GULAI LEMAK PISANG MUDA SAMA CENDAWAN KUKUR

rsz_gpckim
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat masak menu tradisi yang menjadi hidangan kegemaran kami. Gulai lemak pisang muda sama cendawan kukur dan rencah dia che mat guna tulang ikan kurau masin, Kalau nak guna isi ikan kurau masin pun boleh atau apa2 jenis ikan masin yang anda suka, ikan masin talang dan ikan sepat masin pun boleh. Untuk resipi ini che mat guna pisang kapas muda dalam 2 sisir, memang agak banyak bila dicampurkan cendawan kukur. Tujuan masak lebih tu sebab gulai macam ni bila anda makan esoknya, rasa dia lagi sedap..lagi menyengat. Tapi nanti resipi che mat tak lah tulis masak sebanyak ini, tapi che mat tulis untuk masak kurang lebih 1 sisir pisang muda. Selain pisang kapas muda, boleh juga guna pisang lemak manis atau pisang kari, cuma rasa dia beza sikit lah. Resipi tidak susah mana, cuma kerja dia leceh sikit terutama bab pisang muda tu...Tapi sekali2 mencuba apa salahnya, betul tak. Ini kan masakan/makanan warisan kita....Resipi seperti berikut..

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 sisir pisang kapas muda
1 cawan cendawan kukur @ kulat sisir yang kering, rendam hingga kembang
5 - 6 ketul tulang ikan masin kurau yang masih ada isi, cuci dan rendam
3 batang serai, diketuk
1 helai daun kunyit, disiat
1 liter santan cair
400 ml pati santan
1 keping asam gelugor
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
3 biji bawang besar
7 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
3 biji cili merah
20 biji cili padi kampung
1/2 inci belacan
1 genggam ikan bilis, dibersikan dan direndam 10 minit dan toskan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Pisang muda dicuci bersih kemudian disiat sedikit kulitnya dan rendam, ketepikan. Pisang tadi diketuk perlahan dengan belakang parang hingga pecah (atau boleh juga ditumbuk dalam lesung, tapi jangan sampai hancur, tumbuk pecah2 sudah cukup). Buat hingga siap dan masukkan ke dalam periuk bersama2 kulit pisang tadi. Rebus hingga lembut dan berkanji, ketepikan.
  2. Cendawan kukur dicuci dan toskan. Perah dan tumbuk sedikit cendawan tadi. Alihkan ke dalam periuk, masukkan serai titik dan pisang muda yang telah direbus bersama air rebusannya. Tambah bahan2 kisar halus, kacau dan masak hingga mendidih.
  3. Tuang santan cair, kacau dan masak hingga menggelegak (tambah sedikit air jika perlu). Toskan tulang ikan masin kurau, cuci sekali lagi dan masukkan ke dalam periuk bersama2 asam gelugor. Masak sekejap dan tuang santan pekat. Kacau perlahan dan biarkan mendidih dengan api sederhana.
  4. Masukkan daun kunyit, perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau rata dan masak untuk 4 - 5 minit lagi. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih, ikan goreng dan sambal belacan....Selamat mencuba!

PUCUK TURI MASAK LEMAK SAMA KACANG HIJAU

rsz_ptmlkh
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat ambik kesempatan untuk kemas kini blog, tapi menu yang biasa2 saja, menu tradisi orang Melayu kita. Daun turi antara hidangan authentic orang2 kita. Selain kaum Melayu, masyarakat India juga suka makan daun turi. Kata orang, daun turi banyak khasiatnya terutama untuk ibu2 yang menyusukan bayi, boleh menambah air susu badan. Tapi ada juga yang kata, daun turi kurang sesuai diambil bagi mereka yang punya tekanan darah tinggi, hurmmm. In sha Allah kalau dimakan dalam kuantiti yang sedikit, rasanya tak mendatangkan masalah. Resipi pucuk turi masak lemak sama kacang hijau ini antara hidangan klasik yang sering dimasak oleh bonda che mat dulu, masa tu kita kecil2 lagi dan ini bukan hidangan kegemaran che mat sebenarnya...shhh...diam2!...Cuma bila dah berusia macam sekarang ni saja, baru jadi suka, lawankan dengan sambal belacan, ikan goreng dan telur dadar...Ehemmm, mak mertua pengsan kat tepi pun kau tak perasan!...Resipi seperti berikut..

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 cekak daun turi (bahagian pucuk)
1/3 cawan kacang hijau, cuci dan rebus sampai kembang
1 biji bawang besar, hiris
4 ulas bawang putih, diketuk
1 camca besar penuh udang kering, direndam 10 minit, toskan dan tumbuk hancur
1 biji cili merah, hiris
1 liter santan cair
400 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Asingkan daun turi dari tangkainya, cuci dan toskan, Jika ada bunga turi, jangan dibuang, petik dan rendam sekejap (sebab kebiasaannya bunga turi ada serangga halus), toskan. Kacang hijau dicuci dan rebus hingga kembang (jika guna periuk tekanan, kurang lebih 7 minit atau mengikut jenis periuk tekanan masing2). Ketepikan.
  2. Masukkan kacang hijau yang telah direbus ke dalam periuk bersama secawan air rebusannya (jika ada). Masukkan bawang besar, bawang putih, udang kering dan santan cair. Kacau rata dan masak hingga mendidih.
  3. Masukkan daun turi dan bunganya (jika ada). Kacau dan masak hingga daun turi lembut. Tuang pati santan, kacau dan perasakan dengan garam secukupnya dan secubit gula. Masak dengan api sederhana hingga mendidih sambil dikacau sentiasa, kurang lebih 1 - 2 minit. Akhir sekali masukkan cili merah hiris, kacau. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih, sambal belacan dan ikan goreng/ikan masin/telur masin....Selamat mencuba!!

RESIPI GADO - GADO

rsz_ggmg1
Assalammualaikum, salam semua. Che mat kurang sehat sehari dua ni, tiba2 diserang sakit pinggang, mungkin ada tersalah urat kat mana2. Sakit dia bila kita nak bangun dari kerusi atau bila dah baring kemudian nak bangun..huhu. Dalam2 sakit tu, tekak mulalah mengada2 sangat. Nak makan gado-gado, nak tak nak kenalah bikin sendiri. Bukan satu resipi yang sukar, tapi disebabkan keadaan diri yang tak boleh nak bergerak cergas, kerja menjadi lambat. Tambah lagi bila nak ambil gambar, punyalah payah. Nak bongkokkan badan rasa seperti kena kejutan elektrik kat bahagian pinggang, ada masa kat pinggul pun terasa sakit, bertabahlah. Gado - gado kalau kita lihat kurang lebih macam rojak, macam pecel pun ada, tak lari jauh sangat. Cuma tiada penggunaan petis @ otak udang dalam kuah kacangnya. Kuah pula seakan2 kuah kacang yang dimakan sama sate, perlu  ditumis dan dimasak sampai pekat.

rsz_ggmg
Ada macam2 versi orang makan gado-gado. Ada yang dihidangkan dengan nasi impit atau ketupat, dimakan bersama keropok ikan, keropok udang atau pun keropok belinjau. Memandangkan che mat tak de benda2 tu semua, kita makan dengan apa yang ada sudahlah, janji lepas gian. Resipi sebenarnya lebih kepada cara menyedikan kuah kacang. Bahan2 gado-gado tak susah, ada yang perlu direbus, dicelur dan digoreng sahaja. Ada yang masukkan isi cekur dalam kuahnya, tapi che mat tak berapa suka, sebab nanti dah jadi kuah pecel pulak. Maka kita masukkan daun limau purut, yang tu guna sehelai saja, untuk rasa dan aroma...Gado- gado boleh dikategorikan dalam makanan sihat. Nak mencuba, jomm kita semak resipi di bawah ini...

