
1/2 inci lengkuas, dihiris
3 1/2 cawan air
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
10 biji bawang merah
7 ulas bawang putih
2 inci halia

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan tamban sardine dikerat bahagian kepalanya, buang isi perut dan cuci bersih, buat hingga siap. Perap ikan dengan jus limau kasturi atau limau nipis selama 15 minit, cuci kembali dan toskan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk tekanan, anggaran 1/3 cawan. Tumis lengkus dan bahan2 kisar halus hingga harum. Masukkan tomato puree, kacau dan masak hingga naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  3. Tuang air, masukkan garam secukup rasa dan gula secukupnya (anggaran 1 camca besar). Kacau dan biarkan mendidih. Masukkan ikan tamban sardine tadi, tambah cili padi jika suka dan tutup periuk tekanan. Besarkan api dan pasang injapnya. 
  4. Bila periuk bunyi berdesir, kecilkan api dan masak selama 1 jam. Kemudian tutup api dan biarkan periuk tekanan anda hilang wap panas (bila anda sentuh injapnya, tiada lagi bunyi berdesir). Boleh juga anda letak periuk tekanan tadi bawah aliran air paip untuk mempercepatkan proses menghilangkan wap panas.
  5. Buka periuk, dan biarkan sejuk. Alihkan sardine home made dalam bekas bertutup dan simpan dalam peti sejuk untuk kegunaan bila perlu, atau bekukan untuk tahan lebih lama..

SARDINE MASAK TUMIS ...

BAHAN - BAHANNYA :-)
4 ekor ikan sardine home - made
1/2 cawan atau secukupnya sos dari sardine tadi
1 biji bawang holland, hiris bulat dan leraikan
2 ulas bawang putih, hiris
1 biji cili hijau, hiris serong
1 camca besar cili kisar
1 inci halia, hiris nipis
1 batang leek. kerat pendek dan rendam
2 biji limau kasturi, perah jusnya
Garam secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan 2 camca besar minyak. Tumis bawang holland, bawang putih, halia, leek (toskan airnya) dan cili hijau hingga layu. Masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing. Tambah sos dari sardine tadi dan kacau rata. Masukkan ikan sardine dan balikkan, berhati2 agar ikan tidak hancur. Masak dengan api kecil.
  2. Masuk jus limau kasturi, dan perasakan dengan garam secukupnya. Masak sekejap dan boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas, ulam-ulaman dan telur dadar....Selamat mencuba!
Labels:

ASAM PEDAS IKAN MAYONG

rsz_apim
Assalammualaikum, salam Khamis semua. Hari ni che mat mat masak lewat sikit sebab bonda berpuasa. Jadi meh elok juga kalau che mat masukkan entri asam pedas ikan mayong, yang dimasak semalam. Ikan mayong segar ni che mat beli di pasar Rengit, bahagian dagingnya RM 15 sekilo, kalau kepala dia murah sikit, cuma tak berapa gemar bahagian kepala ikan mayong, macam rugi ajer, isi tak banyak. Kalau masak asam pedas ikan mayong, che mat suka masukkan lada hitam. Aroma dari lada hitam dapat menjadikan asam pedas ini lebih wangi dan sedap. Tu hari ada yang tanya, che mat apa beza ikan mayong, ikan duri dan ikan blukang. Apa yang che mat tau lah, ikan duri tu bila saiz dia besar, kita panggil mayong, dan bila besar lagi panggil 'jahan' dan ia beza dari ikan blukang. Ikan blukang spesis ikan duri juga tapi bahagian kepalanya leper sedikit dan kasar, serta badan ikan blukang ada corak belang2, berbanding ikan duri/ikan mayong/ikan jahan kepalanya tak leper dan badan tak bercorak. Ikan mayong juga ada 2 jenis, satu jenis isi putih dan satu lagi isi gelap. Che mat lebih suka yang isi putih sebab lembut bila dimasak...Meh kita lihat resipi asam pedas ikan mayong.

