RESIPI LAKSA JOHOR

rsz_ljmg
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat ber'laksa Johor'. Entah kenapa sejak2 ni mengidam yang bukan2. Pantang orang sebut, terus tekak teringin. Tu hari ada yang sebut2 kari betik, rasa nak buat juga, tapi sayang betik pulak takde. Lepas tu ngidam asam rebus peria katak sama ikan pari masin, yang tu in sha Allah esok che mat masak. Tapi hari ni kita laksanakan menu warisan orang2 Johor, iaitu Laksa Johor. Ada banyak versi dan dari sumber2 yang che mat baca, laksa Johor yang asli menggunakan ikan parang dan tak menggunakan kacang panjang sebagai ulam, sebaliknya ditambah lobak asin yang dicincang halus. Makan pulak sudah tentu guna tangan. Tapi untuk foto, che mat taruklah sudu dan garfu, kasi lawa2..

rsz_ljmg1
Kali ni che mat guna seekor ikan parang saiz sederhana. Ada yang tanya kat IG tapi macam mana nak asingkan isi ikan parang tu dari tulang dia, almaklumlah ikan parang ni, tulang dia banyak, berselirat. Apa yang che mat buat, ikan tu ku rebus dalam periuk tekanan (pressure cooker) selama 1 jam lebih, yang ini ikut periuk masing2. Lepas tu tulang tengah dia dibuang dan kisar halus isi ikan parang tadi dalam food processor hingga lumat. Tulang2 dalam isi ikan tu semua akan hancur. Tu cara mudah, kalau nak cara rumit kenalah tarik keluar tulang ikan parang satu persatu sampai habis. Selain ikan parang, boleh juga nak guna ikan kembong, ikan selayang@sardine atau ikan tenggiri. Resipi tak banyak beza dari yang lepas2 cuma tang ikan tu che mat gantikan dengan ikan parang, tu saja....

BAHAN-BAHAN KUAH LAKSA JOHOR :-)
1 ekor ikan parang segar (kurang lebih 1 kg)
250 gram isi udang
Isi ikan kurau masin sebesar 3 inci x 3 inci, rendam
4 camca besar udang kering, rendam hingga lembut.
2 camca penuh besar kerisik
1/2 inci lengkuas, dititik
4 - 5 keping asam gelugor
12 biji bawang merah kecil*
2 ulas bawang putih*(*kisar halus)
2 camca besar cili kisar
2 camca besar rempah kari ikan (baba's)
2 camca besar ketumbar serbuk
1 camca besar jintan manis serbuk
2 liter santan segar
1 genggam daun kesom
2 kuntum bunga kantan, belah dua setiap satu
Sedikit daun selasih
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN ULAMAN :-)
Taugeh, dibuang ekor, cuci dan toskan
Kacang panjang, dihiris halus
Daun kesom, hiris halus
Daun selasih, hiris halus
Timun, ambil bahagian luar dan buang empulurnya, hiris halus
Bawang besar, hiris halus

BAHAN-BAHAN LAIN :-)
Sambal belacan
Spaghetti, direbus hingga lembut dan toskan, gaul dengan sedikit minyak makan, kemudian  di "chap" (dibuat sanggul)
Limau kasturi secukupnya, dibelah dua

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH LAKSA JOHOR :- Satukan rempah kari, ketumbar serbuk, jintan manis serbuk dan bahan kisar halus, kacau rata hingga menjadi pes rempah dan ketepikan. Udang dicelur, asingkan kulitnya, kisar halus, ikan parang direbus, asingkan isi dari tulangnya, kisar isinya dalam food processr hingga halus, udang kering ditoskan, isi ikan kurau masin juga ditoskan dan potong kecil, kisar halus udang kering dan isi ikan kurau masin tadi. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk. Tumis lengkus dan cili kisar hingga harum, masukkan pes rempah dan masak hingga terbit minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa. Tuang santan dan juga stok air rebusan udang dan ikan. Kacau rata. Masukkan isi ikan parang kisar, udang kisar dan udang kering + isi ikan masin kurau kisar. Kacau hingga semua rata dan mesra. Biar mendidih.
  3. Masukkan kersik, asam gelugor, bunga kantan, daun kesom dan sedikit daun selasih. Kacau dan masak dengan api perlahan selama 45 minit hingga 1 jam. Tambah garam secukup rasa dan gula secukupnya. Masak sekejap lagi, rasa dan jika ok boleh matikan api. Ketepikan.
  4. UNTUK LAKSA JOHOR :- Ambil secukupnya spaghetti yang telah dichap (disanggul) tadi ke dalam bekas sesuai. Tuang kuah laksa secukupnya, kemudian hias dengan bahan2 ulaman, letak sambal belacan dan juga belahan limau kasturi, hidangkan segera.
CATATAN MAT GEBU :- Kulit udang tadi dikisar dengan air rebusan dan tapis. Ikan parang che mat buang bahagian kepalanya, kendian kerat 4 bahagian dan rebus dalam periuk tekanan selama 1+ jam. Ini akan menjadikan tulang ikan parang lembut seperti sardine dan bila kisar dalam food processor, tulang ikan parang semua hancur. Untuk sambal belacan , che mat tumbuk 5 biji cili merah + 6 biji cili padi + 1 inci belacan yang dibakar harum + secubit garam = tumbuk hingga halus, boleh hidangkan bersama laksa Johor tadi... Selamat mencuba!!..

GULAI LEMAK PISANG MUDA SAMA CENDAWAN KUKUR

rsz_gpckim
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat masak menu tradisi yang menjadi hidangan kegemaran kami. Gulai lemak pisang muda sama cendawan kukur dan rencah dia che mat guna tulang ikan kurau masin, Kalau nak guna isi ikan kurau masin pun boleh atau apa2 jenis ikan masin yang anda suka, ikan masin talang dan ikan sepat masin pun boleh. Untuk resipi ini che mat guna pisang kapas muda dalam 2 sisir, memang agak banyak bila dicampurkan cendawan kukur. Tujuan masak lebih tu sebab gulai macam ni bila anda makan esoknya, rasa dia lagi sedap..lagi menyengat. Tapi nanti resipi che mat tak lah tulis masak sebanyak ini, tapi che mat tulis untuk masak kurang lebih 1 sisir pisang muda. Selain pisang kapas muda, boleh juga guna pisang lemak manis atau pisang kari, cuma rasa dia beza sikit lah. Resipi tidak susah mana, cuma kerja dia leceh sikit terutama bab pisang muda tu...Tapi sekali2 mencuba apa salahnya, betul tak. Ini kan masakan/makanan warisan kita....Resipi seperti berikut..

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 sisir pisang kapas muda
1 cawan cendawan kukur @ kulat sisir yang kering, rendam hingga kembang
5 - 6 ketul tulang ikan masin kurau yang masih ada isi, cuci dan rendam
3 batang serai, diketuk
1 helai daun kunyit, disiat
1 liter santan cair
400 ml pati santan
1 keping asam gelugor
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
3 biji bawang besar
7 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
3 biji cili merah
20 biji cili padi kampung
1/2 inci belacan
1 genggam ikan bilis, dibersikan dan direndam 10 minit dan toskan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Pisang muda dicuci bersih kemudian disiat sedikit kulitnya dan rendam, ketepikan. Pisang tadi diketuk perlahan dengan belakang parang hingga pecah (atau boleh juga ditumbuk dalam lesung, tapi jangan sampai hancur, tumbuk pecah2 sudah cukup). Buat hingga siap dan masukkan ke dalam periuk bersama2 kulit pisang tadi. Rebus hingga lembut dan berkanji, ketepikan.
  2. Cendawan kukur dicuci dan toskan. Perah dan tumbuk sedikit cendawan tadi. Alihkan ke dalam periuk, masukkan serai titik dan pisang muda yang telah direbus bersama air rebusannya. Tambah bahan2 kisar halus, kacau dan masak hingga mendidih.
  3. Tuang santan cair, kacau dan masak hingga menggelegak (tambah sedikit air jika perlu). Toskan tulang ikan masin kurau, cuci sekali lagi dan masukkan ke dalam periuk bersama2 asam gelugor. Masak sekejap dan tuang santan pekat. Kacau perlahan dan biarkan mendidih dengan api sederhana.
  4. Masukkan daun kunyit, perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau rata dan masak untuk 4 - 5 minit lagi. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih, ikan goreng dan sambal belacan....Selamat mencuba!