BAHAN - BAHAN KUAH :-)
1 1/2 cawan kacang tanah tumbuk (goreng dulu tanpa minyak, buang kulit dan tumbuk atau kisar)
1/3 cawan jus asam jawa
4 camca besar gula melaka yang dihiris halus
2 cawan air (kurang lebih)
1 cawan santan
1 helai daun limau purut
Garam secukup rasa
Gula jika perlu

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
10 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
3 batang serai, hiris
1 genggam udang kering, rendam dalam air panas 10 minit dan toskan
1/2 inci lengkuas
12 tangkai cili kering, buang biji dan rendam dalam air panas 10 minit dan toskan
5-6 biji cili padi merah
1 inci kunyit hidup

rsz_ggmg2
BAHAN GADO-GADO :-)
4 biji kentang, kupas dan rendam
4 keping tempe berbungkus daun
5 biji telur
10 tangkai kacang panjang. dikerat pendek
1/2 biji kubis bulat saiz kecil, hiris kasar
3 keping tauhu
1 biji timun

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH GADO - GADO :- Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/3 cawan). Tumis bahan2 kisar halus hingga harum, guna api kecil dan kacau sentiasa. Masak hingga naik minyak. Tuang air, kacau dan biarkan mendidih. Masukkan kacang tanah tumbuk, daun limau purut, kacau dan biarkan mendidih. Tambah jus asam jawa, gula melaka dan santan. Kacau hingga rata dan masak dengan api sederhana hingga kuah pekat sedikit. Perasakan dengan garam secukupnya dan jika perlu masukkan sedikit lagi gula. Masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api.
  2. UNTUK BAHAN GADO - GADO :- Tauhu dan tempe digoreng hingga kuning keemasan, angkat dan toskan. Kemudian dipotong kiub. Kacang panjang dan kobis dicelur berasingan dalam air mendidih yang ditambah sedikit garam dan beberapa titik minyak masak. Celur hingga lembut dan toskan. Kentang direbus hingga empuk, sejukkan dan potong kiub. Telur direbus, kupas dan belah dua setiap sebiji. Timun dicuci, dan hiris nipis. Ketepikan.
  3. UNTUK PENYEDIAAN GADO - GADO :- Dalam pinggan sesuai, susun serba sedikit bahan2 untuk gado-gado (atau secukupnya). Kemudian tuang kuah secukupnya dan boleh hidangkan. Jika suka boleh ditambah keropok ikan/udang atau keropok belinjau dan juga nasi impit. Hidangkan segera...Selamat mencuba!.

RESIPI PECAL @ PECEL

rsz_pj
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat kongsikan resipi pecal atau biasa orang2 Jawa sebut pecel. Walaupun dah biasa, tapi untuk kali ini ada sedikit penambahan. Kuah pecal masih sama cuma che mat masukkan pucuk bebuas dan telur rebus dalam bahan2 pecalnya. Kalau sebut pecal, bahan yang wajib ada dalam kuahnya sudah mesti ubi cekur. Jika tiada aroma cekur, pecal sudah bertukar menjadi gado-gado. Teringat arwah Bak (al-fatihah), selalu sebut kalau di kampung dulu (Pontian), masa dia muda2, orang jual pecal menggunakan taugeh yang dibuat sendiri dari kacang hijau. Taugehnya kecil dan kontot2. Tapi che mat guna benda2 yang mudah didapati saja. Resipi pecal ini akan menghasilkan kuantiti yang agak banyak. Ini pekara biasa nak2 bila anda menggunakan macam2 jenis sayur2ran dan ditambah dengan tempe, tauhu dan telur rebus. Che mat gabungkan cili padi hijau dan cili kering untuk kuah pecal. Cili kering untuk warna dan cili padi untuk rasa. Ada juga yang masukkan daun limau purut, tapi entah kenapa tak kena pada selera che mat. Kalau nak mencuba, che mat tuliskan di bawah ini...

BAHAN - BAHAN KUAH PECAL :-)
1+ cawan kacang tanah yang telah digoreng tanpa minyak, dibuang kulit dan dikisar hancur
2 camca besar gula melaka atau secukup rasa
1/2 cawan jus asam jawa atau secukup rasa
3 inci ubi cekur
10 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
8 tangkai cili kering
1 inci belacan
15 biji cili padi hijau, jenis kampung
Garam secukup rasa
Air panas secukupnya

BAHAN - BAHAN LAIN :-)
12 tangkai pucuk ubi
10 tangkai pucuk bebuas
4 keping tempe bungkus daun
3 keping tauhu
1 biji timun saiz sederhana
1 biji sengkuang saiz kecil
2 genggam taugeh
6 tangkai kacang panjang, kerat pendek
3 biji telur, direbus

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH PECAL :- Cili kering dikerat, buang biji dan cuci bersih, lap kering dengan tissue dapur, kemudian goreng hingga wangi, angkat dan toskan. Kemudian goreng pula bawang merah, bawang putih, cili padi dan akhir sekali belacan. Biarkan sejuk sekejap. Masukkan semua bahan2 bergoreng tadi ke dalam alat pengisar (blender). Tambah isi cekur, gula melaka dan sedikit air masak. Kisar hingga halus.
  2. Tuang ke dalam mangkuk. Masukkan garam secukup rasa, tambah jus asam jawa dan kacau hingga sebati. Masukkan kacang tanah tumbuk, gaul dan tambah air panas secukupnya. Kuah pecal mestilah tidak terlalu pekat atau terlalu cair, kepekatannya kadar sederhana. Sesuaikan rasa dan ketepikan.
  3. UNTUK BAHAN PECAL :- Tempe dan tauhu digoreng, kemudian potong kiub. Pucuk ubi direbus dalam air mendidih yang ditambah sedikit garam dan beberapa titik minyak masak,. Rebus hingga lembut, toskan kemudian hiris kecil. Daun bebuas, kacang panjang, taugeh dicelur dalam air mendidih yang ditambah sedikit garam. Tos dan ketepikan. Timun dan sengkuang dihiris nipis. Telur rebus dikupas kemudian belah empat setiap satu. Ketepikan.
  4. UNTUK MENGHIDANG PECAL :- Dalam bekas besar, masukkan semua bahan2 untuk pecal kecuali telur rebus. Kemudian tuang kuah pecal, gaul hingga semua rata. Hias dengan telur rebus dan boleh hidangkan. Jika suka, boleh direnjiskan sedikit kicap lemak manis  JALEN sebelum dimakan. 
CATATAN MAT GEBU :- Untuk jus asam jawa, pastikan anda gunakan air suam untuk mendapatkan jusnya. Jika kurang manis, boleh masukkan sedikit gula pasir, tapi che mat guna gula melaka tu saja. Nak pedas boleh tambah bilangan cili padi dan sebaliknya. Kalau takde pucuk ubi, boleh guna kangkung. Nak tambah pucuk betik pun boleh, pastikan dicelur dulu dan hiris....Selamat mencuba!!

KARI NANGKA MUDA SAMA DAGING

rsz_gnm
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat kongsikan resipi tradisi yang mungkin biasa anda lihat mak mak kita masak kat kampung dulu iaitu kari nangka muda sama daging. Che mat masak semalam dalam kuantiti yang agak banyak juga. Sebabnya lauk macam ni kesedapan terlampaunya terhasil selepas sehari dimasak, maksudnya masak semalam, hari ni lagi sedap. Nangka muda biasa menjadi bahan masakan untuk masyarakat Melayu malah nusantara juga terutama di Indonesia. Walaupun ia hanya nangka muda yang dimasak kari, tapi bahan2nya agak 'mewah'. Untuk rencahnya paling tidak pun ayam, daging lembut atau pun ikan masin. Kalau dimasak lemak putih, ikan bilis dan udang kering lebih sesuai. Sebenarnya bila resipi yang agak banyak menggunakan bahan2, orang kurang suka nak mencuba, alasannya terlalu rumit. Yang tu che mat tak boleh nak kata apa. Masakan tradisional ini tiada jalan pintas jika kita nak mendapatkan hasil yang memuaskan. Che mat hanya berkongsi, selebihnya terpulang pada diri masing2 sama ada nak mencuba atau tidak, atau setidak2nya di lain waktu jika diperlukan, anda boleh jadikan ia sebagai sumber rujukan....Resipi dibawah cuma anggaran saja, kalau ikut yang betul2 che mat masak, mau seperiuk besar nanti!..

