ROTI LABU MANIS

rsz_rlm
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat tiba-tiba jadi rajin, tapi rajin tak banyak, sikit ajer, kita bikin roti..iyea wak, jangan tak percaya!. Dah lama juga tak meroti, kali terakhir tahun 2015, bulan Oktober, dah hampir setahun rupanya. Kadang2 niat tu ada, tapi masa tak mengizinkan. Bergantung juga pada mood. Kita hanya mampu merancang, tapi gerak hati semua dari Allah swt. Contohnya macam hari ni, bukan disengajakan, kebetulan ada baki labu manis dalam peti sejuk, che mat fikir2, apa aku nak bikin dengan labu ni, sikit sangat dalam secoreng macam tu. Jadi mari kita bereksperimentasi, bikin roti menggunakan Bread Maker Trio (BMT) baru yang didatangkan khas oleh Chef Asma..

rsz_rlm1
Sebab ini dalam proses percubaan, che mat bikin 1/2 saja dari resipi asal dan menghasilkan 6 biji roti atau bun labu tanpa inti. Terpulang jika suka boleh masukkan inti kegemran anda. Disebabkan che mat menggunakan BMT, maka kerja meroti amat mudah, lepas masukkan semua dalam BMT, tekan fungsi DOH, dan kita boleh buat kerja lain (sambil menunggu doh roti siap, sempat masak untuk hidangan tengah hari, tak ke senang kerja namanya tu). BMT ini dilengkapi dengan sistem memori, maksudnya, katalah tengah2 kita mengadun roti tu, tiba2 elektrik takde, secara otomitik BMT akan menyimpan fungsi yang telah kita pilih selama 10 minit, dan jika dalam waktu 10 minit tu elektrik ada, BMT akan sambung kerja dari mana dia berhenti tadi. Kalau takde juga, jangan risau kak, kau keluarkan adunan dari BMT, dan uli dengan tangan, jangan dibuang!. Breah Maker Trio dan segala produk Trio, seperti Oven, Cake Mixer. Kukus Eletrik dan juga acuan2 kuih dan sebagainya boleh  dapatkan dengan Chef Asma di sini ....Ok, jomm kita lihat resipi Roti Labu Manis...

BAHAN - BAHANNYA :-)
260 gram tepung roti (tepung berprotein tinggi)
40 gram gula halus
40 gram mentega
1/2 camca teh instant yeast
1/2 camca teh garam
1/4 camca teh serbuk kulit kayu manis (optional)
1/4 camca teh bread improver
85 gram puree labu manis (rebus labu hingga lembut, lecek halus dan timbang)
1 biji telur gred B, dipukul sedikit
Susu segar secukupnya
Telur + 1 camca besar susu + Sedikit esen vanilla = kacau rata untuk menglis
Sedikit biji kuaci labu, untuk hiasan
Sedikit gula pasir kasar, untuk hiasan
Sedikit mentega untuk disapu

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. KAEDAH BREAD MAKER TRIO :- Satukan puree labu dan telur, kemudian timbang, tuang susu segar hingga mendapat timbangan seberat 160 gram. Kacau rata dan masukkan ke dalam BMT. Masukkan tepung roti, garam, gula halus, serbuk kulit kayu manis (jika guna), mentega, instant yeast dan bread improver. On kan BMT dan pada butang MENU pilih setting no 8 (Dough). Kemudian tekan butang START dan tunggu hingga BMT siap mengadun, menguli dan memerap. 
  2. KAEDAH MENGULI DENGAN TANGAN :- Dalam mangkuk besar, satukan tepung roti, gula halus, garam, instant yeast, serbuk kulit kayu manis (jika guna) dan bread improver. Gaul rata, kemudian masukkan bancuhan pure labu, telur dan susu segar yang telah ditimbang tadi. Gaul rata hingga semua bersatu. Masukkan mentega dan uli hingga menjadi doh yang tak melekat dimangkuk adunan. Alihkan doh ke atas meja kerja, tabur sedikit tepung dan uli menggunakan tapak tangan dengan kaedah menolak doh kehadapan. Lakukan selama 15 minit untuk mendapatkan doh yang lembut, gebu dan anjal. Perap doh selama 1 jam hingga naik sekali ganda.
  3. UNTUK ROTI LABU MANIS :- Keluarkan doh, tumbuk untuk membuang udara, uli sekejap dan bahagikan kepada 6 bahagian sama besar (kurang lebih 84 gram untuk setiap bahagian). Bulat2kan doh dan susun dalam tin berukuran 8 inci x 5 inci x 3 inci yang telah disapu dengan sedikit mentega. Tutup permukaan tin dengan plastik dan biarkan adunan naik 2 kali ganda (kurang lebih 1 jam).
  4. Sementara itu panaskan oven pada suhu 170C, (panaskan selama 15 minit). Sapu bancuhan telur pada permukaan doh roti, tabur sedikit biji kuaci labu dan juga gula kasar. Bakar dalam oven selamat 25 - 30 minit, pada rak bawah, bergantung pada oven masing2, hingga perang keemasan. Bila masak, keluarkan dari oven, keluarkan roti dari tin dan sapu permukaan roti dengan mentega. Biarkan sejuk atas jaringan. Boleh hidangkan bersama kopi panas....Selamat mencuba!!.