BAHAN - BAHANNYA :-)
2 keping keratan ikan mayong saiz besar
4 - 5 kelopak sawi jeruk
1/2 cawan jus asam jawa
2 senduk nasi cili kisar
2 kuntum bunga kantan, belah 2 setiap 1
1 genggam daun kesom
1 camca teh lada hitam biji, ditumbuk halus
1/2 inci lengkuas, diketuk
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
6 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1 inci kunyit hidup
1/2 inci belacan, dibakar

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Disebabkan ikan mayong tu saiz besar (kurang lebih sebesar tapak tangan orang dewasa), jadi che mat kerat 4 bahagian. Cuci dan gaul dengan sedikit tepung gandum, perahkan jus limau kasturi dan perap selama 15 minit. Lepas tu cuci bersih dan toskan. Sawi jeruk dipotong kecil, cuci dan rendam. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/4 cawan). Tumis lengkuas dan bahan2 kisar halus hingga harum. Masukkan cili kisar, kacau rata dan masak hingga cili garing dan naik minyak. Masukkan lada hitam tumbuk dan kacau.
  3. Tuang air secukupnya (anggaran 1 liter), kacau dan biarkan mendidih. Masukkan sawi jeruk (toskan airnya) dan juga jus asam jawa. Kacau dan masak sekejap. Tambah ikan mayong, bunga kantan dan daun kesom. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau perlahan dan biarkan mendidih hingga ikan masak. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas, telur dadar/telur masin dan ulam-ulaman.
Labels: , ,

JOMMM BUAT ROJAK PETIS

rsz_rpp
Assalammualaikum, salam Rabu semua. Hari ni che mat bikin rojak petis. Lama sangat tak makan rojak petis, sebenarnya asbab utama che mat rasa tak sampai hati nak makan rojak petis kerana Bak. Bak ada gaot dan seperti anda sedia maklum, rojak petis ada banyak bahan2 yang orang gaot tak boleh makan. Antaranya kacang, petis, taugeh, tauhu, kicap. Kalau benda2 tu kita tak taruk dalam rojak petis, dah lari sangat rasanya. Disebabkan hari ni che mat mengidam sangat, maka dengan berat hati ku buat secara 'rahsia' dan makan dengan mereka2 yang boleh makan, juga secara rahsia..huhu, minta maaf Bak. Resipi memang mudah, che mat buat versi cepat. Kuantiti bahan2 untuk rojak tu main agak2 saja sebenarnya. Sebab suka pedas, che mat tumbuk 3 biji cili padi thai merah dan masukkan dalam rojak. Satu lagi kemanisan pun ikut selera, tapi che mat guna 1 camca besar gula pasir, itu pun dah manis sebab guna nenas Sarawak yang memang cukup manis. Sedap dimakan sejurus ia dibancuh, kalau biar lama2 nanti rojak tu dah berair, sayur2 pun mula 'bisu', jadi kurang kick!....Bagi yang nak mencuba, che mat kongsikan resipinya. Hidangan ini untuk 2 - 3 orang

BAHAN - BAHAN SOS ROJAK :-)
2 camca besar penuh petis @ otak udang
1 camca besar cili kisar
3 biji cili padi thai warna merah, ditumbuk (optinal)
1 camca besar kicap pekat
1 camca besar gula pasir (atau secukup rasa)
1 camca teh pes asam jawa
1 cawan kacang tanah digoreng tanpa minyak, dibuang kulit dan ditumbuk kasar

BAHAN - BAHAN ROJAK :-)
2 keping tauhu, digoreng (kalau saiz tauhu besar, guna 1 keping)
Nanas secukupnya
1/2 biji timun
1/4 biji sengkuang
2 genggam taugeh, dicelur dan toskan
4 - 5 pokok sayur kangkong, disiang, cuci dan celur, toskan