KARI NANGKA MUDA SAMA DAGING

rsz_gnm
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat kongsikan resipi tradisi yang mungkin biasa anda lihat mak mak kita masak kat kampung dulu iaitu kari nangka muda sama daging. Che mat masak semalam dalam kuantiti yang agak banyak juga. Sebabnya lauk macam ni kesedapan terlampaunya terhasil selepas sehari dimasak, maksudnya masak semalam, hari ni lagi sedap. Nangka muda biasa menjadi bahan masakan untuk masyarakat Melayu malah nusantara juga terutama di Indonesia. Walaupun ia hanya nangka muda yang dimasak kari, tapi bahan2nya agak 'mewah'. Untuk rencahnya paling tidak pun ayam, daging lembut atau pun ikan masin. Kalau dimasak lemak putih, ikan bilis dan udang kering lebih sesuai. Sebenarnya bila resipi yang agak banyak menggunakan bahan2, orang kurang suka nak mencuba, alasannya terlalu rumit. Yang tu che mat tak boleh nak kata apa. Masakan tradisional ini tiada jalan pintas jika kita nak mendapatkan hasil yang memuaskan. Che mat hanya berkongsi, selebihnya terpulang pada diri masing2 sama ada nak mencuba atau tidak, atau setidak2nya di lain waktu jika diperlukan, anda boleh jadikan ia sebagai sumber rujukan....Resipi dibawah cuma anggaran saja, kalau ikut yang betul2 che mat masak, mau seperiuk besar nanti!..

BAHAN - BAHANNYA :-)
700 gram daging lembu (che mat campur dengan daging tetel)
3 ulas bawang putih, diketuk*
1 inci halia, hiris halus*
1 camca teh garam*
1 kg nangka muda yang telah dikupas kulitnya dan dipotong kiub, rendam
1 liter santan cair
500 ml pati santan
1 keping asam gelugor
4 camca besar rempah kari daging Baba's
1/4 cawan cili kisar
1/2 camca besar gula melaka
2 camca besar penuh kerisik
1 camca besar minyak sapi
Garam secukup rasa
Air panas secukupnya

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
2 biji bawang besar
6 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
1 inci halia
2 batang serai, hiris
1/2 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup

BAHAN - BAHAN TUMIS :-)
1 biji bawang besar, hiris halus
3 ulas bawang putih, hiris halus
4 tangkai daun kari, dilurut
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
4 biji buah pelaga
7 kuntum bunga cengkih

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Daging dihiris, cuci bersih, toskan dan rebus bersama bahan bertanda (*), hingga empuk, asingakan air rebusannya. Nangka muda direbus hingga 1/2 empuk, tosk dan ketepikan. Sementara itu, bahan2 kisar halus dibancuh dengan rempah kari dan kacau hingga menjadi pes rempah, tambah sedikit air jika perlu. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk, masukkan minyak sapi dan biar hingga minyak sapi cair. Masukkan bahan2 tumis dan tumis hingga wangi dan bawang layu. Tambah cili kisar, kacau rata dan masak hingga cili kisar garing. Masukkan pes rempah, kacau dan masak hingga rempah naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa. 
  3. Masukkan nangka yang telah direbus 1/2 empuk tadi bersama daging rebus. Gaul hingga rata. Tuang air rebusan daging dan juga santan cair. Kacau rata dan biarkan mendidih dan masak hingga nangka empuk. Tambah kerisik dan asam gelugor. Biarkan mendidih perlahan, jika kurang kuah, boleh tambah sedikit lagi air panas.
  4. Tuang santan pekat, masukkan gula melaka dan perasakan dengan garam secukupnya. Kacau perlahan dan biarkan mendidih perlahan sambil dikacau sekali sekala. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih dan lauk2 lain. Masakan ini lebih sedap dimakan keesokkan harinya. Selamat mencuba!.

RESIPI PAIS TELUR IKAN

rsz_pti
Assalammualaikum, salam semua. Menu ringkas hari ni. Pernah makan pais telur ikan?..Che mat pertama kali buat, tu pun sebab stok telur ikan memang ada dalam freezer. Plan asal nak bikin semalam, tapi semalam dah masak asam pedas, kalau banyak sangat menu tak sapa nak makan. Jadi plan bikin pais telur ikan ditunda ke hari ini. Resipi che mat mungkin tak sama dengan resipi orang yang lain, kira ni style sendiri. Ada yang tanya di FB, telur ikan yang digunakan tu, telur ikan apa?...Sebenarnya che mat sendiri tak tau telur ikan jenis apa. Tapi saiznya tak besar sangat dan bewarna putih. Anda boleh guna telur ikan tenggiri atau telur ikan parang. Tapi kalau telur ikan tongkol agak kurang sesuai, sebab keras. Ada  juga yang guna telur ikan mayong, cuma che mat tak berapa nak hadam telur ikan mayong kalau masak macam ni. Resipi ini akan menghasilkan 3 bungkus pais telur ikan, kalau nak buat 4 pun boleh. Satu lagi, untuk bahan2 rempah kalau dapat tumbuk guna lesung batu, baru sedap. Ingin mencuba, resipi seperti di bawah ini...

BAHAN - BAHANNYA :-)
200 gram telur ikan (boleh guna telur ikan tenggiri, telur ikan parang dan sebagainya)
20 helai daun kesom, hiris halus
2 helai daun limau purut, hiris halus
2 biji limau nipis
1/2 cawan kelapa parut
Garam dan gula secukup rasa
Daun kunyit secukupnya
Daun pisang secukupnya (saiz 12 inci x 12 inci)
Lidi sate secukupnya
Sedikit minyak masak

BAHANN - BAHAN TUMBUK HALUS :-)
10 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
2 batang serai, hiris halus
3 biji buah keras, hiris
1/2 inci kunyit hidup
2 biji cili merah
5 biji cili padi merah

rsz_pais

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Telur ikan dicuci bersih, gaul dengan jus limau nipis (guna 1 biji limau nipis dari senarai bahan2) dan sedikit garam. Perap 10 minit, cuci dan toskan. Daun pisang dilap dengan kain lembap, kemudian salai sekejap atas api hingga lembut, tujuan untuk memudahkan anda membungkus pais nanti. Ketepikan.
  2. Dalam satu mangkuk besar satukan bahan2 tumbuk halus, kelapa parut, hirisan daun limau purut dan daun kesom. Gaul rata, perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Masukkan jus limau nipis (guna baki sebiji limau dari senarai bahan2). Tambah telur ikan dan gaul rata2. Ketepikan.
  3. Panaskan kuali pemanggang. ambil sekeping daun pisang, alaskan dengan sehelai dau kunyit (jika daun kunyit saiz besar, kerat 2 dan guna 1 bahagian). Sudukan 1/3 bahagian bahan2 pais atasnya (seperti gambar di atas). Bungkus seperti membungkus lepas pisang. Sematkan kiri dan kanan bungkusan dengan lidi sate. Gunting hujungnya agar kelihatan kemas. Buat hingga siap.
  4. Lenser sedikit minyak masak pada kuali tadi. Taruk pais ikan dan bakar dengan api kecil, hingga pais masak (anggaran 7 - 8 minit untuk setiap bahagian). Hidangkan dengan belahan limau nipis, jika suka...Selamat mencuba!!..