BAHAN - BAHANNYA :-)
700 gram daging lembu (che mat campur dengan daging tetel)
3 ulas bawang putih, diketuk*
1 inci halia, hiris halus*
1 camca teh garam*
1 kg nangka muda yang telah dikupas kulitnya dan dipotong kiub, rendam
1 liter santan cair
500 ml pati santan
1 keping asam gelugor
4 camca besar rempah kari daging Baba's
1/4 cawan cili kisar
1/2 camca besar gula melaka
2 camca besar penuh kerisik
1 camca besar minyak sapi
Garam secukup rasa
Air panas secukupnya

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
2 biji bawang besar
6 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
1 inci halia
2 batang serai, hiris
1/2 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup

BAHAN - BAHAN TUMIS :-)
1 biji bawang besar, hiris halus
3 ulas bawang putih, hiris halus
4 tangkai daun kari, dilurut
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
4 biji buah pelaga
7 kuntum bunga cengkih

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Daging dihiris, cuci bersih, toskan dan rebus bersama bahan bertanda (*), hingga empuk, asingakan air rebusannya. Nangka muda direbus hingga 1/2 empuk, tosk dan ketepikan. Sementara itu, bahan2 kisar halus dibancuh dengan rempah kari dan kacau hingga menjadi pes rempah, tambah sedikit air jika perlu. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk, masukkan minyak sapi dan biar hingga minyak sapi cair. Masukkan bahan2 tumis dan tumis hingga wangi dan bawang layu. Tambah cili kisar, kacau rata dan masak hingga cili kisar garing. Masukkan pes rempah, kacau dan masak hingga rempah naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa. 
  3. Masukkan nangka yang telah direbus 1/2 empuk tadi bersama daging rebus. Gaul hingga rata. Tuang air rebusan daging dan juga santan cair. Kacau rata dan biarkan mendidih dan masak hingga nangka empuk. Tambah kerisik dan asam gelugor. Biarkan mendidih perlahan, jika kurang kuah, boleh tambah sedikit lagi air panas.
  4. Tuang santan pekat, masukkan gula melaka dan perasakan dengan garam secukupnya. Kacau perlahan dan biarkan mendidih perlahan sambil dikacau sekali sekala. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih dan lauk2 lain. Masakan ini lebih sedap dimakan keesokkan harinya. Selamat mencuba!.

SAMBAL TUMIS SULUR KELADI

rsz_sskb
Assalammualaikum, salam Jumaat semua. Menu hari ni che mat nak kongsikan satu resipi yang sedap dan senang disediakan. Pernah makan sulur keladi? Ada yang makan dan ada juga yang 'pantang' makan sulur keladi atas faktor kesihatan ( barangkali). Sulur keladi antara sayuran klasik yang menjadi kegemaran orang2 Melayu dan che mat lah salah seorangnya (walaupun darah melayu 50% saja). Kali ini sulur keladi bukan tempatan punya, tapi sulur keladi Bangladesh. Betul, tak tipu dan satu yang che mat suka, selain saiz sulurnya yang agak besar, ia langsung tak gatal, warna sulur keladi Bangladesh lebih hijau jika nak dibandingkan sulur keladi tempatan yang kemerahan.  Jadi nak makan pun tak risau, sebab tak gatal. Harga boleh tahan, 1 kg RM 10.00, tapi ada tempat lain harga menjangkau RM12.00!, lagi mahal. Biasanya che mat masak asam tumis kan, kali ni kita beralih arah pulak, masak sambal tumis. Resipi biasa saja...anda pasti boleh buat....Jomm kita semak resipi..

BAHAN - BAHANNYA :-)
400 gram sulur Keladi Bangladesh
1/3 cawan isi udang yang telah dibersihkan
1 cawan cili kisar
1/4 cawan jus asam jawa (atau secukupnya)
Garam dan gula secukup rasa
Sedikit air panas

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/2 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Sulur keladi dikikis kulit luarnya, kemudian potong pada ukuran kurang lebih 3 inci. Cuci dan toskan. Didihkan air, masukkan sekeping asam gelugor. Tambah sulur keladi tadi dan celur hingga sulur keladi lembut. Tos dan ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali. Tumis bahan2 kisar halus hingga harum. Masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa. Tuang jus asam jawa (tuang sedikit dulu), kacau dan masukkan udang. 
  3. Bila udang berubah warna, masukkan sulur keladi dan sedikit air panas. Kacau rata dan perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula. Rasa dan jika perlu, masukkan jus asam jawa secukupnya. Kacau dan masak hingga pekat sedikit. Boleh matikan api, hidangkan bersama nasi panas dan lauk2 lain. Selamat mencuba!

CENDAWAN KUKUR TUMIS SANTAN

rsz_ckts
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat masak menu cendawan kukur. Alhamdulillah, diberi rezeki candawan kukur kering dari abang Ngah che mat. Jadi che mat ambil kurang lebih 1 cawan lebih, rendam dan kita masak tumis sama santan. Nama saja tumis, tapi minyak tak guna banyak, dalam 2 camca besar sahaja. Santan pulak belen2 yang che mat simpan dalam peti sejuk adalah dalam 1 cawan (jika takde, boleh guna santan kotak - 1/2 kotak santan dan campurkan air hingga jadi 1 cawan). Menu ini amat ringkas dan sedap dimakan bersama nasi panas dan ikan goreng. Che mat guna ikan bilis sebagai perencahnya. Jika nak gantikan dengan udang kering pun boleh juga, ikut selera masing2. Tapi ikan bilis lagi sedap dan terasa lebih 'melayu'. Kalau nak mencuba, che mat kongsikan resipi di bawah ini...

BAHAN - BAHANNYA :-)
1+ cawan cendawan kukur kering
2 batang serai
1 cawan santan sederhana pekat
1 keping asam gelugor
1 genggam ikan bilis, dibersihkan dan rendam sekejap, toskan
1 helai daun kunyit
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
1/4 cawan cili padi kampung jenis hijau
6 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Cendawan kukur yang telah kembang, dibersihkan, toskan dan cuci sekali lagi. Perah dan tumbuk dalam lesung batu hingga cendawan memar, tak perlu sampai hancur lumat. Daun kunyit dimayang halus, serai dititik. Ketepikan.
  2. Panaskan  2 camca besar minyak masak, tumis serai titik hingga harum. Masukkan bahan2 kisar halus dan masak hingga wangi. Tuang santan dan tambah sedikit air (anggaran 1/2 cawan), kacau rata dan biarkan mendidih.
  3. Masukkan cendawan kukur, ikan bilis dan asam gelugor. Gaul rata dan masak hingga hampir kering. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Akhir sekali masukkan daun kunyit yang dimayang halus. Kacau rata dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih dan ikan goreng...

RESIPI SAMBAL TEMPOYAK DAUN KAYU

rsz_stdkns
Assalammualaikum, salam Isnin. Hari ni bonda che mat bepuasa sunat. Kadang2 fikir juga nak masakkan apa lah agaknya untuk bonda berbuka nanti. Dia tak memaksa dan makan apa saja, yang simple2 sudah cukup. Tapi che mat memang risau dan kadang2 tu kalau buatkan yang mudah2, rasa macam tak bess pulak. Tempoh hari ada stok pucuk labu kat rumah dan che mat ada beli petai. Jadi hari ni mari kita masak sambal tempoyak daun kayu, typical orang nismilan nya makanan ni, kalau gaul sama nasi panas, mau berbulu tangan. Daun2 guna yang ada sekitar rumah saja. Pucuk ubi bahan penting dan diikuti pucuk labu, daun kaduk, pucuk kacang panjang dan daun kunyit yang kesemuanya diracik halus seperti bunga rampai. Kalau dapat guna tempoyak baru, lagi wangi. Pedas tu anda boleh ikut selera masing2, nak lebihkan atau kurangkan cili padi. Kalau che mat sudah semestinya kena pedas baru lah 'seksi'...peluh2 kau masa makan...haha...nak mencuba?..Jomm semak resipi di bawah ini...

