CHAR KUEY TEOW KAMBING

rsz_cktk (1)
Assalammualaikum, salam Isnin semua dan selamat berpuasa sunat pada mereka yang berpuasa. Bonda che mat turut berpuasa hari ini dan seperti kebiasaan, kalau bonda berpuasa che mat akan masak lewat sikit. Tapi untuk pagi atau tengah hari kita masak yang ringkas2 saja. Untuk Bak kena lah masak lain yang dia boleh makan. Tengah hari ini che mat bikin char kuey teow kambing, jangan tanya kenapa kering ajer char kuey teow tu. Dalam bahasa Hokkien, 'Char' tu bermaksud goreng, jadi memang lah kering. Kalau anda suka berkuah takde masalah, kau tuangkan saja air banyak mana nak, habis cerita. Che mat guna daging kambing yang dihiris nipis dan diperap dengan halia, bawang putih, lada sulah dan kicap cair. Banyak mana daging kambing anda nak guna, ikut suka masing2, takde pantang. Kalau anda ingin mencuba, meh che mat kongsikan resipi seperti dibawah ini..

BAHAN - BAHANNYA :-)
Sebesar penumbuk orang dewasa daging kambing, hiris nipis, cuci dan toskan*
1/2 inci halia, ditumbuk halus*
2 ulas bawang putih, ditumbuk halus*
1/2 camca teh lada sulah*
1 camca besar kicap cair*(*disatukan dan perap 20 minit)
600 gram kuey teow
2 genggam tauge, cuci dan toskan
1 cekak kucai, kerat pendek
2 camca besar cili kisar
1 camca besar penuh sos tiram
2 camca besar sos cili
1 camca besar sos tomato
2 camca besar kicap pekat
Kicap cair secukup rasa
2 biji telur, dipukul sedikit
3 ulas bawang putih, cincang halus
4 bij bawang merah, hiris halus

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan 3 camca besar minyak dalam kuali. Tumis bawang putih dan bawang merah hingga harum. Masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing, gunakan api kecil dan kacau sentiasa. Masukkan daging kambing yang telah diperap tadi. Gaul rata dan masak hingga daging kecut. Masukkan air (anggaran 1/2 cawan) dan masak dengan api kecil hingga daging empuk dan  kuah pekat
  2. Tambah sos tiram, sos cili dan sos tomato. Kacau rata dan masukkan kuey teow (terlebih dahulu masukkan kuey teow dalam tapis dan bilas bawah air paip, toskan dan terus masukkan dalam kuali).Besarkan api dan gaul rata. Tambah kicap pekat dan kacau.
  3. Tolak kuey teow ke tepi kuali , masukkan telur (kalau perlu tuang sedikit minyak), masak hingga telur kental, hancurkan dan gaul dengan kuey teow hingga rata. Tambah kicap cair secukup rasa dan akhir sekali masukkan taugeh dan kucai, kacau dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan segera....Selamat mencuba!!.