KARI AYAM KERISIK SAMA NANGKA MUDA

rsz_kasn
Assalammualaikum, salam Rabu. Hari ni che mat masak menu kegemaran semua dalam rumah ni, iaitu kari ayam kerisik sama nangka muda. Bonda paling gemar masakan seperti ini, dan seawal semalam dia dah siap2 kupas dan siang nangka muda untuk memudahkan che mat masak. Kata bonda, kalau menu nangka muda dan pisang muda, tu semua lauk2 orang tua. Maksudnya, kerja2 rumit seperti menyiang nangka muda dan pisang muda orang2 tua yang bikin, sebab budak2 muda tak berapa suka kerana getah. Che mat sendiri agak kurang suka menyiang nangka dan pisang muda, kerana getah dia. Perancangan asal nak gulai sama daging rusa baki che mat masak black pepper tu hari, tapi takut pulak Bak makan nanti, sakit gaot dia menyerang. Jadi pagi tadi che mat tukarkan dengan ayam, guna dalam 1/2 ekor.

rsz_kasn1
Kari ini agak pekat dan bukan cair melayau. Ditambah pula dengan kerisik. Nangka muda che mat guna dalam 500 gram sahaja. Satu lagi, kita boleh masak awal sikit, kalau nak masak malam pun boleh dan esok baru makan, sebab menu macam ni kalau dah dibiarkan untuk beberapa jam, rasa dia lagi sedap, rempah ratus dan rencah2 semua bersatu. Selain enak dimakan bersama nasi, anda boleh juga cicah roti, lempeng atau roti canai. Jika ada masa terluang sudi2kan lah mencuba, in sha Allah pasti anda tidak akan kecewa dengan hasilnya. Kita lihat resipi di bawah ini...

BAHAN - BAHANNYA :-)
1/2 ekor ayam, potong saiz sederhana, cuci dan toskan
500 gram nangka muda yang telah dikupas, dipotong kiub dan rebus 1/2 empuk, toskan
1200 ml santan cair
500 ml pati santan
1 keping asam gelugor
1 kiub ayam MAGGI (optonal)
5 camca besar penuh rempah kari (Babas's)
2 camca besar penuh kerisik
3 camca besar cili kisar
1/2 camca besar gula Melaka
Garam secukup rasa
Air jika perlu
1 camca besar penuh minyak sapi
1 genggam bawang goreng

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar saiz sederhana
5 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
1 inci halia
2 batang serai, dihiris
1/2 inci lengkuas

BAHAN - BAHAN TUMIS :-)
4 biji bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
3 tangkai daun kari , dilurut
1 batang kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
5 kuntum bunga cengkih

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Satukan bahan2 kisar halus dengan rempah kari dan kacau rata hingga menjadi pes, tambah sedikit air jika perlu, ketepikan. Dalam periuk panaskan minyak secukupnya (anggaan 1/3 cawan). Tambah minyak sapi dan biar cair. Masukkan bahan2 tumis dan kacau hingg harum dan bawang keperangan. Tambah cili kisar, kacau rata dan masak hingga cili garing. Guna api kecil dan kacau selalu.
  2. Masukkan pes rempah, kacau dan masak hingga naik minyak. Masuk ayam, gaul rata dan masak hingga ayam berubah warna. Tuang santan cair, kacau dan biarkan mendidih. Masukkan nangka muda, kerisik dan asam gelugor. Tambah sedikit air jika perlu.
  3. Tuang pati santan, Masak hingga ayam dan nangka empuk. Tambah kiub pati ayam MAGGI (jika guna), gula melaka dan garam secukup rasa, kacau sentiasa dan masak dengan api sederhana hingga naik minyak. Akhir sekali taburkan bawang goreng, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih, sambal belacan dan ulam-ulaman....Selamat mencuba!
Labels: , ,

No comments:

Post a Comment