RPP`
CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Dalam mangkuk besar, masukkan semua bahan2 untuk sos rojak, kecuali kacang tanah. Kacau rata dengan senduk. Masukkan 1/2 bahagian kacang tanah yang telah ditumbuk tadi, gaul hingga semu rata.
  2. Hiris  serong tauhu, nanas, timun dan sengkung. Masukkan ke dalam mangkuk berisi sos rojak. Tambah taugeh dan kangkung celur. Gaul hingga semua rata, rasa dan jika ok boleh alihkan ke dalam bekas sesuai. Tabur baki kacang tanah tumbuk atas rojak tadi sebelum dihidangkan. Sedap dimakan sejurus rojak dibancuh...Selamat mencuba!!
Labels: , ,

KISAH PULUT KUNING DAN KARI AYAM

rsz_pkka
Assalammualaikum, salam Selasa. Hari ni che mat masukkan menu semalam. Sebenarnya kisah kejadian pulut kuning ini tidah disegajakan. Asalnya hanya masak kari ayam atas permintaan Bak, dalam masa sama che mat sesuka hati ku rendam baki pulut dalam peti sejuk, tak sukat pulak berapa cawan atau berapa gram ( agak2 tadi dalam 1 kg), tuang saja dalam besen, cuci kemudian rendam, taruk serbuk kunyit dan sekeping asam gelugor, petua orang dulu2 kalau nak pulut kuning cantik berkilat, masa rendam taruk asam gelugor. Tapi che mat guna kaedah cepat, hanya tambahkan 1 camca teh minyak kelapa dalam santan yang akan dimasukkan ke dalam pulut nanti, kalau takde minyak kelapa, boleh guna minyak masak biasa. Jikaguna kaedah tradisi, pulut dikukus kosong, kemudian keluarkan dan gaul dengan pati santan, kukus kembali hingga pulut betul2 masak dan tak de rasa 'biji limau' atau masak separuh dan separuh lagi mentah.

Pulut kuning dari segi adat budaya orang melayu kita, ia amat berkait rapat. Bila khatam Quran atau majlis bersunat dan sebagainya, akan dibuat pulut kuning sebagai simbol kesyukuran. Sejak2 ini majlis2 perkahwinan dan hari lahir juga pulut kuning sudah mula mendapat tempat di meja utama. Bercerita pasal teknik mengukus pulut kuning, ada 2 cara yang che mat tau setakat ini. Kalau ikut cara tradisi ia agak cerewet sedikit, dan jika ikut cara 'potong pendek' in sha Allah tak susah dan semua orang boleh buat. Dari segi rasa dan teksture pulut sama saja tak banyak beza. Resipi anda boleh lihat dibawah nanti ok...

rsz_pkka1
Bila ada pulut kuning, satu kemestian wajib ada pencecahnya, tak kesah lah rendang ke, kari daging ke, kari ayam ke atau sambal tumis. Seperti che mat cerita kat atas tu, pada mulanya perancangan sejak dari pagi memang nak masak kari ayam, atas permintaan Bak. Bila ada kari ayam, lempeng pekak paling tak pun mesti kena ada terutama untuk sarapan pagi. Bak suka lempeng pekak yang lembut, dan dia akan gulung lempeng tadi seperti kuih ketayap dan dipotong2 kecil, sebelum disiram dengan kuah kari. Itu style Bak makan. Pada che mat, kari daging lagi sedap, tapi atas faktor kesihatan, terpaksalah daging dijarakkan penggunaanya dalam masakan.

Bila masak kari, ada macam2 rempah yang kita boleh gunakan. Che mat tetap dengan rempah Baba's. Dulu pernah guna rempah timbang, tapi tidak menepati selera, rasa dia lain sangat. Satu lagi yang che mat suka kari samada ayam, daging atau kambing, kita masukkan kerisik, tapi bukan banyak macam nak masak rendang, setakat nak menaikkan rasa saja. Ada juga yang suka mencampurkan sedikit rempah kurma atau briyani dalam masakan kari. Ini semua terpulang dan boleh cuba, bila anda dapat masakan kari yang betul2 kena dengan citarasa anda, seelok2nya resipi tu disimpan sebagai rujukan. Satu lagi, anda boleh campur sedikit minyak sapi sebelum menumis rempah dan diakhir proses masakan, che mat suka taburkan dalam segenggam bawang goreng...Jomm kita lihat resipi..

