KETAM GORENG TELUR MASIN
Assalammualaikum, salam Rabu semua. Hari ni che mat masak ketam goreng telur masin. Orang lain dah berzaman buat, che mat baru ni nak cuba. Sebelum ni memang pernah buat dah tapi guna udang. Kebetulan memang ada baki ketam dalam freezer tapi bukanlah yang bersaiz besar, cuma dalam baya 3 jari orang dewasa. Dan che mat guna dalam 11 ekor macam, Kalau ketam besar, lebih sedap dimasak gulai atau chili crab. Yang kecil2 macam ni kita goreng kunyit pun sedap. Resipi ini amat mudah cuma anda perlu jaga garam dia, disebabkan telur masin tu memang dah masin walaupun kita guna bahagian kuning dia sahaja. Tapi tengok juga jenis telur masin yang anda guna, kalau yang beli kat kedai tu, yang bersalut arang, yang tu memang masin sangat, kalau beli yang 'homemade', masin dia agak kurang. Pernah che mat nampak dulu di pasar lambak, ada peniaga jual telur masin bahagian merah sahaja. Rasanya ketam goreng telur masin ini lebih sedap diratah atau makan sama bubur nasi. Nak mencuba?...Jomm lihat resipi di bawah ini..
BAHAN - BAHANNYA :-)
10 - 11 ketam saiz kecil (kalau besar mungkin 4 ekor dah cukup dan kerat 2 setiap 1 ekor)
Sedikit kunyit serbuk
1/4 camca teh garam
3 biji kuning telur masin yang telah direbus, lecek hancur
1/2 biji putih telur masin yang telah direbus, lecek hancur
3 ulas bawang putih, cincang halus
4 biji cili padi hijau, hiris
4 biji cili padi merah, hiris
2 tangkai daun kari, dilurut
1/4 cawan susu sejat
1/4 camca teh serbuk lada hitam
3 camca besar mentega
CARA MEMBUATNYA :-)
- Ketam dibuang kulit kerasnya, cuci bersih dan toskan. Kemudian gaul dengan serbuk kunyit dan garam hingga rata. Panaskan minyak dan goreng terendam hingga garing, angkat dan toskan.
- Keluarkan minyak dari kuali, tinggalkan sedikit, anggaran 1 camca teh. Masukkan mentega dan biar mentega cair. Tumis daun kari hingga harum, masukkan bawang putih dan cili padi merah/hijau tadi. Kacau rata dan masak hingga layu.
- Masukkan kuning dan putih telur masin, serbuk lada hitam, kacau rata dan tuang susu sejat. Masak hingga berbuih dan masukkan ketam goreng, gaul rata dan kecilkan api. Masak hingga kering, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan segera....Selamat mencuba!!
No comments:
Post a Comment