SIPUT SEDUT MASAK LEMAK CILI PADI

rsz_lcpss
Assalammualaikum, salam semua. Semalam che mat kongsi resipi daging merah ala Thai. Hari ni kita berbalik semula ke tanah Melayu. Resipi  yang menjadi hidangan orang2 Johor. Nak dijadikan cerita Sabtu lepas, kami singgah pasar malam di Chaah. Masa che mat ronda2 tu, nampak sorang akak ni jualan sayur2 kampung. Antara yang menarik minat che mat ialan siput sedut dan sayur sulur keladi Bangla, kes sulur keladi tu nanti bila dan siap masak baru cerita. Siput sedut yang che mat beli saiz boleh tahan besar. Biasanya beli halus betul, dah macam anak siput ajer, Che mat beli sebungkus saja dalam 1 kg beratnya. Harga RM 10, kira boleh lah, siput pun segar2 lagi masih berlumpur. Batang keladi gandingan paling serasi. Tapi boleh juga nak guna rebung. Ada teman Fb dia masak siput sedut campur daun kaduk. Ok, meh kita lihat resipi dia pulak...

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 kg siput sedut
1 pokok sederhana keladi sayur
2 batang serai, diketuk
1 helai daun kunyit
1 keping asam gelugor
1200 ml santan cair
400 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa
Air jika perlu

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1/2 inci belacan (optional)
1 inci kunyit hidup (pilih yang tua)
2 biji cili merah
1/4 cawan cili padi kampung jenis hijau

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Asingkan batang keladi dan ubinya, kupas ubi keladi, potong kiub, cuci dan rebus hingga empuk, angkat dan toskan. Sementara itu, buang kulit luar batang keladi, potong (anggaran 3 inci), cuci dan celur hingga lembut, tos dan ketepikan.
  2. Cuci siput hingga bersih, kemudian kerat hujung siput, kerat pada ruas ke 3 dari atas. Buat hingga siap, cuci kembali dan toskan. Masukkan siput ke dalam periuk bersama2 bahan kisar halus dan serai. Gaul rata dan masak hingga siput berubah warna.
  3. Tuang santan cair, kacau rata dan biarkan mendidih. Masukkan asam gelugor dan masak sekejap. Masukkan batang keladi, kacau perlahan dan jika perlu boleh tambah sedikit air panas. Masuk daun kunyit dan tuang pati santan. Kacau perlahan
  4. Masak dengan api kecil dan kacau sentiasa. Perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula. Masak sekejap lagi dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih dan lauk2 lain...Selamat mencuba!!

RESIPI ASAM PEDAS IKAN SEMBILANG

rsz_apisj
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat masak asam pedas ikan sembilang. Ikan ni dah lama juga dalam freezer, tapi alhamdulillah isinya masih sedap dan segar. Pemberian pakcik cina che mat (adik pada bonda). Bila masak asam pedas ikan sembilang, terus teringat kat arwah Bak, Bak penggemar asam pedas ikan sembilang, (Al-Fatihah Bak) dan setiap kali ada ikan sembilang segar, tak kira harga berapa sekali pun, Bak akan beli. Untuk mendapat asam pedas yang sedap, ikan perlu segar, kalau dapat beli yang masih hidup. Dan jika anda nak simpan, pastikan ikan tadi dibuang perutnya. Kalau kita simpan ikan yang telah mati dengan isi perut, nanti bau dari kotoran perut ikan akan meresap ke isi ikan.

rsz_apisj1
Untuk resipi ini che mat guna 2 ekor ikan sembilang bersaiz sederhana. Dan dimasukkan juga sawi jeruk 'home made' (resipi di sini). Yang ini terpulang pada anda, nak taruk terung, bendi, tomato atau tak taruk pun boleh. Daun kesom dan bunga kantan, dua herba yang penting dalam masakan asam pedas ikan sembilang untuk mendapat rasa kuah yang sedap dan aroma yang wangi. Oh yea, sebenarnya ada telur ikan sembilang dan che mat bungkus dengan daun kunyit (terlupa nak taruk dalam gambar, tapi anda boleh tengok videonya di IG che mat di sini ). Seperti biasa, jika ada menu asam pedas, telur dadar dan ulam2man paling serasi digandingkan bersama...Resipi che mat kongsikan di bawah ini...

BAHAN - BAHANNYA :-)
2 ekor ikan sembilang saiz sederhana
1 pokok sedehana sawi jeruk
3/4 cawan cili kisar
1 genggam daun kesom
2 kuntum bunga kantan, belah 2 setiap 1
1/3 cawan jus asam jawa
1/2 camca teh lada hitam biji, ditumbuk halus
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
12 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
1/2 inci halia
12 biji halba

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan sembilang disiang, buang bahagian isi perut dan insangnya. Kerat pada beberapa bahagian. Cuci bersih, kemudian gaul dengan 1 camca besar tepung gandum dan jus limau nipis (1 biji limau nipis). Perap 20 minit, cuci kembali hingga bersih dan toskan. Sawi jeruk dipotong kecil, cuci dan toskan. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk, tumis bahan2 kisar halus hingga harum, masukkan cili kisar, lada hitam tumbuk dan kacau rata. Masak hingga naik minyak. Tuang air (anggaran 1 liter), kacau rata dan biarkan mendidih. Masukkan jus asam jawa dan sawi jeruk. Kacau dan masak sekejap.
  3. Masukkan ikan sembilang, kacau perlahan, tambah bunga kantan dan daun kesom,Biarkan mendidih. Akhir sekali masukkan garam secukup rasa dan sedikit gula. Kacau perlahan dan masak sekejap, Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih, telur dadar dan ulam2man...Selamat mencuba!

RESIPI BOTOK - BOTOK

rsz_bbjb
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni kerajinan datang melanda. Merancang sejak 3 hari lepas tapi mood jatuh gaung, asyik keluar masukkan ikan ke dalam freezer. Pagi tadi che mat paksa juga diri agar jadi rajin dan laksanakan membuat botok-botok ikan tenggiri. Jangan memain kalau dah mengidam, sampai terbayang2. Nak beli bukan tak boleh tapi ada kala yang beli tu rasa dia tak kena pada tekak. Harga dah lah boleh tahan, ulam2 pun, alah hai ciputnya. Buat sendiri lebih muai, nak taruk ulam2 lebih pun boleh. Pada pendapat che mat, botok2 bukan susah hendak dibuat, cuma nak dapatkan ulam2 tu saja masalahnya. Tapi sekarang di pasar2 tani atau pasar2 basah, in sha Allah dah ada jual ulam2 atau pucuk2 daun yang digunakan untuk bikin botok-botok...

rsz_bbjb1
Che mat gunakan 4 keping ikan tenggiri. Selain ikan tenggiri, boleh juga guna ikan kembong atau ikan parang, ikut yang mana anda suka. Satu lagi botok-botok yang ini berbeza sikit dari yang biasa. Kan biasa daun2 ulam dilapis2kan sebelum dibungkus, yang ni che mat buat 2 bahagian, ada yang dihiris kecil dan ada yang tidak dihiris seperti pucuk ubi dan pucuk betik. Rasanya botok-botok yang daun ulamnya dihiris lebih senang dimakan dan terasa rempah2nya. Satu lagi pasal daun2 ulam, minta maaf sebab tak sempat nak ambil gambar dan che mat cuma guna ulam2 yang ada sekitar rumah (ada yang takde macam puding teh dan puding mangkuk). In sha Allah jika ada masa, che mat kongsikan pokok2 ulam tersebut. Nak mencuba?...Resipi anda boleh semak di bawah ini...

