KARI NANGKA MUDA SAMA DAGING

rsz_gnm
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat kongsikan resipi tradisi yang mungkin biasa anda lihat mak mak kita masak kat kampung dulu iaitu kari nangka muda sama daging. Che mat masak semalam dalam kuantiti yang agak banyak juga. Sebabnya lauk macam ni kesedapan terlampaunya terhasil selepas sehari dimasak, maksudnya masak semalam, hari ni lagi sedap. Nangka muda biasa menjadi bahan masakan untuk masyarakat Melayu malah nusantara juga terutama di Indonesia. Walaupun ia hanya nangka muda yang dimasak kari, tapi bahan2nya agak 'mewah'. Untuk rencahnya paling tidak pun ayam, daging lembut atau pun ikan masin. Kalau dimasak lemak putih, ikan bilis dan udang kering lebih sesuai. Sebenarnya bila resipi yang agak banyak menggunakan bahan2, orang kurang suka nak mencuba, alasannya terlalu rumit. Yang tu che mat tak boleh nak kata apa. Masakan tradisional ini tiada jalan pintas jika kita nak mendapatkan hasil yang memuaskan. Che mat hanya berkongsi, selebihnya terpulang pada diri masing2 sama ada nak mencuba atau tidak, atau setidak2nya di lain waktu jika diperlukan, anda boleh jadikan ia sebagai sumber rujukan....Resipi dibawah cuma anggaran saja, kalau ikut yang betul2 che mat masak, mau seperiuk besar nanti!..

BAHAN - BAHANNYA :-)
700 gram daging lembu (che mat campur dengan daging tetel)
3 ulas bawang putih, diketuk*
1 inci halia, hiris halus*
1 camca teh garam*
1 kg nangka muda yang telah dikupas kulitnya dan dipotong kiub, rendam
1 liter santan cair
500 ml pati santan
1 keping asam gelugor
4 camca besar rempah kari daging Baba's
1/4 cawan cili kisar
1/2 camca besar gula melaka
2 camca besar penuh kerisik
1 camca besar minyak sapi
Garam secukup rasa
Air panas secukupnya

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
2 biji bawang besar
6 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
1 inci halia
2 batang serai, hiris
1/2 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup

BAHAN - BAHAN TUMIS :-)
1 biji bawang besar, hiris halus
3 ulas bawang putih, hiris halus
4 tangkai daun kari, dilurut
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
4 biji buah pelaga
7 kuntum bunga cengkih

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Daging dihiris, cuci bersih, toskan dan rebus bersama bahan bertanda (*), hingga empuk, asingakan air rebusannya. Nangka muda direbus hingga 1/2 empuk, tosk dan ketepikan. Sementara itu, bahan2 kisar halus dibancuh dengan rempah kari dan kacau hingga menjadi pes rempah, tambah sedikit air jika perlu. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk, masukkan minyak sapi dan biar hingga minyak sapi cair. Masukkan bahan2 tumis dan tumis hingga wangi dan bawang layu. Tambah cili kisar, kacau rata dan masak hingga cili kisar garing. Masukkan pes rempah, kacau dan masak hingga rempah naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa. 
  3. Masukkan nangka yang telah direbus 1/2 empuk tadi bersama daging rebus. Gaul hingga rata. Tuang air rebusan daging dan juga santan cair. Kacau rata dan biarkan mendidih dan masak hingga nangka empuk. Tambah kerisik dan asam gelugor. Biarkan mendidih perlahan, jika kurang kuah, boleh tambah sedikit lagi air panas.
  4. Tuang santan pekat, masukkan gula melaka dan perasakan dengan garam secukupnya. Kacau perlahan dan biarkan mendidih perlahan sambil dikacau sekali sekala. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih dan lauk2 lain. Masakan ini lebih sedap dimakan keesokkan harinya. Selamat mencuba!.

DAGING MERAH ALA THAI

rsz_dmat
Assalammualaikum, salam semua. Perancangan asal nak masukkan entri siput sedut. Tapi che mat fikir2 balik, esok saja lah. Kali ni kita lihat menu daging masak merah ala thai. Ini baki daging korban, tak banyak dalam 500 gram. Menu daging masak merah macam ini terkenal dinegeri belah2 utara Malaysia seperti Kedah dan Perlis. Dulu che mat terkeliru, ingatkan daging masak merah sama macam ayam masak merah, rupanya tidak. Daging masak merah lebih ringkas dan bahan2 yang digunakan tidak banyak. Warna merah pada daging terhasil bila pewarna merah makanan dimasukkan ketika merebus daging tadi. Untuk sayur2an tu terpulang nak guna apa, tapi che mat masukkan kacang panjang dan putik jagung. Jika nak guna lobak merah dan capsicum, silakan tak jadi masalah. Sedap dimakan dengan nasi panas...Che mat kongsikan resipinya di bawah ini..

