Assalammualaikum, salam Isnin. Hari ni che mat mengidam mi hoon soto. Buatnya mudah, sama seperti membuat kuah soto Johor, cuma tukar makan guna mi hoon atau mi kuning, ikut selera masing2. Kalau makan sama nasi impit atau ketupat dah jadi soto. Hidangan ini popular ketika hari raya, kerana amat versatile, bayangkan masak kuah soto dan anda boleh hidangkan dengan tiga bahan2 utama yang berbeza (mi hoon, mi kuning dan ketupat/nasi impit). Selain tu boleh juga cicah kuah soto dengan roti.
Seperti lazimnya di Johor, soto harus ada hidangan pelengkapnya seperti begedil, sambal kicap, tauge, daun sup/daun bawang dan lain2. Kali ini che mat hidangkan dengan belahan limau kasturi, yang itu optional, tak paksa, cuma ikut selera masing2. Tauhu goreng tu pun kalau ikutkan memang tak taruk, tapi che mat suka dan memang sejak dulu kalau bikin soto, mesti tambah hirisan tauhu goreng. Sambal kicap style che mat senang ajer, tak perlu digoreng cili dan bawang putih, semuanya ditumbuk halus, taruk gula dan tumbuk lagi. Kemudian tuang kicap lemak manis JALEN, kacau rata dan boleh hidangkan. Tapi kalau anda nak goreng dulu cili padi dan bawang putih tadi tak jadi masalah. Ada juga yang masukkan bawang goreng dalam sambal kicap, tapi cara tu tak kena dengan selera che mat, yang ringkas lebih sedap. Resipi memang dah banyak kali juga dikongsikan dalam blog, tapi untuk memudahkan anda, kita lihat sekali lagi resipinya seperti di bawah ini.
BAHAN - BAHAN KUAH SOTO :-)
2 ketul serangka ayam, cuci bersih dan toskan
2-3 keping besar peha ayam, cuci dan toskan
2 camca besar rempah sup
1 rempah sup bunjut tulang
1 pokok daun sup, kerat kasar
1 genggam bawang goreng
1/2 camca besar lada hitam biji, ditumbuk halus
Sedikit parutan biji buah pala
Garam secukup rasa
3 liter air
BAHAN - BAHAN TUMIS :-)
1 batang kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
6 kuntum bunga cengkih
2 batang serai, diketuk
1/2 inci lengkuas, diketuk
BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
10 biji bawang merah
5 ulas bawang putih
1 1/2 inci halia
1 inci kunyit hidup
3 biji buah keras, dihiris
BAHAN - BAHAN LAIN :-)
Mi hoon @ mi kuning, secukupnya, dicelur dan toskan
Begedil, resipi boleh rujuk di sini
Hirisan daun sup/daun bawang
Tauhu goreng, dihiris
Bawang goreng
Taugeh, dibuang ekor, cuci dan celur sekejap, toskan
Sambal kicap
Belahan limau kasturi, jika suka
CARA MEMBUATNYA :-)
- UNTUK KUAH SOTO :- Satukan bahan2 kisar halus dengan rempah sup, serbuk buah pala dan lada hitam yang ditumbuk halus. Kacau rata hingga menjadi pes rempah. Panaskan minyak dalam periuk, anggaran 5 camca besar. Masukkan bahan2 tumis, masak hingga harum. Masukkan pes rempah, kacau dan masak hingga naik minyak, guna api kecil dan kacau sentiasa.
- Tuang air, kacau dan biarkan mendidih. Masukkan rangka ayam dan peha ayam. Kacau, masukkan sup bunjut, daun sup yang dikerat kasar dan bawang goreng. Perasakan dengan sedikit garam dan masak selama 1 jam, jika perlu boleh tuang sedikit lagi air panas. Keluarkan peha ayam, sejukkan sebentar dan carik2kan isinya. Tulangnya dimasukkan kembali ke dalam periuk. Rasa dan jika perlu tambah sedikit lagi garam, masak sekejap dan boleh matikan api.
- UNTUK MI HOON SOTO :- Masukkan secukupnya mi hoon ke dalam mangkuk sesuai, tuang kuah soto sehingga mi tenggelam. Hias dengan taugeh, hirisan daun sup/daun bawang, begedil, bawang goreng, isi ayam yang dicarik tadi, tauhu dan juga sambal kicap. Jika suka boleh perahkan sedikit jus limau kasturi sebelum dimakan. Selamat mencuba!!