BAHAN - BAHANNYA :-)
4 keping ikan tenggiri (setiap sekeping selebar 3 jari orang dewasa)
4 helai daun pisang berukuran 14 inci x 10 inci
4 helai daun pisang berukuran 16 inci x 4 inci
4 batang lidi pencungkil gigi yang baru
2 camca besar jus asam jawa
1 camca besar penuh gula melaka
1 cawan santan
2 camca besar kerisik
1 1/2 camca besar rempah kari ikan Baba's
Garam secukup rasa

BAHAN - BAHAN REMPAH :-)
1 biji bawang besar
8 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/2 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup
2 batang serai, hiris halus
3 biji buah keras, dihiris
6 tangkai cili kering, potong kecil dan rendam dalam air panas sekejap, toskan
1/2 inci belacan

BAHAN - BAHAN ULAM :-)
Pucuk ubi - 8 tangkai
Pucuk betik - 2 tangkai
Daun kaduk - 12 helai*
Pucuk bebuas - 12 helai*
Pucuk mengkudu - 8 helai*
Daun limau purut - 3 helai*
Daun kunyit - 2 helai*
Daun cekur - 4 helai*
Daun sekentut muda - 20 helai*
Daun kesom - 1 genggam*
Daun selasih - 1 genggam*

bbjb2

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. PENYEDIAAN AWAL :- Ikan dicuci, kemudian perapkan dengan jus limau kasturi selama 10 minit, cuci kembali, toskan dan lumur dengan sedikit garam (anggaran 1/2 camca teh), simpan dalam peti sejuk sementara kita siapkan bahan2 yang lain.
  2. Semua ulam2man dicuci dan toskan hingga kering. Ulam2man yang bertanda (*)  dan 4 tangkai pucuk ubi, dihiris halus tapi tak perlu halus macam bunga rampai. Masukkan ke dalam mangkuk dan ketepikan. 
  3. Daun pisan dilap dengan kain lembap, kemudian layur atas api hingga daun pisang lembut, tujuannya untuk mengelakkan daun pisang pecah semasa membungkus botok-botok nanti. Ketepikan.
  4. UNTUK REMPAH BOTOK - BOTOK :- Panaskan 4 camca besar minyak dalam kuali. Sementara itu satukan rempah kari ikan dengan bahan2 kisar halus dan kacau hingga menjadi pes. Tumis rempah tadi hingga harum, gunakan api kecil dan kacau sentiasa. Bila terbit minyak, masukkan santan, kerisik dan gula melaka. Kacau rata dan masak hingga pekat. Masukkan jus asam jawa dan perasakan dengan garam secukupnya. Masak sekejap lagi dan matikan api. Alih rempah ke dalam mangkuk dan biarkan sejuk.
  5. UNTUK BOTOK-BOTOK :- Panaskan kukusan. Keluarkan ikan dari peti sejuk. Rempah dibahagikan kepada 4 bahagian sama banyak. Begitu juga ulam2 yang telah dihiris tadi, dibahagi kepada 4 bahagian. 
  6. Ambil sehelai daun pisang berukuran besar. Alaskan dengan sehelai atau dua helai pucuk betik, diikuti dengan 1 tangkai pucuk ubi (baki dari yang dihiris tadi). Taruk 1/2 dari 1 bahagian ulam yang dihiris, sudukan 1/2 dari 1 bahagian rempah. Letakkan sekeping ikan tenggiri, sapukan baki rempah dan tutup dengan baki ulam. Bungkus seperti dalam gambar, gunakan daun pisang saiz kecil sebagai penguat bungkusan sebelum anda sematkan dengan lidi.
  7. Buat hingga siap dan kukus botok-botok tadi selama 20 minit. Biarkan sejuk sekejap dan boleh hidangkan bersama nasi putih dan lauk2 lain...Selamat mencuba!.

RESIPI SAMBAL GORENG MUDAH

rsz_sgpc
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni kita bikin sambal goreng tapi sebelum tu che mat nak ingatkan lah, mungkin resipi ini bukan 100% tradisional atau 'asli'. Aku main masak ikut apa bahan2 yang ada dalam peti sejuk, dari membazir kau lemparkan saja sudah, jangan banyak sangat pantang larang. Cuma satu pekara saja che mat nak kasi tau. setiap bahan2 tu dalam kuantiti sederhana saja, kalau banyak sangat mau sekuali besar sambal goreng jadinya. Tapi kalau penduduk rumah muai, tak salah nak masak lebih. Macam che mat tak ramai, jadi masak dalam kadar sederhana dan berkemungkinan besar sambal goreng ni sampai esok pun masih berbaki. Ada satu bahan kurang iaitu tauhu kering @ fucuk, tapi che mat gantikan dengan fucuk yang ada pes ikan dalam dia (jenama mushroom). Boleh lah dari takde, tapi dalam resipi nanti che mat tulis fucuk. Petai tu optional, kalau tak makan petai toksah taruk yea....Resipi seperti berikut..

BAHAN - BAHANNYA :-)
4 tngkai kacang panjang, dihiris serong
1 keping tauhu, didadu dan goreng
2 keping tempe (jenis yang bungkus daun), didadu dan goreng
1 biji kentang, kupas, potong kecil dan goreng
2 keping fucuk (setiap 1 selebar tapak tangan orang dewasa), rendam hingga lembut dan potong kecil
1/2 cekak soo hoon, kerat pendek dan rendam
2 papan petai, ambil isinya dan potong kecil
2 kelopak kobis, potong kecil
1/4 cawan isi udang
1 batang serai, diketuk
2 keping hirisan lengkuas
4 biji bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
1 biji cili merah, hiris
1 biji cili hijau, hiris
1/2 inci belacan + 3 camca besar air = dilarutkan
2 camca besar jus asam jawa
2 camca besar cili kisar
1-2 camca besar kicap lemak manis JALEN
Garam secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam kuali, anggaran 3 camca besar.Tumis bawang merah dan bawang putih hingga harum, masukkan serai, lengkuas dan cili kisar. Kacau rata dan masak hingga cili garing. Masukkan isi udang dan masak hingga isi udang berubah warna.
  2. Tambah belacan yang telah dilarukan tadi dan juga jus asam jawa, kacau rata. Masukkan tempe, tauhu, kentang, fucuk dan kacang panjang, gaul rata dan masak hingga kacang lembut. Kemudian tambah kobis dan petai. Kacau dan masuk soo hoon (toskan dahulu airnya). Gaul hingga semua mesra.
  3. Masukkan hirisan cili hijau dan cili merah, kicap lemak manis dan perasakan dengan garam secukupnya, Kacau dan masak sekejap lagi. Sesuaikan rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih dan lauk2 lain...Selamat mencuba!!