RESIPI PULUT KUNING MUDAH....

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 kg pulut (che mat guna pulut susu)
1 1/4 camca teh serbuk kunyit
1 keping asam gelugor
900 - 1000 ml santan kelapa (dari sebiji kelapa)
1 camca teh penuh garam
1 camca teh minyak masak (che mat guna minyak kelapa)
1 helai daun pandan, disimpul

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Cuci pulut, kemudian masukkan dalam bekas besar. Tuang air hingg pulut terendam. Tambah serbuk kunyit dan kacau hingga rata. Masukkan asam gelugor dan rendam pulut selama 4 - 5 jam, sekali2 anda gaulkan pulut yang berendam tadi, agar warna kuningnya sekata (che mat rendam kurang lebih 4 jam).
  2. Panaskan kukus, sediakan loyang sesuai (che mat guna loyang bulat berukuran 11 inci x  2 inci). Toskan pulut. kemudian masukkan ke dalam loyang. Letakkan daun pandan dan tekan sedikit biar daun pandan tenggelam.
  3. Sementara itu, masukkan garam, minyak masak (@ minyak kelapa) dan kacau rata. Tuang dalam loyang berisi pulut tadi sehingga santan menutupi permukaan pulut (kurang lebih 800 ml). Kukus pulut selama 25 minit dengan api besar.
  4. Buka tudung kukus, dengan menggunakan chop stick, balik2kan pulut tadi agar masak sekata. Baki santan tadi, anda sudukan atas pulut (che mat guna kurang lebih 100 ml). Gaul hingga rata.
  5. Sambung mengukus untuk 10 - 12 minit lagi atau hingga pulut kuning masak elok, dan tak keras. Rasa dan jika ok anda boleh matikan api. Angat dari kukus dan boleh hidangkan bersama rendang, sambal tumis atau serunding.

RESIPI KARI AYAM....

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 kg ayam, potong ikut suka
4 - 5 biji kentang, kupas dan potong 4 setiap 1, direndam
1 biji tomato, belah 6
2 camca besar cili kisar
5 camca besar rata rempah kari daging Baba's
400 ml pati santan
1 keping asam gelugor
1 genggam bawang goreng
Garam dan gula secukup rasa
1 camca besar penuh minyak sapi
Air secukupnya

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
7 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci lengkuas
1/2 biji buah pala, diparut
1 inci kunyit hidup

BAHAN - BAHAN TUMIS :-)
5 biji bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
2 batang serai, diketuk
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
4 biji buah pelaga
6 kuntum bunga cengkih
4 tangkai daun kari, dilurut

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ayam dicuci, kemudian gaul dengan 1 camca besar tepung gandum hingga rata. Perap 10 - 15 minit, kemudian cuci kembali hingga bersih. Kentang dikupas, belah 4 untuk setiap 1, rendam. Rempah kari dibancuh dengan bahan2 kisar halus dan kacau hingga menjadi pes. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/2 cawan), masukkan minyak sapi dan biar cair. Tumis bahan2 tumis hingga harum dan bawang keperangan. Masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing. Tambah pes rempah, kacau rata dan masak dengan api kecil hingga naik minyak.
  3. Masukkan ayam dan gaul rata, masak hingga ayam berubah warna. Tambah kentang (toskan airnya) dan gaul rata. Tuang air secukupnya hingga ayam dan kentang tenggelam. Masak hingga menggelegak, kemudian sederhanakan api. 
  4. Bila kentang 1/2 empuk, masukkan asam gelugor dan pati santan. Kacau rata dan biarkan mendidih. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Masak hingga ayam dan kentang empuk. Akhir sekali masukkan tomato dan bawang goreng, kacau perlahan, Rasa dan jika ok boleh matikan api. Boleh hidangkan.
Labels: , ,