BURGER DAGING BERSOS LADA HITAM

rsz_black_pepper_beef_burger1 (1)
Assalammualaikum, salam semua. Sebelum che mat teruskan, nak cerita sikit. Resipi dalam entri ini ialah resipi yang che mat pernah bekerjasama dengan pihak JALEN dulu dan disebabkan laman web mereka menghadapi masalah, jadi che mat dapat keizinan untuk berkongsi kembali resipi yang menggunakan produk JALEN, di blog tiffinbiru. Burger daging bersos lada hitam ini che mat bikin sendiri daging burgernya dan juga sos lada hitam. Roti tu sebenarnya che mat bikin sendiri juga, tapi rasanya untuk lebih mudah, anda guna saja roti yang dah siap. Resipi ini akan menghasilkan 4 keping daging burger bersaiz seperti dalam gambar (maksudnya anda akan dapat 4 biji burger juga)...Jomm kita semak resipi...

BAHAN - BAHAN DAGING BURGER :-)
400 gram daging lembu yang dicincang,
1 biji bawang holland, didadu
2 ulas bawang putih, tumbuk halus
1 inci halia, tumbuk halus
1/3 cawan serbuk roti (guna yang warna putih)
1 camca teh serbuk ketumbar
1/2 camca teh serbuk jintan manis
1 camca besar serbuk mustard
1 camca teh kicap masin JALEN

BAHAN - BAHAN SOS LADA HITAM :-)
1 1/2 camca besar lada hitam biji, ditumbuk halus
1/2 camca besar tepung gandum
2 camca besar mentega
1 camca besar sos tiram JALEN
2 camca besar kicap pekat JALEN
Kicap lemak manis JALEN, secukup rasa
3 cawan air

BAHAN - BAHAN LAIN :-)
4 keping keju chessdale (atau keju pilihan anda)
Daun salad secukupnya
Hirisan jeruk gherkin secukupnya
Hirisan tomato secukupnya
Hirisan bawang besar secukupnya
Hirisan timun secukupnya
Sos tomato JALEN secukupnya
Mayonnaise secukupnya
Sedikit majerin untuk disapu pada roti

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK DAGING BURGER :- Satukan semua bahan2 untuk daging burger. Gaul rata (jika anda ada food processor, masukkan kesemuanya dalam FP dan putar pada kelajuan perlahan hingga semua bersatu). Bahagikan kepada 4 bahagian sama besar. Bulat2kan dan tekan hingga leper sedikit, pastikan saiznya lebih besar dari roti burger. Buat hingga siap dan panggang dalam non-stick pan dengan api kecil. Tekan perlahan2 atas daging burger tadi semasa memanggang. Masak 3 - 4 minit untuk setiap bahagian. Angkat dan ketepikan.
  2. UNTUK SOS LADA HITAM :- Panaskan mentega dalam periuk kecil. Tumis bawang holland hingga layu. Masukkan tepung gandum dan kacau rata, guna api kecil. Tuang air sedikit demi sedikit sambil dikacau hingga rata dan air habis dituang. Masukkan lada hitam, sos tiram dan kicap pekat. Kacau dan masak dengan api kecil hingga pekat. Perasakan dengan kicap lemak manis secukupnya. Masak sekejap lagi dan rasa, jika ok boleh matikan api. Sejukkan untuk kegunaan kemudian.
  3. UNTUK BURGER DAGING BERSOS LADA HITAM :- Ambil sebiji roti burger, belah dua dan sapu dengan sedikit majerin. Kemudian panggang hingga perang sedikit. Angkat dan ketepikan. Ambil bahagian bawah roti, susun daun salad, hirisan timun, hirisan tomato, jeruk gherkin dan hirisan bawang besar. Paipkan dengan sos tomato dan mayonnaise atasnya. Letak sekeping keju. Celupkan sekeping daging burger yang telah dipanggang ke dalam sos lada hitam dan taruk atas keju tadi. Tutupkan dengan bahagian atas roti burger. Cucuk dengan lidi sate bersih untuk menstabilkan burger anda. Hidangkan segera, pastikan lidi sate dibuang sebelum dimakan...Selamat mencuba!!
CATATAN MAT GEBU : - Daging cincang che mat masukkan dalam tapis, kemudian cuci dibawah air paip yang mengalir, toskan hingga kering dan boleh digunakan untuk membuat daging burger. Selain daging lembu, anda boleh guna daging ayam atau kambing..