BAHAN - BAHANNYA
1 cekak pucuk ubi
6 - 7 tangkai pucuk labu
20 helai daun kaduk
20 helai pucuk kacang panjang
6 helai daun kunyit muda
3 papan petai
4 camca besar tempoyak
1 liter santan
1 keping kecil asam gelugor
1 genggam ikan bilis
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
1 cawan cili padi (che mat guna yang merah dan hijau)
1 inci kunyit hidup
3 batang serai, hiris halus

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Pucuk ubi diasingkan dari tangkainya, kemudian mayang halus seperti bunga rampai, masukkan ke dalam bekas. Begitu juga dengan pucuk labu, daun kaduk, pucuk kacang panjang dan daun kunyit, dimayang halus. Masukkan ke dalam bekas berisi pucuk ubi, cuci kemudian toskan hingga kering. Petai diambil isinya, kemudian potong kecil. Ketepikan.
  2. Masukkan bahan2 kisar halus ke dalam kuali, tambah tempoyak, ikan bilis (toskan airnya), petai dan santan. Kacau rata hingga tempoyak larut. Hidupkan api dan masak hingga menggelegak dan kuah pekat sedikit.
  3. Masukkan asam gelugor dan daun2 yang telah dimayang tadi, sederhanakan api dan gaul hingga semua mesra. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau dan masak hingga pekat. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih dan lauk2 lain. Selamat mencuba!

LEMAK TEMPOYAK PUCUK UBI SAMA UDANG

rsz_puut
Assalammualaikum, salam Jumaat yang mulia. Makan apa tengah hari tadi?..Hari ni che mat kongsikan satu menu kegemaran bonda dan che mat juga. Tapi tak boleh makan selalu, sebab berprofile agak tinggi. Udang yang ada tu baki che mat masak sweet sour masa ada tetamu datang tu hari, tak banyak dalam 5 ekor tapi saiz agak besar juga. Kebetulan pucuk ubi kat tepi2 rumah tengah elok berdaun baru, jadi takde masalah lah nak masak. Tambah ada belen2 petai dari masak sambal goreng. Masakan ini boleh dikatakan senang dimasak dan bahan2 pun tak banyak. Kira asli dari negeri sembilan sebab tak guna bawang, hanya cilipadi dan kunyit hidup saja. Santan yang segar dan tak lupa tempoyak...Bagi yang nak mencuba, jomm kita semak resipi..

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 cekak pucuk ubi
5 ekor udang saiz besar
3 batang serai, diketuk
2 papan petai
2 helai daun kunyit, dimayang halus
1 camca besar penuh tempoyak
1 keping asam gelugor
800 ml santan cair
400 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa
Beberapa biji cili padi, dibelah 2 tapi tak putus

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
1/3 cawan cili padi (che mat campur yang hijau dan merah)
1 1/2 inci kunyit hidup

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Pucuk ubi diasingkan dari tangkainya. Cuci dan rebus hingga empuk, toskan kemudian potong sedikit. Udang kerat sedikit kaki2nya dan hujung kepala, bersihkan kotoran dan toskan. Petai diambil isinya, cuci dan toskan.
  2. Masukkan pucuk ubi rebus ke dalam periuk bersama serai titik, tempoyak dan bahan2 kisar halus. Tuang santan cair, kacau dan masak hingga mendidih. Tambah udang, petai dan asam gelugor, masak hingga udang berubah warna. 
  3. Masukan pati santan, kacau dan perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Akhir sekali tambah hirisan daun kunyit dan cili padi belah. Masak dengan api kecil dan kacau selalu. Biarkan mendidih untuk 3 - 4 minit lagi, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas dan lauk2 lain.

RESIPI SAMBAL BENDI

rsz_sbn
Assalammualaikum, salam semua. Menu ringkas dari dapur che mat, paling mudah dibuat tapi rasanya, in sha Allah tidak mengecewakan. Sambal bendi salah satu menu orang peranakan yang dipengaruhi citarasa melayu. Dan paling penting bendi anda kena rebus hingga empuk, tapi bukan sampai lembut sangat. Kemudian toskan dan cepat2 rendam dalam air sejuk untuk mematikan proses memasak. Untuk sambal dia che mat tumis sedikit dengan minyak, Ada juga yang gunakan sambal belacan mentah. Sebenarnya ada kekurangan dalam resipi ni, iaitu bunga kantan. Tadi jengah2 juga pokok bunga kantan, malangnya takde bunga, mungkin tak musim. Jadi kalau anda ada stok bunga kantan, bolehlah guna, hiris halus dan tabur saja atas sambal sebelum dihidangkan. Enak dimakan dengan nasi panas, telur dadar cencalok dan kalau ada ikan goreng lagi ngam...Nak mencuba? Che mat kongsikan resipi di bawah ini...

BAHAN - BAHANNYA :-)
10 - 12 batang bendi muda
1 helai daun limau purut, mayang halus
3 biji limau kasturi, perah jusnya
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN - BAHAN TUMBUK HALUS :-)
5 biji cili merah
4 biji cili padi (optional)
4 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
Sebesar ibu jadi belacan, dibakar

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK BENDI :- Didihkan air dalam periuk, masukkan sedikit garam dan sedikit minyak masak. Bendi dicuci dan toskan, tak perlu dibuang tangkainya. Kemudian celur bendi dalam air panas tadi selama 1 minit atau hingga lembut (che mat celur kurang lebih 45 saat saja). Toskan dan terus rendam dalam bekas berisi air sejuk dari peti ais. Biarkan sekejap dan toskan.
  2. UNTUK SAMBAL :- Panaskan sedikit minyak, anggaran 3 camca besar, Tumis bahan2 tumbuk halus hingga harum dan naik minyak, guna api kecil dan kacau sentiasa. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Akhir sekali masukkan jus limau kasturi, kacau rata dan rasa, jika ok boleh matikan api. Sejukkan.
  3. UNTUK SAMBAL BENDI :- Bendi yang telah dicelur tadi, dikerat sedikit pada bahagian tangkainya. Kemudian kerat 2 setiap 1 biji bendi dan susun dalam pinggan sesuai, buat hingga siap. Sudukan sambal atasnya dan ratakan. Tabur dengan daun limau purut yang dimayang halus dan hiaskan dengan belahan limau kasturi, hidangkan segera bersama nasi panas, telur dadar cencalok dan ikan goreng....Selamat mencuba!

JOMMM BUAT SAWI JERUK SENDIRI!..

rsz_sawi_jeruk
Assalammualaikum, salam semua. Selamat bertemu kembali. In sha Allah che mat akan kembali mengisi blog tiffinbiru ini. Entri pertama che mat kongsikan resipi sawi jeruk atau orang Hokkien panggil, kiam chai. Bagi masyarakat kita, sawi jeruk ini paling biasa dimasukkan ke dalam masakan asam pedas terutama di negeri Johor. Rasanya lemak2 masin dan rangup akan menjadikan asam pedas anda bertambah enak. Ada juga che mat lihat sahabat2 blogger masakan yang masukkan sawi jeruk dalam menu masak lemak cili padi, menarik tu, nak kena cuba nanti. Resipi che mat dapat dari group Peranakan Baba Nyonya di FB. Buatnya senang dan paling penting bila kita bikin sendiri, kebersihan terjamin dan sawi jeruk ini tidak mengandungi bahan pengawet. Rasanya lebih sedap dan segar. Resipi bawah ini che mat gunakan 1 kg sawi jenis lebar (nanti anda boleh lihat gambarnya). Sawi jenis ini memang digunakan untuk bikin jeruk....Jomm kita lihat resipi...