CENDAWAN KUKUR TUMIS LADA HIJAU

rsz_shck
Assalammualaikum, salam Isnin. Memandangkan hari ni bonda che mat berpuasa. Jadi che mat masak lewat sikit. Pagi tadi dah bikin nasi goreng udang kering untuk sarapan sekali gus makan tengah hari. Jika anda nak resipi, boleh ke IG che mat (@matgebu). Menu sensasi hari ni ialah cendawan kukur tumis cili hijau, yang ni che mat guna cendawan kukur liar, bukan yang orang tanam. Cuma yang tumbuh liar nak membersihkannya kena cermat, kalau yang tanam lebih mudah dibersihkan sebab ditanam dalam pondok seperti cedawan tiram. Menu ni atas permintaan bonda sebenarnya, dan untuk rencahnya che mat guna ikan bilis tamban. Kalau suka pedas boleh tambah cili padi. Sedap dimakan bersama nasi panas dan tambah pulak ikan goreng...ehemmm...

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 cawan cendawan kukur segar yang telah dibersihkan dan direndam
1 genggam ikan bilis tamban, direndam
2 biji bawang besar, hiris
3 ulas bawang putih, hiris
5 biji cili hijau, hiris
2 camca besar jus asam jawa
1 inci belacan*
1/4 cawan air*(*dilarutkan)
4 camca besar minyak lebihan goreng ikan masin (boleh guna minyak masak biasa)
Garam dan gula secukup rasa
1 cawan air

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Toskan cendawan kukur, perah sedikit. Kemudian tumbuk dalam lesung batu hingga cendawan pecah, jangan tumbuk sampai hancur, kasi memar2kan sahaja. Alihkan ke dalam bekas. Ikan bilis tamban yag telah direndam tadi, anda buang sisiknya, belah dua dan buang tulang tengahnya. Ikan bilis tamban yang che mat guna agak besar, jadi belah 4 setiap 1. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali. Tumis bawang besar, bawang putih dan cili hijau hingga layu, masukkan ikan bilis tamban dan belacan yang telah dilarutkan tadi. Tambah jus asam jawa, kacau dan biarkan mendidih.
  3. Masukkan cendawan kukut, gaul rata dan tuang air. Masak hingga cendawan lembut dan kering sedikit. Perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula, Kacau rata dan masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas, ikan goreng dan sambal belacan...
Labels: ,

RESIPI BEGEDIL UB KAYU

rsz_buk
Assalammualaikum, salam Ahad semua. Hari ni che mat kongsi resipi senang dan pasti anda semua boleh buat. Ini sebenarnya sarapan pagi tadi. Tapi mana lah sempat nak update blog awal, kena siapkan semua kerja2 baru boleh kemas kini blog, tu pun kadang2 malam baru dapat update. Anda pernah cuma makan begedil ubi kayu? Bedegil ubi kayu ini lebih kurang macam cekodok, tapi bentuknya seperti begedil. Tiada apa2 rencah dalam tapi kalau anda suka, boleh tambah udang kering yang ditumbuk. Sebab che mat bikin ni Bak yang nak, kenalah buat yang kosong saja, tanpa udang kering atau pun ikan bilis. Perancangan asalnya nak bikin kuih talam ubi yang atasnya warna putih tu, tapi bila dah jadi begedil, bermakna tak jadi leer buat. Mungkin lain kali jika diizinkan. Ubi yang che mat guna ni telah siap diparut dalam 2 cawan macam tu dan menghasilkan kurng lebih 28 biji begedil ubi kayu....Resipi seperti berikut..