MENGIDAM MI HOON SOTO JOHOR

rsz_1mhsj
Assalammualaikum, salam Isnin. Hari ni che mat mengidam mi hoon soto. Buatnya mudah, sama seperti membuat kuah soto Johor, cuma tukar makan guna mi hoon atau mi kuning, ikut selera masing2. Kalau makan sama nasi impit atau ketupat dah jadi soto. Hidangan ini popular ketika hari raya, kerana amat versatile, bayangkan masak kuah soto dan anda boleh hidangkan dengan tiga bahan2 utama yang berbeza (mi hoon, mi kuning dan ketupat/nasi impit). Selain tu boleh juga cicah kuah soto dengan roti.

rsz_mhsj1
Seperti lazimnya di Johor, soto harus ada hidangan pelengkapnya seperti begedil, sambal kicap, tauge, daun sup/daun bawang dan lain2. Kali ini che mat hidangkan dengan belahan limau kasturi, yang itu optional, tak paksa, cuma ikut selera masing2. Tauhu goreng tu pun kalau ikutkan memang tak taruk, tapi che mat suka dan memang sejak dulu kalau bikin soto, mesti tambah hirisan tauhu goreng. Sambal kicap style che mat senang ajer, tak perlu digoreng cili dan bawang putih, semuanya ditumbuk halus, taruk gula dan tumbuk lagi. Kemudian tuang kicap lemak manis JALEN, kacau rata dan boleh hidangkan. Tapi kalau anda nak goreng dulu cili padi dan bawang putih tadi tak jadi masalah. Ada juga yang masukkan bawang goreng dalam sambal kicap, tapi cara tu tak kena dengan selera che mat, yang ringkas lebih sedap. Resipi memang dah banyak kali juga dikongsikan dalam blog, tapi untuk memudahkan anda, kita lihat sekali lagi resipinya seperti di bawah ini.

BAHAN - BAHAN KUAH SOTO :-)
2 ketul serangka ayam, cuci bersih dan toskan
2-3 keping besar peha ayam, cuci dan toskan
2 camca besar rempah sup
1 rempah sup bunjut tulang
1 pokok daun sup, kerat kasar
1 genggam bawang goreng
1/2 camca besar lada hitam biji, ditumbuk halus
Sedikit parutan biji buah pala
Garam secukup rasa
3 liter air

BAHAN - BAHAN TUMIS :-)
1 batang kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
6 kuntum bunga cengkih
2 batang serai, diketuk
1/2 inci lengkuas, diketuk

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
10 biji bawang merah
5 ulas bawang putih
1 1/2 inci halia
1 inci kunyit hidup
3 biji buah keras, dihiris

BAHAN - BAHAN LAIN :-)
Mi hoon @ mi kuning, secukupnya, dicelur dan toskan
Begedil, resipi boleh rujuk di sini
Hirisan daun sup/daun bawang
Tauhu goreng, dihiris
Bawang goreng
Taugeh, dibuang ekor, cuci dan celur sekejap, toskan
Sambal kicap
Belahan limau kasturi, jika suka

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH SOTO :- Satukan bahan2 kisar halus dengan rempah sup, serbuk buah pala dan lada hitam yang ditumbuk halus. Kacau rata hingga menjadi pes rempah. Panaskan minyak dalam periuk, anggaran 5 camca besar. Masukkan bahan2 tumis, masak hingga harum. Masukkan pes rempah, kacau dan masak hingga naik minyak, guna api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Tuang air, kacau dan biarkan mendidih. Masukkan rangka ayam dan peha ayam. Kacau, masukkan sup bunjut, daun sup yang dikerat kasar dan bawang goreng. Perasakan dengan sedikit garam dan masak selama 1 jam, jika perlu boleh tuang sedikit lagi air panas. Keluarkan peha ayam, sejukkan sebentar dan carik2kan isinya. Tulangnya dimasukkan kembali ke dalam periuk. Rasa dan jika perlu tambah sedikit lagi garam, masak sekejap dan boleh matikan api.
  3. UNTUK MI HOON SOTO :- Masukkan secukupnya mi hoon ke dalam mangkuk sesuai, tuang kuah soto sehingga mi tenggelam. Hias dengan taugeh, hirisan daun sup/daun bawang, begedil, bawang goreng, isi ayam yang dicarik tadi, tauhu dan juga sambal kicap. Jika suka boleh perahkan sedikit jus limau kasturi sebelum dimakan. Selamat mencuba!!

RESIPI KAMBING MASAK MERAH

rsz_kmm
Assalammualaikum, salam Isnin. Hari ni che mat masak kambing. Tempoh hari ada teman FB yang pergi kenduri kawin di Johor, dan antara hidangan yang ada ialah kambing masak merah. Tak pasal2 aku pulak yang termengidam nak makan kambing masak merah. Maka pagi tadi bermulalah operasi memasak. Resipi nampak macam banyak bahan2nya, tapi cara memasak dia amat mudah. Kalau anda rajin, boleh masak nasi minyak untuk digandingkan dengan menu kambing masak merah. Che mat sebab tak rajin atau senang cerita - malas, jadi makan sama nasi putih saja, itu pun sedap bangett. Masak merah ni che mat lebihkan sedikit kuah dia untuk dicicah dengan roti.

rsz_kmm1
Untuk resipi ini penggunaan daging kambing bertulang lebih kurang 1kg lebih. Kalau anda tak makan kambing, boleh guna daging lembu atau ayam. Daging kambing (yang bertulang) anda perlu rebus dahulu, hingga dagingnya empuk. Che mat rebus guna periuk tekanan atau pressure cooker, mengambil masa kurang lebih 20 minit, tapi semuanya bergantung pada periuk tekanan masing2, nasihat che mat bagi yang baru2 nak guna periuk tekanan, sila baca buku panduan dia terlebih dahulu dan langkah2 keselamatan harus dititik beratkan, yelah kang main belasak ajer, sekali meletop, ada pulak periuk terbang sampai kat rumah jiran sebelah. Tapi setakat ni alhamdulillah che mat dah guna lebih 20 tahun, semuanya ok, janji jangan lalai. Kalau teringin nak mencuba, boleh rujuk resipi seperti dibawah ini....

BAHAN - BAHANNYA :-)
1+ kg daging kambing (yang bertulang), dipotong kecil
1 camca besar penuh tepung gandum
3 biji limau kasturi, perah jusnya
1 inci halia, hiris
5 ulas bawang putih, diketuk (tak perlu dibuang kulit)
1 camca teh garam
2 batang serai, diketuk
1 pokok daun ketumbar, cuci dan toskan
1 genggam kacang gajus, goreng hingga perang dan toskan
1 genggam kismis kuning, cuci dan toskan
1 cawan susu sejat
3 camca besar pati oren Sunquick
1 tin kecil tomato puree
1/4 cawan sos tomato
1/3 cawan sos cili
1/3 cawan cili kisar (nak pedas taruk lebih)
2 camca besar gula melaka
Garam dan gula secukup rasa
1 camca besar penuh minyak sapi
1 batang kayu manis*
2 kuntum bunga lawang*
4 biji buah pelaga*
10 kuntum bunga cengkih*(*rempah tumis)
Bawang goreng, untuk hiasan
Kacang pis, untuk hiasan
Daun pudina, untuk hiasan

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
15 biji bawang merah
6 ulas bawang putih
2 inci halia
1/2 inci lengkuas
2 batang serai, hiris halus

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Daging kambing dicuci, toskan. Kemudian gaul dengan tepung gandum dan jus limau kasturi hingga rata. Perap 20 minit, cuci kembali hingga bersih dan toskan. Masukkan daging kambing ke dalam periuk, tuang air secukupnya, tambah halia, bawang putih dan 1 camca teh garam, rebus hingga daging kambing empuk. Asingkan daging kambing dan air rebusannya ditapis. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 1/3 cawan), masukkan minyak sapi. Masukkan rempah tumis dan serai, masak hingga wangi. Kemudian masukkan cili kisar, masak sekejap. Tambahkan tomato puree dan bahan2 kisar halus. Kacau rata dan masak hingga naik minyak, guna api kecil dan kacau selalu.
  3. Masukkan tomato sos, cili sos dan juga kismis. Kacau rata dan tuang air rebusan daging kambing (anggaran 2 cawan). Biarkan mendidih, masukkan daging kambing rebus, kacau rata. Masukkan susu sejat, gula melaka dan pati oren sunqiuk, kacau lagi.
  4. Masak hingga pekat, perasakan dengan garam secukupnya dan jika suka masak merah yang agak manis, boleh tambah sedikit gula pasir. Akhir sekali masukkan daun ketumbar (dipotong kasar) dan gajus goreng. Kacau rata dan masak sekejap lagi, rasa dan jika ok boleh matikan api. Tabur kacang pis, bawang goreng dan daun pudina sebelum dihidangkan....Selamat mencuba!!

