JOMM BUAT SARDINE SENDIRI!!...
Assalammualaikum, salam Jumaat yang mulia. Hari ni che mat kongsikan resipi sardine home made, tapi sebelum tu ada satu benda yang wajib anda ada, iaitu periuk tekanan atau pressure cooker, tak kesah lah periuk tekanan yang masak atas dapur atau yang guna elektrik seperti jenama XXX tu. Che mat guna periuk tekanan yang masak atas api saja, bukan takde yang jenis letrik, tapi malas nak keluarkan dari kotak. Rasanya che mat pernah kongsikan resipi sardine home made ni dulu, kalau tak silap sekitar 2009. Sejak2 ni merata dah orang bikin, kalau kat FB, bersepah2 yang berkongsi resipi, tapi seelok2nya kita kongsi bila kita sendiri dah mencuba, baru 'real'. Apa2 pun baguslah macam tu, sekurang2nya ilmu dapat kita sebar2kan dan bermanfaat untuk semua.
Untuk resipi ini che mat guna kurang lebih 1 kg ikan tamban sardine (kurang lebih 11 ekor). Ikan tamban sardine ni tulang dia halus2 dan banyak tapi isi dia sedap. Selain ikan tamban sardine, anda boleh juga guna ikan selayang, kembong, tongkol atau tenggiri. Tapi setiap ikan akan beri rasa yang sedikit berbeza (ikan tongkol antara paling sedap, che mat selalu buat guna ikan tongkol). Bila buat dalam kuantiti yang agak banyak, anda boleh bekukan. Tapi biar betul2 sejuk baru simpan dalam bekas bertutup. Rasa dia macam mana pulak?...In sha Allah tak banyak beza dari sardine dalam tin. Resipi amat mudah, seperti che mat tulis awal2 tadi, yang paling penting ada harus ada periuk tekanan @ pressure cooker....OK!...
RESIPI SARDINE HOME MADE....
BAHAN - BAHANNYA :-)
1 kg ikan tamban sardine yang segar
1 tin kecil tomato puree
5 - 6 biji cili padi Thai warna merah (optional)
1/2 inci lengkuas, dihiris
3 1/2 cawan air
Garam dan gula secukup rasa
BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
10 biji bawang merah
7 ulas bawang putih
2 inci halia
CARA MEMBUATNYA :-)
- Ikan tamban sardine dikerat bahagian kepalanya, buang isi perut dan cuci bersih, buat hingga siap. Perap ikan dengan jus limau kasturi atau limau nipis selama 15 minit, cuci kembali dan toskan.
- Panaskan minyak dalam periuk tekanan, anggaran 1/3 cawan. Tumis lengkus dan bahan2 kisar halus hingga harum. Masukkan tomato puree, kacau dan masak hingga naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
- Tuang air, masukkan garam secukup rasa dan gula secukupnya (anggaran 1 camca besar). Kacau dan biarkan mendidih. Masukkan ikan tamban sardine tadi, tambah cili padi jika suka dan tutup periuk tekanan. Besarkan api dan pasang injapnya.
- Bila periuk bunyi berdesir, kecilkan api dan masak selama 1 jam. Kemudian tutup api dan biarkan periuk tekanan anda hilang wap panas (bila anda sentuh injapnya, tiada lagi bunyi berdesir). Boleh juga anda letak periuk tekanan tadi bawah aliran air paip untuk mempercepatkan proses menghilangkan wap panas.
- Buka periuk, dan biarkan sejuk. Alihkan sardine home made dalam bekas bertutup dan simpan dalam peti sejuk untuk kegunaan bila perlu, atau bekukan untuk tahan lebih lama..
SARDINE MASAK TUMIS ...
BAHAN - BAHANNYA :-)
4 ekor ikan sardine home - made
1/2 cawan atau secukupnya sos dari sardine tadi
1 biji bawang holland, hiris bulat dan leraikan
2 ulas bawang putih, hiris
1 biji cili hijau, hiris serong
1 camca besar cili kisar
1 inci halia, hiris nipis
1 batang leek. kerat pendek dan rendam
2 biji limau kasturi, perah jusnya
Garam secukup rasa
CARA MEMBUATNYA :-)
- Panaskan 2 camca besar minyak. Tumis bawang holland, bawang putih, halia, leek (toskan airnya) dan cili hijau hingga layu. Masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing. Tambah sos dari sardine tadi dan kacau rata. Masukkan ikan sardine dan balikkan, berhati2 agar ikan tidak hancur. Masak dengan api kecil.
- Masuk jus limau kasturi, dan perasakan dengan garam secukupnya. Masak sekejap dan boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas, ulam-ulaman dan telur dadar....Selamat mencuba!
No comments:
Post a Comment