BAHAN - BAHANNNYA :-)
500 gram daging lembu. hiris nipis, cuci dan toskan*
3/4 camca teh pewarna merah makanan*
3 ulas bawang putih, diketuk*
1 inci halia, dihiris*
1 biji bawang besar, belah 8 dan leraikan
4 tangkai kacang panjang, kerat pendek
4 biji putik jagung, hiris serong
6 biji cili padi merah Thai, diketuk
3 ulas bawang putih, dicincang
2 helai daun limau purut
1 batang serai, diketuk
1 camca besar cili kisar
1 camca besar sos tiram
2 camca besar sos cili Thai (jenama LIFE)
Sos ikan secukup rasa
1 camca teh gula
Jus limau nipis (dari 1/2 biji limau nipis)
Air rebusan daging secukupnya

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Masukkan semua bahan2 bertanda (*) ke dalam periuk.Tuang air secukupnya, masukkan sedikit garam (anggaran 1/2 camca teh) dan rebus hingga daging empuk. Jika menggunakan periuk tekanan (pressure cooker, cuma memakan masa 10 - 15 minit). Asingkan daging dari air rebusannya. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 3 camca besar). Tumis bawang putih dan serai hingga harum. Masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing. Tambah sos cili thai dan sos tiram, kacau rata dan tuang air rebusan (anggaran  1 cawan).
  3. Bila mendidih, masukkan daging tadi dan daun limau purut, masak hingga pekat. Masukkan kacang panjang, putik jagung, bawang besar dan cili padi. Kacau rata.
  4. Masukkan gula dan perasakan dengan sos ikan secukupnya. Kacau dan akhir sekali masukkan jus limau nipis, kacau dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas dan lauk2 lain....Selamat mencuba!

DAGING GORENG DAUN SELASIH

rsz_dging_selasih_ku_sayang1
Assalammualaikum, salam semua. Lama tak kemas kini blog. Sebab utama bonda che mat kurang sihat dan nak masak yang berminyak2 buat masa ni tak boleh sangat, semuanya rebus2 aje. Oleh yang demikian, entri kali ni che mat kongsikan satu lagi resipi kerjasama antara blog tiffinbiru dan Jalen. Memandangkan raya korban baru saja berlalu dan sudah pasti anda ada stok daging korban dalam freezer, apa kata cuba menu yang akan che mat kongsi kejap lagi. Sedap dimakan bersama nasi panas. Jika anda suka pedas, boleh tambah lebih cili padi. Bahan paling utama mestilah daging dan daun selasih. Kalau guna daging biasa rebus dulu sampai empuk, kendian baru dimasak. Jika nak mencuba, resipi seperti di bawah ini...

BAHAN - BAHANNYA :-)
500 gram daging batang pinang, hiris nipis, cuci dan toskan
1 1/4 cawan isi nanas yang telah dipotong kiub
1 biji bawang besar, belah 6 dan leraikan
1 inci halia, dimayang halus
3 ulas bawang putih, cincang halus
6 biji cili padi kampung hijau
6 biji cili padi kampung merah
1 genggam daun selasih
1 camca besar pes tomyam (sebarang jenama)
1 camca besar cili kisar
1/2 camca teh gula
Garam secukup rasa
Daun salad untuk hiasan

BAHAN - BAHAN SOS :-)
2 camca besar sos cili JALEN
1 camca besar sos tomato JALEH
2 camca besar kordial minuman perisa mangga JALEN
1 camca teh sos plum

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan 2 camca besar minyak dalam kuali. Tumis bawang putih dan halia hingga harum. Masukkan cili kisar dan tumis hingga cili garing. Tambah pes tomyam, kacau rata dan masukkan semua bahan2 sos. Masukkan daging, gaul rata dan biarkan hingga daging kecut, tambah sedikit air jika perlu.
  2. Masukkan gula, cili padi merah/cili padi hijau, nanas dan bawang besar. Gaul rata dan masukkan garam secukup rasa. Masak hingga daging empuk dan nanas lembut. Akhir sekali tambah daun selasih, gaul rata dan masak untuk 2 - 3 minit lagi. Rasa dan jika ok boleh matikan api.
  3. UNTUK MENGHIDANG :- Hias pinggan yang sesuai dengan daun salad, kemudian cedok keluar daging goreng daun selasih ke dalam pinggan tadi. Hidangkan segera bersama nasi panas dan lauk2 lain...Selamat mencuba!!