ASAM PEDAS IKAN PARI SAMA SAWI JERUK 'HOMEMADE'

rsz_apsjs
Assalammualaikum, salam Ahad. Hari ni che mat masak asam pedas ikan pari sama sawi jeruk buatan sendiri. Sebenarnya nak rasa sawi jeruk tu sama tak dengan yang beli punya. Dan pada tekak che mat dan juga mereka yang rasa, sawi jeruk tu sama malah lebih segar. Yang penting tahap kebersihan terjamin dan tanpa bahan pengawet. Bagi yang suka makan sawi jeruk tapi was2 nak beli yang dikedai, anda boleh cuba bikin sendiri, resipinya ada di sini. Asam pedas dan che mat berpisah tiada, tu pasal ini antara menu paling kerap ada di blog tiffinbiru. Sejak arwah Bak ada penyakut gaout 3 - 4 tahun dulu, asam pedas che mat takde taruk belacan dan jika anda suka boleh masukkan sedikit belacan. Resipi amat mudah dan ikan tu agak2 saja banyak mana, mungkin dalam 500 gram lebih sikit. Ok, jika anda belum masak tengah hari dan nak cuba, che mat kongsikan resipi di bawah ini...

BAHAN - BAHANNYA :-)
500 gram ikan pari (kurang lebih)
3 kelopak sawi jeruk
1 kuntum bunga kantan, belah 2 atau 4
3/4 cawan jus asam jawa
3/4 cawan cili kisar
1/2 kiub pati ikan bilis Maggi (optional)
1 camca teh lada hitam biji, ditumbuk halus
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
8 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/2 inci kunyit hidup

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan pari dipotong pada saiz sederhana, cuci dan perap dengan jus limau nipis selama 15 minit. cuci sekali lagi hingga bersih dan toskan. Sawi jeruk dipotong kecil, kemudian rendam. Ketepikan untuk kegunaan kemudian.
  2. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/4 cawan). Tumis bahan2 kisar halus hingga harum, masukkan cili kisar dan lada hitam tunbuk. Kacau rata dan masak dengan api kecil hingga garing dan naik minyak.
  3. Tuang air secukupnya (anggaran 3 - 4 cawan), kacau dan biarkan mendidih. Masukkan ikan pari dan sawi jeruk (toskan airnya dan perah sedikit). Masak sekejap dan boleh masukkan jus asam jawa. Jika suka kuah lebih anda boleh tambah sedikit lagi air.
  4. Masukkan bunga kantan, kiub ikan bilis (jika guna), perasakan dengan garam secukupnya dan sediki gula. Masak hingga ikan masak, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas dan lauk2 lain...

SIPUT SEDUT MASAK LEMAK

rsz_ssml
Assalammualaikum, salam semua. Dalam sejarah sejak sekian lama che mat tak masak siput sedut, hari ni atas permintaan Bak yang dah lama sangat mengidam (dan kita orang pun mengidam juga sebenarnya, cuma nak masak tak sampai hati sebab Bak tak boleh makan, tapi.......) , disebabkan keadaan Bak semakin ok, maka hari ni takpelah kita gamble makan siput sedut dan in sha Allah harap2 ok. Banyak kali juga che mat nampak siput sedut di pasar, tapi tak jadi beli, semalam Bak keluar dan tau2 balik dia bawak siput sedut. Biasanya kami akan masak lemak dengan batang keladi dan masukkan juga ubinya sekali. Siput sedut perlu dicuci bersih dan kalau dapat sehari sebelum anda masak, taruk siput sedut dalam baldi, kemudian taburkan hampas kelapa. Pastikan permukaan baldi anda tutup dengan tapis dan tindih dengan benda berat seperti lesung batu atau batu bata. Kalau tak tindih, alamatnya esok pagi siput semua merayap serata dapur. Hampas kelapa tu pulak bertujuan gar siput melalui proses permbersihkan dalaman sebelum dimasak esok. Jomm che mat tulis resipinya..

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 kg siput sedut
1 pokok keladi sayur, saiz sederhana
3 batang serai, diketuk
1 helai daun kunyit, disiat
2 keping asam gelugor
1200 ml santan cair
400 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
2 biji bawang besar
5 biji bawang merah kecil
4 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
3 biji cili merah
10 biji cili padi (optional)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Siput sedut dicuci bersih, kemudian kerat hujung siput (kerat pada bahagian senggan ketiga dari atas), buat hingga siap dan masukkan ke dalam bekas besar. Tuang air hingga penuh cuci sekali lagi dan toskan. Ulangi proses ini sekali lagi, tapi kali ini anda cedok siput tadi guna tangan dan masukkan dalam tapis, tujuannya untuk mengelakkan serpihan2 bahagia siput yang dikerat tadi ikut termasuk sekali. Ketepikan.
  2. Batang keladi dibersihkan, buang kulit luarnya dan kerat pendek. Ubinya dikupas dan potong kiub besar2, cuci dan toskan. Didihkan air, rebus ubi keladi hingga 1/2 empuk, cedok keluar dan toskan. Masukkan pulak batang keladi, kali ini tambah sekeping asam gelugor dan celur hingga batang keladi lembut. Toskan dan ketepikan.
  3. Masukkan siput sedut yang telah dibersihkan ke dalam periuk bersama serai titik, baki asam gelugor dan bahan2 kisar halus. Kacau rata dan masak hingga mendidih. Tuang santan cair, kacau rata dan biarkan menggelegak. Tambah ubi keladi, masak sekejap dan masukkan batang keladi. Kacau perlahan.
  4. Tuang santan pekat, masukkan daun kunyit. Masak guna api sederhana hingga mendidih dan kacau sentiasa. Tambah garam secukup rasa dan sedikit gula (anggaran  2 camca teh). Masak sekejap lagi dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan dengan nasi panas, sambal belacan dan telur dadar...

MI SOTO UNTUK CHE MAT

rsz_msmg
Assalammualaikum, salam Ahad semua. Hari ni che mat makan menu amat ringkas. Kebetulan semalam ada tetamu datang ke rumah. Dan che mat bikin soto sebagai hidangan untuk mereka. Biasanya kalau bikin soto, memang akan lebihkan kuah dia, untuk dimakan dengan mi hoon atau mi kuning. Jadi hari ni kita celur mi kuning, kemudian curah kuah soto dan taruk bahan2 sampingannya dan jangan lupa sambal kicap. Kalau takde sambal kicap bukan soto namanya dan sah2 bukan Johor!. Anda pun dah biasakan dengan resipi soto di blog che mat ni. Jadi hari ni che mat tak tulis resipi untuk kuah soto, tapi che mat kasi link resipi soto yang lepas untuk anda semak dan cuba. Untuk menyediakan mi soto ni anda perlukan..