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 kg sawi jenis lebar (seperti gambar di bawah)
150 gram garam kasar, tumbuk sedikit biar halus
2 liter air
4 camca besar garam kasar
1 inci halia, dihiris nipis
1/2 inci kunyit hidup, dihiris nipis
1 3/4 camca besar tepung beras
Balang kaca atau plastik yang bersih untuk menjeruk sawi
Sehelai plastik bersih yang baru (pastikan tidak bocor)
2 cawan air (atau secukupnya)

CARA MEMBUATNYA :-)

UNTUK AIR JERUK :- Masukkan air bersama garam kasar (yang 4 camca besar), halia, kunyit hidup dan tepung beras ke dalam periuk. Kacau rata dan masak hingga menggelegak dan gara larut. Matikan api dan biar hingga sejuk (che mat letak depan kipas angin). Ketepikan untuk kegunaan kemudian.

rsz_no1-tile
1 - Sawi dibelah 2 setiap satu, kemudian rendam dalam air dan cuci bersih terutama dicelah 2 pelepah sawi. Toskan hingga sawi kering.

2 - Lumur garam (garam kasar yang ditumbuk tadi) pada setiap kelopak sawi hingg rata termasuk dibahagian pangkalnya. Buat hingga siap, kemudian biarkan sawi tadi terperap selama 4 jam.

rsz_no3-tile
3 - Sawi yang telah diperap selama 4 jam akan mengeluarkan air. Buang airnya dan perah sedikit sawi. Tak perlu dicuci, pada masa ini sawi sudah mula kecut dan lembut tapi tetap rangup.

4 - Sediakan botol bersih, kemudian susun sawi hingga 3/4 penuh. Boleh guna apa2 bekas yang sesuai sama ada balang kaca, balang plastik atau pasu.

rsz_no5-tile
5 - Tapis air jeruk tadi (kacau dulu sebelum anda tapis). Kemudin tuangkan ke dalam balang berisi sawi sehingga tenggelam (seperti dalam gambar), tapi jangan sampai melimpah (seperti dalam gambar, dan che mat simpan baki air jeruk dalam peti sejuk untuk kegunaan kemudian).

6 - Untuk memastikan sawi betul2 tenggelam dalam air jeruk, anda kena tindihkan permukaannya. Dan gunakan plastik bersih yang diisi dengan air dan diikat. Pastikan plastik tadi tiada gelembong udara untuk memudahkan anda masukkan ke dalam mulut botol (seperti dalam gambar). Tutup balang tadi ketat2.

Simpan botol berisi sawi jeruk di sudut dapur yang terlindung dari cahaya matahari selama 5 hari. Selepas 5 hari anda boleh guna sawi tadi untuk dicampur ke dalam masakan asam pedas. Di sebabkan sawi jeruk buatan sendiri ini tiada bahan pengawet, sawi perlu dikeluarkan,  taruk dalam bekas kedap udara dan simpan dalam peti sejuk untuk tahan lebih lama....Selamat mencuba!!..

SAMBAL GORENG MUDAH

rsz_sgph
Assalammualaikum, salam semua. Entri serba ringkas dan ini antara menu berbuka puasa che mat semalam. Sejak2 ni memang kurang masak memandangkan Bak che mat tidak sihat dan kena beri tumpuan sepenuhnya, jadi masak pun sekadar yang termampu. Petang tadi ada permintaan masak sup ayam. Dan che mat ketepikan pedal, hati dan juga telur yang belum jadi untuk dimasukkan ke dalam sambal goreng mudah. Teringat dulu, biasanya orang2 Jawa, kalau bikin sambal goreng mereka akan gunakan organ2 dalaman ayam seperti hati, pedal, usus ayam dan kalau ayam yang digunakan tu jenis betina, ada pula telur yang belum jadi, maka telur tadi akan dimasukkan sekali dalam sambal goreng, kiranya sebagai perencah. Satu yang che mat buat sebelum masak, organ2 tadi dibersihkan, gaul dengan sedikit tepung gandum dan jus limau nipis dan biarkan 15 minit, kemudian cuci bersih. Rebus sekejap dan masukkan halia dan bawang putih. Lepas tu toskan dan potong kecil. Gaul dengan sedikit serbuk kunyit sebelum digunakan sebagai perencah....Nak mencuba?...Resipi seperti berikut..

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 keping hati ayam, 1 keping pedal ayam dan telur (jika ada), cuci bersih dan toskan*
1/2 inci halia, diketuk*
3 ulas bawang putih, diketuk*(*disatukan dan rebus 15 minit, toskan)
1/2 camca teh serbuk kunyit
3 tangkai kacang panjang, hiris serong
1 biji kentang, kupas, potong kiub dan goreng, toskan
1 keping tauhu, potong dadu dan goreng, toskan
2 kelopak kobis bulat, potong kecil, cuci dan toskan
Tauhu kering @ fucuk sebesar 2 tapak tangan dewasa, potong kecil dan rendam hingga lembut
2 biji cili hijau, hiris
2 biji cili merah, hiris
1 biji bawang besar, hiris
3 ulas bawang putih, hiris
1/2 cekak soo hoon, potong pendek dan rendam hingga lembut
1 keping asam gelugor
1 camca besar penuh sos tiram
Garam dan gula secukup rasa
1/2 cawan air

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Pedal, hati dan telur (jika ada) yang telah direbus, dihiris nipis, kemudian gaul dengan serbuk kunyit. Panaskan minyak dalam kuali anggaran 3 camca besar, Tumis bawang besar, bawang putih, cili merah dan cili hijau hingga layu. Masukkan pedal, hati dan telur yang digaul dengan serbuk kunyit tadi, Kacau dan goreng sekejap.
  2. Masukkan sos tiram dan asam gelugor, kacau dan tuang air. Masukkan tauhu dan kentang goreng, tambah tauhu kering @ fucuk (toskan dulu airnya). Gaul rata dan masak hingga fucuk lembut. Masukkan kacang panjang dan kobis, kacau rata.
  3. Tambah soo hoon, kacau rata dan perasakan dengan garam secukupnya dan secubit gula. Masak sekejap hingga kering dan jika suka pedas anda boleh tambah cili padi. Rasa dan jika ok boleh matikan api..

PECEL SAYUR UNTUK BUKA PUASA

rsz_pecelmg
Assalammualaikum, salam Isnin, hari ni masuk hari ke-8 kita semua berpuasa. Setakat ni che mat alhamdulillah masih ok, walaupun masa untuk berblog dan memasak agak terhad. Semalam che mat berbuka dengan pecel. Pecal ni seakan2 rojak, menggunakan kuah kacang dan bahan2 sampingannya berbeza2 ikut selera masing2. Kalau kita lihat dari segi sejarah, besar kemungkinan hidangan pecel dibawa masuk ke tanah melayu oleh orang2 berketurunan Jawa dari Indonesia. Satu yang che mat tau pecel 'asli' mereka akan guna taugeh kontot yang dibuat sendiri dari kacang hijau. Yang che mat bikin ni serba ringkas dan dalam masa sama nak habiskan stok2 sayur dalam peti sejuk. Bulan2 puasa ni tak boleh beli barang2 basah berlebihan, sebab kalau masak banyak pun sampai esok lusa masih berbaki, tak sapa nak hadap.....Tapi yang pecel ni memang laris....Nak resipi?...che mat kongsikan dengan anda dibawah ini..

