Assalammualaikum, salam Selasa. Hari ni che mat masukkan menu semalam. Sebenarnya kisah kejadian pulut kuning ini tidah disegajakan. Asalnya hanya masak kari ayam atas permintaan Bak, dalam masa sama che mat sesuka hati ku rendam baki pulut dalam peti sejuk, tak sukat pulak berapa cawan atau berapa gram ( agak2 tadi dalam 1 kg), tuang saja dalam besen, cuci kemudian rendam, taruk serbuk kunyit dan sekeping asam gelugor, petua orang dulu2 kalau nak pulut kuning cantik berkilat, masa rendam taruk asam gelugor. Tapi che mat guna kaedah cepat, hanya tambahkan 1 camca teh minyak kelapa dalam santan yang akan dimasukkan ke dalam pulut nanti, kalau takde minyak kelapa, boleh guna minyak masak biasa. Jikaguna kaedah tradisi, pulut dikukus kosong, kemudian keluarkan dan gaul dengan pati santan, kukus kembali hingga pulut betul2 masak dan tak de rasa 'biji limau' atau masak separuh dan separuh lagi mentah.
Pulut kuning dari segi adat budaya orang melayu kita, ia amat berkait rapat. Bila khatam Quran atau majlis bersunat dan sebagainya, akan dibuat pulut kuning sebagai simbol kesyukuran. Sejak2 ini majlis2 perkahwinan dan hari lahir juga pulut kuning sudah mula mendapat tempat di meja utama. Bercerita pasal teknik mengukus pulut kuning, ada 2 cara yang che mat tau setakat ini. Kalau ikut cara tradisi ia agak cerewet sedikit, dan jika ikut cara 'potong pendek' in sha Allah tak susah dan semua orang boleh buat. Dari segi rasa dan teksture pulut sama saja tak banyak beza. Resipi anda boleh lihat dibawah nanti ok...
Bila ada pulut kuning, satu kemestian wajib ada pencecahnya, tak kesah lah rendang ke, kari daging ke, kari ayam ke atau sambal tumis. Seperti che mat cerita kat atas tu, pada mulanya perancangan sejak dari pagi memang nak masak kari ayam, atas permintaan Bak. Bila ada kari ayam, lempeng pekak paling tak pun mesti kena ada terutama untuk sarapan pagi. Bak suka lempeng pekak yang lembut, dan dia akan gulung lempeng tadi seperti kuih ketayap dan dipotong2 kecil, sebelum disiram dengan kuah kari. Itu style Bak makan. Pada che mat, kari daging lagi sedap, tapi atas faktor kesihatan, terpaksalah daging dijarakkan penggunaanya dalam masakan.
Bila masak kari, ada macam2 rempah yang kita boleh gunakan. Che mat tetap dengan rempah Baba's. Dulu pernah guna rempah timbang, tapi tidak menepati selera, rasa dia lain sangat. Satu lagi yang che mat suka kari samada ayam, daging atau kambing, kita masukkan kerisik, tapi bukan banyak macam nak masak rendang, setakat nak menaikkan rasa saja. Ada juga yang suka mencampurkan sedikit rempah kurma atau briyani dalam masakan kari. Ini semua terpulang dan boleh cuba, bila anda dapat masakan kari yang betul2 kena dengan citarasa anda, seelok2nya resipi tu disimpan sebagai rujukan. Satu lagi, anda boleh campur sedikit minyak sapi sebelum menumis rempah dan diakhir proses masakan, che mat suka taburkan dalam segenggam bawang goreng...Jomm kita lihat resipi..
BAHAN - BAHANNYA :-)
1 kg pulut (che mat guna pulut susu)
1 1/4 camca teh serbuk kunyit
1 keping asam gelugor
900 - 1000 ml santan kelapa (dari sebiji kelapa)
1 camca teh penuh garam
1 camca teh minyak masak (che mat guna minyak kelapa)
1 helai daun pandan, disimpul
CARA MEMBUATNYA :-)
- Cuci pulut, kemudian masukkan dalam bekas besar. Tuang air hingg pulut terendam. Tambah serbuk kunyit dan kacau hingga rata. Masukkan asam gelugor dan rendam pulut selama 4 - 5 jam, sekali2 anda gaulkan pulut yang berendam tadi, agar warna kuningnya sekata (che mat rendam kurang lebih 4 jam).
- Panaskan kukus, sediakan loyang sesuai (che mat guna loyang bulat berukuran 11 inci x 2 inci). Toskan pulut. kemudian masukkan ke dalam loyang. Letakkan daun pandan dan tekan sedikit biar daun pandan tenggelam.
- Sementara itu, masukkan garam, minyak masak (@ minyak kelapa) dan kacau rata. Tuang dalam loyang berisi pulut tadi sehingga santan menutupi permukaan pulut (kurang lebih 800 ml). Kukus pulut selama 25 minit dengan api besar.
- Buka tudung kukus, dengan menggunakan chop stick, balik2kan pulut tadi agar masak sekata. Baki santan tadi, anda sudukan atas pulut (che mat guna kurang lebih 100 ml). Gaul hingga rata.
- Sambung mengukus untuk 10 - 12 minit lagi atau hingga pulut kuning masak elok, dan tak keras. Rasa dan jika ok anda boleh matikan api. Angat dari kukus dan boleh hidangkan bersama rendang, sambal tumis atau serunding.
RESIPI KARI AYAM....
BAHAN - BAHANNYA :-)
1 kg ayam, potong ikut suka
4 - 5 biji kentang, kupas dan potong 4 setiap 1, direndam
1 biji tomato, belah 6
2 camca besar cili kisar
5 camca besar rata rempah kari daging Baba's
400 ml pati santan
1 keping asam gelugor
1 genggam bawang goreng
Garam dan gula secukup rasa
1 camca besar penuh minyak sapi
Air secukupnya
BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
7 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci lengkuas
1/2 biji buah pala, diparut
1 inci kunyit hidup
BAHAN - BAHAN TUMIS :-)
5 biji bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
2 batang serai, diketuk
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
4 biji buah pelaga
6 kuntum bunga cengkih
4 tangkai daun kari, dilurut
CARA MEMBUATNYA :-)
- Ayam dicuci, kemudian gaul dengan 1 camca besar tepung gandum hingga rata. Perap 10 - 15 minit, kemudian cuci kembali hingga bersih. Kentang dikupas, belah 4 untuk setiap 1, rendam. Rempah kari dibancuh dengan bahan2 kisar halus dan kacau hingga menjadi pes. Ketepikan.
- Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/2 cawan), masukkan minyak sapi dan biar cair. Tumis bahan2 tumis hingga harum dan bawang keperangan. Masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing. Tambah pes rempah, kacau rata dan masak dengan api kecil hingga naik minyak.
- Masukkan ayam dan gaul rata, masak hingga ayam berubah warna. Tambah kentang (toskan airnya) dan gaul rata. Tuang air secukupnya hingga ayam dan kentang tenggelam. Masak hingga menggelegak, kemudian sederhanakan api.
- Bila kentang 1/2 empuk, masukkan asam gelugor dan pati santan. Kacau rata dan biarkan mendidih. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Masak hingga ayam dan kentang empuk. Akhir sekali masukkan tomato dan bawang goreng, kacau perlahan, Rasa dan jika ok boleh matikan api. Boleh hidangkan.