KETAM MASAK LEMAK SAMA NANAS

rsz_gknm
Assalammualaikum, salam semua. Siang tadi che mat masak ketam dan waktu ni baru sempat nak kongsikan resipinya di blog. Bukan benda baru dan mungkin yang dah biasa follow blog che mat, akan perasan dah beberapa kali menu ketam dalam entri2 lepas. Kali ini che mat masak guna ketam bunga saiz besar. Seekor dikerat 2 bahagian dan kami hanya bertiga, jadi masak 2 ekor sudah cukup. Nenas pulak guna nenas madu dalam 1/2 biji. Tapi kalau suka nak taruk nenas lebih, boleh habiskan sebiji tu, tak jadi masalah. Kalau tak suka nenas, boleh ganti dengan rebung atau boleh juga gunakan belimbing buluh. Untuk mendapat kuah masak lemak ketam yang sedap, che mat kisarkan beberapa keping potongan nanas dengan bahan2 rencah. Petua ini che mat dapat dari Kak Ida dari blog 1001resepi, dan Kak Ida pula dapat dari Bonda beliau. Anda cuba buat dan rasa kelainannya. Resipi seperti berikut...

BAHAN - BAHANYA :-)
2 ekor ketam bunga saiz besar (xxl),
1/2 biji nanas madu
2 batang serai, diketuk
1 helai daun kunyit, disiat
1 keping asam gelugor
1 cawan pati santan
5 cawan santan cair
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
2 biji cili merah
10 biji cili padi
1 inci kunyit hidup
1/2 inci belacan, dibakar
3 keping hirisan nanas

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ketam dibersihkan, buang sedikit bahagian hujung kaki2 kecilnya. Duri2 dibahagian penyepit ketam juga dibuang. Ketuk sedikit penyepitnya agar mudah untuk anda keluarkan isinya nanti. Kerat 2 setiap seekor ketam. Cuci bersih dan toskan. Nanas dibelah 2, buang empulur dan hiris sederhana tebal. Ketepikan.
  2. Masukkan bahan2 kisar ke dalam periuk bersama serai dan asam gelugor. Tambah nanas, gaul rata dan tuang santan cair. Kacau dan masak hingga mendidih. Masukkan ketam, kacau dan tuang santan pekat. Masak dengan api kecil hingga ketam berubah warna, kacau sentiasa.
  3. Perasakan dengan garam secukupnya (dan jika suka boleh tambah sedikit gula). Akhir sekali masukkan daun kunyit, kacau perlahan dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi dan lauk2 lain....Selamat mencuba!

KETAM GORENG TELUR MASIN

rsz_kta
Assalammualaikum, salam Rabu semua. Hari ni che mat masak ketam goreng telur masin. Orang lain dah berzaman buat, che mat baru ni nak cuba. Sebelum ni memang pernah buat dah tapi guna udang. Kebetulan memang ada baki ketam dalam freezer tapi bukanlah yang bersaiz besar, cuma dalam baya 3 jari orang dewasa. Dan che mat guna dalam 11 ekor macam, Kalau ketam besar, lebih sedap dimasak gulai atau chili crab. Yang kecil2 macam ni kita goreng kunyit pun sedap. Resipi ini amat mudah cuma anda perlu jaga garam dia, disebabkan telur masin tu memang dah masin walaupun kita guna bahagian kuning dia sahaja. Tapi tengok juga jenis telur masin yang anda guna, kalau yang beli kat kedai tu, yang bersalut arang, yang tu memang masin sangat, kalau beli yang 'homemade', masin dia agak kurang. Pernah che mat nampak dulu di pasar lambak, ada peniaga jual telur masin bahagian merah sahaja. Rasanya ketam goreng telur masin ini lebih sedap diratah atau makan sama bubur nasi. Nak mencuba?...Jomm lihat resipi di bawah ini..

BAHAN - BAHANNYA :-)
10 - 11 ketam saiz kecil (kalau besar mungkin 4 ekor dah cukup dan kerat 2 setiap 1 ekor)
Sedikit kunyit serbuk
1/4 camca teh garam
3 biji kuning telur masin yang telah direbus, lecek hancur
1/2 biji putih telur masin yang telah direbus, lecek hancur
3 ulas bawang putih, cincang halus
4 biji cili padi hijau, hiris
4 biji cili padi merah, hiris
2 tangkai daun kari, dilurut
1/4 cawan susu sejat
1/4 camca teh serbuk lada hitam
3 camca besar mentega

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ketam dibuang kulit kerasnya, cuci bersih dan toskan. Kemudian gaul dengan serbuk kunyit dan garam hingga rata. Panaskan minyak dan goreng terendam hingga garing, angkat dan toskan.
  2. Keluarkan minyak dari kuali, tinggalkan sedikit, anggaran 1 camca teh. Masukkan mentega dan biar mentega cair. Tumis daun kari hingga harum, masukkan bawang putih dan cili padi merah/hijau tadi. Kacau rata dan masak hingga layu.
  3. Masukkan kuning dan putih telur masin, serbuk lada hitam, kacau rata dan tuang susu sejat. Masak hingga berbuih dan masukkan ketam goreng, gaul rata dan kecilkan api. Masak hingga kering, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan segera....Selamat mencuba!!