Assalammualaikum, salam Jumaat yang mulia. Makan apa tengah hari tadi?..Hari ni che mat kongsikan satu menu kegemaran bonda dan che mat juga. Tapi tak boleh makan selalu, sebab berprofile agak tinggi. Udang yang ada tu baki che mat masak sweet sour masa ada tetamu datang tu hari, tak banyak dalam 5 ekor tapi saiz agak besar juga. Kebetulan pucuk ubi kat tepi2 rumah tengah elok berdaun baru, jadi takde masalah lah nak masak. Tambah ada belen2 petai dari masak sambal goreng. Masakan ini boleh dikatakan senang dimasak dan bahan2 pun tak banyak. Kira asli dari negeri sembilan sebab tak guna bawang, hanya cilipadi dan kunyit hidup saja. Santan yang segar dan tak lupa tempoyak...Bagi yang nak mencuba, jomm kita semak resipi..
BAHAN - BAHANNYA :-)
1 cekak pucuk ubi
5 ekor udang saiz besar
3 batang serai, diketuk
2 papan petai
2 helai daun kunyit, dimayang halus
1 camca besar penuh tempoyak
1 keping asam gelugor
800 ml santan cair
400 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa
Beberapa biji cili padi, dibelah 2 tapi tak putus
BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
1/3 cawan cili padi (che mat campur yang hijau dan merah)
1 1/2 inci kunyit hidup
CARA MEMBUATNYA :-)
- Pucuk ubi diasingkan dari tangkainya. Cuci dan rebus hingga empuk, toskan kemudian potong sedikit. Udang kerat sedikit kaki2nya dan hujung kepala, bersihkan kotoran dan toskan. Petai diambil isinya, cuci dan toskan.
- Masukkan pucuk ubi rebus ke dalam periuk bersama serai titik, tempoyak dan bahan2 kisar halus. Tuang santan cair, kacau dan masak hingga mendidih. Tambah udang, petai dan asam gelugor, masak hingga udang berubah warna.
- Masukan pati santan, kacau dan perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Akhir sekali tambah hirisan daun kunyit dan cili padi belah. Masak dengan api kecil dan kacau selalu. Biarkan mendidih untuk 3 - 4 minit lagi, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas dan lauk2 lain.