BAHAN - BAHANNYA :-)
Mi kuning secukupnya, dicuci, kemudian celur dalam air panas (dalam 30 saat), toskan
Kuah soto secukupnya - resipi di sini 
Isi ayam yang dicarik (biasanya guna bahagian dada ayam yang direbus dalam kuah soto)
Hirisan daun sup dan daun bawang
Bawang goreng
Tauhu, digoreng dan hiris nipis
Begedil kentang (resipi di bawah)
Kacang tanah goreng
Taugeh, dibuang ekor dan celur sekejap
Sambal kicap

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. UNTUK BEGEDIL KENTANG :-  4 - 5 biji kentang saiz besar, kupas kulitnya, cuci dan hiris (kurang lebih 1/2 cm tebal) dan goreng hingga keemasan. Pastikan guna api sederhana. Sementara itu, hiris halus 1 pokok daun sup. Ramas hancur 1 genggam bawang goreng. Ketepikan. 
  2. Kentang diangkat, toskan minyaknya dan masukkan dalam mangkuk besar. Lecek hingga halus. Masukkan 1 camca besar rata tepung gandum, hirisan daun sup, bawang goreng yang diramas. serbuk lada sulah dan garam secukup rasa (anggaran 1/4 camca teh). Gaul hingga semua rata.
  3. Cedok 3/4 atau 1 camca besar adunan begedil, bulat2 dan leperkan sedikit. Buat hingga siap (pastikan begedil tidak terlalu nipis untuk mengelakkan ia pecah ketika digoreng). Panaskan minyak, biar pada suhu sederhana. Pecahkan 1 biji telur dalam mangkuk, pukul rata dengan garfu. Celop begedil dalam telur dan masukkan ke dalam minyak sederhana panas. Goreng 6 - 7 biji sekali goreng. Balik2kan agar masak sekata. Bia kuning keemasan, angkat dan toskan minyakkan. Buat kaedah sama hingga begedil habis digoreng.
  4. UNTUK MI SOTO :- Masukkan mi kuning yang telah dicelur secukupnya dalam mangkuk sesuai. Tuang kuah soto hingga penuh. Taruk taugeh, hirisan daun bawang/daun sup, bawang goreng, tauhu goreng yang dihiris, daging ayam yang dicarik, begedil, kacang tanah goreng dan diakhiri dengan sambal kicap....sedia untuk dihidangkan....Selamat mencuba!!..

RESIPI LONTONG GAYA MAT GEBU

rsz_lontongmg
Assalammualaikum, salam Sabtu. Hari ni untuk sarapan pagi, tengah hari dan petang sampai malam, kita makan lontong. Dua kali perancangan nak bikin lontong tergendala hingga kacang panjang yang che mat beli terkulai layu....grrr...nasib baik cuma 5-6 tangkai saja. Selain tu sengkuang sampai tumbuk pokok, tapi lontong tak buat2 juga. Bukan sebab che mat malas, tapi sebab tak sampai hati tengok orang yang tak boleh makan benda2 yang menjadi asbab sakit gaot. Bak che mat kan ada gaot, risau juga kalau dia makan nanti dari ok, terus kaki bengkak sampai tak boleh jalan. Bahan2 seperti tempe, tauhu, kacang panjang, fucuk @ tauhu kering, semua tu orang gaot tak boleh makan. Kita kena prihatin bab2 macam tu. betul tak.

rsz_lontongmg1
Tapi hari ni che mat nekad saja buat lontong. Petang semalam dah siap2 rebus ketupat NONA. Dan bahan2 untuk bikin kuah lodeh juga che mat dah siap beli. Untuk Bak, che mat masakkan kari ayam dan setakat serunding tu Bak ok lah makan, rencahnya guna ikan bilis dalam kuantiti yang sedikit. Biasanya untuk kuah lodeh che mat suka guna udang kering dan itu yang membuat kuah jadi sedap. Ada juga yang guna udang basah, terpulang pada selera masing2. Satu lagi banyak versi atau style orang masak sayur lodeh, ada yang tumis, ada yang macam masak lemak biasa. Bahan untuk dimasukkan dalam kuah lodeh juga ikut selera masing. Nak tambah bunga kobis, putih jagung, kincan atau cendawan black fungus @ cendalam telinga kera tu pun boleh, takde masalah...

rsz_lontongmg2
Menjadi kemestian bila bikin lontong, wajib ada bahan2 pendampingnya. Seperti biasa yang anda selalu makan, lontong mesti ada telur rebus, sambal tumis (atau ada yang taruk kuah kacang) dan serunding. Tapi kali ni che mat topupkan dengan begedil. Ada teman FB che mat komen, kalau di Singapura, lontong akan disajikan juga dengan begedil. Jadi nak memeriahkan lagi lontong, maka kita tambah begedil. Dah macam hari raya pulak dapur che mat. Dengan aroma kari ayam, sayur lodeh yang sedang mendidih dan dalam kuali ada serunding yang tengah dikacau, tak lupa sambal tumis....Mari che mat kongsikan resipi lontong gaya mat gebu...

RESIPI KUAH LODEH....

BAHAN - BAHANNYA :-)
1/4 bahagian kobis bulat, hiris kecil, cuci dan toskan
6 tangkai kacang panjang, hiris serong
1 biji terung ungu saiz kecil, dipotong kiub
1/2 biji sengkuang saiz sederhana, hiris seperti anak mancis
1 batang lobak merah saiz sedrhana, hiris seperti anak mancis
2 keping tauhu, digoreng kemudian dipotong kiub
1 cekak soo hoon, potong pendek
40 gram tauhu kering @ fucuk, potong kecil dan rendam hingga lembut
2 batang serai, diketuk
1/2 inci lengkuas, diketuk
2 liter santan cair
600 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
2 biji bawang besar
4 biji bawang merah kecil
4 ulas bawang putih
1/2 inci kunyit hidup
1 genggam udang kering, rendam 10 minit dan toskan
1 camca besar rata ketumbar biji

BAHAN - BAHAN SAMPINGAN :-)
Ketupat atau nasi impit
Telur rebus, dibelah 2 setiap 1
Sambal tumis @ Kuah kacang
Serunding kelapa
Begedil (optional)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panask minyak dalam periuk (anggaran 1/4 cawan), tumis serai dan lengkuas hingga harum. Masukkan bahan2 kisar halus dan masak hingga naik minyak, guna api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Masukkan bahan2 yang keras dulu seperti sengkuag, lobak merah dan fucuk (toskan airnya). Kacau dan masak hingga lembut. Kemudian tambah kacang panjang, kobis, terung, tauhu dan soo hoon (basuh bawah air paip sebelum anda masukkan, tak perlu direndam). Kacau rata dan jika kurang kuah, boleh tambah sedikit air panas.
  3. Bila soo hoon lembut, tuang pati santan dan perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula. Masak sekejap lagi dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan dengan bahan2 sampingan. Boleh dimakan bila2 waktu yang anda suka (walaupun secara khususnya, lontong dihidangkan untuk sarapan pagi di Johor).
RESIPI SERUNDING KELAPA....

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 1/2 cawan kelapa parut putih
2 camca besar penuh gula @ secukup rasa
2 helai daun limau purut
Garam secukup rasa

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
2 batang serai, hiris halus
1 camca besar ketumbar biji
1/4 camca teh jintan manis
1/4 camca teh jintan putih
4 biji bawang merah
1/2 inci lengkuas
1/2 inci kunyit hidup
6 tangkai cili kering, buang biji dan rendam dalam air panas 10 minit dan toskan
1 genggam ikan bilis, dibersihkan, cuci dan rendam 10 minit, toskan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 4 camca besar). Tumis bahan2 kisar hingga harum, masukkan gula dan garam secukup rasa. Kacau dan masak hingga berubah warna. Masukkan kelapa parut dan daun limau purut.
  2. Kacau rata dan masak dengan api kecil. Kacau sentiasa hingga serunding sedikit kering dan kelihatan berderai, tapi jangan sampai kering sangat. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Boleh hidangkan dengan lontong.
RESIPI BEGEDIL.....

