PECEL SAYUR UNTUK BUKA PUASA

rsz_pecelmg
Assalammualaikum, salam Isnin, hari ni masuk hari ke-8 kita semua berpuasa. Setakat ni che mat alhamdulillah masih ok, walaupun masa untuk berblog dan memasak agak terhad. Semalam che mat berbuka dengan pecel. Pecal ni seakan2 rojak, menggunakan kuah kacang dan bahan2 sampingannya berbeza2 ikut selera masing2. Kalau kita lihat dari segi sejarah, besar kemungkinan hidangan pecel dibawa masuk ke tanah melayu oleh orang2 berketurunan Jawa dari Indonesia. Satu yang che mat tau pecel 'asli' mereka akan guna taugeh kontot yang dibuat sendiri dari kacang hijau. Yang che mat bikin ni serba ringkas dan dalam masa sama nak habiskan stok2 sayur dalam peti sejuk. Bulan2 puasa ni tak boleh beli barang2 basah berlebihan, sebab kalau masak banyak pun sampai esok lusa masih berbaki, tak sapa nak hadap.....Tapi yang pecel ni memang laris....Nak resipi?...che mat kongsikan dengan anda dibawah ini..

BAHAN - BAHANNYA :-)
4 tangkai kacang panjang, kerat pendek
1/4 bahagian kobis bulat, saiz kecil, dihiris kasar, cuci dan toskan
1/2 cekak kangkung, disiang berasingan daun dan batangnya
2 keping tauhu
1 keping tempe (che mat guna tempe yang bungkus plastik)
1/4 biji sengkuang, saiz sederhana, hiris seperti anak mancis
1 biji timun, hiris seperti anak mancis
2 genggam taugeh

BAHAN - BAHAN KUAH PECAL :-)
1 cawan kacang tanah yang telah dikisar hancur
1/2 cawan jus asam jawa
1 camca besar hirisan gula melaka
2 inci isi cekur
8 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
6 ulas cili padi merah siam
8 tangkai cili kering, buang biji, cuci dan toskan dan lap kering
1 inci belacan
Garam dan gula secukup rasa
Air masak secukupnya

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. UNTUK KUAH PECEL :- Goreng berasingan bawang merah, bawang putih, cili padi, cili kering dan belacan dengan sedikit minyak hingga layu dan wangi. Toskan dan masukkan ke dalam blender, masukkan juga isi ubi cekur. Kemudian kisar hingga halus. Alihkan ke dalam bekas besar. Tambah gula melaka, garam dan gula secukup rasa. masukkan jus asam jawa dan kacau hingga semua sebati.Tambah kacang tanah, gaul dan tuang sedikit air masak jika kuah pecel terlalu pekat. Ketepikan..
  2. UNTUK BAHAN - BAHAN PECEL :- Tempe dipotong kiub, kemudian goreng hingg ke kuningan, angkat dan toskan minyaknya. Kemudian goreng pula tauhu dan hiris sederhana tebal. Sayur seperti kacang panjang, kobis, kangkung dan taugeh, dicelur hingga lembut, angkat dan toskan (celur berasingan). Ketepikan.
  3. UNTUK PECEL SAYUR :- Susun sayur2an yang dicelur, tauhu dan tempe goreng serta hirisan timun dan sengkuang dalam bekas sesuai. Tuang kuah pecel atasnya, kemudian gaul hingga semua rata. Hidangkan segera sama nasi atau bestt dimakan begitu sahaja...Selamat mencuba!!