KUIH KERIA GULA MELAKA
Assalammualaikum, salam semua. Sana sini orang tayang kuih keria atau belah2 utara dipanggil 'coq keria', asyik lalu kat timeline di FB saja. Tak boleh jadi, kena bikin juga. Satu lagi tengah hot kuih keria sira gula Melaka. Sebenarnya che mat suka kuih keria kosong, yang tak bersira, atau kuih keria togel. Petang tadi lepas solat asar, tiba2 kerajinan itu datang, keledek pulak memang ada kat dapur, tapi keledek kaler oren. Keledek oren ni dia lembut sikit beza dengan keledek putih. Tapi kita yang buat dia, pandai2lah nak menggayakannya. Kalau takde keledek, guna ubi kayu pun boleh, yang tu nanti bila ada ubi kayu, kita test bikin kuih keria ubi kayu pulak. Che mat guna kurang lebih 900 gram macam tu, bila dah buang kulit semua adalah dalam 800+ gram. Kuih keria kalau terlebih tepung pun tak sedap, dia nak kena pandai agak2. Bergantung pada jenis keledek. Satu lagi tips, bila dah taruk tepung dan diadun, cuba goreng adunan keria tu sikit, kalau elok kejadiannya, tak perlu tambah tepung lagi, tapi bila lepas goreng tu lembik, boleh tambah sedikit lagi tepung. Che mat suka taruk baking powder, tujuan nak kasi kuih keria tu lagi gebu dan kekal lembut walaupun dah sejuk....Nak mencuba?...Resipi seperti di bawah ini...
BAHAN - BAHANNYA :-)
800+ gram keledek kaler oren yang telah dikupas kulitnya
1 camca teh garam
3/4 cawan tepung gandum
1 camca teh penuh baking powder (serbuk penaik)
3/4 cawan gula melaka, dihiris
1 - 2 camca besar gula pasir
1/4 cawan air
CARA MEMBUATNYA :-)
- Keledek dipotong kiub besar2 dan rebus hingga empuk, jangan lupa masukkan garam. Kemudian toskan dan lecek hingga halus. Biarkan sekejap hingga suam. Gaul tepung dengan baking powder dan masukkan ke dalam keledek yang telah dilecek tadi. Gaul hingga sebati dan menjadi adunan yang lembut tapi tidak melekit. Ketepikan sebentar.
- Sediakan dulang, alas dengan plastik bersih atau boleh taburkan sedikit tepung. Ambil sedikit aduan tadi (anggaran 1 camca besar penuh), bulat2kan dan tekan sedikit biar leper. Cucuk bahagian tengahnya dengan jari untuk menghasilkan lubang, kemaskan dan taruk atas dulang tadi. Sapu sedikit tepung pada tapak tangan jika adunan melekat. Buat hingga siap.
- Panaskan minyak untuk goreng terendam kemudian goreng kuih keria tadi hingga kuning keemasan, balik2kan agar masak sekata. Angkat, toskan minyaknya. Buat hingga siap.
- Dalam kuali yang sama, keluarkan minyak. Kemudian masukkan gula melaka, gula pasir dan air. Kacau dan masak dengan api sederhana hingga gula larut. Terus memasak hingga gula mula berbuih dan pekat (bila anda angkat sudip, kelihatan gula seakan2 bertali). Masukkan kuih keria tadi dan gaul rata (masa ni kuih keria akan melekat2, tapi takpe, terus kacau perlahan hingga semua bahagian kuih keria bersalut gula). Masak sekejap lagi dengan api kecil hingga kuih keria kering. Matikan api dan alihkan kuih ke dalam loyang. Pisah2kan kuih tadi dan biar hingga sejuk.. Boleh hidangkan...Selamat mencuba!
No comments:
Post a Comment