BAHAN - BAHANNYA :-)
4 - 5 biji kentang, kupas, cuci dan hiris
1 pokok daun sup, hiris halus
1/2 camca teh serbuk lada sulah
1 genggam bawang goreng, diramas
1 camca besar rata tepung gandum
Garam secukup rasa (anggaran 1/4 camca teh)
1 biji telur, dipukul sedikit

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kentang dikupas, cuci dan hiris sederhana tebal. Kemudian goreng hingga keperangan, angkat dan toskan. Tumbuk kentang tadi menggunakan anak lesung hingga lumat. Masukkan ke dalam mangkuk dan masukkan semua bahan di atas kecuali telur. Gaul hingga semua rata.
  2. Cedok kurang leboh 3/4 camca besar, bulat2kan dan tekan leper sedikit untuk membentuk begedil dan susun dalam dulang beralas plastik bersih. Buat hingga siap.
  3. Panaskan minyak untuk goreng terendam. Celop sebiji begedil dalam telur, kemudian masukkan dalam minyak panas, pastikan minyak panas sederhana. Goreng 5 - 6 biji sekali goreng, Balik2kan agar masak sekata. Bila kuning keemasan, angkat dan toskan. Boleh hidangkan.
RESIPI SAMBAL TUMIS....

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 genggam ikan bilis, dibersihkan dan rendam sekejap, toskan
1 1/2 cawan cili kisar
3 camca besar jus asam jawa
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/2 inci belacan, dibakar

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 1/3 cawan). Tumis bahan2 kisar halus hingga harum, masukkan cili kisar dan kacau. Masak hingga garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Masukkan jus asam jawa, perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Kacau dan akhir sekali tambah ikan bilis. Kacau dan masak hingga pekat. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama lontong tadi....Selamat mencuba!!

ASAM PEDAS KESOM IKAN SEMBILANG

rsz_apis
Assalammualaikum, salam Jumaat semua. Apa menu makan tengah hari anda hari ni? Che mat masak asam pedas kesom ikan sembilang. Sebenarnya ini asam pedas kegemaran Bak, dan yang che mat masak ni pun memang untuk Bak. Kata orang, jika nak asam pedas ikan sembilang yang sedap, dapatkan ikan sembilang segar, lagi bagus kalau yang masih hidup. Jika di tempat che mat, kami lebih gemar ikan sembilang tempatan walaupun harga mahal berbanding ikan sembilang dari Indonesia. Perkara yang harus dititik beratkan ketika menyiang ikan sembilang, ialah di bahagian dalam perutnya, memang perlu dibersihkan dari segala kekotoran dan darah2 beku yang melekat dibahagian perut dan tulangnya hingga betul2 bersih, kemudian diperap dengan jus limau nipis atau limau kasturi. Daun kesom dan bunga kantan menjadi identiti masakan asam pedas ikan sembilang. Ada juga yang masukkan sedikit halba. Che mat lebih suka masukkan sedikit lada hitam agar asam pedas berbau wangi dan hangat...Resipi seperti di bawah.

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 ekor ikan sembilang saiz besar
2 biji terung ungu
1/3 cawan jus asam jawa
1 genggam daun kesom
1 kuntum bunga kantan, belah 2
1/2 camca teh lada hitam, tumbuk halus
2 senduk nasi cili kisar
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN - BAHAN TUMBUK HALUS :-)
6 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1 inci kunyit hidup

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan sembilang dibuang isi perut dan insangnya, kerat kepada beberapa bahagian, cuci bersih segala kotoran. Kemudian perap dengan jus limau kasturi selama 15 minit. Cuci bersih dan toskan. Terung dikerat 2 setiap 1, kemudian belah 2 tapi tak putus setiap 1 keratan, rendam. Ketepikan
  2. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 4 - 5 camca besar). Tumis bahan2 tumbuk halus hingga harum. Masukkan cili kisar, kacau rata dan masak hingga garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  3. Tuang air secukupnya (anggaran 1 liter), kacau dan biarkan mendidih. Masukkan ikan, terung (toskan airnya), bunga kantan, lada hitam tumbuk dan jus asam jawa. Kacau perlahan dan biarkan mendidih. Masukkan daun kesom, perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Masak hingga terung lembut, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas, ulam-ulaman dan telur dadar.

ASAM PEDAS IKAN MAYONG

rsz_apim
Assalammualaikum, salam Khamis semua. Hari ni che mat mat masak lewat sikit sebab bonda berpuasa. Jadi meh elok juga kalau che mat masukkan entri asam pedas ikan mayong, yang dimasak semalam. Ikan mayong segar ni che mat beli di pasar Rengit, bahagian dagingnya RM 15 sekilo, kalau kepala dia murah sikit, cuma tak berapa gemar bahagian kepala ikan mayong, macam rugi ajer, isi tak banyak. Kalau masak asam pedas ikan mayong, che mat suka masukkan lada hitam. Aroma dari lada hitam dapat menjadikan asam pedas ini lebih wangi dan sedap. Tu hari ada yang tanya, che mat apa beza ikan mayong, ikan duri dan ikan blukang. Apa yang che mat tau lah, ikan duri tu bila saiz dia besar, kita panggil mayong, dan bila besar lagi panggil 'jahan' dan ia beza dari ikan blukang. Ikan blukang spesis ikan duri juga tapi bahagian kepalanya leper sedikit dan kasar, serta badan ikan blukang ada corak belang2, berbanding ikan duri/ikan mayong/ikan jahan kepalanya tak leper dan badan tak bercorak. Ikan mayong juga ada 2 jenis, satu jenis isi putih dan satu lagi isi gelap. Che mat lebih suka yang isi putih sebab lembut bila dimasak...Meh kita lihat resipi asam pedas ikan mayong.

BAHAN - BAHANNYA :-)
2 keping keratan ikan mayong saiz besar
4 - 5 kelopak sawi jeruk
1/2 cawan jus asam jawa
2 senduk nasi cili kisar
2 kuntum bunga kantan, belah 2 setiap 1
1 genggam daun kesom
1 camca teh lada hitam biji, ditumbuk halus
1/2 inci lengkuas, diketuk
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
6 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1 inci kunyit hidup
1/2 inci belacan, dibakar

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Disebabkan ikan mayong tu saiz besar (kurang lebih sebesar tapak tangan orang dewasa), jadi che mat kerat 4 bahagian. Cuci dan gaul dengan sedikit tepung gandum, perahkan jus limau kasturi dan perap selama 15 minit. Lepas tu cuci bersih dan toskan. Sawi jeruk dipotong kecil, cuci dan rendam. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/4 cawan). Tumis lengkuas dan bahan2 kisar halus hingga harum. Masukkan cili kisar, kacau rata dan masak hingga cili garing dan naik minyak. Masukkan lada hitam tumbuk dan kacau.
  3. Tuang air secukupnya (anggaran 1 liter), kacau dan biarkan mendidih. Masukkan sawi jeruk (toskan airnya) dan juga jus asam jawa. Kacau dan masak sekejap. Tambah ikan mayong, bunga kantan dan daun kesom. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau perlahan dan biarkan mendidih hingga ikan masak. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas, telur dadar/telur masin dan ulam-ulaman.