BAHAN - BAHANNYA :-)
4 tangkai kacang panjang, kerat pendek
1/4 bahagian kobis bulat, saiz kecil, dihiris kasar, cuci dan toskan
1/2 cekak kangkung, disiang berasingan daun dan batangnya
2 keping tauhu
1 keping tempe (che mat guna tempe yang bungkus plastik)
1/4 biji sengkuang, saiz sederhana, hiris seperti anak mancis
1 biji timun, hiris seperti anak mancis
2 genggam taugeh

BAHAN - BAHAN KUAH PECAL :-)
1 cawan kacang tanah yang telah dikisar hancur
1/2 cawan jus asam jawa
1 camca besar hirisan gula melaka
2 inci isi cekur
8 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
6 ulas cili padi merah siam
8 tangkai cili kering, buang biji, cuci dan toskan dan lap kering
1 inci belacan
Garam dan gula secukup rasa
Air masak secukupnya

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. UNTUK KUAH PECEL :- Goreng berasingan bawang merah, bawang putih, cili padi, cili kering dan belacan dengan sedikit minyak hingga layu dan wangi. Toskan dan masukkan ke dalam blender, masukkan juga isi ubi cekur. Kemudian kisar hingga halus. Alihkan ke dalam bekas besar. Tambah gula melaka, garam dan gula secukup rasa. masukkan jus asam jawa dan kacau hingga semua sebati.Tambah kacang tanah, gaul dan tuang sedikit air masak jika kuah pecel terlalu pekat. Ketepikan..
  2. UNTUK BAHAN - BAHAN PECEL :- Tempe dipotong kiub, kemudian goreng hingg ke kuningan, angkat dan toskan minyaknya. Kemudian goreng pula tauhu dan hiris sederhana tebal. Sayur seperti kacang panjang, kobis, kangkung dan taugeh, dicelur hingga lembut, angkat dan toskan (celur berasingan). Ketepikan.
  3. UNTUK PECEL SAYUR :- Susun sayur2an yang dicelur, tauhu dan tempe goreng serta hirisan timun dan sengkuang dalam bekas sesuai. Tuang kuah pecel atasnya, kemudian gaul hingga semua rata. Hidangkan segera sama nasi atau bestt dimakan begitu sahaja...Selamat mencuba!!

SOTONG KANGKUNG VERSI MUDAH..

rsz_sotongkangkungg
Assalammualaikum, salam semua. Sotong kangkung yang anda lihat ni buat semalam, saing2 dengan asam pedas kambing tu. Kebetulan ada kangkung yang bonda tanam. Tak banyak, ada lah dalam beberapa tangkai (tapi dalam resipi che mat tulis untuk 1 cekak kangkung). Dalam freezer pulak ada sotong kembang, bahan2 untuk sos pun ada, tinggal bancuh2 saja. Jadi che mat buat lah. Resipi memang senang teramat sangat. Dan untuk sos dia tu tak perlu nak masak2, cuma masukkan bahan2 yang diperlukan, kacau2 dah siap. Buat lebih boleh simpan dalam peti sejuk untuk kegunaan kemudian. Nak pedas, tumbuk 3-4 biji cili padi dan masukkan dalam sos dia. Sotong kembang tu anda perlu rebus dahulu, tapi dalam air rebusan jangan taruk garam, nanti sotong kembang jadi liat macam tiub tayar kereta!..Celur kangkung pulak, anda titikkan sedikit minyak masak agar kangkung kelihatan segar. Menu macam ni, paling sedap dimakan segera...Sesuai untuk bulan Ramadan yang akan tiba tak lama lagi...Ingin mencuba?...Resipi di bawah ini...

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 cekak kangkung
2 ekor sotong kembang (kalau saiz besar, guna 1 ekor)
Kacang tanah digoreng tanpa minyak dan tumbuk kasar
Bijan secukupnya, digoreng tanpa minyak

BAHAN - BAHAN SOS :-)
4 camca besar petis @ otak udang
2 camca besar sos hoisin (jenama LIFE)
2 camca besar penuh sos plum (jenama LIFE)
1 camca besar kicap pekat JALEN
4 - 5 biji cili padi merah, ditumbuk halus
2 - 3 camca besar air panas
Gula jika perlu

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. UNTUK SOS :- Satukan semua bahan2 untuk sos dalam mangkuk kecuali gula dan air panas. Kacau rata dan masukkan air panas. Kacau hingga sebati, rasa dan jika perlu baru masukkan sedikit gula. Biasanya petis sudah ada gula dan garam. Tambah pula dengan sos hoisin dan sos plum yang memang sedia kala ada gula dan garam. Anda bijak2 lah adjust sampai rasa ok, tapi jangan taruk air lagi nanti cair sangat tak sedap...
  2. UNTUK KANGKUNG DAN SOTONG KEMBANG :- Kangkung disiang berasingan batang dan daunnya, cuci dan toskan. Didihkan air, masukkan sedikit garam dan sedikit minyak masak. Celur batang kangkung hingga lembut, angkat dan toskan. Kemudian celur pulak daun kangkung hingga lembut, angkat dan toskan.
  3. Sotong kembang dikelar2 dipotong kecil. Perap dengan jus limau kasturi selama 10 minit.Cuci dan toskan. Didihkan air, masukkan sotong tadi dan celur 1 minit. Toskan dan biar sejuk.
  4. UNTUK SOTONG KANGKUNG :- Ambik secukupnya kangkung celur dan taruk dalam pinggan sesuai. Tambah sotong kembang atasnya. Siramkan dengan sos secukupnya (yang ni ikut anda nak banyak mana). Taburkan dengan kacang tumbuk dan sedikit bijan. Boleh hidangkan segera....Selamat mencuba!!.

RESIPI LONTONG GAYA MAT GEBU

rsz_lontongmg
Assalammualaikum, salam Sabtu. Hari ni untuk sarapan pagi, tengah hari dan petang sampai malam, kita makan lontong. Dua kali perancangan nak bikin lontong tergendala hingga kacang panjang yang che mat beli terkulai layu....grrr...nasib baik cuma 5-6 tangkai saja. Selain tu sengkuang sampai tumbuk pokok, tapi lontong tak buat2 juga. Bukan sebab che mat malas, tapi sebab tak sampai hati tengok orang yang tak boleh makan benda2 yang menjadi asbab sakit gaot. Bak che mat kan ada gaot, risau juga kalau dia makan nanti dari ok, terus kaki bengkak sampai tak boleh jalan. Bahan2 seperti tempe, tauhu, kacang panjang, fucuk @ tauhu kering, semua tu orang gaot tak boleh makan. Kita kena prihatin bab2 macam tu. betul tak.

rsz_lontongmg1
Tapi hari ni che mat nekad saja buat lontong. Petang semalam dah siap2 rebus ketupat NONA. Dan bahan2 untuk bikin kuah lodeh juga che mat dah siap beli. Untuk Bak, che mat masakkan kari ayam dan setakat serunding tu Bak ok lah makan, rencahnya guna ikan bilis dalam kuantiti yang sedikit. Biasanya untuk kuah lodeh che mat suka guna udang kering dan itu yang membuat kuah jadi sedap. Ada juga yang guna udang basah, terpulang pada selera masing2. Satu lagi banyak versi atau style orang masak sayur lodeh, ada yang tumis, ada yang macam masak lemak biasa. Bahan untuk dimasukkan dalam kuah lodeh juga ikut selera masing. Nak tambah bunga kobis, putih jagung, kincan atau cendawan black fungus @ cendalam telinga kera tu pun boleh, takde masalah...

rsz_lontongmg2
Menjadi kemestian bila bikin lontong, wajib ada bahan2 pendampingnya. Seperti biasa yang anda selalu makan, lontong mesti ada telur rebus, sambal tumis (atau ada yang taruk kuah kacang) dan serunding. Tapi kali ni che mat topupkan dengan begedil. Ada teman FB che mat komen, kalau di Singapura, lontong akan disajikan juga dengan begedil. Jadi nak memeriahkan lagi lontong, maka kita tambah begedil. Dah macam hari raya pulak dapur che mat. Dengan aroma kari ayam, sayur lodeh yang sedang mendidih dan dalam kuali ada serunding yang tengah dikacau, tak lupa sambal tumis....Mari che mat kongsikan resipi lontong gaya mat gebu...