BAHAN - BAHANNYA :-)
2 cawan ubi kayu yang telah diparut
1 biji bawang besar, dicincang
2 ulas bawang putih, dicincang
1 biji cili merah, hiris
1 biji cili hijau, hiris
1 pokok daun sup, potong kecil
1 camca besar ketumbar biji*
1/2 camca teh jintan putih*
1/2 camca teh jintan manis*(*ditumbuk hancur)
Garam secukup rasa (kurang lebih 3/4 camca teh)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Masukkan ubi parut ke dalam mangkuk besar, kemudian masukkan ke semua bahan2 di atas kecuali garam. Gaul hingga rata dan baru masukkan garam secukup rasa, gaul lagi. Kemudian cedok kurang lebih 1 camca besar dan bulat2kan. Tekan leper seperti begedil dan susun dalam loyang yang dialas dengan plastik bersih untuk mengelakkan ia melekat. Buat hingga siap.
  2. Panaskan minyak dalam kuali, kemudian goreng, jangan masukkan banyak2, che mat goreng 6 - 7 biji sekali goreng, balik2kan agar masak sekata. Bila kuning keemasan, angkat dan toskan minyaknya. Taruk dalam pinggan yang dialas tissue dapur. Buat hingga siap dan boleh hidangkan untuk sarapan pagi atau minum petang...Selamat mencuba!!
Labels: ,

DAGING RUSA MASAK LADA HITAM

rsz_rbp
Assalammualaikum, salam Sabtu semua. Masak apa hari ni? Waktu2 cuti mesti ada yang masak menu istimewa, dan ada juga yang gantung periuk sebab makan luar atau pun menerima undangan majlis2 tertentu. Hari ni che mat masak daging rusa lada hitam. Ingat tak dulu che mat pernah masak daging rusa? Dan masih ada berbaki lagi, yelah bahan mentah susah dapat, jadi kenalah cermat2 makan, kalau sekali hadap ajer, alamatnya lain kali kalau termengidam, kau tengok gambar ajer lah. Che mat guna dalam 500 gram saja, yang selebihnya kita masak lain kali. Jika anda nak gantikan dengan daging lembut atau kambing, tak de masalah, boleh saja. Cuma daging kambing bahan2 perap tu kena lebihkan halia dan bawang putih. Kalau dapat guna daging batang pinang. Macam daging rusa ni dalam kategori pertengahan, tak liat sangat dan tak keras sangat. Jadi che mat terpaksa renih dengan api perlahan lebih kurang 1 jam untuk mendapat daging yang lembut. Kalau anda nak cepat boleh rebus dulu, kemudian baru masak lada hitam. Apa2 pun ikutlah cara mana yang anda suka....Nak mencuba? Jomm kita lihat resipi..

BAHAN - BAHANNYA :-)
500 gram daging rusa, hiris nipis, cuci bersih dan toskan*
1 inci halia, ditumbuk halus*
3 ulas bawang putih, ditumbuk halus*(*disatukan dan perap 30 minit)
1 biji bawang holland, hiris bulat dan leraikan
1/4 bahagian trafficlight capsicum (hijau, merah dan kuning), dipotong kiub
1 batang leek, kerat pendek dan rendam
Hirisan daun bawang untuk hiasan
Air secukupnya

BAHAN - BAHAN SOS :-)
1 camca besar lada hitam, tumbuk hancur
2 camca besar penuh sos tiram
1 1/2 camca besar kicap pekat
1 camca besar kicap cair
1 camca teh gula
1/4 cawan air suam

