Assalammualaikum, salam semua. Menu ringkas dari dapur che mat, paling mudah dibuat tapi rasanya, in sha Allah tidak mengecewakan. Sambal bendi salah satu menu orang peranakan yang dipengaruhi citarasa melayu. Dan paling penting bendi anda kena rebus hingga empuk, tapi bukan sampai lembut sangat. Kemudian toskan dan cepat2 rendam dalam air sejuk untuk mematikan proses memasak. Untuk sambal dia che mat tumis sedikit dengan minyak, Ada juga yang gunakan sambal belacan mentah. Sebenarnya ada kekurangan dalam resipi ni, iaitu bunga kantan. Tadi jengah2 juga pokok bunga kantan, malangnya takde bunga, mungkin tak musim. Jadi kalau anda ada stok bunga kantan, bolehlah guna, hiris halus dan tabur saja atas sambal sebelum dihidangkan. Enak dimakan dengan nasi panas, telur dadar cencalok dan kalau ada ikan goreng lagi ngam...Nak mencuba? Che mat kongsikan resipi di bawah ini...
BAHAN - BAHANNYA :-)
10 - 12 batang bendi muda
1 helai daun limau purut, mayang halus
3 biji limau kasturi, perah jusnya
Garam dan gula secukup rasa
BAHAN - BAHAN TUMBUK HALUS :-)
5 biji cili merah
4 biji cili padi (optional)
4 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
Sebesar ibu jadi belacan, dibakar
CARA MEMBUATNYA :-)
- UNTUK BENDI :- Didihkan air dalam periuk, masukkan sedikit garam dan sedikit minyak masak. Bendi dicuci dan toskan, tak perlu dibuang tangkainya. Kemudian celur bendi dalam air panas tadi selama 1 minit atau hingga lembut (che mat celur kurang lebih 45 saat saja). Toskan dan terus rendam dalam bekas berisi air sejuk dari peti ais. Biarkan sekejap dan toskan.
- UNTUK SAMBAL :- Panaskan sedikit minyak, anggaran 3 camca besar, Tumis bahan2 tumbuk halus hingga harum dan naik minyak, guna api kecil dan kacau sentiasa. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Akhir sekali masukkan jus limau kasturi, kacau rata dan rasa, jika ok boleh matikan api. Sejukkan.
- UNTUK SAMBAL BENDI :- Bendi yang telah dicelur tadi, dikerat sedikit pada bahagian tangkainya. Kemudian kerat 2 setiap 1 biji bendi dan susun dalam pinggan sesuai, buat hingga siap. Sudukan sambal atasnya dan ratakan. Tabur dengan daun limau purut yang dimayang halus dan hiaskan dengan belahan limau kasturi, hidangkan segera bersama nasi panas, telur dadar cencalok dan ikan goreng....Selamat mencuba!