RESIPI KUAH LODEH....

BAHAN - BAHANNYA :-)
1/4 bahagian kobis bulat, hiris kecil, cuci dan toskan
6 tangkai kacang panjang, hiris serong
1 biji terung ungu saiz kecil, dipotong kiub
1/2 biji sengkuang saiz sederhana, hiris seperti anak mancis
1 batang lobak merah saiz sedrhana, hiris seperti anak mancis
2 keping tauhu, digoreng kemudian dipotong kiub
1 cekak soo hoon, potong pendek
40 gram tauhu kering @ fucuk, potong kecil dan rendam hingga lembut
2 batang serai, diketuk
1/2 inci lengkuas, diketuk
2 liter santan cair
600 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
2 biji bawang besar
4 biji bawang merah kecil
4 ulas bawang putih
1/2 inci kunyit hidup
1 genggam udang kering, rendam 10 minit dan toskan
1 camca besar rata ketumbar biji

BAHAN - BAHAN SAMPINGAN :-)
Ketupat atau nasi impit
Telur rebus, dibelah 2 setiap 1
Sambal tumis @ Kuah kacang
Serunding kelapa
Begedil (optional)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panask minyak dalam periuk (anggaran 1/4 cawan), tumis serai dan lengkuas hingga harum. Masukkan bahan2 kisar halus dan masak hingga naik minyak, guna api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Masukkan bahan2 yang keras dulu seperti sengkuag, lobak merah dan fucuk (toskan airnya). Kacau dan masak hingga lembut. Kemudian tambah kacang panjang, kobis, terung, tauhu dan soo hoon (basuh bawah air paip sebelum anda masukkan, tak perlu direndam). Kacau rata dan jika kurang kuah, boleh tambah sedikit air panas.
  3. Bila soo hoon lembut, tuang pati santan dan perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula. Masak sekejap lagi dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan dengan bahan2 sampingan. Boleh dimakan bila2 waktu yang anda suka (walaupun secara khususnya, lontong dihidangkan untuk sarapan pagi di Johor).
RESIPI SERUNDING KELAPA....

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 1/2 cawan kelapa parut putih
2 camca besar penuh gula @ secukup rasa
2 helai daun limau purut
Garam secukup rasa

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
2 batang serai, hiris halus
1 camca besar ketumbar biji
1/4 camca teh jintan manis
1/4 camca teh jintan putih
4 biji bawang merah
1/2 inci lengkuas
1/2 inci kunyit hidup
6 tangkai cili kering, buang biji dan rendam dalam air panas 10 minit dan toskan
1 genggam ikan bilis, dibersihkan, cuci dan rendam 10 minit, toskan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 4 camca besar). Tumis bahan2 kisar hingga harum, masukkan gula dan garam secukup rasa. Kacau dan masak hingga berubah warna. Masukkan kelapa parut dan daun limau purut.
  2. Kacau rata dan masak dengan api kecil. Kacau sentiasa hingga serunding sedikit kering dan kelihatan berderai, tapi jangan sampai kering sangat. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Boleh hidangkan dengan lontong.
RESIPI BEGEDIL.....

BAHAN - BAHANNYA :-)
4 - 5 biji kentang, kupas, cuci dan hiris
1 pokok daun sup, hiris halus
1/2 camca teh serbuk lada sulah
1 genggam bawang goreng, diramas
1 camca besar rata tepung gandum
Garam secukup rasa (anggaran 1/4 camca teh)
1 biji telur, dipukul sedikit

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kentang dikupas, cuci dan hiris sederhana tebal. Kemudian goreng hingga keperangan, angkat dan toskan. Tumbuk kentang tadi menggunakan anak lesung hingga lumat. Masukkan ke dalam mangkuk dan masukkan semua bahan di atas kecuali telur. Gaul hingga semua rata.
  2. Cedok kurang leboh 3/4 camca besar, bulat2kan dan tekan leper sedikit untuk membentuk begedil dan susun dalam dulang beralas plastik bersih. Buat hingga siap.
  3. Panaskan minyak untuk goreng terendam. Celop sebiji begedil dalam telur, kemudian masukkan dalam minyak panas, pastikan minyak panas sederhana. Goreng 5 - 6 biji sekali goreng, Balik2kan agar masak sekata. Bila kuning keemasan, angkat dan toskan. Boleh hidangkan.
RESIPI SAMBAL TUMIS....

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 genggam ikan bilis, dibersihkan dan rendam sekejap, toskan
1 1/2 cawan cili kisar
3 camca besar jus asam jawa
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/2 inci belacan, dibakar

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 1/3 cawan). Tumis bahan2 kisar halus hingga harum, masukkan cili kisar dan kacau. Masak hingga garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Masukkan jus asam jawa, perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Kacau dan akhir sekali tambah ikan bilis. Kacau dan masak hingga pekat. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama lontong tadi....Selamat mencuba!!

LEMAK PUCUK UBI SAMA IKAN BILIS TAMBAN

rsz_lpusibt
Assalammualaikum, salam semua. Petang2 macam ni che mat baru ada masa nak kemas kini blog. Seperti yang dah dirancang seawal semalam, Hari ni masak lemak pucuk ubi sama ikan bilis tamban atas permintaan Bak. Resipi dalam kategori masakan kampung atau resipi tradisi. Pucuk ubi pemberian sedara che mat, agak banyak dan che mat masak separuh. Kali ni guna ikan bilis tamban yang abang ngah che mat bawah balik dari Sabah tempoh hari, saiznya agak besar dan rasa cukup lemak. Menu ini antara masakan tradisi yang paling senang dimasak. Bahan2 dalam kategori mudah dapat dan tidak banyak. Jika anda tiada ikan bilis tamban atau susah nak cari. Boleh ganti dengan isi kerang, isi kupang. ikan bilis biasa atau boleh guna ikan masin kurau. Cuma kalau guna ikan masin, part garam kena hati2, terlebih taruk, nanti masin. Resipi seperti dibawah ini, jangan lupa mencuba yea...

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 cekak besar pucuk ubi
10 - 12 ekor ikan bilis tamban saiz besar, direndam
2 batang serai, diketuk
1 keping asam gelugor
1200 ml santan cair
400 ml pati santan
1 keping asam gelugor
Garam dan gula secukup rasa
Air jika perlu

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
3 biji cili merah
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
3/4 inci kunyit hidup
1/2 inci belacan (optional, che mat tak taruk)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Pucuk ubi diasingkan dari tangkainya, cuci dan toskan. Kemudian rebus hingga lembut dalam air mendidih yang dimasukkan sedikit garam dan beberapa titik minyak masak. Kemudian toskan dan perah (toskan dalam tapis, kemudian tekan pucuk ubi rebus tadi dengan belakang senduk). Biarkan sejuk.
  2. Ikan bilis tamban yang direndam tadi, dibuang tulang tengahnya, cuci bersih dan toskan. Pucuk ubi rebus dikerat kecil dan masukkan ke dalam periuk bersama ikan bilis tamban, asam gelugor, bahan2 kisar halus dan serai. Gaul rata dan tuang santan cair. Kacau dan masak hingga mendidih.
  3. Jika suka kuah lebih anda boleh tambah sedikit lagi air. Kemudian masukkan pati santan, perasakan dengn garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau dan biarkan mendidih perlahan sambil dikacau sentiasa. Masak dengan api kecil selama 5 - 6 minit lagi. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas, sambal belacan dan ikan goreng..