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan 3 camca besar minyak dalam kuali, kemudian masukkan daging rusa yang diperap tapi. Kacau dan masak dengan api sederhana hingga daging rusa berubah warna. Sementara itu, satukan semua bahan2 sos dalam mangkuk dan kacau hingga rata. Tuang ke dalam kuali, kacau rata dan masak sekejap.
  2. Masukkan air secukupnya (anggaran 1 cawan), kacau dan masak dengan api kecil. Tutup kuali dengan agar daging cepat empuk. Masak hingga pekat (jika daging masih keras, masukkan lagi 1 cawan air panas, tutup kuali dan sambung merenih hingga daging empuk).
  3. Masukkan leek (toskan airnya), bawang holland dan trafficlight capsicum tadi. Gaul rata dan masak hingga semua bahan2 sayur, lembut. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Tabur hirisan daun bawang sebelum dihidangkan bersama nasi panas...
CATATAN MAT GEBU :- Daging rusa tu che mat hiris nipis lebar2, kemudian gaul dengan 1 camca besar tepung gandum dan perap 15 minit. Kendian cuci hingga bersih dan toskan. Baru digaul dengan halia dan bawang putih tumbuk hingga rata dan perap (simpam dalam peti sejuk)....Selamat mencuba!..


Labels: ,

DADAH TAHAI, RESIPI ASLI BRUNEI

rsz_dadah_tahai
Assalammualaikum, malam baru dapat nak duduk dan update entri blog. Waktu siang kerja banyak yang menunggu, dengan cuaca panas lagi, apa2 pun syukur Alhamdulillah, nikmat Allah yea tak, kenapa harus kita mengeluh. Bercerita pasal entri hari ini, semalam che mat masak satu resipi yang amat mudah dan cuma bahan2 dia berbeza sikit dari biasa yang kita biasa masak. Tempoh hari che mat menerima kiriman barang dari YM Tunku Zahra Mahmood. Beliau menetap di Brunei tapi berasal dari Johor. Antara barang2 kiriman yang menarik perhatian che mat ialah ikan tahai yang telah disalai (kalau kita disemenanjung ni lebih kurang macam ikan tamban), serta asam aur aur (seperti asam keping @ asam gelugor. Tapi rasa dia beza sikit dari asam gelugor, ada rasa masam2 manis, yang tu anda boleh google lah yea).

dadah tahai2
Resipi ini pun atas perkongsian Tunku Zahra. Nama dia agak 'sensasi' tapi sebenarnya ia saling tak tumpah macam masakan asam rebus kita, cuma tak taruk kunyit. Mungkin bagi yang tak biasa, ia agak pelik, tapi secara jujur, che mat suka, bau aroma ikan tahai salai tu wangi, kuah dadah tahai tu pulak bila dimakan sama nasi panas, nyaman sangat. Cuma anda perlu rebih lama sikit agar isi ikan tahai lembut, kalau tak memang keras, yelah dah nama pun ikan salai. Apa2 pun che mat kongsikan resipi Dadah Tahai ni untuk rujukan anda...

BAHAN - BAHANNYA :-)
5 - 6 ekor ikan tahai salai, cuci dan toskan
1 batang serai, diketuk
4 - 5 keping asam aur aur, anda boleh baca di sini
3 - 4 biji cili padi, dibelah 2 tapi tak putus
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN - BAHAN TUMBUK KASAR :-)
2 biji cili merah
4 biji bawang merah kecil
1 ulas bawang putih (kalau saiz kecil, guna 2 ulas)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Masukkan bahan2 tumbuk kasar dalam periuk bersama, asam aur aur, serai, ikan tahai yang telah dibersihkan serta air secukupnya (kurang lebih 3 cawan). Kacau dan masak hingga mendidih. Kecilkan api dan terus memasak hingga ikan tahai lembut (disebabkan ikan ini disalai, ia tidak lah lembut seperti ikan biasa), tambah air jika perlu.
  2. Masukkan cili padi, perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau perlahan dan masak sekejap lagi. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi atau anda boleh hirup begitu saja.
CATATAN MAT GEBU :- Style che mat makan. Cedok kuah dadah tahai ke dalam mangkuk, isi ikan tahai tu kita siat2 kecil dan buang tulang tengahnya. Masukkan nasi secukupnya dan boleh dimakan. Rasanya...memang unik dan sedap pada che mat. Jika anda dapat bahan2nya, jangan lupa mencuba..ok!...
Labels: ,