Assalammualaikum, salam Isnin. Memandangkan hari ni bonda che mat berpuasa. Jadi che mat masak lewat sikit. Pagi tadi dah bikin nasi goreng udang kering untuk sarapan sekali gus makan tengah hari. Jika anda nak resipi, boleh ke IG che mat (@matgebu). Menu sensasi hari ni ialah cendawan kukur tumis cili hijau, yang ni che mat guna cendawan kukur liar, bukan yang orang tanam. Cuma yang tumbuh liar nak membersihkannya kena cermat, kalau yang tanam lebih mudah dibersihkan sebab ditanam dalam pondok seperti cedawan tiram. Menu ni atas permintaan bonda sebenarnya, dan untuk rencahnya che mat guna ikan bilis tamban. Kalau suka pedas boleh tambah cili padi. Sedap dimakan bersama nasi panas dan tambah pulak ikan goreng...ehemmm...
BAHAN - BAHANNYA :-)
1 cawan cendawan kukur segar yang telah dibersihkan dan direndam
1 genggam ikan bilis tamban, direndam
2 biji bawang besar, hiris
3 ulas bawang putih, hiris
5 biji cili hijau, hiris
2 camca besar jus asam jawa
1 inci belacan*
1/4 cawan air*(*dilarutkan)
4 camca besar minyak lebihan goreng ikan masin (boleh guna minyak masak biasa)
Garam dan gula secukup rasa
1 cawan air
CARA MEMBUATNYA :-)
- Toskan cendawan kukur, perah sedikit. Kemudian tumbuk dalam lesung batu hingga cendawan pecah, jangan tumbuk sampai hancur, kasi memar2kan sahaja. Alihkan ke dalam bekas. Ikan bilis tamban yag telah direndam tadi, anda buang sisiknya, belah dua dan buang tulang tengahnya. Ikan bilis tamban yang che mat guna agak besar, jadi belah 4 setiap 1. Ketepikan.
- Panaskan minyak dalam kuali. Tumis bawang besar, bawang putih dan cili hijau hingga layu, masukkan ikan bilis tamban dan belacan yang telah dilarutkan tadi. Tambah jus asam jawa, kacau dan biarkan mendidih.
- Masukkan cendawan kukut, gaul rata dan tuang air. Masak hingga cendawan lembut dan kering sedikit. Perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula, Kacau rata dan masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas, ikan goreng dan sambal belacan...