BRUSSEL SPROUT TUMIS SAMA UDANG

rsz_bstu
Asalammualaikum, salam Selasa semua. Hari ni che mat masak senang2 saja. Rebus dan tumis. Antaranya ada ikan tongkol rebus, bendi rebus, tumis kailan ikan masin dan brussel sprout tumis sama udang. Resipi ni walaupun biasa, tapi bahan2 dia beza sikit. Brussel sprout che mat beli di Tesco, harga....errr..tak ingat pulak, tapi masa beli tu dia tengah offer. Dulu, ingatkan brussel sprout ni kobis bantut, rupaya memang sejenis sayur yang bentuk dia macam kobis bantut dan tumbuh bersusun pada tangkai yang menegak (anda boleh google lah yea kalau nak tengok pokok brussel sprout). Harga kadang2 agak mahal juga, tapi kalau nak merasa tak salah beli satu pack dan cuba, sekurang2nya kita takde lah macam 'jakun' sangat...betul tak...

bstu1
Che mat guna dalam 250 gram (1 bekas macam dalam gambar). Ada yang tanya, macam mana nak masak, sebab brussel sprout ni ada rasa pahit2 sikit. Biasanya sebelum masak, che mat rebus dulu dalam air mendidih yang dimasukkan sedikit garam dan beberapa titik minyak. Rebus hingga brussle sprout tu empuk sikit, pastikan anda belah 2 atau kalau brussel sprout kecil, boleh belah 4 tapi tak putus. Kemudian masukkan dalam air mendidih. Dengan cara ini, rasa brussel sprout tak pahit dan tak diperlu masak lama2....Eh, tak payah cerita lagi...jommm kita lihat resipi sangat2 mudah dan ringkas..

BAHAN - BAHANNYA :-)
250 gram brussel sprout
2-3 biji cili padi thai warna merah, hiris kecil
1 biji bawang besar, didadu
2 ulas bawang putih, cincang halus
1 camca besar mentega
1 camca besar minyak masak
1 camca teh madu
1/2 genggam isi udang, cuci dan toskan
Garam secukup rasa
2-3 camca besar air

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Didihkan air, masukkan sedikit garam dan beberapa titik minyak masak. Brussel sprout dicuci, kemudian belah 2 setiap 1. Masukkan dalam air mendidih tadi dan celur sekejap (hingga empuk sedikit). Tos dan ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali, masukkan mentega dan biar mentega cair. Tumis bawang besar, bawang putih dan cili padi hingga layu. Masukkan isi udang, kacau dan masak dengan api kecil hingga isi udang berubah warna.
  3. Tambah madu dan air. Kacau rata dan masukkan brussel sprout tadi. Kacau hingga rata dan perasakan dengan garam secukupnya. Masak sekejap hingga dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan panas bersama nasi atau anda boleh makan macam tu saja..

JOMMM BUAT ROJAK PETIS

rsz_rpp
Assalammualaikum, salam Rabu semua. Hari ni che mat bikin rojak petis. Lama sangat tak makan rojak petis, sebenarnya asbab utama che mat rasa tak sampai hati nak makan rojak petis kerana Bak. Bak ada gaot dan seperti anda sedia maklum, rojak petis ada banyak bahan2 yang orang gaot tak boleh makan. Antaranya kacang, petis, taugeh, tauhu, kicap. Kalau benda2 tu kita tak taruk dalam rojak petis, dah lari sangat rasanya. Disebabkan hari ni che mat mengidam sangat, maka dengan berat hati ku buat secara 'rahsia' dan makan dengan mereka2 yang boleh makan, juga secara rahsia..huhu, minta maaf Bak. Resipi memang mudah, che mat buat versi cepat. Kuantiti bahan2 untuk rojak tu main agak2 saja sebenarnya. Sebab suka pedas, che mat tumbuk 3 biji cili padi thai merah dan masukkan dalam rojak. Satu lagi kemanisan pun ikut selera, tapi che mat guna 1 camca besar gula pasir, itu pun dah manis sebab guna nenas Sarawak yang memang cukup manis. Sedap dimakan sejurus ia dibancuh, kalau biar lama2 nanti rojak tu dah berair, sayur2 pun mula 'bisu', jadi kurang kick!....Bagi yang nak mencuba, che mat kongsikan resipinya. Hidangan ini untuk 2 - 3 orang

BAHAN - BAHAN SOS ROJAK :-)
2 camca besar penuh petis @ otak udang
1 camca besar cili kisar
3 biji cili padi thai warna merah, ditumbuk (optinal)
1 camca besar kicap pekat
1 camca besar gula pasir (atau secukup rasa)
1 camca teh pes asam jawa
1 cawan kacang tanah digoreng tanpa minyak, dibuang kulit dan ditumbuk kasar

BAHAN - BAHAN ROJAK :-)
2 keping tauhu, digoreng (kalau saiz tauhu besar, guna 1 keping)
Nanas secukupnya
1/2 biji timun
1/4 biji sengkuang
2 genggam taugeh, dicelur dan toskan
4 - 5 pokok sayur kangkong, disiang, cuci dan celur, toskan

RPP`
CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Dalam mangkuk besar, masukkan semua bahan2 untuk sos rojak, kecuali kacang tanah. Kacau rata dengan senduk. Masukkan 1/2 bahagian kacang tanah yang telah ditumbuk tadi, gaul hingga semu rata.
  2. Hiris  serong tauhu, nanas, timun dan sengkung. Masukkan ke dalam mangkuk berisi sos rojak. Tambah taugeh dan kangkung celur. Gaul hingga semua rata, rasa dan jika ok boleh alihkan ke dalam bekas sesuai. Tabur baki kacang tanah tumbuk atas rojak tadi sebelum dihidangkan. Sedap dimakan sejurus rojak dibancuh...Selamat mencuba!!

CENDAWAN KUKUR TUMIS LADA HIJAU

rsz_shck
Assalammualaikum, salam Isnin. Memandangkan hari ni bonda che mat berpuasa. Jadi che mat masak lewat sikit. Pagi tadi dah bikin nasi goreng udang kering untuk sarapan sekali gus makan tengah hari. Jika anda nak resipi, boleh ke IG che mat (@matgebu). Menu sensasi hari ni ialah cendawan kukur tumis cili hijau, yang ni che mat guna cendawan kukur liar, bukan yang orang tanam. Cuma yang tumbuh liar nak membersihkannya kena cermat, kalau yang tanam lebih mudah dibersihkan sebab ditanam dalam pondok seperti cedawan tiram. Menu ni atas permintaan bonda sebenarnya, dan untuk rencahnya che mat guna ikan bilis tamban. Kalau suka pedas boleh tambah cili padi. Sedap dimakan bersama nasi panas dan tambah pulak ikan goreng...ehemmm...

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 cawan cendawan kukur segar yang telah dibersihkan dan direndam
1 genggam ikan bilis tamban, direndam
2 biji bawang besar, hiris
3 ulas bawang putih, hiris
5 biji cili hijau, hiris
2 camca besar jus asam jawa
1 inci belacan*
1/4 cawan air*(*dilarutkan)
4 camca besar minyak lebihan goreng ikan masin (boleh guna minyak masak biasa)
Garam dan gula secukup rasa
1 cawan air

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Toskan cendawan kukur, perah sedikit. Kemudian tumbuk dalam lesung batu hingga cendawan pecah, jangan tumbuk sampai hancur, kasi memar2kan sahaja. Alihkan ke dalam bekas. Ikan bilis tamban yag telah direndam tadi, anda buang sisiknya, belah dua dan buang tulang tengahnya. Ikan bilis tamban yang che mat guna agak besar, jadi belah 4 setiap 1. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali. Tumis bawang besar, bawang putih dan cili hijau hingga layu, masukkan ikan bilis tamban dan belacan yang telah dilarutkan tadi. Tambah jus asam jawa, kacau dan biarkan mendidih.
  3. Masukkan cendawan kukut, gaul rata dan tuang air. Masak hingga cendawan lembut dan kering sedikit. Perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula, Kacau rata dan masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas, ikan goreng dan sambal belacan...