ASAM PEDAS IKAN MAYONG

rsz_apim
Assalammualaikum, salam Khamis semua. Hari ni che mat mat masak lewat sikit sebab bonda berpuasa. Jadi meh elok juga kalau che mat masukkan entri asam pedas ikan mayong, yang dimasak semalam. Ikan mayong segar ni che mat beli di pasar Rengit, bahagian dagingnya RM 15 sekilo, kalau kepala dia murah sikit, cuma tak berapa gemar bahagian kepala ikan mayong, macam rugi ajer, isi tak banyak. Kalau masak asam pedas ikan mayong, che mat suka masukkan lada hitam. Aroma dari lada hitam dapat menjadikan asam pedas ini lebih wangi dan sedap. Tu hari ada yang tanya, che mat apa beza ikan mayong, ikan duri dan ikan blukang. Apa yang che mat tau lah, ikan duri tu bila saiz dia besar, kita panggil mayong, dan bila besar lagi panggil 'jahan' dan ia beza dari ikan blukang. Ikan blukang spesis ikan duri juga tapi bahagian kepalanya leper sedikit dan kasar, serta badan ikan blukang ada corak belang2, berbanding ikan duri/ikan mayong/ikan jahan kepalanya tak leper dan badan tak bercorak. Ikan mayong juga ada 2 jenis, satu jenis isi putih dan satu lagi isi gelap. Che mat lebih suka yang isi putih sebab lembut bila dimasak...Meh kita lihat resipi asam pedas ikan mayong.

BAHAN - BAHANNYA :-)
2 keping keratan ikan mayong saiz besar
4 - 5 kelopak sawi jeruk
1/2 cawan jus asam jawa
2 senduk nasi cili kisar
2 kuntum bunga kantan, belah 2 setiap 1
1 genggam daun kesom
1 camca teh lada hitam biji, ditumbuk halus
1/2 inci lengkuas, diketuk
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
6 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1 inci kunyit hidup
1/2 inci belacan, dibakar

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Disebabkan ikan mayong tu saiz besar (kurang lebih sebesar tapak tangan orang dewasa), jadi che mat kerat 4 bahagian. Cuci dan gaul dengan sedikit tepung gandum, perahkan jus limau kasturi dan perap selama 15 minit. Lepas tu cuci bersih dan toskan. Sawi jeruk dipotong kecil, cuci dan rendam. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/4 cawan). Tumis lengkuas dan bahan2 kisar halus hingga harum. Masukkan cili kisar, kacau rata dan masak hingga cili garing dan naik minyak. Masukkan lada hitam tumbuk dan kacau.
  3. Tuang air secukupnya (anggaran 1 liter), kacau dan biarkan mendidih. Masukkan sawi jeruk (toskan airnya) dan juga jus asam jawa. Kacau dan masak sekejap. Tambah ikan mayong, bunga kantan dan daun kesom. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau perlahan dan biarkan mendidih hingga ikan masak. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas, telur dadar/telur masin dan ulam-ulaman.