KARI NANGKA MUDA SAMA DAGING

rsz_gnm
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat kongsikan resipi tradisi yang mungkin biasa anda lihat mak mak kita masak kat kampung dulu iaitu kari nangka muda sama daging. Che mat masak semalam dalam kuantiti yang agak banyak juga. Sebabnya lauk macam ni kesedapan terlampaunya terhasil selepas sehari dimasak, maksudnya masak semalam, hari ni lagi sedap. Nangka muda biasa menjadi bahan masakan untuk masyarakat Melayu malah nusantara juga terutama di Indonesia. Walaupun ia hanya nangka muda yang dimasak kari, tapi bahan2nya agak 'mewah'. Untuk rencahnya paling tidak pun ayam, daging lembut atau pun ikan masin. Kalau dimasak lemak putih, ikan bilis dan udang kering lebih sesuai. Sebenarnya bila resipi yang agak banyak menggunakan bahan2, orang kurang suka nak mencuba, alasannya terlalu rumit. Yang tu che mat tak boleh nak kata apa. Masakan tradisional ini tiada jalan pintas jika kita nak mendapatkan hasil yang memuaskan. Che mat hanya berkongsi, selebihnya terpulang pada diri masing2 sama ada nak mencuba atau tidak, atau setidak2nya di lain waktu jika diperlukan, anda boleh jadikan ia sebagai sumber rujukan....Resipi dibawah cuma anggaran saja, kalau ikut yang betul2 che mat masak, mau seperiuk besar nanti!..

BAHAN - BAHANNYA :-)
700 gram daging lembu (che mat campur dengan daging tetel)
3 ulas bawang putih, diketuk*
1 inci halia, hiris halus*
1 camca teh garam*
1 kg nangka muda yang telah dikupas kulitnya dan dipotong kiub, rendam
1 liter santan cair
500 ml pati santan
1 keping asam gelugor
4 camca besar rempah kari daging Baba's
1/4 cawan cili kisar
1/2 camca besar gula melaka
2 camca besar penuh kerisik
1 camca besar minyak sapi
Garam secukup rasa
Air panas secukupnya

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
2 biji bawang besar
6 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
1 inci halia
2 batang serai, hiris
1/2 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup

BAHAN - BAHAN TUMIS :-)
1 biji bawang besar, hiris halus
3 ulas bawang putih, hiris halus
4 tangkai daun kari, dilurut
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
4 biji buah pelaga
7 kuntum bunga cengkih

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Daging dihiris, cuci bersih, toskan dan rebus bersama bahan bertanda (*), hingga empuk, asingakan air rebusannya. Nangka muda direbus hingga 1/2 empuk, tosk dan ketepikan. Sementara itu, bahan2 kisar halus dibancuh dengan rempah kari dan kacau hingga menjadi pes rempah, tambah sedikit air jika perlu. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk, masukkan minyak sapi dan biar hingga minyak sapi cair. Masukkan bahan2 tumis dan tumis hingga wangi dan bawang layu. Tambah cili kisar, kacau rata dan masak hingga cili kisar garing. Masukkan pes rempah, kacau dan masak hingga rempah naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa. 
  3. Masukkan nangka yang telah direbus 1/2 empuk tadi bersama daging rebus. Gaul hingga rata. Tuang air rebusan daging dan juga santan cair. Kacau rata dan biarkan mendidih dan masak hingga nangka empuk. Tambah kerisik dan asam gelugor. Biarkan mendidih perlahan, jika kurang kuah, boleh tambah sedikit lagi air panas.
  4. Tuang santan pekat, masukkan gula melaka dan perasakan dengan garam secukupnya. Kacau perlahan dan biarkan mendidih perlahan sambil dikacau sekali sekala. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih dan lauk2 lain. Masakan ini lebih sedap dimakan keesokkan harinya. Selamat mencuba!.