RESIPI LONTONG GAYA MAT GEBU

rsz_lontongmg
Assalammualaikum, salam Sabtu. Hari ni untuk sarapan pagi, tengah hari dan petang sampai malam, kita makan lontong. Dua kali perancangan nak bikin lontong tergendala hingga kacang panjang yang che mat beli terkulai layu....grrr...nasib baik cuma 5-6 tangkai saja. Selain tu sengkuang sampai tumbuk pokok, tapi lontong tak buat2 juga. Bukan sebab che mat malas, tapi sebab tak sampai hati tengok orang yang tak boleh makan benda2 yang menjadi asbab sakit gaot. Bak che mat kan ada gaot, risau juga kalau dia makan nanti dari ok, terus kaki bengkak sampai tak boleh jalan. Bahan2 seperti tempe, tauhu, kacang panjang, fucuk @ tauhu kering, semua tu orang gaot tak boleh makan. Kita kena prihatin bab2 macam tu. betul tak.

rsz_lontongmg1
Tapi hari ni che mat nekad saja buat lontong. Petang semalam dah siap2 rebus ketupat NONA. Dan bahan2 untuk bikin kuah lodeh juga che mat dah siap beli. Untuk Bak, che mat masakkan kari ayam dan setakat serunding tu Bak ok lah makan, rencahnya guna ikan bilis dalam kuantiti yang sedikit. Biasanya untuk kuah lodeh che mat suka guna udang kering dan itu yang membuat kuah jadi sedap. Ada juga yang guna udang basah, terpulang pada selera masing2. Satu lagi banyak versi atau style orang masak sayur lodeh, ada yang tumis, ada yang macam masak lemak biasa. Bahan untuk dimasukkan dalam kuah lodeh juga ikut selera masing. Nak tambah bunga kobis, putih jagung, kincan atau cendawan black fungus @ cendalam telinga kera tu pun boleh, takde masalah...

rsz_lontongmg2
Menjadi kemestian bila bikin lontong, wajib ada bahan2 pendampingnya. Seperti biasa yang anda selalu makan, lontong mesti ada telur rebus, sambal tumis (atau ada yang taruk kuah kacang) dan serunding. Tapi kali ni che mat topupkan dengan begedil. Ada teman FB che mat komen, kalau di Singapura, lontong akan disajikan juga dengan begedil. Jadi nak memeriahkan lagi lontong, maka kita tambah begedil. Dah macam hari raya pulak dapur che mat. Dengan aroma kari ayam, sayur lodeh yang sedang mendidih dan dalam kuali ada serunding yang tengah dikacau, tak lupa sambal tumis....Mari che mat kongsikan resipi lontong gaya mat gebu...

RESIPI KUAH LODEH....

BAHAN - BAHANNYA :-)
1/4 bahagian kobis bulat, hiris kecil, cuci dan toskan
6 tangkai kacang panjang, hiris serong
1 biji terung ungu saiz kecil, dipotong kiub
1/2 biji sengkuang saiz sederhana, hiris seperti anak mancis
1 batang lobak merah saiz sedrhana, hiris seperti anak mancis
2 keping tauhu, digoreng kemudian dipotong kiub
1 cekak soo hoon, potong pendek
40 gram tauhu kering @ fucuk, potong kecil dan rendam hingga lembut
2 batang serai, diketuk
1/2 inci lengkuas, diketuk
2 liter santan cair
600 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
2 biji bawang besar
4 biji bawang merah kecil
4 ulas bawang putih
1/2 inci kunyit hidup
1 genggam udang kering, rendam 10 minit dan toskan
1 camca besar rata ketumbar biji

BAHAN - BAHAN SAMPINGAN :-)
Ketupat atau nasi impit
Telur rebus, dibelah 2 setiap 1
Sambal tumis @ Kuah kacang
Serunding kelapa
Begedil (optional)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panask minyak dalam periuk (anggaran 1/4 cawan), tumis serai dan lengkuas hingga harum. Masukkan bahan2 kisar halus dan masak hingga naik minyak, guna api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Masukkan bahan2 yang keras dulu seperti sengkuag, lobak merah dan fucuk (toskan airnya). Kacau dan masak hingga lembut. Kemudian tambah kacang panjang, kobis, terung, tauhu dan soo hoon (basuh bawah air paip sebelum anda masukkan, tak perlu direndam). Kacau rata dan jika kurang kuah, boleh tambah sedikit air panas.
  3. Bila soo hoon lembut, tuang pati santan dan perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula. Masak sekejap lagi dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan dengan bahan2 sampingan. Boleh dimakan bila2 waktu yang anda suka (walaupun secara khususnya, lontong dihidangkan untuk sarapan pagi di Johor).
RESIPI SERUNDING KELAPA....

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 1/2 cawan kelapa parut putih
2 camca besar penuh gula @ secukup rasa
2 helai daun limau purut
Garam secukup rasa

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
2 batang serai, hiris halus
1 camca besar ketumbar biji
1/4 camca teh jintan manis
1/4 camca teh jintan putih
4 biji bawang merah
1/2 inci lengkuas
1/2 inci kunyit hidup
6 tangkai cili kering, buang biji dan rendam dalam air panas 10 minit dan toskan
1 genggam ikan bilis, dibersihkan, cuci dan rendam 10 minit, toskan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 4 camca besar). Tumis bahan2 kisar hingga harum, masukkan gula dan garam secukup rasa. Kacau dan masak hingga berubah warna. Masukkan kelapa parut dan daun limau purut.
  2. Kacau rata dan masak dengan api kecil. Kacau sentiasa hingga serunding sedikit kering dan kelihatan berderai, tapi jangan sampai kering sangat. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Boleh hidangkan dengan lontong.
RESIPI BEGEDIL.....

BAHAN - BAHANNYA :-)
4 - 5 biji kentang, kupas, cuci dan hiris
1 pokok daun sup, hiris halus
1/2 camca teh serbuk lada sulah
1 genggam bawang goreng, diramas
1 camca besar rata tepung gandum
Garam secukup rasa (anggaran 1/4 camca teh)
1 biji telur, dipukul sedikit

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kentang dikupas, cuci dan hiris sederhana tebal. Kemudian goreng hingga keperangan, angkat dan toskan. Tumbuk kentang tadi menggunakan anak lesung hingga lumat. Masukkan ke dalam mangkuk dan masukkan semua bahan di atas kecuali telur. Gaul hingga semua rata.
  2. Cedok kurang leboh 3/4 camca besar, bulat2kan dan tekan leper sedikit untuk membentuk begedil dan susun dalam dulang beralas plastik bersih. Buat hingga siap.
  3. Panaskan minyak untuk goreng terendam. Celop sebiji begedil dalam telur, kemudian masukkan dalam minyak panas, pastikan minyak panas sederhana. Goreng 5 - 6 biji sekali goreng, Balik2kan agar masak sekata. Bila kuning keemasan, angkat dan toskan. Boleh hidangkan.
RESIPI SAMBAL TUMIS....

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 genggam ikan bilis, dibersihkan dan rendam sekejap, toskan
1 1/2 cawan cili kisar
3 camca besar jus asam jawa
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/2 inci belacan, dibakar

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 1/3 cawan). Tumis bahan2 kisar halus hingga harum, masukkan cili kisar dan kacau. Masak hingga garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Masukkan jus asam jawa, perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Kacau dan akhir sekali tambah ikan bilis. Kacau dan masak hingga pekat. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama lontong tadi....Selamat mencuba!!